Posted by: ahmadzaki on: 10 Julai 2009
Oleh Amran Zakaria
Perpaduan jadikan ummah kuat serta tuhan benci individu keras kepala terus berbalah
SUKAR untuk memahami naluri manusia yang menolak ajakan serta pelawaan bagi mewujudkan perpaduan kerana ertinya cukup besar demi mengecapi nikmat kehidupan kurniaan Allah. Apabila perpecahan berlaku, sukar untuk menyatukan kembali.
Usaha mengukuhkan perpaduan sepatutnya disokong semua peringkat dan golongan sama ada rakyat biasa, cendekiawan, profesional, ilmuwan agama mahupun kalangan pimpinan demi masa depan negara serta agama.
Adalah menjadi fitrah manusia inginkan perpaduan tidak kira apa kaum atau bangsa. Tidak ada manusia yang sukakan perpecahan lebih-lebih lagi jika perpecahan itu membawa kepada permusuhan seterusnya perbalahan, pergaduhan dan berakhir dengan peperangan.
Kalangan manusia yang paling dibenci Allah adalah golongan yang sama-sama keras kepala untuk terus berbalah walaupun diseru kepada perdamaian. Apatah lagi golongan yang terang-terang mempertahankan perbalahan yang sudah lama berlaku.
Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Manusia yang paling Allah benci ialah yang berkeras kepala dalam perbalahan.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Jika berlaku pergaduhan dan peperangan, manusia akan merasai betapa erti kesusahan selepas nikmat keamanan serta keharmonian dicabul. Menjadi tanggungjawab pihak berkuasa termasuk ulama untuk mendorong ke arah perdamaian apabila melihat rantai persaudaraan kian longgar.
Allah berfirman bermaksud: “Dan jika mereka (pihak musuh) cenderung kepada perdamaian, maka engkau juga hendaklah cenderung kepadanya serta bertawakal kepada Allah. Sesungguhnya Dia Maha Mendengar, lagi Maha mengetahui.” (Surah al-Anfal, ayat 61)
Dalam satu keluarga, satu jemaah, satu kaum dan satu bangsa akan ada usaha untuk saling jatuh-menjatuhkan serta khianat-mengkhianati. Ikatan perpaduan yang longgar tidak mampu menghindarkan ahli daripada sifat yang dikeji.
Persoalan yang timbul dan terus menjadi tanda tanya ialah mengapa umat Islam terus berpecah walaupun kekuasaan terus semakin mengecil? Justeru, perpecahan memang musuh kepada manusia kerana manusia yang waras tidak mahu dan tidak suka kepada perpecahan.
Fitrah semula jadi manusia inginkan kehidupan yang aman damai kerana di situlah letaknya kebahagiaan serta keharmonian yang diidamkan manusia tanpa mengira bangsa. Kunci perpaduan adalah persaudaraan di mana semakin kukuh persaudaraan semakin kuat semangat perpaduan.
Runtuhnya sesuatu tamadun itu bertolak daripada perpecahan akibat terlalu inginkan kekuatan daripada kumpulan tertentu yang akhirnya menambahkan lagi perpecahan di sebalik laungan perpaduan.
Firman Allah bermaksud: “Hendaklah kamu semua berpegang teguh dengan tali Allah dan janganlah kamu semua berpecah belah.” (Surah Ali Imran, ayat 103)
Dalam usaha mengekalkan persaudaraan dan keharmonian, agama menganjurkan supaya usaha ke arah perdamaian diperhebatkan. Apatah lagi apabila disedari tanda-tanda perpecahan sudah nampak di kalangan ahli.
Oleh itu, jangan dicari perbezaan sebaliknya merapatkan jurang dan ruang perpecahan supaya hubungan yang renggang dapat dirapatkan kembali dan sebarang perselisihan dibincangkan secara damai.
Ingatlah, hanya perpaduan dan kesatuan yang berupaya menjadikan kita ummah yang kuat dan teguh, sedangkan perpecahan menyebabkan kita menjadikan lemah serta tidak berupaya menandingi musuh.
Namun, realitinya tidak begitu. Manusia sentiasa berpecah-belah dan bermusuhan, sekalipun dalam satu etnik atau rumpun bangsa sama. Selalunya, apabila nafsu menguasai diri, manusia mudah hilang pertimbangan hingga sanggup menggadaikan kesatuan yang ada.
Soal perpaduan sudah tidak penting kerana keutamaan kini ialah mendapatkan apa yang dihajati atau memastikan pihak lain gagal dalam usaha mereka. Apa yang menjadi keutamaan mencapai matlamat diri bukan keperluan semua pihak.
Menyatukan hati manusia bukanlah kerja mudah melainkan dengan ikhtiar yang bersungguh-sungguh dan doa berterusan supaya semangat serta perasaan kasih sayang tidak hilang daripada hati setiap anggota masyarakat.
Allah berfirman bermaksud: “Sebenarnya orang yang beriman itu bersaudara maka damaikanlah di antara dua saudara kamu itu; dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat.” (Surah al-Hujurat, ayat 10)
Justeru, walau apa juga halangan serta cabaran ditempuh, perjuangan untuk menyatupadukan ahli masyarakat tidak boleh hilang sebaliknya setiap usaha perlu digerakkan supaya semangat kesatuan sentiasa hidup dalam hati semua.
Pada masa sama, jangan lupa untuk memohon doa supaya semangat perpaduan yang ada terus diperkukuhkan selain mengelak semua perbuatan yang boleh menjejaskan hubungan baik semasa insan di sebalik sebarang perbezaan yang ada.
Bersatu teguh, bercerai roboh. Maknanya kita tidak ada pilihan, selain untuk bersatu atau bersedia menempuh kehancuran apabila bangunan yang terbina roboh disebabkan sikap masing-masing yang enggan berusaha mempertahankan perpaduan.
Penulis ialah Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Dewan Amal Islam Hadhari (DAMAI)
sumber~ http://www.bharian.com.my/
Posted by: ahmadzaki on: 9 Julai 2009
INSTITUSI keluarga adalah asas untuk melahirkan generasi yang salih dan bertakwa. Kejayaan dan keharmonian sesebuah keluarga berkait rapat dengan kualiti kepemimpinan ketua keluarga.
Justeru, Islam meletakkan bapa sebagai pemimpin dan ketua keluarga bertanggungjawab memastikan mereka yang berada dalam jagaannya keadaan baik serta mengikut landasan diredai Allah.
Tanggungjawab serta peranan itu dinyatakan Rasulullah SAW dalam sabdanya bermaksud: “Setiap kamu adalah pemimpin dan setiap kamu adalah bertanggungjawab terhadap pimpinannya, seorang pemimpin negara adalah pemimpin kepada rakyatnya dan ia bertanggungjawab terhadap mereka, seorang suami adalah pemimpin keluarganya dan ia bertanggungjawab terhadap pimpinannya, seorang wanita adalah pemimpin ia bertanggungjawab terhadap rumah tangga suaminya dan ia bertanggungjawab terhadap pimpinannya.”
Untuk membina sebuah keluarga bahagia, ibu bapa seharusnya mempamerkan contoh dan teladan terbaik diikuti anak. Keluarga yang ingin anak berakhlak mulia, maka mereka perlu mempraktikkan akhlak mulia.
Kelakuan keluarga yang buruk akan menjadikan anak berkelakuan buruk. Akhlak baik yang dilihat anak akan membentuk peribadi mereka secara tidak langsung. Mereka juga secara tidak langsung meneladani tunjuk ajar, budi bicara dan perbuatan mulia ibu bapa.
Dengan sebab itu, bapa dan ibu diharapkan dapat menjadi model yang baik akan dituruti oleh anak. Segala tingkah laku, akhlak, tindak tanduk, adab dan budi bahasa sedikit sebanyak mempengaruhi kehidupan seharian mereka.
Fenomena hari ini menyaksikan banyak gejala sosial yang merosakkan kehidupan anak dan remaja akibat kegagalan kepemimpinan keluarga mempamerkan contoh teladan yang baik dalam keluarga.
Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Muliakanlah anak kamu dan tunjukanlah kepada mereka adab yang baik.” (Hadis riwayat Ibnu Majah)
Imam Al-Ghazali berkata: “Anak adalah amanah atas ibu bapa, jika dia terbiasa dengan benda yang baik, dia akan membesar dalam kebaikan dan biasa dengannya. Dan jika dibesarkan dalam suasana yang tidak baik dan maka menderitalah dia dan binasa.”
Untuk merealisasikan hasrat melahirkan generasi yang salih dan bertakwa dalam sesebuah institusi keluarga, bapa sebagai pemimpin hendaklah mengambil berat terhadap perkara berikut:
# Berperanan memberi dan menyediakan pendidikan agama yang sempurna kepada seluruh ahli keluarga;
Tanggungjawab itu dinyatakan Allah dalam firman bermaksud: “Wahai orang beriman, peliharalah diri kamu dan keluarga kamu daripada api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu; penjaganya malaikat yang kasar, keras, dan tidak menderhakai Allah terhadap apa yang diperintahkan-Nya kepada mereka dan selalu mengerjakan apa yang diperintahkan.” (Surah At-Tahrim, ayat 6)
Berdasarkan ayat itu Allah memerintahkan orang yang beriman supaya menjaga diri dan keluarganya daripada api neraka Allah. Hanya dengan roh yang lahir daripada keluarga beriman saja dapat menyelamatkan daripada jatuh ke dalam api neraka.
# Ibu bapa hendaklah memastikan sumber rezeki yang diberikan kepada isteri dan ahli keluarga daripada sumber rezeki halal lagi suci.
Firman Allah bermaksud: “Wahai sekalian manusia, makanlah yang halal lagi baik dari apa yang terdapat di bumi, dan janganlah kamu mengikuti langkah syaitan; kerana sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang nyata bagimu.” (Surah Al-Baqarah, ayat 168)
Setiap makanan diberi kepada anak hendaklah daripada sumber halal serta menjauhi sumber syubhah, apatah lagi sumber haram seperti rasuah, riba dan penipuan. Rezeki yang halal bukan saja membawa keberkatan, tetapi dapat melahirkan zuriat pintar dan sihat yang akhirnya mendorong seseorang melakukan kebaikan di dunia dan mendapat rahmat di akhirat.
# Memperuntukkan masa yang berharga dan berkualiti bagi membentuk keluarga cemerlang. Ibu bapa hendaklah menjadikan rumah sebagai ’syurga’ iaitu tempat penuh dengan ketenangan, kenikmatan serta kebahagiaan.
Ia dapat dicapai dengan mengerjakan sembahyang berjemaah sekeluarga dan menerapkan amalan membaca al-Quran atau bertadarus bersama, membaca buku agama di rumah beramai-ramai, meluangkan masa beriadah dan berkelah dengan anak serta keluarga.
Tindakan itu secara tidak langsung dapat menambahkan hubungan kasih sayang dan mengeratkan hubungan kekeluargaan.
Bapa sebagai ketua keluarga perlulah berazam menjadi pemimpin yang melaksanakan perintah Allah dan amanah sebenar. Sesungguhnya kejayaan di dunia dan akhirat sesebuah keluarga hanya dapat dicapai dengan melaksanakan perintah Allah dan menjauhi segala larangan-Nya.
Janganlah kita sebagai bapa atau ketua keluarga menjadi punca kepada masalah dalam keluarga atau melahirkan anak yang terbabit dengan masalah sosial dalam masyarakat dan seterusnya boleh menjadi masalah kepada negara.
- Khutbah Jakim online
sumber~ http://www.bharian.com.my/
Posted by: ahmadzaki on: 8 Julai 2009
Oleh Ezry Fahmy Eddy Yusof
Orang suka berdebat isu agama paling dibenci Rasulullah kerana merosak hubungan insan
PENDEBAT semuanya mempunyai matlamat tersendiri tetapi apabila mereka terjun dalam gelanggang perdebatan, matlamat mereka hanya satu iaitu ingin menang. Perasaan itu pasti dirasai semua yang pernah bergelar pendebat.
Contohnya, dalam pertandingan debat, sama ada pendebat daripada pihak pencadang atau pembangkang, semua ingin mematahkan hujah pihak lawan supaya dapat diumumkan sebagai pemenang walaupun ada kalanya tajuk dihujahkan bertentangan dengan prinsip mereka.
Pendebat harus berfikiran kritis dan kreatif untuk mengeluarkan hujah demi mempertahankan topik didebatkan. Ia mengasah ketajaman minda serta cara penyampaian dari semua segi. Tidak semua mampu dan berani terjun dalam perdebatan sama ada dalam pertandingan atau realiti.
Apa juga topik yang didebatkan termasuk dalam bab berkaitan ajaran Islam, kita pasti akan berdepan mereka yang berdebat bukan untuk mencari kebenaran, tetapi mencari kemenangan. Dalam keadaan seperti inilah wujud banyak golongan yang sanggup memperdebatkan ayat Allah walaupun kurang pengetahuan mengenainya, akhirnya menyebabkan kecelaruan.
Firman Allah yang bermaksud: “Tidak ada yang memperdebatkan ayat Allah, kecuali orang yang kafir. Oleh itu janganlah biarkan mereka pulang balik dengan bebas dari suatu kota ke kota yang lain memperdayakan kamu.” (Surah Ghafir, ayat 4)
Firman Allah lagi yang bermaksud: “Sesungguhnya orang yang memperdebatkan ayat Allah tanpa alasan yang sampai kepada mereka tidak ada dalam dada mereka melainkan hanyalah (keinginan akan) kebesaran yang mereka sekali-kali tiada akan mencapainya, maka mintalah perlindungan kepada Allah. Sesungguhnya Dia Maha Mendengar lagi Maha Melihat.” (Surah Ghafir, ayat 56)
Maka janganlah kita berdiri atas nama kebenaran mencabar sesama Muslim untuk berdebat kerana ia tidak lain hanya merugikan kita dan merosakkan hubungan sesama saudara.
Kesalahan yang nyata ialah apabila memilih perdebatan sebagai jalan utama, kerja dakwah dijadikan pilihan alternatif.
Persoalannya, apakah menyampaikan risalah Islam dengan cara berdebat kita mampu mengajak pihak lawan akur dan serta merta menggembleng tenaga untuk bekerjasama dalam usaha dakwah kita?
Mereka yang suka berdebat bukan bertujuan menyampaikan kebenaran tetapi untuk membantah hujah pihak lawan seperti firman Allah yang bermaksud: “Mereka tidak memberikan perumpamaan itu kepadamu melainkan dengan maksud membantah saja, sebenarnya mereka adalah kaum yang suka bertengkar.” (Az-Zukhruf, ayat 58)
Ajaran Islam menyeru umat-Nya berhikmah dalam berdakwah boleh tercalar dengan kelantangan hujah pihak yang tidak mahu bertolak ansur. Maka perlunya kita merenung kembali, walaupun kita mungkin berada pada pihak yang benar, atau mungkin memenangi perdebatan dengan hujah mantap, mengapakah kebenaran dibawa masih sukar diterima?
Al-Imam Ahmad menyatakan, “Pokok ajaran As-Sunnah menurut kami adalah: Berpegang teguh di atas metod sahabat Rasul SAW, mengikuti mereka dan meninggalkan bidaah. Dan setiap bidaah adalah sesat. Dan meninggalkan pertengkaran serta duduk bersama pengekor hawa nafsu, juga meninggalkan dialog dan berdebat serta bertengkar dalam agama ini.”
Apa yang dibincangkan di sini ialah masalah sikap dan mentaliti segelintir pendakwah. Tidak dinafikan, boleh berdebat dalam Islam seperti yang pernah dilakukan nabi dan ulama salaf tetapi kebenaran bergantung kepada keadaan, tujuan dan maksud perdebatan itu.
Debat tidak selamanya tercela, bahkan kadangkala sesuatu kebenaran itu terkuak melalui pintu perdebatan. Debat dengan cara baik adalah seiring firman Allah yang bermaksud: “Serulah (manusia) kepada jalan Tuhan-mu dengan hikmah dan pelajaran yang baik dan debatlah mereka dengan cara yang baik.” (Surah An-Nahl, ayat 125)
Oleh itu, jika tidak ada garis panduan, justeru perkara yang diperdebatkan akan berakhir dengan pertengkaran dan perselisihan faham antara satu sama lain. Berapa ramai kini yang ghairah untuk berdebat atas nama kebenaran sedangkan mereka hanya ingin bongkak dengan kemenangan.
Maknanya, mereka terpaling daripada niat asal dalam menyampaikan kebenaran dan jika itu kesannya maka ia bukanlah cara yang dituntut Islam dalam menyampaikan kebenaran.
Pernyataan Abu Bakr boleh dijadikan panduan sebelum mengetuk pintu perdebatan iaitu, “Jika orang yang menanyakan permasalahannya kepadamu adalah orang yang mengharapkan bimbingan kepada kebenaran dan bukan perdebatan, maka bimbinglah dia dengan cara yang terbaik dengan penjelasan. Bimbinglah dia dengan ilmu daripada Al-Kitab dan As-Sunnah, perkataan sahabat dan ucapan imam kaum Muslimin. Dan jika dia ingin berdebat denganmu, maka inilah yang dibenci oleh ulama, dan berhati-hatilah engkau terhadap agamamu.
Dan beliau ditanya lagi: “Apakah kita biarkan mereka berbicara dengan kebatilan dan kita mendiamkan mereka? Maka katakan kepadanya: Diamnya engkau daripada mereka dan engkau meninggalkan mereka dalam apa yang mereka bicarakan itu lebih besar pengaruhnya atas mereka daripada engkau berdebat dengannya. Itulah yang diucapkan ulama terdahulu dari ulama salafus salih kaum Muslimin.” (Lammud Durr, Jamal Al-Haritsi halaman 160-162)
Rasulullah SAW tidak menyampaikan risalahnya dengan cara berdebat semata-mata. Malah, Baginda membencinya, seperti diriwayatkan daripada Aisyah bahawasanya Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Orang yang paling dibenci Allah adalah yang suka berdebat.” (Hadis Muttafaq ‘alaihi)
Perdebatan hanyalah jalan terakhir yang seharusnya kita pilih apabila betul tujuan dan maksudnya. Kenali keutamaan, kemudian barulah mencari alternatif. Maka di sinilah pentingnya kita umat Islam untuk sentiasa membetulkan niat dalam cara dakwah.
sumber~ http://www.bharian.com.my/
Posted by: ahmadzaki on: 7 Julai 2009
KEHIDUPAN dunia bukanlah kehidupan hakiki dan ia diibaratkan perhentian seorang musafir buat seketika untuk sampai ke tempat tujuannya. Justeru, setiap saat kematian sentiasa menghampiri kita untuk menuju ke alam akhirat.
Sesungguhnya kematian tidak mengenal usia dan tidak mengenal kedudukan. Ia boleh berlaku bila-bila masa dan di mana juga. Oleh itu, kita perlu sentiasa bermuhasabah dan seterusnya mempersiapkan diri dengan bekalan sebelum menghadapi kematian untuk menuju kehidupan hakiki.
Persiapan awal penting bagi setiap Muslim kerana peluang kehidupan di dunia dikurniakan Allah bagi setiap insan hanyalah sekali saja dan tiada lagi peluang kedua. Allah banyak merakamkan kisah penyesalan orang kafir musyrik di alam barzakh dan alam akhirat dalam al-Quran.
Namun, penyesalan mereka itu tiada gunanya kerana mereka sudah diberikan peringatan demi peringatan oleh nabi dan rasul, namun mereka mengingkarinya.
Firman Allah bermaksud: “Dan perihal hari orang yang zalim menggigit kedua tangannya sambil berkata: Alangkah baiknya kalau aku mengambil jalan bersama-sama Rasul? Wahai celakanya aku, alangkah baiknya kalau aku tidak mengambil si anu itu menjadi sahabat karib. Sesungguhnya dia sudah menyesatkan aku dari jalan peringatan setelah ia disampaikan kepadaku. Dan adalah syaitan itu sentiasa mengecewakan manusia (yang menjadikan dia sahabat karibnya). Dan berkatalah Rasul: Wahai Tuhanku sesungguhnya kaumku menjadikan al-Quran ini satu perlembagaan yang ditinggalkan, tidak dipakai.” (Surah al-Furqan, ayat 27-30)
Perlu diinsafi bahawa antara ciri-ciri Muslim bijaksana ialah Muslim yang sentiasa melakukan muhasabah diri dan membuat persiapan bagi menghadapi kematian.
Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Orang yang paling bijaksana dikalangan kamu ialah orang yang bermuhasabah dirinya dan menyediakan bekalan amal salih sebelum menghadapi kematian. Orang yang tidak bijaksana ialah orang yang terpedaya dengan pujukan hawa nafsunya dan sentiasa berangan-angan kosong terhadap Allah (mengharapkan ganjaran Allah tanpa berusaha).” (Hadis riwayat At-Tirmizi dan Ibnu Majah)
Tiga amalan utama yang perlu dilakukan oleh setiap Muslim semasa hidupnya di dunia, sebagai bekalan menuju ke alam akhirat. Amalan pertama ialah sedekah jariah atau membelanjakan harta pada jalan Allah.
Perlu difahami bahawa menafkahkan harta pada jalan Allah bukan terhad kepada membelanjakan harta di jalan jihad fisabilillah, malah ia turut mencakupi amalan berzakat, bersedekah, menderma, mewakaf, perbelanjaan kepada ahli keluarga dan kaum kerabat, serta sumbangan kebajikan untuk maslahah umum.
Amalan kedua ialah menimba ilmu sama ada ilmu duniawi mahupun uhkrawi kerana Islam adalah agama yang mengimbangi antara keperluan dunia dan akhirat. Islam menggalakkan umatnya menuntut ilmu sebanyak mungkin dan Allah mengangkat darjat orang berilmu berbanding dengan orang tidak berilmu.
Hanya dengan ilmu sahajalah seseorang Muslim dapat memantapkan iman dan mempertingkatkan amal salih serta mengikhlaskan niatnya hanya kepada Allah. Baginda Rasulullah SAW pernah menyatakan kelebihan ilmu melalui hadis diriwayatkan at-Tirmizi yang bermaksud: “Sesiapa yang berusaha menuntut ilmu, maka Allah permudahkan baginya jalan menuju syurga. Malaikat melebarkan sayapnya sebagai tanda keredaan ke atas penuntut ilmu dan seluruh isi alam langit dan bumi serta ikan di lautan mengucapkan istighfar (memohon keampunan daripada Allah) terhadap orang yang menuntut ilmu. Sesungguhnya kelebihan orang berilmu itu mengatasi orang yang abid (ahli ibadat) adalah seumpama sinaran bulan purnama ke atas gugusan bintang di langit.”
Amalan ketiga yang pahalanya berterusan sehingga ke alam akhirat ialah doa kebaikan seorang anak yang salih selepas ibu atau bapanya meninggal dunia. Alangkah beruntungnya ibu bapa, yang mampu mendidik anaknya sehingga menjadi anak yang salih dan taat kepada Allah.
Pada masa sama, anak juga diasuh supaya menjadi generasi harapan yang akan menyumbang bakti berguna kepada agama, bangsa dan negara tercinta. Inilah antara ciri anak salih yang memiliki kekuatan rohani dan kehebatan jasmani yang doanya amat bernilai kepada kedua orang tua.
Demikianlah beberapa amalan salih yang perlu diamalkan sebagai persiapan menuju kehidupan hakiki. Sedarilah bahawa kehidupan dunia ini hanyalah sementara dan kehidupan hakiki adalah di akhirat.
Justeru, sebelum terlambat bersegeralah kita melakukan sebanyak-banyak kebaikan dan pada masa sama menjauhkan daripada segala kemungkaran serta bersungguh-sungguh mendidik anak supaya menjadi insan benar-benar beriman dan bertakwa. (Khutbah Jakim online)
sumber~ http://www.bharian.com.my/
Posted by: ahmadzaki on: 6 Julai 2009
Oleh Mohamad Sofee Razak
Sejarah Nabi Muhammad mesti dihayati bagi memandu ummah ke jalan diredai
MEMPELAJARI dan mempraktikkan sirah atau perjalanan hidup Rasulullah SAW adalah suatu kemestian kepada semua umat Islam terutama pendakwah dan pejuang Islam. Reformis dan pelopor gerakan Islam teragung, Hasan al-Banna dalam bukunya Risalah At-Taalim menegaskan akan keperluan mempelajari sirah perjalanan hidup Rasulullah SAW sebagai landasan hidup dan panduan bagi setiap individu Muslim yang mampu dilakukan sesuai dengan ruang waktu yang ada.
Menurut Ibnu Mandzur dalam kitab ‘Lisanul Arab’ menyatakan, As-Sirah menurut bahasa bermakna kebiasaan, jalan, cara dan tingkah laku. Menurut istilah umum pula, bermaksud perincian hidup seseorang atau sejarah hidup seseorang.
Pun begitu, ulama sepakat apa yang dimaksudkan dengan as-Sirah an-Nabawiyah bererti rakaman sejarah hidup Rasulullah SAW yang komprehensif dan kini sudah menjadi satu nama atau istilah daripada disiplin ilmu yang tersendiri.
Dr Said Ramadhan al-Buti menegaskan dalam buku sirahnya bahawa objektif memahami sirah ialah supaya memperoleh gambaran sebenar mengenai hakikat agama Islam secara sempurna yang tercermin dalam kehidupan Rasulullah SAW sesudah ia difahami secara konseptual sebagai prinsip, kaedah dan hukum.
Antara buku sirah terkenal dan berpengaruh seperti kitab Sirah Ibnu Hisham, Fiqh Sirah oleh Syeikh Muhammad al-Ghazali, Sejarah Nabi oleh Abul Hassan Ali al-Nadwi dan banyak lagi.
Kajian dan penulisan ilmiah lain yang ditulis dalam bahasa Inggeris berkenaan sirah menurut perspektif Barat cukup banyak sekali seperti The Living Thoughts of the Prophet Muhammad oleh Maulana Muhammad Ali (1992); Muhammad the Prophet oleh Sirdar Ikbal Ali Shah (1992); Muhammad: Messenger of Allah oleh Syaikh Abdal Qadir AS-Sufi Al-Murabit (1992); Muhammad The Best of Humanity oleh F M Nadeem Bari; The Life of Muhammad oleh Muhammad Husein Haykal (1993); The Life of the Prophet oleh Abu Muhammad Abdal Malik Hisham (1990); Who Was Mohammed oleh Safdar Hosain (1979); Muhammad His Life Based On The Earliest Source oleh Martin Lings (Abu Bakar Sirajuddin) dan Muhammad: His Life and Mission.
Sehubungan itu, sirah juga adalah mekanisme terbaik untuk mengenali Rasulullah SAW yang sangat efektif kerana sirah Rasulullah adalah terjemahan hidup al-Quran lengkap dan agung serta terpelihara daripada penyimpangan serta penyelewengan.
Ulama sepanjang sejarah mempertahankan keaslian sirah dengan mempertahankan urutan sanad secara ketat. Oleh itu, tidak ada satu pun biografi kehidupan seseorang di dunia ini selengkap biografi Rasulullah SAW.
Sheikh Mustafa Mashyur dalam bukunya Berdakwah Kepada Allah berkata, mempelajari dan mendalami sirah Rasulullah SAW dan sejarah Islam adalah untuk dijadikan bekalan hidup serta segala segala apa yang ingin dilakukan.
Di dalamnya ada pelbagai bentuk penyelesaian masalah, krisis dan situasi genting yang mampu membantu menyelesaikan masalah dihadapi.
Bagi Dr Mustafa as-Syibaie pula, sirah ada pelbagai keistimewaan yang menjadikan pengajiannya satu kepuasan roh, akal dan nilai sejarah. Pengajian sirah juga menjadi kemestian kepada golongan ulama sebagai persediaan memandu kehidupan di samping merealisasikan proses transformasi pemikiran dalam masyarakat.
Tambahan pula keistimewaan sirah Rasulullah SAW yang sahih dan tiada sebarang keraguan ini, tidak ada dalam mana-mana sirah rasul Allah terdahulu. Perjalanan hidup Rasulullah SAW sangat telus, tidak ada rahsia dan fakta disembunyikan.
Dari sejak masuk kamar mandi, cara tidur, cara masuk dan keluar rumah, cara bergaul dengan kalangan isteri, hingga keperibadian sebagai seorang ayah, teman, jeneral perang, ahli ekonomi dan jurutera sosial, pemimpin negara boleh dipraktikkan dalam kehidupan seharian bersandarkan kepada model ditunjukkan sepanjang hayat Baginda.
Nabi Muhammad SAW adalah simbol manusia agung yang menerima segala pengiktirafan, penghormatan dan sanjungan terhadap apa dilakukan Baginda kepada tamadun manusia.
Hakikat ini bertepatan dengan firman Allah yang bermaksud: “Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam.” � (Surah al-Anbiya, ayat 107)
Firman Allah lagi yang bermaksud: “Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta dia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang).” � (Surah al-Ahzab, ayat 21)
Biarpun begitu, tanpa memahami kepentingan mempelajari sirah akan melahirkan generasi muda yang lebih mengenali sejarah dan latar belakang serta menggilai artis daripada menghayati sirah Rasulullah, keluarga dan sahabat Baginda.
Keadaan itu tidak sepatutnya berlaku dan memerlukan anjakan paradigma untuk meletakkan Rasulullah SAW sebagai manusia teragung dalam hidup setiap saat dan ketika. Berpandukan aspirasi sirah Rasulullah, umat Islam hendaklah menjadikan Baginda sebagai idola dan ikon.
Firman Allah yang bermaksud: “Dan bahawa sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) mempunyai akhlak yang amat mulia.” – (Surah al-Qalam, ayat 4)
sumber~ http://www.bharian.com.my/
Posted by: ahmadzaki on: 5 Julai 2009
Oleh Yussamir Yusof
Ganjaran besar diberikan kepada Muslim yang menyeru kebaikan, cegah kemungkaran
FUTUR ataupun terhenti menjalankan aktiviti dakwah, menyeru kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran, sudah sering kali kita dengar serta lihat dengan mata dan telinga kita sendiri. Begitulah keadaan pendakwah masa kini, ia bukan fantasi tetapi realiti yang sedang dan akan terus terjadi.
Memang benar, keinginan, semangat dan kekuatan diakui kadang-kala turun dan meningkat. Begitu juga dengan iman, seperti dikatakan Imam Bukhari dalam riwayat: “Iman adalah perkataan dan perbuatan, boleh bertambah dan boleh berkurang.”
Imam Ahmad pernah ditanya makna bertambah dan berkurangnya iman. Kemudian beliau menjawab dengan menukilkan ucapan dengan sanadnya sampai kepada ‘Umair bin Hubaib. Katanya: “Iman bertambah dan berkurang.”
Maka dia ditanya: “Bagaimana bertambah dan berkurangnya? Dia menjawab: Jika kita ingat Allah, memuji-Nya, bertasbih kepada-Nya, maka demikianlah bertambahnya. Dan jika kita lalai, melupakan-Nya, mensia-siakan-Nya maka itulah berkurangnya.”
Memang benar iman boleh bertambah dan berkurang, tetapi untuk berhenti terus daripada melakukan dakwah adalah perkara mendukacitakan. Sesungguhnya manusia diciptakan untuk menjadi khalifah di bumi dan sebagai khalifah salah satu tugasnya ialah menyampaikan risalah tauhid, menyeru kepada kebaikan dan mencegah perkara mungkar.
Firman Allah bermaksud: “Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang makruf dan mencegah daripada yang mungkar; merekalah orang yang beruntung.” (Surah al-Imran, ayat 104)
Kita akui bahawa aktiviti dakwah bukanlah sesuatu yang mudah. Pelbagai rintangan dan cabaran akan mendatang bagi memadamkan aktiviti dakwah daripada terus bersinar. Perkara ini pernah diutarakan Al-Imam Yusuf al-Qardhawi dalam artikel beliau bertajuk kewajipan generasi muda Islam hari ini.
Al-Qardhawi berkata: “Tanggungjawab ini semakin bertambah berat atas ahli dakwah, engkau akan mendapati rintangan itu sehingga dalam rumahmu sendiri, mungkin engkau mendapati ayahmu, saudaramu, sahabatmu atau manusia yang lebih dekat darimu yang akan menghalangmu dan mengatakan kepadamu: Mengapa engkau berbuat demikian? Mahukah engkau dipenjara? Mahukah engkau ditangkap? Mahukah engkau diseksa? Mahukah engkau begini dan begitu?”
Namun, adakah kekangan ini yang menjadikan kita berduka cita? Tidakkah kita pernah terhibur dengan ganjaran besar yang pernah Allah tawarkan kepada mereka yang menyeru kebajikan dan mencegah kemungkaran?
Malah, Allah menggelar penyeru kebaikan dan pencegah kemungkaran ini sebagai sebaik-baik manusia. Firman Allah bermaksud: “Kamu adalah umat terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang makruf dan mencegah dari yang mungkar, dan beriman kepada Allah. Jika Ahli Kitab beriman, tentulah itu lebih baik bagi mereka, di antara mereka ada yang beriman dan kebanyakan mereka adalah orang fasik.”
Seharusnya kita berulang-ulang memperingatkan diri bahawa jangan sesekali mengkhianati tugas sebagai khalifah di muka bumi ini. Pada masa sama, jangan sekali lagi membiarkan diri untuk tidak dipercayai oleh malaikat, seperti yang mereka pernah suarakan kepada Allah pada permulaan penciptaan manusia sebagai khalifah di muka bumi.
Firman Allah bermaksud: “Ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada Malaikat: Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di muka bumi. Mereka berkata: Mengapa Engkau hendak menjadikan (khalifah) di bumi itu orang yang akan membuat kerosakan padanya dan menumpahkan darah, padahal kami sentiasa bertasbih dengan memuji Engkau dan menyucikan Engkau? Tuhan berfirman: Sesungguhnya Aku mengetahui apa yang tidak kamu ketahui.” (Surah al-Baqarah, ayat 30)
Teruskanlah berpesan kepada kebaikan dan penuh dengan kesabaran. Jangan menjadi Muslim yang pentingkan diri, berasa nikmat iman dan Islam bersendiri. Islam melarang menjadi Muslim yang pentingkan diri sendiri.
Islam menyuruh umatnya menyebarkan dua nikmat iaitu iman dan Islam kepada seluruh manusia. Rugilah sesiapa yang menikmati iman dan Islam bersendirian, kecuali jika mereka berkongsi bersama nikmat itu dengan menjalankan aktiviti dakwah.
Seperti firman Allah bermaksud: “Sesungguhnya manusia itu benar-benar dalam kerugian, kecuali orang yang beriman dan mengerjakan amal salih dan nasihat-menasihati supaya mentaati kebenaran dan nasihat menasihati dengan kesabaran.” (Surah al-Ashr, ayat 2-3)
Bagi pendakwah yang masih berdegil untuk berhenti daripada jalan dakwah, biarlah firman Allah ini mengejutkan mereka kembali. Allah berfirman bermaksud: “Telah dilaknati orang kafir dari Bani Israil dengan lisan Daud dan Isa putera Maryam. Yang demikian itu, disebabkan mereka derhaka dan selalu melampaui batas. Mereka satu sama lain selalu tidak melarang tindakan mungkar yang mereka perbuat. Sesungguhnya amat buruklah apa yang selalu mereka perbuat itu.”
Ayat ini mengingatkan kita bahawa Allah melaknat Bani Israil yang tidak melarang perbuatan mungkar berlaku di sekeliling mereka. Mengapa ia terjadi? Kerana di kalangan mereka tidak ada lagi menjalankan aktiviti dakwah, sudah berhenti dalam gerakan dakwah menyeru kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran.
Oleh itu, marilah kita kukuhkan jentera kekuatan dan kuatkan semangat. Agenda dakwah tidak harus terhenti, kerana agenda itu adalah tugas yang cukup mulia. Nabi dan Rasul sudah melaksanakan kewajipan dakwah mereka, kini tugas itu harus digalas dan diteruskan oleh kita semua.
Jangan biarkan lelah-lelah, kekangan-kekangan itu membuatkan kita terus jauh daripada jalan dakwah kerana pertolongan Allah dekat dengan kita. Kesusahan itu hanyalah secebis dugaan, dan beruntunglah mereka yang mendapat dugaan Allah.
Firman Allah bermaksud: “Apakah kamu mengira bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum datang kepadamu (cubaan) seperti mana halnya orang terdahulu sebelum kamu? Mereka ditimpa malapetaka dan kesengsaraan, serta digoncangkan (dengan bermacam cubaan) sehingga berkatalah Rasul dan orang beriman bersamanya: Bilakah datangnya pertolongan Allah? Ingatlah, sesungguhnya pertolongan Allah itu amat dekat.”
sumber~ http://www.bharian.com.my/
Posted by: ahmadzaki on: 4 Julai 2009
Oleh: Abdurrahman Haqqi
Ummah tidak boleh bertindak mengikut emosi hingga sanggup melakukan keburukan
KEBENARAN yang selama ini ditutupi pihak tertentu di Barat, nampak terungkap pada 4 Jun lalu, dalam ucapan bersejarah seorang pemimpin kuasa dunia di Kaherah, Mesir.
Walaupun selalu dinafikan tidak ada permusuhan antara Amerika Syarikat (baca: Barat) tetapi dengan ucapan Presiden Barack Hussein Obama yang menyatakan: “America and Islam are not exclusive and need not be in competition. Instead, they overlap and share common principles of justice and progress, tolerance and the dignity of all human beings,” sebenarnya memang ada permusuhan antara Islam dan Barat.
Permusuhan Islam dan Barat adalah permainan berbahaya pihak penentang kebenaran Islam yang tidak mahu menerima kebenaran yang dibawa Islam. Kelompok ini selalu ada dalam perjalanan sejarah manusia. Pihak penyokong kebenaran (al-haqq) dan pihak penyokong kebatilan (al-batil).
Kalangan Nabi dan Rasul yang membawa ajaran Islam yang satu daripada Allah SWT selalu berdepan dengan musuh mereka yang tidak menyukai ajaran kebenaran. Padahal ajaran kebenaran hanyalah menyerukan maksudnya: “Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepada-Ku. Aku tidak sekali-kali menghendaki sebarang rezeki pemberian daripada mereka dan Aku tidak menghendaki supaya mereka memberi makan kepada-Ku. Sesungguhnya Allah, Dialah saja Yang Memberi rezeki (kepada sekalian makhluk-Nya, dan Dialah saja) Yang Mempunyai Kekuasaan yang tidak terhingga, lagi Yang Maha Kuat Kukuh kekuasaan-Nya.” (Surah al-Zariyat: 56-58)
Dua perkara dalam petikan al-Quran di atas jika kita samakan dalam kehidupan manusia adalah perkara tauhid dan ekonomi dengan pengertian keadilan sosial pengagihan hasil kekayaan dunia. Tauhid kita perhatikan dalam perkataan ‘mereka menyembah dan beribadat kepada-Ku’ manakala pengagihan kekayaan dunia dalam perkataan ‘mereka memberi makan kepada-Ku.’ Kerana dua perkara utama inilah terjadi pertembungan di antara manusia selama ini.
Islam tidak bermusuhan dengan kebenaran seperti yang dituding musuh-musuhnya selama ini seperti Islam tidak adil, Islam merendahkan darjat golongan perempuan dan Islam menyusahkan umatnya. Bahkan kepada saudaranya ahli Kitab, Islam menyerukan maksudnya: “Katakanlah: “Hai Ahli Kitab, marilah (berpegang) kepada suatu kalimat (ketetapan) yang tidak ada perselisihan antara kami dan kamu, bahawa tidak kita sembah kecuali Allah dan tidak kita mempersekutukan Dia dengan sesuatu pun dan tidak (pula) sebahagian kita menjadikan sebahagian yang lain sebagai Tuhan selain Allah. Jika mereka berpaling maka katakanlah kepada mereka: “Saksikanlah, bahawa kami adalah orang yang berserah diri (kepada Allah)”. (Surah Ali Imran: 64). Dalam ayat ini dua perkara utama dalam ayat sebelumnya juga nampak yakni tauhid dan ekonomi.
Ibn Qayyim dalam Risalah fi Amrad al-Qulub (Risalah Mengenai Penyakit Hati) menulis: “Seperti diketahui, bahawa semua yang hidup selain Allah SWT baik itu malaikat atau manusia atau jin atau binatang, mereka semua memerlukan sesuatu yang mendatangkan manfaat baginya dan menolak apa saja yang membahayakan dirinya. Hal ini tidak mungkin direalisasi kecuali dengan cara ia memiliki wawasan mengenai sesuatu yang bermanfaat baginya dan sesuatu yang membahayakan dirinya. Manfaat tiada lain adalah kenikmatan dan kelazatan, sedang bahaya adalah sakit dan seksa.
Seseorang mesti memiliki dua perkara: Mengetahui sesuatu yang dicintainya dan dicarinya yang dengannya ia mendapatkan manfaat dan dengan mendapatkannya ia merasa senang, mengetahui alat yang menghantarkannya kepada tujuannya.
Di samping dua perkara di atas, ada dua perkara lagi yang mesti dimiliki. Setiap orang mengetahui apa saja yang dibenci Allah Ta’ala, dimurkai-Nya, dan membahayakan; mengetahui alat untuk menolaknya. Jadi ada empat perkara yang mesti dimiliki oleh setiap orang: Pertama, sesuatu yang dicintainya dan dikehendaki ada. Kedua, sesuatu yang dibencinya dan keadaan tidak disukainya. Ketiga, alat untuk mendapatkan sesuatu yang dicintainya dan daripadanya. Keempat, alat untuk menolak sesuatu yang dibencinya.
Keempat-empat perkara di atas adalah persoalan yang mendesak bagi setiap orang, bahkan bagi semua manusia. Kewujudan dirinya dan kebaikannya tidak mungkin tegak kecuali dengan keempat-empat perkara di atas. Jika perkara ini diketahui dengan baik, sesungguhnya Allah SWT adalah yang wajib dijadikan sebagai tujuan akhir dan tempat mengarahkan doa. Keredaan Allah, dan dekat dengan-Nya mesti dicari. Allah SWT yang membantu tercapainya semua hal berkenaan.
Islam datang dengan kebenaran yang boleh membentuk peribadi manusia memiliki keempat-empat perkara disebutkan Ibn al-Qayyim. Kebenaran Islam adalah kebenaran semula jadi yang tidak dibuat-buat. Ia adalah fitratullah seperti difirmankan Allah maksudnya: “Maka hadapkanlah wajahmu dengan lurus kepada agama (Allah); (tetaplah atas) fitrah Allah yang telah menciptakan manusia menurut fitrah itu. Tidak ada perubahan pada fitrah Allah. (Itulah) agama yang lurus; tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui.” (Surah al-Rum: 30)
Kesempurnaan seorang hamba adalah dengan mengetahui kebenaran, mengikutinya, mengajarnya kepada orang lain dan membimbingnya kepadanya, oleh kerana itu antara doa Rasulullah SAW: “Dan jadikan kami sebagai juru petunjuk yang mendapatkan petunjuk.”
Ibn al-Qayyim dalam menyentuh isu kebenaran dan berkata menambahkan: “Takut kepada Allah SWT adalah sumber semua kebaikan di alam nyata dan alam ghaib, oleh kerana itu Rasulullah SAW memohon kepada Allah Ta’ala, rasa takut kepada-Nya di alam ghaib dan alam nyata. Sebahagian besar manusia boleh berkata dengan benar ketika dia senang. Jika dia sedang emosi, maka emosi menghantarkannya kepada kebatilan dan tidak tertutup kemungkinan kesenangan memasukkan dirinya ke dalam kebatilan. Oleh itu Rasulullah SAW memohon kepada Allah SWT agar Dia membimbingnya sehingga beliau boleh berkata benar ketika marah dan senang. Salah seorang salaf berkata: “Janganlah anda menjadi orang yang jika senang, maka kesenangan itu memasukkannya ke dalam kebatilan, dan jika dia marah maka kemarahannya mengeluarkannya daripada kebenaran.”
Obama misalnya, dalam ucapan 55 minit di institusi tinggi pengajian Islam itu menyeru untuk ’speak truth’ (bercakap benar) dalam hubungan Islam dan Barat. Sanggupkah dia dan Barat untuk ‘takut’ kepada Allah SWT seperti dinasihatkan Ibn al-Qayyim agar mereka sanggup berkata benar dan selalu benar agar kebenaran Islam adalah memang suatu kebenaran? Wallahu alam.
sumber~ http://www.bharian.com.my/
Posted by: ahmadzaki on: 3 Julai 2009
Oleh Mohamad Sofee Razak
SEKTOR kewangan Islam dilihat antara paling maju dan menarik di dunia, berdasarkan pelbagai insentif dirancang selain pelaksanaan lebih banyak dasar liberalisasi. Malaysia yang mempunyai 26 juta penduduk ialah antara pasaran kewangan dan perbankan Islam terbesar di dunia dengan mencatat aset perbankan Islam RM113.5 bilion, manakala aset takaful RM6.2 bilion di samping produk lain yang cukup kompetetif.
Sistem perbankan Islam Malaysia mencatat kadar pertumbuhan tinggi 30 peratus pada 2008, berbanding 20 peratus oleh sistem perbankan konvensional.
Pada peringkat global, dalam tempoh dua tahun lalu ia meningkat pada purata 26 peratus berbanding sistem perbankan konvensional yang berkembang 19 peratus, sekali gus menjadi petunjuk penting industri perbankan dan kewangan Islam global amat positif dan memberangsangkan.
Malaysia bakal menjadi negara pertama di dunia mempunyai institusi kewangan Islam mega yang dikuatkan dengan portfolio pelaburan, kepakaran sumber manusia dan sistem kawal selia sistem kewangan yang komprehensif biarpun ahli ekonomi Barat dan Islam mendakwa sistem kewangan Islam yang wujud ketika ini memerlukan sekurang-kurangnya 50 tahun lagi untuk setanding dan stabil seperti sistem kewangan konvensional.
Pengumuman pakej meliberalisasikan sektor kewangan baru-baru ini yang dilaksanakan sehingga 2012 amat tepat pada masanya dan memenuhi aspirasi inovasi serta evolusi kewangan Islam.
Pakej itu antara lain menawarkan dua lesen perbankan Islam baru kepada peserta kewangan asing kukuh dan bertaraf dunia tahun ini dengan modal berbayar sekurang-kurangnya RM3.6 bilion diharap mampu merancakkan lagi pembangunan struktur hab dan sistem kewangan Islam di negara ini.
Pasaran kewangan dan modal di negara maju terutama di Eropah dan Amerika Syarikat ketika ini tidak stabil dan sangat membimbangkan kesan kelembapan ekonomi global, memberi peluang kepada sistem kewangan Islam yang memiliki kelebihan tersendiri.
Dengan peluang yang ada, ia mampu menjadi sumber pertumbuhan bagi pasaran kewangan alternatif baru menggantikan sistem konvensional yang semakin lemah dan tidak produktif.
Ini kerana produk dalam mekanisme kewangan Islam seperti sukuk, takaful, ar rahnu dan pelbagai instrumen lain ternyata menjadi alternatif terbaik ketika berdepan krisis ekonomi semasa yang berlaku hampir di seluruh dunia.
Namun, dengan peluang dan potensi yang ada, ketika ini antara masalah dan cabaran utama dihadapi sektor kewangan Islam adalah sistem pencukaian yang tidak mempunyai spesifikasi bersesuaian dan dalam hal ini kerajaan perlu merangka serta memastikan struktur insentif cukai jelas dan bersesuaian dalam industri ini bagi memudahkan transformasi berlaku dan berkembang secara holistik.
Di samping itu, modal teroka Islam iaitu satu daripada subsektor kewangan Islam juga perlu ditingkatkan memandang ia masih baru dalam negara.
Modal teroka Islam boleh membawa keuntungan bukan hanya kepada pelabur, malah juga keseluruhan aspek dan disiplin pembangunan ekonomi serta aktiviti inovatif negara.
Industri ini juga mampu menawarkan peluang untuk pelabur mempelbagaikan portfolio mereka dan menetapkan strategi dana jangka panjang mereka.
Oleh itu, langkah liberalisasi yang akan dilaksanakan diharap berupaya menggalakkan lagi perubahan struktur dalam sistem kewangan serta mempelbagaikan sumber pertumbuhan bagi memacu ekonomi negara.
Dasar bijak ini juga memperkukuh potensi perniagaan dan meningkatkan prospek perkembangan institusi kewangan Islam melalui kepakaran antarabangsa dan rangkaian hubungan global pemilik asing di Malaysia.
Kemajuan pesat dalam sistem kewangan Islam di Malaysia juga membuka jalan ke arah integrasi dalam pasaran global. Dengan kepakaran, pengalaman dan sumber dimiliki entiti baru kewangan Islam ini boleh memanfaatkan pasaran kewangan Islam global dan mengukuhkan lagi kedudukan Malaysia sebagai pusat kewangan Islam antarabangsa.
Di samping itu, dapat mempertingkat kedalaman dan keluasan pasaran kewangan Islam; membangunkan modal insan dan keperluan infrastruktur operasi bagi pengembangan serantau dan antarabangsa.
Sistem kewangan Islam kini muncul sebagai komponen berdaya maju dan teguh serta melengkapi sistem konvensional.
Diharapkan pakej dan pelan rangsangan liberalisasi institusi kewangan Islam menjadi sebahagian inisiatif terbaik kerajaan untuk menangani kegawatan ekonomi negara dan global yang sedang melanda di samping membantu usaha kerajaan menjadikan negara ini sebagai hab kewangan Islam mega bertaraf global.
Menjadi peneraju utama aliran kewangan Islam dengan bertindak sebagai medium mempromosikan prinsip dan model kewangan Islam kepada negara lain di seluruh dunia bagi menggantikan amalan kewangan tradisional yang berteraskan riba.
sumber~ http://www.bharian.com.my
Posted by: ahmadzaki on: 3 Julai 2009
Oleh Prof Madya Dr Ahmad Redzuwan Mohd Yunus
KECEMERLANGAN adalah matlamat diimpikan bukan saja oleh individu tertentu, malah juga oleh sesuatu organisasi berwawasan. Kecemerlangan adalah natijah daripada beberapa siri kejayaan dalam semua aspek diharapkan.
Tiada kecemerlangan bersama dengan kelemahan, kegagalan atau mundur ke belakang. Kecemerlangan membawa implikasi maju ke hadapan, bersifat dinamik, gemilang, menerima sanjungan, dan menjadi idola individu atau masyarakat.
Manusia mempunyai potensi berfikir, merangka strategi, melaksana dan mencapai tahap kejayaan cemerlang dalam sesuatu gerak kerja dilaksanakan. Bagaimanapun, kecemerlangan bukan suatu perkara mudah dicapai.
Kecemerlangan memerlukan pengorbanan, dedikasi, kesungguhan, kesabaran, iltizam, kepemimpinan dan pelbagai lagi sikap dan sahsiah positif. Islam mengatur dan memberi kerangka asas seseorang itu mencapai kecemerlangan mengikut landasannya tersendiri. Budaya kerja yang bagaimanakah dianggap cemerlang mengikut perspektif Islam?
Sesuatu yang cemerlang pada anggapan seseorang, boleh jadi tidak dianggap cemerlang mengikut perspektif Islam. Apabila disebut saja perkataan ‘budaya kerja cemerlang’, akan tergambar kepada kita bermacam pendekatan, strategi, dan teknik digunakan untuk mencapainya.
Dalam sesuatu organisasi kita akan mendengar ‘MBO’ (management by objective atau pengurusan bermatlamat) yang membabitkan visi, misi, objektif, pelan bertindak, tema, piagam dan sebagainya. Budaya kerja akan dirancang berdasarkan visi, misi dan objektifnya.
Sebagai contoh, sebuah organisasi menetapkan misinya untuk mendidik pelajar supaya menjadi guru budiman, cekap, kreatif pengajarannya serta dapat menjadi pemangkin kepada kemajuan pendidikan di sekolah menetapkan budaya kerjanya yang tersendiri.
Cara kerja atau budaya kerja yang hendak dibina adalah berdasarkan dorongan ke arah pencapaian hasil yang bermutu dan perkhidmatan cemerlang, sentiasa menghasilkan idea baru, berdisiplin, ilmiah dan profesional, kerja berpasukan dan wujudnya rangkaian kerja.
Seorang yang bekerja dengan cemerlang tidak akan bekerja sambil lewa. Kerja dan tugas sehariannya tidak akan dianggap sebagai bebanan atau sebagai satu rutin yang membosankan. Kerja yang perlu dilaksanakan akan dilakukannya dengan bersungguh-sungguh, tidak sekadar ‘melepaskan batuk di tangga’.
Prestasi kerjanya akan sentiasa tinggi. Jika menemui kesulitan ketika melaksanakan tugas, perkara perlu dilakukan adalah berusaha mencari jalan mengatasi atau menyelesaikan masalah itu dan tidak mudah berpatah hati dan mengaku kalah sebelum menyelesaikannya.
Untuk mencapai tahap kecemerlangan, seorang pekerja itu mesti ada disiplin. Mereka yang mempunyai disiplin diri boleh bekerja dengan baik dalam semua keadaan. Antara disiplin perlu ada pada seseorang untuk mencapai budaya kerja yang cemerlang adalah seperti berikut:
l Bersikap inisiatif. Pekerja yang mempunyai sikap inisiatif adalah mereka yang melakukan usaha atau sesuatu sebelum dipaksa oleh keadaan atau diarah melakukannya. Sesuatu kerja itu perlu dilakukan dengan tekun dan teliti untuk mengelakkan berlakunya kesilapan.
Kesilapan dalam melakukan pekerjaan memanglah boleh dimaafkan, tetapi jika dilakukan berulang kali akan menimbulkan masalah kepada diri sendiri dan orang lain. Setiap pekerja mempunyai kebolehan tersendiri dalam bidang yang mereka ceburi. Oleh itu, mereka yang beretika dalam kerjanya akan sentiasa giat berusaha mengembangkan syarikat di mana mereka bekerja.
l Niat. Orang yang tidak mempunyai niat yang betul ketika bekerja tidak akan bekerja dengan baik. Orang itu tidak akan mempunyai komitmen terhadap kerja dilakukan. Ramai orang bekerja, tetapi tidak faham atau mengerti kenapa mereka bekerja selain daripada ingin menyara hidup.
l Bertanggungjawab terhadap masyarakat, iaitu etika kerja turut menekankan tanggungjawab terhadap masyarakat. Tidak wajar mementingkan keuntungan semata-mata tanpa memikirkan akibat perbuatan itu kepada masyarakat dan alam sekitar.
Tanggungjawab terhadap masyarakat amat penting kerana banyak projek dewasa ini hampir melupakan faktor memberi kesan kepada masyarakat. Peranan ahli teknokrat amat penting dalam menekankan etika tanggungjawab mereka kepada masyarakat.
l Amanah dalam kerja, iaitu sifat amanah adalah teras keharmonian dan kejayaan sesebuah institusi masyarakat atau pekerjaan. Bayangkan jika seseorang pekerja atau pegawai tidak mempunyai sifat amanah, segala urusan tidak akan berjalan sempurna dan membawa kepada kehancuran institusi atau syarikat itu.
l Komited terhadap kerjaya. Kunci kejayaan seseorang individu ialah komited terhadap kerjaya diceburinya. Komited dimaksudkan di sini ialah menumpukan perhatian dan bersungguh-sungguh terhadap apa dilakukan. Sifat komited ini dapat menyumbang ke arah terhasilnya mutu kerja atau khidmat cemerlang.
l Akhlak, adalah teras pembentukan etika kerja profesional. Akhlak mulia yang dimiliki seseorang pekerja mahu pun ketua menjadi lambang ketinggian peribadi dan kualiti individu terbabit.
l Jujur dalam pekerjaan. Sifat jujur atau benar dapat membentuk hubungan sihat di antara sesama pekerja, pekerja dan majikan dan sesama pelanggan. Sifat jujur dan benar dapat membendung segala perasaan syak wasangka dan tipu daya atau dusta.
l Bersyukur, atas kejayaan dan keuntungan diperoleh hasil sesuatu pekerjaan. Harus diingat bahawa keuntungan diperoleh adalah nikmat kurniaan Allah.
l Pengurusan masa. Dalam menjalani pekerjaan, amat perlu dititikberatkan soal pengurusan masa kerana antara faktor kejayaan dalam pekerjaan adalah pengurusan masa berkesan. Pengurusan masa yang cekap dapat membantu meringankan beban tugas di samping memudahkan segala urusan kerja.
l Menilai diri (Muhasabah), iaitu menilai diri, menghitung kebaikan dan keburukan dilakukan sepanjang kehidupan dilalui. Muhasabah ini tidak akan mendatangkan sebarang manfaat kepada bangsa dan negara melainkan seorang itu menyedari bahawa dia ada peranan dan kewajipan sebagai anggota masyarakat.
Inilah beberapa perkara perlu ada pada seseorang pekerja untuk membentuk kecemerlangan kerjaya seseorang dalam acuan perspektif Islam.
sumber~ http://www.bharian.com.my
Posted by: ahmadzaki on: 2 Julai 2009
Oleh Mohd Adid Ab Rahman
MANUSIA menerima pemberian Allah dalam pelbagai bentuk. Anugerah ini sama ada kecil atau besar, sedar atau tidak, adalah nikmat yang harus disyukuri dengan hati ikhlas dan rasa keinsafan.
Hakikat ini harus diyakini dengan sebenar-benarnya oleh setiap Muslim seperti dijelaskan Allah bermaksud: “Tidakkah kamu memerhatikan bahawa Allah memudahkan untuk kegunaan kamu apa yang ada di langit dan yang ada di bumi, dan melimpahkan kepada kamu nikmat-Nya yang zahir dan yang batin?”[QS Luqman: 20]
Kalau kita renungi dengan mata hati dasar keimanan sejati, ternyata nikmat itu Allah terlalu banyak sekali, sehingga manusia tidak mungkin berupaya menghitungnya.
Allah mengulangi berpuluh kali pertanyaan yang sama kepada manusia dari awal surah sampai akhir surah: “Maka nikmat Tuhanmu yang manakah yang kamu ingkar?” Sebagai peringatan lantaran manusia memang sifatnya pelupa, bongkak dan tidak tahu mengenang budi akibat terpengaruh dengan ajakan nafsu dan syaitan Allah menjelaskan: “…dalam pada itu, ada di antara manusia orang membantah mengenai (sifat) Allah dengan tidak berdasarkan sebarang pengetahuan atau sebarang petunjuk, dan tidak juga berdasarkan mana-mana Kitab Allah Yang menerangi kebenaran.” [QS Luqman: 20]
Memang Allah menganugerahkan nikmat-Nya kepada seluruh manusia, tanpa mengira apakah manusia itu ingkar dan kafir atau taat dan beriman kepada-Nya. Kita sebagai seorang Muslim hendaklah sentiasa bersyukur atas setiap kurniaan Allah dengan rasa rendah diri.
Dalam kitab Manhajul Qasidin karangan Imam Ahmad bin Qudamah Al-Maqdisi membahagikan nikmat Allah itu kepada dua bahagian iaitu:
l Nikmat menjadi matlamat dituntut dan dicari iaitu kebahagiaan akhirat:
l Kekal yang tiada kebinasaan;
l Kegembiraan yang tiada lagi dukacita;
l Ilmu yang tidak disertai lagi dengan kejahilan;
l Kekayaan yang tiada lagi kefakiran selepasnya;
l Nikmat yang diingini dan dicari untuk sampai kepada matlamatnya;
l Kelebihan jiwa seperti iman dan akhlak yang baik;
l Kelebihan tubuh badan seperti kekuatan, kesihatan dan seumpamanya;
l Nikmat berkat dengan tubuh badan seperti harta, kedudukan dan kaum keluarga;
l Sebab yang membawa kepada kelebihan seperti hidayah, bimbingan, pimpinan dan dokongan yang benar.
Sesungguhnya orang yang tidak ingin bersyukur adalah disebabkan faktor kelalaian dan kejahilan. Tidak mengetahui makna sebenar mensyukuri nikmat ialah menggunakan nikmat itu untuk tujuan asal penciptaannya (taat kepada Allah atau mengabdikan diri kepada-Nya).
Orang enggan bersyukur juga dianggap sebagai orang yang sombong, lupa diri dan kufur terhadap Allah SWT. Mereka ini dijanjikan Allah dengan seksaan api neraka di akhirat nanti.
Orang yang lalai daripada bersyukur seolah-olah tidak ingin memperakui semua nikmat dan kesenangan yang dikecapinya sekarang ini (pangkat, harta kekayaan, keamanan negara, tanah yang subur sesuai untuk bercucuk tanam dan sebagainya) datangnya daripada Allah.
Mereka beranggapan semua ini adalah hasil daripada kepandaian, kepakaran, usahanya siang malam dan penat jerih mereka sendiri. Misalnya ada seorang hamba yang dianugerahkan harta kekayaan yang banyak atau dengan lain perkataan hidup mewah, ia kedekut untuk mengeluarkan sedikit daripada harta kekayaannya untuk orang yang lemah dan sangat memerlukan bantuan.
Beginilah gambaran sikap buruk orang yang jahil dan dengan kejahilannya itu ia enggan bersyukur kepada Allah.
Bersyukur kepada Allah bukanlah hanya semata-mata melafazkan ucapan ‘alhamdulillah’ kemudian itu selesai seperti difahami segelintir manusia. Bersyukur kepada-Nya boleh dilakukan dengan pelbagai cara mengikut kemampuan dan kesanggupan seseorang.
Orang yang ingkar dengan nikmat Allah, tidak mahu bersyukur, Allah umpamakan sebagai binatang ternakan bahkan lebih sesat lagi dan di akhirat nanti akan menjadi penghuni neraka jahanam.
sumber~ http://www.bharian.com.my