Rasulullah tidak pernah putus asa laksana dakwah

Oleh Hasliza Hassan

Konvensyen Pendakwah Negara 2009

Manhaj Malizie ajak pendakwah fahami suasana negara bagi mendepani cabaran melalui acuan betul

BERMATLAMAT melahirkan pendakwah dengan kesatuan fikrah dan keutamaan dalam berdakwah, kira-kira 500 pendakwah dari seluruh negara menghadiri Konvensyen Pendakwah Negara 2009 yang diadakan pada 10 dan 11 Jun lalu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Mejar Jeneral (B) Datuk Jamil Khir Baharom, dalam ucapan perasmiannya berkata, kesatuan perlu supaya pendakwah memahami kumpulan sasaran, matlamat serta tujuan dakwah.

Bagaimanapun katanya, dari segi pendekatan, ia terpulang kepada pendakwah tetapi yang penting ialah mereka semua perlu tahu apakah isu yang hendak diketengahkan serta diberi keutamaan dalam agenda dakwah.

“Apabila berada jauh, yang berbeza kadang-kadang nampak tidak senada dan ada pula dilihat semacam bertembung. Oleh itu timbul anggapan seakan pendakwah ini terpisah. Kesatuan pemikiran dan hala tuju membolehkan pendakwah bersatu dalam menyusun pendekatan dakwah,” katanya.

Pada majlis yang turut melihat Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) melangkah setapak lagi dalam usaha penyebaran maklumat kepada umum dengan pelancaran Radio Malaysia Jakim Salam FM, Jamil Khir menekankan kepentingan memaksimumkan kaedah berdakwah.

Bagi tujuan itu juga katanya, Jakim sudah bersedia untuk mempunyai saluran televisyen sendiri yang dikhaskan untuk program Islam sebagai alternatif kepada penonton yang ingin bahan tontonan yang boleh mengisi keperluan kerohanian mereka.

“Menjadi harapan kita supaya Salam FM akan menjadi pilihan pendengar dan Jakim akan memastikan lapan jam waktu bersiaran dimuatkan dengan isi kandungan yang bukan saja memberi manfaat tetapi, mampu menarik minat pendengar.

“Begitu juga dengan saluran televisyen nanti yang programnya mengambil kira budaya, adat resam dan syariat Islam. Mesej yang ingin disampaikan bukan untuk keluarga Islam saja, bukan Islam juga dapat melihat nilai Islam yang boleh diterima masyarakat sejagat,” katanya.

Konvensyen Pendakwah Negara mula diadakan pada 2002 bertujuan meningkatkan kefahaman mengenai Islam dan disasarkan untuk mufti, ulama, cendikiawan dan pendakwah termasuk daripada pertubuhan bukan kerajaan.

Konvensyen kali ini bertemakan Wahdah Pemangkin Khaira Ummah menggariskan objektif meningkatkan kefahaman, pemikiran Islam bagi menjayakan pelaksanaan dakwah secara bersepadu, berstrategi serta sesuai situasi terkini.

Perhimpunan itu juga bertujuan memberi pendedahan terhadap dasar dan isu semasa negara, pendekatan dakwah terkini sesuai era globalisasi selain mencari titik pertemuan dan pengukuhan dalam penyebaran dakwah oleh pelbagai pihak.

Jamil Khir dalam nasihat kepada peserta konvensyen dengan memberi contoh ketabahan Rasulullah SAW berhadapan tentangan penduduk Taif yang diseru supaya beriman kepada Allah berharap pendakwah tidak mudah berputus asa dalam misi mereka menyebarkan Islam.

“Contoh dakwah Rasulullah adalah yang terbaik kerana walaupun diseksa oleh penduduk Taif, kebimbangan Baginda ialah kemurkaan Allah. Saya percaya dengan kesatuan akan memberi kekuatan untuk pendakwah melaksanakan tanggungjawab,” katanya.

Pensyarah Universiti Islam Antarabangsa (UIAM), Prof Dr Sidek Baba, yang membentangkan kertas kerja bertajuk Manhaj Malizie Suatu Pendekatan Dakwah berkata, Rasulullah SAW menganjurkan kaedah dakwah yang terbaik yang relevan dalam realiti Malaysia.

Katanya, kaedah itu terungkap dalam hadis yang menyarankan supaya seruan ke jalan Tuhan dengan cara bijaksana, pekerti teladan baik, hujah terbaik dan meyakinkan kerana orang yang hendak di dakwah daripada pelbagai peringkat serta latar belakang.

Beliau turut menggariskan empat perkara yang perlu diberi perhatian oleh pendakwah iaitu sifat kasih sayang yang tinggi terhadap orang hendak di dakwah, bersedia membantu kembali ke jalan yang benar, membuat persiapan dakwah dan menguasai ilmu pengetahuan.

Menyentuh mengenai Manhaj Malizie atau dakwah mengambil pendekatan Malaysia, Dr Sidek berkata, ia perlu berorientasikan masyarakat berbilang, kebebasan yang ada dan pengaruh Islam dalam sistem yang mengambil kira peruntukan dalam Perlembagaan.

“Manhaj Malizie mengajak pendakwah dan pendidik memahami keunikan Malaysia supaya mereka faham akan suasana yang membolehkan dakwah berkembang, kaedah yang tidak saja memantapkan akidah tetapi akhirnya mampu menyuburkan ilmu mendepani cabaran melalui acuan betul,” katanya.

Katanya, pendekatan Malaysia bukan sekadar menimbulkan keinsafan pentingnya akhlak yang baik disuburkan tetapi dengan kekuatan ilmu dan ketrampilan ia mungkin menjadi saluran alternatif untuk memberi kefahaman supaya seni, budaya serta kemajuan berlaku dalam acuan yang makruf.

Pada masa sama, pendakwah dan pendidik perlu sentiasa bersikap berlapang dada menerima kritikan atau teguran serta tidak mengambil pendekatan radikal yang tidak serasi budaya masyarakat hingga menyebabkan gerak kerja dakwah menjadi fitnah.

Dr Sidek berkata, dakwah di dunia Melayu juga unik di mana kemampuan pendakwah mendekati raja serta penguasa mampu mengembalikan mereka kepada fitrah dan perubahan itu kemudian turut diikuti oleh rakyat.

Beliau berkata, pendakwah zaman silam memahami realiti kepercayaan masyarakat zaman itu dan kehebatan pendakwah mampu mendekati mereka berbekalkan makna iman, takwa selain menggunakan pendekatan seni sastera serta budaya yang tidak bercanggah.

Justeru, lahirlah majlis ilmu mengenai akidah dan ibadah, puisi seperti pantun dari budaya Melayu, syair gurindam, seloka, nazam dan prosa bersifat hikayat sebagai khazanah seni ilmu yang memperkaya pemikiran umat Melayu satu ketika dulu.

“Kebijaksanaan itulah menjadikan Islam semakin berkembang di dunia Melayu menghasilkan karyawan terbilang yang menghasilkan kitab masing-masing yang kemudian menjadi rujukan ulama terkemudian,” katanya.

Katanya, proses pembaratan yang berlaku ditambah kemajuan teknologi semakin canggih menyebabkan lahir kecenderungan baru di kalangan warga Malaysia menyebabkan pendakwah berdepan cabaran baru lebih sengit.

Sesetengah orang Melayu tidak lagi terpikat ceramah, khutbah, dakwah seperti berlaku pada tahun 70-an, 80-an dan 90-an, sebaliknya mula terpaut fahaman liberal akibat pengaruh Barat yang semakin kuat khususnya di kalangan kelompok menengah Melayu.

Dr Sidek berkata, penting bagi pendakwah abad ini mencari kebijaksanaan memilih kaedah terbaik dalam realiti dunia yang pantas berubah dan pendekatan harus diperkasa dengan memberi strategi alternatif terhadap isu Islam.

“Jenis modal insan yang perlu dibangunkan harus memiliki upaya dan keseimbangan dalam memahami ilmu Islam, Barat dan Timur, kemudian mengambil faedah perbandingan untuk diperkasakan dalam acuan kita sendiri. Ini cabaran dakwah bijaksana abad ini,” katanya.

Beliau berkata, pendekatan Malaysia juga memberi fokus memperkasakan umat Melayu sebagai umat contoh kerana orang Melayu dilihat mewakili umat Islam dan Islam itu sendiri.

Justeru, pendakwah tidak saja berdepan masalah mengekalkan umat Melayu terus berada dalam fitrah kerana tanpa pendekatan dakwah yang dinamik, kekuatan umat Melayu sebagai umat teras akan beransur-ansur hilang.

sumber~ http://www.bharian.com.my/

About these ads

Tinggalkan Jawapan

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Tukar )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Tukar )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Tukar )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Tukar )

Connecting to %s