Ilmu Hitam (Sihir – Susuk)

SUSUK KRIM DARI SERBUK TULANG MANUSIA

Keghairahan sebilangan lelaki berumur kembali muda mendorong mereka berbelanja ribuan ringgit setiap bulan semata-mata untuk memiliki ‘susuk krim kepala kerbau’.

Difahamkan, susuk itu lebih mudah digunakan berbanding susuk lain kerana tidak memerlukan sebarang jarum, berlian mahupun emas ditanam pada tubuh sedangkan fungsinya sama.

Susuk itu seperti pencerah kulit biasa yang mudah didapati di gedung kecantikan.

Cara penggunaannya sama, hanya bezanya dengan syarat dan jampi digunakan ketika memakainya.

Bagaimanapun, susuk terbabit hanya diperoleh di Thailand dengan harga RM2,500 hingga RM5,000 sebekas.

Ia khusus untuk lelaki yang dihasilkan daripada campuran tulang manusia dengan kulit pokok ‘munggal’ sebelum dijampi dengan mantera.

Wartawan Harian Metro menemubual seorang bekas pemakai susuk itu yang mahu dikenali sebagai Azlan, 40-an.

Menurutnya, dia mula memakai susuk itu selepas diperkenalkan rakan setahun lalu dan membelinya dengan harga RM3,500 sebekas.

“Cara pemakaiannya mudah dan tidak memerlukan sebarang jarum atau benda lain. Ia sama dengan krim pencerah kulit biasa.

“Kita hanya perlu membaca jampi serapah yang diajarkan dalam bahasa Siam ketika menyapunya di muka selain disyaratkan melakukannya di hadapan cermin.

“Semua orang pasti terkejut dengan ketampanan dan difahamkan susuk berkenaan menyerap masuk ke dalam tubuh tanpa memberi sebarang kesan sampingan,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini, semalam.

Mengenai pantang larang, dia berkata, pemakai disyaratkan tidak memakan keladi, tebu hitam, sate, tumbuhan menjalar seperti kacang panjang dan timun.

“Sesiapa yang melanggar pantang akan mengalami masalah kulit serius hingga menjejaskan rupa paras. Malah, saya juga seorang daripada pemakai susuk itu yang menerima nasib sama selepas melanggar pantang.

“Kulit muka saya menggelupas selain dipenuhi ruam besar menyebabkan saya menderita hampir tiga bulan.

“Keadaan menjadi semakin teruk apabila mula merebak ke seluruh tubuh menyebabkan badan menjadi pedih dan bernanah. Ketika itu, saya hanya mampu mengerang kesakitan,” katanya.

Azlan berkata, dia bernasib baik selepas diperkenalkan kepada seorang pengamal perubatan tradisional yang mengubatinya dengan izin Allah.

Pengamal perubatan tradisional, Fadzil Othman, 46, ketika dihubungi, berkata kaedah membuang susuk jenis itu lebih sukar berbanding pemakaian susuk berupa jarum, berlian atau emas kerana ia menyerap masuk ke seluruh tubuh.

“Ini permainan syaitan kerana penghasilannya daripada tulang manusia selain beberapa mantera yang tidak diketahui maksudnya. Saya nasihatkan orang ramai mengelak daripada menggunakan susuk seperti itu,” katanya.

Sementara itu, pendakwah, Ustaz Hassan Mahmud al-Hafiz, berkata memakai susuk haram di sisi agama.

“Mana tidaknya, mereka mempercayai benda yang karut. Soal kecantikan dan ketampanan seseorang sebenarnya terletak pada hati dan bukannya raut wajah.

“Jika hati kita bersih dan baik, maka kecantikan semula jadi itu akan terserlah daripada dalam,” katanya.

Menurut Hassan, orang dulu hanya menggunakan bedak sejuk sebagai rahsia kecantikan dan perkahwinan mereka mampu kekal hingga hujung hayat.

“Jadi kenapa kita perlu menggunakan pelbagai benda karut sebagai alat untuk menjadi cantik. Mereka semua mesti segera bertaubat dan kembali ke pangkal jalan,” katanya.


GRO GUNA SUSUK

Susuk pada kemaluan

KUALA LUMPUR: Untuk memudahkan kerja ‘mengikis’ wang lelaki, ada pelayan pelanggan (GRO) tergamak memakai susuk pada kemaluan mereka bagi memastikan pelanggan sentiasa tunduk dan ingat pada mereka selepas kali pertama melakukan hubungan seks.

Amalan khurafat dan bertentangan dengan Islam ini didedahkan seorang bomoh susuk yang mahu dikenali sebagai Chick, yang mendakwa pernah memasukkan susuk pada ramai wanita, termasuk GRO, artis, suri rumah, wanita simpanan dan pondan.

Beliau yang mewarisi kepandaian memakai susuk daripada arwah neneknya yang terkenal di kalangan artis sejak zaman kegemilangan filem Melayu di Singapura, bukanlah bomoh susuk komersial tetapi namanya meniti dari bibir ke bibir, menjadikan Chick menjadi buruan penggila susuk.

Bomoh berusia 50-an tetapi masih kelihatan muda dan berseri itu yang mengakui turut memakai susuk memberitahu, susuk pada kemaluan boleh membuatkan pemakainya hebat beraksi di ranjang dan menjadikan pasangannya tidak boleh melupakan nikmat bersama.

“Susuk itu dipakai sama seperti cara pemakaian pada bahagian lain tubuh iaitu mencucuk batang jarum emas sepanjang sebutir pada alat kelamin wanita.

“Susuk itu boleh dipakaikan satu, dua atau empat jarum bergantung kepada permintaan dan ia tidak menyakitkan pemakai kerana sudah dijampi,” katanya.

Chick yang tidak menjelaskan kadar bayaran yang dikenakan bagi pemasangan susuk pada kemaluan memberitahu, untuk pemasangan susuk di bahagian tubuh biasa seperti muka, dia hanya meminta bayaran bagi barangan yang digunakan sebanyak RM25 bagi susuk kepingan emas, susuk batang emas (RM50) dan susuk berlian (RM150).

“Jika mahu memberi lebih (bayaran), terpulang kepada pemakainya (susuk),” katanya.

Beliau berkata, mengikut ilmu yang diwarisinya, pantang pemakai susuk kemaluan adalah sama seperti susuk lain iaitu tidak boleh makan buah atau bahagian daripada pokok munggal, labu, kundur selama-lamanya, manakala bagi betik atau pisang emas hanya selama tiga bulan.

Katanya, jika terlanggar pantang, ilmu susuk itu tidak berkesan lagi manakala susuk yang baru dipasang akan keluar daripada permukaan kulit.

Ditanya kepercayaan sesetengah masyarakat bahawa pemakai susuk susah menghembuskan nafas ketika nazak, Chick berkata, setakat yang diketahui, pemakai susuknya tiada masalah kerana biasanya susuk itu tidak lagi berkesan dan mati (hilang seri) selepas tempoh beberapa tahun jika tidak dijaga.

“Menurut petua arwah nenek saya, jika ada orang susah hendak mati, cukup sekadar memusingkan senduk nasi, sebaik-baiknya senduk kayu, atas muka orang sakit sambil berselawat ke atas Nabi Muhammad SAW dan disudahi dengan ketukan lembut pada dahinya,” katanya.

Beliau juga berpendapat, adegan filem mengenai orang susah hendak mati hingga terpaksa dibongkar bumbung, lantai atau dinding rumah kerana memakai susuk atau muka menjadi buruk akibat melanggar pantang, adalah gimik berlebihan dalam filem, kerana menurut amalannya kesannya bukan seteruk itu.

Ditanya amalan pemakaian susuk yang bertentangan dengan Islam, Chick berkata, beliau mengakui perbuatan itu haram tetapi semuanya bergantung kepada kehendak pemakainya sendiri mengikut jalan yang dipilih itu.

Goda hingga terlanjur

KUALA LUMPUR: Untuk kecantikan dan lebih penting, pelanggan akan sentiasa ingat sehingga sanggup berhabis wang.

Demikian reaksi beberapa GRO yang mengaku sanggup memakai susuk di bahagian sulit, termasuk kemaluan.

Seorang GRO dikenali sebagai Mimi, 30, berkata dia percaya susuk yang dipakainya membuatkan ramai lelaki ‘tewas’ di tangannya.

“Mana-mana lelaki yang saya suka dan nampak banyak wang, saya akan goda sehingga terlanjur di bilik tidur.

“Dalam tempoh sehari dua sehingga seminggu, lelaki yang saya tiduri pasti datang semula,” katanya ketika ditemui wartawan Metro Ahad, baru-baru ini.

Mimi diperkenalkan kepada wartawan Metro Ahad oleh rakannya yang mengetahui rahsianya.

Menurut Mimi, bukan sukar untuk mencari penyedia khidmat pemakaian susuk di negara ini, cuma sama ada berkesan atau tidak bergantung kepada ‘pakar’ yang ditemui.

“Saya sendiri pada mulanya hanya memakai susuk di muka, tetapi kesannya tidak sehebat memakai susuk di kemaluan.

“Pakai susuk di muka ada juga kesannya, tetapi sekadar pelanggan suka melanggan untuk layan berkaraoke. Pakai susuk di kemaluan, kesannya memang hebat kerana boleh dikatakan semua pelanggan yang pernah menjalin hubungan seks dengan saya sanggup berbuat apa saja untuk sentiasa bersama dengan saya,” katanya.

Mimi berkata, dia juga mampu hidup mewah gara-gara lelaki yang terkena ilmu hitamnya sanggup menabur wang kepadanya.

“Memang seronok pakai susuk, tetapi kenalah jaga pantang larangnya. Jika tidak, susuk dipakai tidak berkesan dan boleh memakan diri,” katanya yang memakai susuk emas dan berlian.

Seorang lagi GRO dikenali sebagai Hani, 27, pula berkata dia pada mulanya tidak percaya dengan keberkesanan susuk yang dikatakan mampu memberi kesenangan kepada pemakainya.

Bagaimanapun, katanya, apabila melihat seorang rakan yang mengaku memakai susuk mampu ‘memiliki’ ramai pelanggan setia dan hidup mewah, dia mencubanya.

“Sekali mencuba memakai susuk, saya terus buat di muka dan kemaluan. Saya hanya memilih susuk berlian kerana dikatakan lebih berkesan.

“Bayarannya tidaklah semahal mana, tetapi kesannya memang menakjubkan. Pelanggan yang berjaya saya goda sehingga ke bilik tidur memang tergila-gilakan saya dan mencari saya semula,” katanya.

Hani berkata, tidak kira bujang atau sudah berkahwin, dia akan mempergunakan sepenuhnya ‘mangsanya’ sehingga berasa bosan.

“Ramai yang ajak berkahwin tetapi saya tidak mahu. Saya masih seronok hidup begini,” katanya.

Bagaikan lembu dicucuk hidung

KUALA LUMPUR: “Saya bagaikan lembu dicucuk hidung. Apa saja kemahuannya, saya turuti. Jika dia bersama rakannya, saya diperbodohkan. Kepala saya ditolak, kaki saya disepak, tetapi saya sedikitpun tidak marah.”

Begitulah pengakuan seorang ‘mangsa’ ilmu hitam GRO yang sehingga kini masih bersama temannya.

Mahu dikenali sebagai Izwan, 28, lelaki ini mengakui, sejak mengenali seorang GRO ketika berkunjung ke sebuah kelab malam dua bulan lalu, tidak kira siang atau malam, fikirannya hanya tertumpu kepada GRO itu.

“Kehidupan saya jauh berubah. Saya memang jenis suka bersosial, tetapi kini saya seperti ‘orang bodoh’. Kerja terganggu dan wang pula sentiasa habis gara-gara diberi kepada GRO itu,” katanya.

Menurut Izwan, sebelum mengenali GRO itu dia mengakui gemar melanggan pelacur dan sesekali ke kelab malam melanggan GRO, tetapi tidak sampai ke tahap melakukan hubungan seks.

“Ketika melanggan pelacur, tidak pula saya berasa apa-apa. Saya langsung tidak ingat kepada pelacur yang dilanggan.

“Bagaimanapun, selepas melanggan seorang GRO dua bulan lalu sehingga sampai ke bilik tidur, pulang saja ke rumah saya menjadi seperti orang ‘angau’.

“Saya asyik teringatkan wajahnya dan mahu bertemunya. Kesudahannya setiap hari saya bertemunya dan menagih seks daripadanya,” katanya.

Izwan berkata, pada mulanya GRO itu melayannya dengan baik, menyebabkan dia tidak mengesyaki apa-apa.

Bagaimanapun, katanya, selepas tiga minggu bersama, GRO itu mula menunjukkan ‘belangnya’.

“Saya menjemputnya pergi dan balik kerja. Jika dia hendak ke mana sekalipun, saya menghantarnya sehingga kadangkala terpaksa ponteng kerja dan ‘curi tulang’.

“Dulu jangan harap saya nak buat begitu kepada ‘beberapa’ teman wanita saya walaupun dipujuk rayu. Bagaimanapun, kini apa saja arahan GRO itu saya patuh,” katanya.

Menurut Izwan, apabila keluar berhibur bersama rakan, GRO itu kerap memperlakukan pelbagai perkara yang menjatuhkan maruahnya sebagai lelaki.

“Jika kami keluar bersama rakan, saya diperbodohkan. Apabila tidak puas hati dengan saya, kepala saya ditolak dan saya juga ditendangnya.

“Bagaimanapun, saya sedikitpun tidak marah. Keadaan saya itu menimbulkan perasaan sangsi di kalangan rakan sehingga kebanyakan daripada mereka menyuruh saya berubat kerana bimbang terkena ilmu hitam,” katanya.

Izwan berkata, dia enggan mempercayai apa yang diperkatakan rakannya, sebaliknya menuduh rakannya iri hati dengan hubungannya bersama GRO itu.

“Satu hari seorang rakan memberitahu mahu mengajak saya keluar ‘melepak’, tetapi rupa-rupanya saya dibawa menemui seorang pengamal perubatan tradisional.

“Mahu tidak mahu saya biarkan diri saya diperiksa. Pengamal perubatan tradisional itu memberitahu, memang saya terkena ilmu hitam kerana GRO yang menjadi teman saya memakai susuk di beberapa bahagian tubuhnya, termasuk kemaluan,” katanya.

Menurut Izwan, dia enggan percaya apa yang didakwa pengamal perubatan tradisional itu, tetapi pada masa sama mengakui sedar dirinya dipergunakan GRO itu.

“Entahlah… ketika bertemu kamu (wartawan Metro Ahad), saya boleh bercerita mengenai masalah saya. Bagaimanapun, saya tetap mengingati GRO itu dan mahu sentiasa bersamanya. Apabila bersama, apa yang dilakukannya walaupun keterlaluan, saya boleh menerimanya,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi mangsa berstatus suami orang berdepan pengalaman lebih tragis apabila sanggup membiarkan isteri dan seorang anaknya yang masih kecil terkontang-kanting meneruskan hidup.

Mahu dikenali sebagai Imran, 35, dia menempuh tempoh setahun yang menyeksakan selepas melanggan seorang GRO di sebuah kelab di Utara ketika bertugas di luar kawasan.

“Niat saya hanya mahu ‘suka-suka’ dan berhibur, tetapi terlanjur sehingga ke bilik tidur.

“Apabila pulang ke Kuala Lumpur, fikiran saya asyik teringat kepadanya, sehingga satu ketika sanggup memandu ke Utara seorang diri semata-mata untuk bertemunya.

“Beberapa hari saya tidak pulang ke rumah dan ponteng kerja. Pulang ke rumah, isteri dan anak tidak saya pedulikan,” katanya.

Menurut Imran, rumah tangganya berantakan kerana hampir semua masanya dihabiskan bersama GRO itu.

“Selama setahun saya mengabaikan isteri, anak dan berhabis wang saya ditinggalkan GRO itu. Seperti orang gila, saya merayu supaya meneruskan hubungannya dengan saya dan saya sanggup mengahwininya pada bila-bila masa, tetapi tidak diendahkan,” katanya.

Menurut Imran, dalam keadaan sedemikian, isteri dan keluarganya tetap membantu dengan membawanya berubat.

“Saya dikatakan terkena ilmu hitam. GRO itu dikatakan memakai susuk berlian di kemaluannya, menyebabkan kali pertama mengadakan hubungan seks dengannya, saya asyik mengingatinya.

“Gara-gara susuk itu juga saya menjadi seperti ‘orang bodoh’ dan mengikuti apa saja kemahuannya. Kini, saya masih dalam proses berubat,” katanya.

Seks dalam teksi

KUALA LUMPUR: Seorang merelakan dan seorang lagi diibaratkan seperti orang mengantuk disorongkan bantal.

Itu fenomena antara segelintir pemandu teksi dengan pelayan pelanggan (GRO) yang menjadikan teksi sebagai tempat melampiaskan nafsu.

Tugas pemandu terbabit bukan saja menghantar penumpang untuk mendapatkan wang, sebaliknya ada yang mengambil kesempatan menagih seks.

Di pihak GRO pula, khidmat seks yang diberi adalah bayaran atau upah kepada pemandu teksi yang berperanan seperti pemandu peribadi apabila mengambil dan menghantar mereka dari rumah ke pusat hiburan tempat mereka bekerja pada setiap malam atau awal pagi.

Seorang pemandu teksi yang hanya mahu dikenali sebagai Rahim ketika mendedahkan perkara itu kepada Metro Ahad berkata, hubungan ‘istimewa’nya dengan seorang GRO bermula ketika menghantar wanita itu pulang ke rumahnya sekitar Ampang selepas bekerja di kelab malam.

“Saya memberi nombor telefon bimbit kepadanya supaya mudah menghubungi saya jika dia perlukan khidmat teksi. Tidak sangka dia sanggup menawarkan seks jika saya menghantarnya ulang-alik ke tempat kerja tanpa bayaran,” katanya.

Bukan itu saja, Rahim mengakui turut mempunyai kenalan wanita GRO lain daripada rakan teksi yang lain.

Katanya, jika rakannya tidak bekerja, dia atau rakan lain boleh menghantar GRO berkenaan ke tempat kerja sebagaimana dilakukan kepada GRO yang dikenalinya.

“Namun bukan mudah mendapatkan tawaran seks kerana mereka hanya berbuat begitu dengan pemandu teksi tetap mereka,” katanya.

Selain GRO, Rahim mendedahkan, dia pernah melakukan hubungan seks dengan penumpang yang bukan bekerja dalam bidang terbabit.

Daripada ceritanya, penumpang yang menawarkan hubungan seks dengannya mengalami masalah rumah tangga dan ketagih mengunjungi kelab malam.

“Apabila kerap menghantar penumpang itu, dia akhirnya membuka kisah hidupnya. Kemudian dia ajak saya ‘tidur’ bersamanya,” katanya.

Seorang pemandu teksi lain yang hanya mahu dikenali sebagai Abidin, 46, berkata kebanyakan pemandu teksi yang terbabit dalam kegiatan tidak bermoral itu kerap menunggu pelanggan di depan pusat hiburan pada tengah malam atau awal pagi.

“Malah, ia seperti penyakit berjangkit apabila ada pemandu teksi lain mula terpengaruh dan cuba berjinak-jinak dengan aktiviti itu,” katanya yang kesal dengan gejala itu kerana ia merosakkan imej pemandu teksi secara keseluruhan, sedangkan hanya segelintir yang melakukannya.

Abidin berkata, seorang rakannya yang 20 tahun membawa teksi tanpa segan silu bercerita pengalaman menjijikkan dengan seorang GRO, termasuk melakukan hubungan seks di dalam teksi.

“Dia sering mengajak saya ‘membela’ GRO sebagai cara mudah untuk puaskan nafsu semata-mata, tapi saya tidak sanggup melakukannya,” katanya yang menjadi pemandu teksi sejak 12 tahun lalu.

Menurut Abidin, kebanyakan GRO yang menjalin hubungan dengan pemandu adalah wanita warga Indonesia dan Filipina.

Antara sebabnya, golongan berkenaan tiada kemudahan pengangkutan sendiri dan tidak tahu selok-belok jalan di ibu kota.

Abidin mendakwa, pemandu teksi berkenaan bukan saja menghantar pasangan GRO mereka pergi atau pulang dari kerja, tetapi turut menghantar mereka ke hotel untuk menemui ‘pelanggan’.

Sementara itu, seorang GRO yang ditemui di sebuah kelab malam juga tidak menafikan ramai rakannya menagih khidmat pemandu teksi untuk memudahkan kerja mereka dengan menawarkan seks.

GRO berusia pertengahan 20-an itu berkata, ia tidak merugikan apabila berbuat demikian kerana tambang yang mahal pada waktu malam boleh menjejaskan pendapatan mereka.

“Apabila hendak ke hotel bersama pelanggan, saya hanya perlu hubungi mereka (pemandu teksi). Itupun sudah kira membantu mereka mendapatkan pelanggan dan pendapatan,” katanya.

Kerja tambah dosa

KUALA LUMPUR: Dosa dalam dosa!. Itulah yang boleh dikatakan kepada golongan pelayan pelanggan (GRO) yang menggunakan susuk pada kemaluan mereka bagi memastikan pelanggan sentiasa tunduk dan ingat selepas kali pertama melakukan hubungan seks.

Mengulas mengenai perbuatan itu, penceramah terkenal, Ustaz Mohd Zawawi Yusoh, berkata GRO ini bukan saja berdosa kerana melakukan amalan khurafat itu, malah mencari rezeki dengan cara haram berikutan sangup menjual tubuh.

“Mereka menambah dosa dan tidak memikirkannya kerana sudah berdampingan dengan syaitan yang sentiasa akan menyesatkan setiap manusia.

“Banyak cara mencari pendapatan secara halal, namun golongan terbabit sanggup melakukan perbuatan sesat semata-mata kerana nafsu dan mahukan kekayaan,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Menurutnya, golongan yang memakai susuk ini sebenarnya berdampingan dengan syaitan dan meminta bantuan daripada makhluk yang dilaknat Allah itu.

“Mereka ini sebenarnya memusnahkan diri sendiri dan masa depan tanpa memikirkan kesan dan bala yang akan diturunkan Tuhan.

“Ingatlah, suatu hari nanti kita tetap akan menjadi tua dan jatuh sakit…tiada makhluk bernyawa yang akan hidup kekal selama-lamanya,” katanya yang meminta golongan itu bertaubat sebelum terlambat.

Katanya, bomoh yang memasukkan susuk juga merosakkan imej pengamal perubatan tradisional lain yang menggunakan jalan yang betul dan meminta bantuan daripada Allah untuk melakukan rawatan.

Sumber: http://www.hmetro.com.my

About these ads

10 thoughts on “Ilmu Hitam (Sihir – Susuk)

  1. hi.. saya dan teman lelaki saya telah setahun menjalin hubungan. 2 minggu yg lepas, ada seorang wanita thailand muncul dalam hidup teman lelaki saya dan saat itu, bf lupa terhadap saya dan selalu menhabiskan masa bersama wanita yang lebih tua darinya. kalau dilihat, wanita tersebut seperti ibunya dan tersangat gemuk. Adakah cara untuk membantu teman lelaki saya memandangkan dia bukan Islam tapi ramai yang berkata dia telah terkena ilmu hitam dari wanita Thailand tersebut. Please help me…

  2. mengamalkan ilmu hitam cnfirm2 haram,so yg nk gtal2 pg amalkan wat pe.orang yg x brsyukur nagn pemberian allah je akn wat bnde2 cam ni.

    • Ya, tetap haram… sesungguhnya niat tidak menghalalkan cara.. carilah cara lain yang halal, diredhai & diberkati Allah SWT sebagai contoh amalan membaca Surah Yusuf, Selawat dan doa-doa yang berkaitan… jangan lupa solat tepat pada waktunya…

      • mengapa ada org bnyk mengatakan bahawa jika ianya utk kebaikan itu tidak mengapa..??
        sama seperti saka..mengapa ramai org tue2 bnyk mmbela saka..dah mengatakan ianya utk kebaikan tidak mengapa..

      • Segala niat, perbuatan dan amalan kita perlulah rujuk kembali kepada Al-Quran & Sunnah Rasulullah SAW, sepertimana susuk, saka, polong, toyol, pelesit, dan sebagainya, semua yang tersebut adalah mempunyai kaitan dengan syaitan, syaitan tidak pernah putus asa menyesatkan manusia, Jika kita lihat kembali sirah Rasulullah SAW, adakah baginda, para sahabat pernah membela saka untuk kebaikan?, sekali lagi niat tidak menghalalkan cara… sama-sama kita berdoa agar kita semua dijauhkan dari unsur-unsur syirik dalam kehidupan kita dan sentiasa merujuk kepada ustaz-ustaz yang benar mengenai permasalahan sekeliling kita..

Tinggalkan Jawapan

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Tukar )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Tukar )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Tukar )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Tukar )

Connecting to %s