Sirah Rasulullah sebagai panduan hidup umat

Oleh Mohamad Sofee Razak

Sejarah Nabi Muhammad mesti dihayati bagi memandu ummah ke jalan diredai

MEMPELAJARI dan mempraktikkan sirah atau perjalanan hidup Rasulullah SAW adalah suatu kemestian kepada semua umat Islam terutama pendakwah dan pejuang Islam. Reformis dan pelopor gerakan Islam teragung, Hasan al-Banna dalam bukunya Risalah At-Taalim menegaskan akan keperluan mempelajari sirah perjalanan hidup Rasulullah SAW sebagai landasan hidup dan panduan bagi setiap individu Muslim yang mampu dilakukan sesuai dengan ruang waktu yang ada.

Menurut Ibnu Mandzur dalam kitab ‘Lisanul Arab’ menyatakan, As-Sirah menurut bahasa bermakna kebiasaan, jalan, cara dan tingkah laku. Menurut istilah umum pula, bermaksud perincian hidup seseorang atau sejarah hidup seseorang.

Pun begitu, ulama sepakat apa yang dimaksudkan dengan as-Sirah an-Nabawiyah bererti rakaman sejarah hidup Rasulullah SAW yang komprehensif dan kini sudah menjadi satu nama atau istilah daripada disiplin ilmu yang tersendiri.

Dr Said Ramadhan al-Buti menegaskan dalam buku sirahnya bahawa objektif memahami sirah ialah supaya memperoleh gambaran sebenar mengenai hakikat agama Islam secara sempurna yang tercermin dalam kehidupan Rasulullah SAW sesudah ia difahami secara konseptual sebagai prinsip, kaedah dan hukum.

Antara buku sirah terkenal dan berpengaruh seperti kitab Sirah Ibnu Hisham, Fiqh Sirah oleh Syeikh Muhammad al-Ghazali, Sejarah Nabi oleh Abul Hassan Ali al-Nadwi dan banyak lagi.

Kajian dan penulisan ilmiah lain yang ditulis dalam bahasa Inggeris berkenaan sirah menurut perspektif Barat cukup banyak sekali seperti The Living Thoughts of the Prophet Muhammad oleh Maulana Muhammad Ali (1992); Muhammad the Prophet oleh Sirdar Ikbal Ali Shah (1992); Muhammad: Messenger of Allah oleh Syaikh Abdal Qadir AS-Sufi Al-Murabit (1992); Muhammad The Best of Humanity oleh F M Nadeem Bari; The Life of Muhammad oleh Muhammad Husein Haykal (1993); The Life of the Prophet oleh Abu Muhammad Abdal Malik Hisham (1990); Who Was Mohammed oleh Safdar Hosain (1979); Muhammad His Life Based On The Earliest Source oleh Martin Lings (Abu Bakar Sirajuddin) dan Muhammad: His Life and Mission.

Sehubungan itu, sirah juga adalah mekanisme terbaik untuk mengenali Rasulullah SAW yang sangat efektif kerana sirah Rasulullah adalah terjemahan hidup al-Quran lengkap dan agung serta terpelihara daripada penyimpangan serta penyelewengan.

Ulama sepanjang sejarah mempertahankan keaslian sirah dengan mempertahankan urutan sanad secara ketat. Oleh itu, tidak ada satu pun biografi kehidupan seseorang di dunia ini selengkap biografi Rasulullah SAW.

Sheikh Mustafa Mashyur dalam bukunya Berdakwah Kepada Allah berkata, mempelajari dan mendalami sirah Rasulullah SAW dan sejarah Islam adalah untuk dijadikan bekalan hidup serta segala segala apa yang ingin dilakukan.

Di dalamnya ada pelbagai bentuk penyelesaian masalah, krisis dan situasi genting yang mampu membantu menyelesaikan masalah dihadapi.

Bagi Dr Mustafa as-Syibaie pula, sirah ada pelbagai keistimewaan yang menjadikan pengajiannya satu kepuasan roh, akal dan nilai sejarah. Pengajian sirah juga menjadi kemestian kepada golongan ulama sebagai persediaan memandu kehidupan di samping merealisasikan proses transformasi pemikiran dalam masyarakat.

Tambahan pula keistimewaan sirah Rasulullah SAW yang sahih dan tiada sebarang keraguan ini, tidak ada dalam mana-mana sirah rasul Allah terdahulu. Perjalanan hidup Rasulullah SAW sangat telus, tidak ada rahsia dan fakta disembunyikan.

Dari sejak masuk kamar mandi, cara tidur, cara masuk dan keluar rumah, cara bergaul dengan kalangan isteri, hingga keperibadian sebagai seorang ayah, teman, jeneral perang, ahli ekonomi dan jurutera sosial, pemimpin negara boleh dipraktikkan dalam kehidupan seharian bersandarkan kepada model ditunjukkan sepanjang hayat Baginda.

Nabi Muhammad SAW adalah simbol manusia agung yang menerima segala pengiktirafan, penghormatan dan sanjungan terhadap apa dilakukan Baginda kepada tamadun manusia.

Hakikat ini bertepatan dengan firman Allah yang bermaksud: “Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam.” � (Surah al-Anbiya, ayat 107)

Firman Allah lagi yang bermaksud: “Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta dia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang).” � (Surah al-Ahzab, ayat 21)

Biarpun begitu, tanpa memahami kepentingan mempelajari sirah akan melahirkan generasi muda yang lebih mengenali sejarah dan latar belakang serta menggilai artis daripada menghayati sirah Rasulullah, keluarga dan sahabat Baginda.

Keadaan itu tidak sepatutnya berlaku dan memerlukan anjakan paradigma untuk meletakkan Rasulullah SAW sebagai manusia teragung dalam hidup setiap saat dan ketika. Berpandukan aspirasi sirah Rasulullah, umat Islam hendaklah menjadikan Baginda sebagai idola dan ikon.

Firman Allah yang bermaksud: “Dan bahawa sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) mempunyai akhlak yang amat mulia.” – (Surah al-Qalam, ayat 4)

sumber~ http://www.bharian.com.my/

About these ads

One thought on “Sirah Rasulullah sebagai panduan hidup umat

Tinggalkan Jawapan

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Tukar )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Tukar )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Tukar )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Tukar )

Connecting to %s