Amalan riba boleh rosakkan sistem ekonomi

Oleh Mohd Noor Omar

Sistem kewangan, perbankan Islam perlu telus dalam urusan jual beli agar peminjam tak terbeban

KEWANGAN Islam sudah diterima umum dan menjadi satu industri yang amat memberangsangkan. Namun terdapat tanggapan bahawa kemudahan kewangan Islam tiada beza dengan kewangan konvensional kecuali nama kontrak berkenaan dalam bahasa Arab dan borang berwarna hijau. Kalau kontrak itu pinjaman, pelanggan masih perlu membayar lebih dari apa yang dipinjamkan atau kadang-kadang lebih tinggi. Adakah sama faedah dan keuntungan dan kenapa faedah diharamkan tetapi keuntungan dibenarkan sedangkan yang bezanya hanya perkataan dan tulisan.

Persoalannya, adakah tanggapan ini benar atau orang beranggapan begini tidak faham konsep akad atau berlaku pengubahsuaian dalam kontrak kewangan Islam sehingga pelanggan lebih tidak faham daripada faham terhadap apa yang berlaku. Namun, sama ada faham atau tidak, manusia perlukan satu sistem kewangan yang bebas daripada amalan yang ditegah, terutama riba hasil urusan pinjam meminjam. Hebatnya kewangan Islam bukan kerana jenamanya tetapi prinsip utama yang digariskan Allah SWT.

Faedah dalam urusan kewangan biasanya merujuk kepada lebihan yang diperoleh daripada wang asas yang dipinjamkan manakala keuntungan pula adalah pulangan yang diperoleh hasil menjual barangan atau perkhidmatan. Islam melarang keras amalan mengambil faedah daripada pinjaman yang disebutkan sebagai riba manakala amalan jual beli dengan kadar keuntungan dibenarkan.

Aktiviti utama bank konvensional ialah antara lain berurusan dengan pinjaman dan mendapat keuntungan hasil daripada pinjam meminjam wang. Wang diniagakan dengan memberikan pinjaman wang untuk mendapatkan keuntungan ke atas apa yang diberikan. Sekiranya perbankan Islam membuat urusan yang sama dan cuba membezakan kulit luar, warna dan jenama, maka betullah tanggapan mengatakan perbankan dan kewangan Islam tiada bezanya. Sebarang bentuk pinjaman dalam sistem kewangan mestilah menepati `akad Qard al-hasan` iaitu pinjaman tanpa dikenakan sebarang faedah.

Apa yang berlaku ialah institusi kewangan memberi wang dan mendapat pulangan yang melebihi wang asas sebagai keuntungan. Untuk menjadikannya sebagai jual beli, maka beberapa pendekatan diambil supaya dapat menjadikan aktiviti ini nampaknya seolah-olah jual beli. Helah disusun dengan teliti dan dialaskan dengan hujah yang mengharuskan jenama kontrak tertentu yang pada hakikatnya tidak dilaksanakan mengikut keperluan asal. Pendapat ulama digunakan dan yang malangnya, pengamal kewangan Islam sendiri mencari jalan untuk merombak bentuk asal akad tetapi menisbahkannya kembali kepada ulama yang tidak lagi dapat memantau ketelusan perubahan dan rombakan yang dibuat.

Pengharaman riba memang jelas tetapi yang agak kabur adalah beza di antara amalan riba dan jual beli. Namun, sebagai Muslim yang bertanggungjawab, perincian mengenainya perlu mendapat keutamaan bukannya menjadi dalang yang membuka pintu kepada kemurkaan Allah SWT. Jangan tergolong di dalam golongan yang disentuh al-Quran sebagai satu kumpulan yang cuba membolehkan apa yang tidak dan sanggup bersusah-susah untuk menjualbelikan riba.

Allah SWT menegaskan di dalam al-Quran mengenai halalnya jual beli dan mengharamkan riba. Imam al-Ghazali menghuraikan bahawa, `Riba diharamkan kerana riba boleh menghalang orang ramai dari terbabit secara langsung dengan aktiviti ekonomi sebenar`. Pengharaman riba atau apa-apa saja nama lain bagi riba adalah untuk mengelakkan penindasan pihak yang mempunyai wang ke atas orang yang memerlukan. Perkara ini jelas bercanggah dengan kepentingan kemanusiaan kerana peminjam tiada pilihan lain terpaksa membayar lebih dari apa yang diperoleh dalam pertukaran.

Lanjutan itulah hukum ini juga ialah hilangnya keseimbangan, pertikaian ketelusan, tekanan terhadap golongan kurang mampu dan lenyapnya keadilan dalam urus niaga. Apabila ia dibiarkan berleluasa, keseluruhan sistem ekonomi akan menjadi rapuh kerana aktiviti ekonomi sebenar tidak jelas sama sekali.

Oleh itu, memahami, membezakan dan menjarakkan di antara jual beli dan riba bukan saja penting tetapi menjadi tanggungjawab pengamal kewangan Islam. Hukum berkenaan tetap sama tidak kira nama, warna atau rupa. Sesungguhnya Allah SWT tidak melihat rupa atau harta (luaran sesuatu) tetapi melihat kepada pendirian (hati) dan amalannya. Gambaran besarnya dosa amalan riba melebihi perbuatan zina yang terkutuk walaupun perzinaan itu berlaku dengan keredaan.

Begitu juga yang berlaku di dalam industri. Walaupun permintaan kepada ‘skim pinjaman wang Islam’ makin meningkat dan ‘menguntungkan’ namun, ia bukanlah alasan untuk membuka pintu amalan riba. Keuntungan jangka pendek golongan tertentu apatah lagi mengorbankan kekananan tuntutan ajaran Islam tidak tergolong sama sekali di dalam maqasid syariah.

Riba adalah kezaliman yang berlaku dalam muamalah yang boleh meruntuhkan keseluruhan sistem ekonomi. Apabila keadilan, ketelusan dan keseimbangan dinafikan, lihatlah bagaimana krisis ekonomi dunia masyarakat antarabangsa hadapi sekarang. Sampai ke satu tahap, kerapuhan muamalah berasaskan riba menunjukkan dirinya yang rapuh dengan menghancurkan dan memberi kesan yang ketara terhadap keyakinan muamalah ekonomi sebenar.

Untuk pulih, keseluruhan sistem perlu dirangka semula selari dengan ajaran Islam. Kefahaman konsep muamalah dan mentakrif semula syarat serta rukun jualbeli menjadi satu kemestian. Akad muamalah sebenarnya datang dengan pakej pengurusan risiko di dalamnya. Sekiranya aspek pengurusan risiko ini diabaikan dengan membuat rombakan syarat atau mengahwinkan akad yang tidak sesuai, maka akan lahir risiko yang lebih rumit.

Penulis ialah Pegawai Pusat Perundingan dan Latihan Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)

Sumber ~ http://www.bharian.com.my

About these ads

2 thoughts on “Amalan riba boleh rosakkan sistem ekonomi

  1. Saudara penulis..
    Sayugia, ingin saya bertanya.
    1-Adakah pelaburan melalui ASB juga terlibat dalam gejala Riba?
    2-Seandainya, keuntungan dalam pelaburan ASB tidak diambil dan hanya digunakan untuk membeli kepentingan org ramai?

    Boleh saudara terangkan kpd sy..

  2. salam…
    saya pelajar dari jabatan pengajian Islam (UKM).. dari apa yg saya belajar.. pelaburan ASB juga sebenarnya mempunyai unsur gharar kerana kita tidak tahu dari mana sumber tersebut diperolehi.. jadi berkemungkinan terdapat sumber2 yang haram yang kita tidak ketahui… yang paling penting sekali.. di ASB, kita tidak mempunyai penasihat Syariah…

    kalau salah tolong betulkan… ini dari apa yang saya belajar dalam kuliah…

    wsalam~

Tinggalkan Jawapan

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Tukar )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Tukar )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Tukar )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Tukar )

Connecting to %s