Peranan Baitulmal diperkasa gerak ekonomi ummah

Oleh Mohd Fikri Che Hussain

Entiti peringkat kebangsaan mampu selaras pentadbiran simpanan aset umat Islam

SARANAN Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bagi memperkasakan peranan Baitulmal termasuk mewujudkan sebuah entiti pada peringkat kebangsaan bagi menyelaras simpanan aset umat Islam yang kini dikendalikan majlis agama Islam negeri perlu diberi sokongan padu.

Kewujudan entiti pada peringkat kebangsaan membolehkan pentadbiran simpanan aset umat Islam diurus lebih profesional.

Sumber pendapatan Baitulmal adalah daripada zakat, jizyah, kharaj, harta wakaf, harta rampasan perang, perlombongan, harta karun dan lebihan pusaka yang tidak berwaris. Pendapatan itu termasuk sumber yang diputuskan pemerintah melalui ijtihad dan maslahah atau kebaikan umat Islam.

Ia adalah langkah positif bagi memastikan golongan miskin dapat dibantu dengan sumber kewangan lebih kukuh bakal diperoleh entiti pada peringkat kebangsaan dengan pelarasan simpanan aset terbabit.

Cadangan yang harus mendapat kelulusan raja, sultan atau Yang di-Pertua negeri itu tidak memerlukan kajian mendalam memandangkan kelemahan sistem dikendalikan majlis agama Islam di setiap negeri kini.

Sebahagian pihak yang menyifatkan tiada keperluan untuk mewujudkan entiti Baitulmal pada peringkat kebangsaan adalah pandangan sempit. Mereka yang menganggap saranan itu tidak relevan dengan mendakwa majlis agama Islam negeri masih mampu menguruskan aset umat Islam juga adalah hujah dangkal.

Cuba perhatikan apabila setiap majlis agama Islam negeri yang diberi tugas mengeluarkan derma siswa atau zakat Ibn Sabil kepada pelajar yang melanjutkan pengajian ke Timur Tengah, mereka menetapkan pelaksanaan peraturan, golongan Ibn Sabil perlu anak kelahiran negeri itu.

Agihan zakat hanya dikeluarkan kepada anak jati negeri termasuk ibu bapa mereka. Apa akan jadi dengan generasi Felda yang kebanyakannya bukan anak jati negeri itu? Apa akan terjadi kepada mereka yang bekerja di negeri lain dan bermastautin di sana?

Pernah terjadi seorang bayi tidak layak diberi dana bagi menjalani pembedahan kecemasan kerana alamat dalam kad pengenalan bapanya berlainan negeri.

Bolehkah majlis agama Islam negeri dianggap mempunyai kredibiliti dalam pengagihan zakat, jika peraturan seperti ini masih diguna pakai?

Tanpa mengguna budi bicara, permohonan dapatkan bantuan ditolak sewenang-wenangnya atas alasan protokol kenegerian yang harus diikuti.

Mungkin ramai yang pelik, jika dinyatakan Baitulmal juga boleh mengagihkan wang zakat Ibn Sabil kepada pelajar asing termasuk bukan Islam yang belajar ke negara kita mutakhir ini. Namun, hanya segelintir majlis agama Islam negeri ‘faham’ pengagihan zakat kepada golongan asnaf itu.

Ada juga pihak yang menyatakan jika mahu memperkasakan Baitulmal, Kerajaan Pusat diharap menyalurkan peruntukan khas kepada majlis agama Islam negeri bagi memantapkan lagi institusi berkenaan. Tindakan ini menyamai dakwaan ‘mereka yang berkemampuan’ seperti di atas.

Akibat hilang percaya terhadap pengurusan pengagihan wang zakat dan dana bantuan yang dikendalikan majlis agama Islam negeri, maka pengeluar zakat lebih gemar memberikannya secara langsung kepada golongan sasar.

Apabila pengagihan wang zakat disekat dengan jumlah tertentu kerana bimbangkan kemerosotan ambilan zakat untuk tahun depan atau kerana menyalurkannya pada projek yang tidak memberi faedah kepada asnaf yang lapan atau golongan lebih memerlukan, maka kepincangan sosial terus berlaku.

Baitulmal negeri patut lebih prihatin terhadap asnaf al-gharimin atau golongan berhutang. Mereka ialah usahawan yang meminjam bagi memacu ekonomi umat Islam. Dana khas yang ditetapkan Allah ke atas mereka ini ialah sebagai pemangkin ekonomi umat Islam yang mampu bersaing dengan pihak lain.

Justeru, majlis agama Islam negeri atau Baitulmal negeri perlu membantu mereka bagi memartabatkan ekonomi Islam dengan melaksanakan kelangsungan modal mereka dalam perniagaan.

Pengagihan itu dapat menjana kembali modal diberikan kepada mereka untuk dibayar semula kepada Baitulmal apabila cukup haul bagi membantu pihak lain yang memerlukan.

Perlu dijelaskan, dana Baitulmal boleh dinikmati semua peringkat termasuk bukan Islam. Agihan dalam aspek kepentingan ummah terutama dalam bentuk infrastruktur seperti pembinaan tali air, jalan raya, jambatan, bangunan awam, bandar baru yang boleh dimanfaatkan semua pihak sama ada orang Islam atau bukan Islam.

Secara prinsipnya, zakat diambil daripada harta orang Islam yang berkemampuan dan diagihkan kepada golongan fakir yang memerlukan. Namun, ulama sepakat dalam mengharuskan pemberian kepada bukan Islam dalam bentuk sedekah sunat untuk perkara yang tidak bercanggah dengan kepentingan Islam.

Sesetengah ulama meletakkan bukan Islam dalam asnaf mualaf yang perlu dijinakkan mengenai Islam. Malangnya, mubaligh agama lain mempromosikan teknik ini dalam dakwah mereka di seluruh dunia. Mereka datang dari serata ceruk rantau untuk menghulurkan bantuan terutama kepada umat Islam di negara yang mempunyai krisis kemanusiaan seperti Afghanistan dan Iraq.

Ini jelas menunjukkan Islam agama adil untuk semua pihak. Di samping mengutamakan kepentingan umatnya, Islam turut menekankan kebajikan penganut agama lain yang bernaung di bawah pemerintahan Islam.

Diharap usaha memperbadankan Baitulmal sebagai penerokaan sumber baru dapat memastikan institusi itu memainkan peranan proaktif dalam kegiatan pembangunan masyarakat serta menjenamakan semula produk Baitulmal pada peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Ketika ini dana kepada lebih ramai masyarakat Islam yang menghadapi kesukaran termasuk ditimpa bencana mungkin sukar disalurkan kerana ada majlis agama tidak mempunyai sumber kewangan kukuh atau tiada maklumat meyakinkan.

Walaupun negara mempunyai Perbendaharaan Negara pada peringkat Persekutuan, entiti Baitulmal pada peringkat kebangsaan bagi menyelaraskan harta umat Islam perlu bagi membantu menggerakkan institusi zakat khususnya Baitulmal, sebagai penggerak ekonomi ummah.

sumber~ http://www.bharian.com.my

About these ads

Tinggalkan Jawapan

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Tukar )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Tukar )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Tukar )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Tukar )

Connecting to %s