Agama bukan alasan, halangan Muslim jadi penderma organ

Oleh Siti Noorzuraidawati Mihat dan Mohd Rezuan Masran

PENDERMAAN organ adalah isu penting yang menjadi agenda utama negara membantu individu yang memerlukan organ untuk meneruskan kehidupan. Pelbagai persoalan bermain di fikiran masyarakat berhubung isu ini.

Antara isu yang selalu dibangkitkan ialah soal agama dan kaum yang sememangnya sensitif kepada sesetengah pihak. Kekeliruan yang timbul membawa kepada keengganan pihak tertentu mendermakan organ kepada orang lain atas sebab perbezaan agama dan kaum.
Perlu diperjelaskan tidak timbul isu perbezaan agama dan kaum yang menyekat usaha mendermakan organ bagi tujuan kebajikan kerana Islam menyeru umatnya melakukan kebajikan kepada sesama manusia.
Click Here
Sememangnya bukan mudah sesetengah pihak mendermakan organ kepada orang lain. Namun, sikap ini harus dikikis dalam kotak pemikiran masyarakat seluruhnya pada masa kini.

Kita seharusnya sedar menjadi tanggungjawab sebagai manusia melakukan pengorbanan kepada orang lain untuk manfaat bersama.

Apabila kita melakukan pengorbanan bagi tujuan kebajikan, sebenarnya kita sudah reda dengan ketentuan diletakkan atas diri kita. Bukan satu perkara mudah untuk kita mendermakan organ kepada individu tidak dikenali terutama yang membabitkan perbezaan agama, bangsa dan warna kulit.

Bukan saja tidak mendapat bayaran, penderma organ juga akan mengalami komplikasi apabila melakukan pendermaan organ ketika masih hidup. Namun, harus disedari bahawa inilah pengorbanan paling besar seharusnya kita lakukan bagi kebaikan bersama.
Tokoh agama, Datuk Abu Hassan Din al-Hafiz menyatakan, pendermaan organ perlu dilihat sebagai amalan baik kerana menyelamatkan nyawa manusia.

Dari sudut sejarah, pemindahan organ di negara ini bukan perkara baru. Sejarah pemindahan organ bermula pada awal 1970-an lagi. Tanggal keramat 15 Disember 1975 menyaksikan sepasukan pakar diketuai Datuk Dr Hussien Awang menjalankan pemindahan organ pertama negara ini.

Pembedahan itu dijalankan kepada Martin Rinyeb, yang menerima buah pinggang daripada adiknya, Augustin. Selepas pembedahan bersejarah itu, banyak lagi pembedahan pemindahan organ dan tisu dijalankan hospital Malaysia.

Sehingga 1 September 2010, 1,377 pemindahan buah pinggang direkodkan. Rekod Pusat Sumber Transplan Nasional menunjukkan tujuh penerima dalam senarai menunggu mendapatkan jantung baru, manakala empat pesakit menunggu pemindahan paru-paru.

Persoalannya, meskipun 40 tahun pemindahan organ dan tisu dijalankan di Malaysia, bilangan penderma serta pengikrar organ di negara ini masih rendah. Ramai keliru dan menyatakan mereka tidak menderma serta menjadi pengikrar organ kerana halangan agama.

Fakta sebenar menunjukkan, kebanyakan agama di dunia termasuk Islam membenarkan proses pendermaan organ. Di Malaysia, Jabatan Mufti negeri mempunyai pandangan positif terhadap isu ini. Fatwa Jabatan Mufti Johor menyatakan pemindahan dan pendermaan organ dan tisu adalah harus dalam keadaan darurat. Pandangan serupa digunakan negeri lain.

Fatwa Kebangsaan yang dikeluarkan sejak 1970 menyatakan dengan jelas keharusan pendermaan organ. Maka, dapat disimpulkan agama bukanlah halangan seseorang menjadi penderma organ.

Antara kekeliruan dalam masyarakat ialah berkaitan ‘mati otak’ iaitu tiada peredaran darah dan oksigen ke otak yang menyebabkan keseluruhan otak (termasuk batang otak yang mengawal proses pernafasan serta denyutan jantung) tidak lagi berfungsi.

Selepas proses ini berlaku, otak mulai mereput. Menurut kajian pakar, kehilangan fungsi otak tidak boleh dipulihkan. Perkara ini berbeza dengan koma, otak masih berfungsi. Maka, seseorang yang disahkan mati otak sama statusnya dengan meninggal dunia.

Mutakhir ini, kebanyakan mufti sepakat menyatakan seseorang yang mati otak diklasifikasikan sebagai mati. Namun, ada segelintir masyarakat masih belum menerima hakikat orang disayangi sudah mati kerana mereka masih bernafas (menggunakan alat bantuan pernafasan).

Proses memastikan seseorang itu mengalami mati otak juga tidak mudah. Undang-undang memperuntukkan pengesahan seseorang itu mengalami mati otak memerlukan pemeriksaan daripada sekurang-kurangnya dua doktor pakar dalam bidang berkenaan, serta pemeriksaan dilakukan secara berasingan. Prosedur sebegini dijalankan supaya tidak berlaku sebarang kesilapan.

Penulis ialah Eksekutif Penyelidikan Yayasan Ilmuwan

Sumber dari Berita Harian Online – http://www.bharian.com.my/

About these ads

Tinggalkan Jawapan

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Tukar )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Tukar )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Tukar )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Tukar )

Connecting to %s