Jangan Guna Tangkal, Azimat

Tangkal, azimat, mantera adalah suatu kebodohan dan kesesatan bertentangan hukum syarak

MEMAKAI tangkal untuk menyembuhkan penyakit atau melindungi diri daripada musibah membahayakan adalah sejenis penyakit. Terasa asing juga apabila menulis mengenai tajuk ini kerana pada dunia tanpa sempadan ini, hal begini sudah jarang berlaku malah menjadi pelik apabila dibaca golongan muda kerana mustahil tangkal yang tergantung di leher, pergelangan tangan, pintu rumah dan sebagainya mampu mengatasi kuasa Allah.

Umat Islam perlu mengetahui bahawa untuk menjauhkan diri daripada penyakit, mara bahaya, mengelak terkena penyakit kronik, menambahkan kasih sayang antara suami isteri dan sebagainya ada cara yang dihalalkan.

Pelbagai mantera yang dibaca untuk berubat serta menjaga diri adalah suatu kebodohan dan kesesatan yang bertentangan dengan ketetapan Allah malah boleh menghilangkan tauhid.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Barang siapa menggantungkan tangkal, maka Allah tidak akan menyempurnakan (imannya) dan barang siapa menggantungkan azimat, maka Allah tidak akan mempercayakan kepadanya.” – (Hadis riwayat Ahmad, Abu Ya’la dan Hakim)

Uqbah bin ‘Amir pula meriwayatkan bahawa ada sepuluh orang berkenderaan datang ke tempat Rasulullah SAW. Sembilan daripadanya bersumpah setia sementara seorang lagi ditahan. Kemudian mereka yang sembilan itu bertanya: “Mengapa dia ditahan? Rasulullah SAW menjawab: “Kerana di lengannya ada tangkal. Kemudian lelaki itu memotong tangkalnya, maka sumpah setianya diterima Rasulullah SAW dan bersabda yang bermaksud: “Barang siapa menggantungkan (tangkal), maka sungguh dia sudah menyekutukan Allah.” – (Hadis riwayat Ahmad dan Hakim)

Tangkal asalnya adalah daripada orang jahiliah yang menggunakan sihir untuk sesuatu maksud. Setelah kedatangan Islam dan wahyu Allah, sudah tentulah amalan sebegini dihapuskan kerana harapan dan munajat orang Islam hanyalah kepada Allah, berdoa serta mengharapkan rahmat-Nya tanpa ada sesuatu lain dijadikan alat.

Hari ini ada dua jenis tangkal yang berbeza, iaitu tangkal dibacakan ayat al-Quran, nama Allah atau doa dan jenis kedua, alat diperbuat daripada logam iaitu keris, paku, jarum, duit syiling, cincin, tembaga, timah, kulit binatang, misai atau kuku harimau, sisik tenggiling, benang, tasbih, kayu dan sebagainya.

Abdullah bin Mas’ud pernah mendapati isterinya memakai kalung yang ada padanya tangkal (benang dililit di lehernya). Beliau melucutkan tangkal itu dan memotongnya sambil berkata: “Seluruh keluarga Abdullah tidak boleh melakukan amalan syirik kepada Allah dengan sesuatu yang tidak pernah diturunkan oleh Allah keterangannya.”

Kemudian beliau menyatakan yang beliau pernah mendengar Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya jampi, tangkal dan tiwalah itu syirik. Sahabat bertanya: “Ya Rasulullah, jampi dan tangkal sudah kami tahu, apakah yang dinamakan ‘tiwalah’ itu? Baginda menjawab: Tiwalah itu ialah pekerjaan yang dilakukan kaum wanita supaya dengannya suami menyayangi isteri mereka.” – (Hadis riwayat Ibnu Hibban dan Hakim)

Menurut ulama, tangkal yang ditulis ayat al-Quran, nama Allah, sifat-Nya dan doa tidak kira di mana digunakan, sama ada digantung di leher, diikat di pergelangan tangan, di pinggang, diletak di bawah bantal, di bawah alas tempat tidur, digantung di dinding, atau di atas rangka pintu tidak harus digunakan berdasarkan kepada hadis umum yang bermaksud: “Sesungguhnya jampi dan tangkal juga tiwalah itu syirik.” – (Hadis riwayat Imam Ahmad dan Abu Daud)

Juga berdasarkan kepada hadis daripada Aqabah bin Amir yang bermaksud: “Barang siapa menggantung tangkal maka sesungguhnya dia sudah syirik.” – (Hadis riwayat Ahmad, Abu Daud, Ibn Majah, Ibn Habban dan al-Hakim)

Ia juga adalah untuk mengelakkan berlakunya penghinaan terhadap ayat suci, iaitu jika ia dibawa ke tempat kotor seperti tandas, dipakai ketika istinjak, ketika dalam keadaan junub dan sebagainya. Pendapat itu disokong oleh Abdullah bin Mas’ud, Ahmad Hambal dan juga kebanyakan sahabat, dan disokong ulama terkemudian daripadanya seperti Ibn Abbas, Uqbah bin Amir dan Ibn Akim.

Pendapat lain pula mengharuskan penggunaan tangkal diperbuat daripada ayat al-Quran, nama Allah dan sifat-Nya. Ini adalah pendapat Abdullah bin Umr bin al-As dan sesetengah ulama salaf.

Walau bagaimanapun, menurut fatwa Jawatankuasa Fatwa Kerajaan Arab Saudi yang dibukukan, Al-Fatawa Az-Zahabiyah (1996;252), pendapat melarang penggunaan tangkal adalah lebih kuat hujahnya, lebih mantap untuk memelihara akidah, tauhid dan pegangan hidup orang Islam.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Berubatlah kamu, kerana sesungguhnya Zat yang membuat penyakit, Dia pula yang membuat ubatnya.” – (Hadis riwayat Ahmad)

Bukanlah manusia tidak perlu berbuat apa-apa untuk mengelak daripada kecelakaan, tetapi ia harus dilakukan dengan ikhtiar yang tidak menyekutukan Allah. Untuk melariskan perniagaan, bukanlah dengan pelaris yang dijampi serapah dan dipacakkan di tengah gerai.

Bukan juga tangkal yang digantung di leher anak sehingga berserah sepenuhnya kepada benang yang tidak setebal mana pun, sehingga akhirnya lupa untuk merendah diri memohon pertolongan-Nya, sedangkan Dialah yang mempunyai ubatnya.

Oleh Nik Salida Suhaila Nik Salleh

Penulis ialah penuntut Ijazah Doktor Falsafah Undang-Undang, Universiti Keele, United Kingdom dan Pensyarah Kanan, Fakulti Syariah dan Undang-Undang, Universiti Sains Islam Malaysia (Usim)

About these ads

3 thoughts on “Jangan Guna Tangkal, Azimat

  1. Pengajian Kitab Sairus Salikin oleh al-Fadhil Ustaz Ahmad Fahmi Zamzam al-Banjari al-Maliki al-Nadwi

    Tarikh: 24 Dhulqaedah 1429/ 22 November 2008 (Ahad)

    Lokasi: Masjid al-Falah USJ 9, Subang Jaya (akan dimaklumkan sekiranya terdapat perubahan)

    Masa: 9.00 pagi – 12.30 tengahari

    http://pondokhabib.wordpress.com

Tinggalkan Jawapan

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Tukar )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Tukar )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Tukar )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Tukar )

Connecting to %s