Poligami dalam Islam

SEORANG ustaz membacakan kitab di masjid memberitahu jemaah, Islam mengharuskan poligami. Justeru, lelaki yang berkemampuan boleh berkahwin lebih daripada satu.

Namun, di sebalik itu, media memaparkan pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) terutama yang berkaitan dengan wanita membantah poligami.

Polemik antara hukum agama, adat dan emosi manusia nyata memberi kekeliruan kepada sebahagian umat Islam, apatah lagi mereka yang baru berjinak-jinak dengan Islam.

Apakah pantas hukum yang dibenarkan Allah boleh dicantas oleh mulut manusia hanya sekadar mahu membela atau menjaga hak asasi wanita?

Apakah buruk sangat poligami sehingga wanita begitu ‘jijik’ dan meluat apabila ada golongan lelaki menyebut istilah itu?

Keharusan poligami jelas terkandung dalam al-Quran tetapi segelintir umat Islam sukar menerimanya sehingga menganggap ia ‘jerat kehidupan’.

Islam satu-satunya agama di bumi yang membenarkan poligami secara bersistem manakala agama dan fahaman lain tidak, malah masyarakat bukan Islam melihatnya sebagai menindas golongan wanita.

Tetapi, hairanlah apabila membabitkan aktiviti persundalan, menyimpan wanita dan gejala sosial, ia seperti satu restu.

Poligami adalah perkataan Greek (http://en.wikipedia.org/wiki/Polygamy), merujuk kepada perkahwinan seorang lelaki dengan lebih seorang isteri dan dalam Islam, ia dibenarkan sehingga empat isteri dalam suatu masa.

“Maka berkahwinlah dengan sesiapa yang kamu berkenan dari perempuan dua, tiga atau empat. Kemudian jika kamu bimbang tidak dapat berlaku adil, maka (berkahwinlah dengan) seorang sahaja atau (kahwinilah) hamba-hamba perempuan yang kamu miliki. Yang demikian itu adalah lebih dekat supaya kamu tidak melakukan kezaliman.” (Al-Quran, surah an-Nisa': Ayat 3)

Pada zaman Jahiliyah, poligami berlaku tanpa batasan dan ketika itu lelaki mempunyai ramai isteri, malah ada yang mempunyai ratusan isteri.

“Apabila Ghailan ats-Tsaqafi memeluk Islam, dia mempunyai 10 isteri. Maka Nabi s.a.w berkata kepadanya: Pilihlah dari isteri-isterimu itu empat orang saja dan ceraikanlah yang selebihnya itu.”

Riwayat ini dikeluarkan oleh Imam Syafie, Imam Ahmad, Tarmidzi, Ibnu Majah, Ibnu Abu Syaibah, Daruqutni dan Baihaqi, seperti diterangkan dalam kitab Halal dan Haram Dalam Islam, karya Dr Yusuf al-Qardawi.

Pihak yang membantah poligami perlu faham, ia hukum agama. Justeru, apabila berbicara atau memberi pendapat, mereka perlu berhati-hati.

Walaupun Islam membenarkan poligami, bukanlah bermakna ia boleh diamalkan sesuka hati, sehingga mengakibatkan kezaliman di pihak wanita.

Al-Qardawi dalam kitab terbabit menjelaskan, syarat yang ditetapkan Islam mengenai poligami ialah berlaku adil terhadap dua isterinya atau lebih dalam makan minum, pakaian, rumah, tempat tidur dan nafkahnya.

“Barangsiapa yang tidak yakin dirinya dapat menunaikan hak-hak itu, haramlah baginya berkahwin lebih dari seorang isteri,” katanya.

Menurut seorang ulama Amerika Utara, Syeikh Muhammad Nur Abdullah, poligami dibenarkan Islam dan bukannya untuk disalah guna.

“Ia hanya dibenarkan kepada sesiapa yang mampu melayani semua isterinya dengan adil dan saksama,” katanya melalui laman Islamonline.

Nabi Muhammad s.a.w bersabda, maksudnya: “Barangsiapa yang mempunyai dua orang isteri, lalu dia condong kepada yang satu dari yang lain, nanti dia datang di hari kiamat dengan menyeret sebelah lambungannya dalam keadaan senget atau berat sebelah.” (Riwayat Ashabussunan, Ibnu Hibban dan Hakim)

Condong sebelah yang diancam dalam hadis itu ialah disebabkan keremehan terhadap hak isteri-isteri, bukannya kerana kecenderungan hati kepada mereka kerana kecenderungan hati tidak dikategorikan dalam keadilan.

Al-Qardawi berkata, di antara lelaki ada yang kuat keinginannya untuk mendapatkan keturunan tetapi dia dikurniakan seorang isteri yang tidak dapat melahirkan anak kerana penyakit atau mandul (tidak dapat melahirkan anak).

Justeru, lebih baik si suami berkahwin lagi kepada seorang wanita yang bakal memberikannya zuriat supaya keturunannya kekal tetapi harus mengekalkan akad isteri pertama dan menjamin haknya.

“Ada pula lelaki yang kuat keinginan gharizahnya, bergejolak nafsu seksnya, akan tetapi dia dikurniai seorang isteri yang lemah nafsunya atau menghidap penyakit atau datang haid untuk tempoh yang panjang.

“Bagaimanapun, suaminya tidak sanggup menanggung nafsu untuk bersama isterinya, apakah tidak wajar dia berkahwin dengan seorang wanita yang halal baginya daripada dia meraba wanita yang jalang dan haram buatnya,” katanya.

Menurutnya, ada ketika bilangan wanita lebih ramai daripada lelaki, seperti selepas perang dan dari itu timbul maslahat masyarakat dan wanita sendiri agar mereka lebih baik dimadukan daripada hidup tanpa kasih sayang suami.

Penceramah bebas, Ahmad Shukri Yusof, berkata masyarakat Islam jangan menolak keharusan poligami menggunakan emosi kerana ia soal hukum.

“Soal hukum tidak perlu dibincangkan dan dipolemikkan apatah lagi membabitkan emosi.

“Kita harus membincangkan bagaimana untuk berlaku adil, bukannya hanya pandai mengatakan poligami itu tidak adil,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berpendapat tidak perlu menubuhkan kelab untuk menggalakkan poligami.

Amalan poligami adalah ubat bagi menangani masalah umat manusia. Oleh kerana kebaikan itu, Islam memutuskan ia suci.

“Dan siapa lagi yang hukumnya lebih baik daripada hukum Allah, bagi kaum yang menyakini.” (Al-Quran, surah al-Maidah:50)

Tetapi peraturan suci lagi baik inilah yang ditolak oleh Barat dan konconya, sehingga ia kelihatan janggal untuk bertapak di dalam masyarakat Islam sendiri, manakala norma yang bukan-bukan mendapat tempat pula.

Poligami dilarang di sisi undang-undang di sesetengah negara Muslim yang tidak mengamalkan undang-undang Islam dalam peraturan perkahwinan, seperti Azerbaijan, Bosnia, Tunisia dan Turki (http://en.wikipedia.org/wiki/Polygamy).

Menurut sumber itu, dalam dunia moden Islam, amalan poligami lazimnya diamalkan di negara yang mengamalkan ajaran Islam sejati seperti Arab Saudi, Timur dan Barat Afrika seperti di Sudan yang diberikan galakan oleh presiden kerana tingginya populasi wanita.

“Di antara 22 negara ahli Liga Arab, Tunisia melarang poligami. Bagaimanapun, ia tidak dipersetujui kebanyakan negara Arab yang menerima pengaruh barat dan sekular seperti Syria, Mesir, Morocco dan Lubnan.”

Menurut Ahli Majlis Fiqah Amerika Utara, Sheikh Muhamad al-Hanooti, realitinya susah untuk mendapati seorang daripada 10,000 Muslim yang berkahwin lebih daripada seorang isteri.

“Dalam masyarakat bukan Islam, lebih daripada 65 peratus lelaki yang berkahwin mempunyai hubungan dengan lebih dua, tiga dan empat wanita, bahkan 45 peratus wanitanya mengadakan hubungan di luar perkahwinan.

“Mereka menerima perzinaan, tetapi tidak menerima alternatif untuk mengangkat martabat manusia melalui poligami.”

Di Malaysia, menurut portal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, dalam undang-undang keluarga Islam, poligami dibenarkan dengan syarat suami hendaklah mendapat kebenaran bertulis daripada Mahkamah Syariah terlebih dahulu.

sumber http://www.hmetro.com.my

About these ads

2 thoughts on “Poligami dalam Islam

  1. Assalamualaikum,
    sy seorang wanita islam. sy faham poligami adalah hukum Allah. tapi tidak semua lelaki perlukan poligami. jgnlah kerana Allah benarkan maka yang tidak layak berpoligami pun nak merasa nikmatnya juga! Ikutlah sunnah Rasul. yang kami marahkan sgt tu bukan apa, cuma, ramai lelaki yg berpoligami, tak layak kerana tak cukup duit utk menanggung 2 keluarga. yang ada pun tak terjaga. bini yg ada pun tak berganti baju tiap bulan. bini yg ada pun takde pembantu, spt yg disarankan oleh agama. kereta yang ada pun semput2 je… bila dah berbini 2, nafkah seks pun dah kurang, tak seperti selalu…maklumlah, mana nak larat buat tiap hari. selalunya buat selang sehari..bila dah 2 bini kena buat ari-ari. tak tahan kan? nak harap duit bini pulak tu utk tanggung anak2. tak malu! tengok dlm cermin. fikir, layak atau tak utk berpoligami. kalau layak semua segi, silalah….

    • w’salam,
      saya ingin menambah…sebab tu lah dalam Al Quran dah dinyatakan…kalau tak mampu, cukuplah hanya 1. Nabi juga sudah berpesan, kalau tak mampu juga nak tahan nafsu, berpuasa lah. Ini tidak…orang lelaki ingat penyelesaian untuk nafsu yg memuncak hanyalah kawin lagi…itu saja. pesan nabi tu tak ingat ke? puasa! dan solat! insyaallah akan mencegah segala kemungkaran spt zina dsbnya…saya pun setuju dgn mama, kalau anda betul2 mampu dari segala segi, kahwinla…

Tinggalkan Jawapan

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Tukar )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Tukar )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Tukar )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Tukar )

Connecting to %s