Arkib

Archive for 19 November 2011

Pendidikan berorientasi tarbiah bentuk manusia berhemah

19 November 2011 1 komen

Di tulis oleh Ustaz Zamanuddin Jusoh
http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Pendidikanberorientasitarbiahbentukmanusiaberhemah/Article
2011/11/19

SALAH satu ciri keunikan Islam ialah membentuk manusia dengan cara berhemah, penuh hikmah dan pengajaran berorientasikan tarbiah yang sempurna mengikut kemampuan manusia.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Allah tidak akan membebani seseorang melainkan mengikut kemampuannya.” (Surah Al-Baqarah, ayat 286)
Peristiwa yang berlaku kepada Sayyidah Zainab mengajar kita sejak zaman sebelum kedatangan Islam, pengambilan anak angkat menjadi kebiasaan. Mereka menjadikan anak itu sebagai salah seorang daripada keluarga seterusnya dianugerahkan nasab keturunan serta menyamakannya dengan ahli keluarga lain.
Anak itu mendapat keistimewaan yang sama, batas pergaulan serta sempadan pergaulan dengan ahli keluarga tidak diendahkan sedangkan hakikatnya tidak begitu.

Tatkala Allah SWT menginginkan perubahan terhadap pengambilan anak angkat dengan cara yang terbaik mengikut fitrah manusia, Allah SWT memilih Sayyidah Zainab Binti Jahsh sebagai perintis kepada proses peralihan itu.

Melalui wahyu Ilahi, Baginda memilih Zainab untuk dijodohkan dengan Zaid Bin Haritsah yang juga anak angkat kepada Baginda.

Zainab menerima keputusan Baginda selepas turunnya ayat yang bermaksud: “Tidak wajar bagi lelaki atau wanita yang beriman apabila Allah SWT sudah menetapkan sesuatu ketetapan lalu mereka membuat pilihan yang lain.” (Surah Al-Ahzab, ayat 36)
Namun demikian, berlaku ketentuan Allah dengan hikmahnya yang tersendiri sehingga mereka berpisah dan Zainab dikahwini oleh Baginda. Dengan peristiwa ini, maka lenyap kisah pengambilan dan anggapan terhadap anak angkat dengan cara yang cukup berhemah.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Muhammad itu bukanlah bapa kepada salah seorang dari kamu (Zaid), tetapi Dia adalah utusan Allah dan penutup para nabi. Dan Allah maha mengetahui segala-galanya.” (Surah Al-Ahzab, ayat 40)

Dapat dilihat di sini, anak angkat adalah orang yang asing bagi sesebuah keluarga sehingga isteri mereka dapat dikahwini oleh ayahnya sendiri, pergaulan dengan keluarga lain terbatas dan keluarga lain sebenarnya halal dikahwini oleh anak itu.

Ini hikmah yang tidak dapat dilihat oleh setengah manusia sehingga menganggap Baginda memonopoli segala-galanya sehingga mengambil isteri kepada anaknya sendiri (Zaid).

Begitu juga dalam proses pengharaman arak yang menjadi sebahagian adat jahiliah sekian lama. Arak menjadi minuman asasi bagi masyarakat pada masa itu sehingga ada antara sahabat sendiri mengumpulkan bekalan banyak ketika mereka belum memeluk Islam.

Selepas mereka dapat menerima Islam, Allah SWT dengan kebijaksanaan-Nya mengikut fitrah manusia menurunkan wahyu yang bermaksud: “Wahai orang beriman, janganlah kamu menghampiri solat ketika kamu mabuk sehinggalah kamu sedar apa yang kamu ucapkan.” (Surah An-Nisa’, ayat 43).

Menunjukkan mereka boleh mengambil arak tetapi mestilah menjauhi diri dari solat. Setelah sedikit demi sedikit sahabat dapat mengurangkan pengambilan arak, maka Allah SWT menurunkan wahyu berikutnya yang bermaksud: “Sesungguhnya minuman keras, berjudi, bertenung nasib adalah perkara keji dari amalan syaitan.” (Surah Al-Maidah, ayat 90)

Semua sahabat pada ketika itu dapat menerima hakikat ini dan meninggalkan minuman keras buat selama-lamanya. Ada yang pulang ke rumah dan memusnahkan segala simpanan arak mereka demi menyahut seruan Allah SWT.

Kempen menjauhi minuman keras adalah salah satu cara terbaik bagi mendidik masyarakat menjauhi minuman yang merosakkan ini kerana banyak perkara jenayah berlaku akibat pengambilan minuman memabukkan ini sebagai punca segala kejahatan.

Sabda Baginda yang bermaksud: “Sesungguhnya arak adalah ibu segala kejahatan.” Manusia akan melakukan apa saja ketika sedang mabuk. Tidak hairanlah kadar jenayah semakin bertambah kerana kesan minuman keras.

Usaha keras dan serius perlu dilakukan bagi menjayakan kempen ini kerana banyak halangan dan rintangan terpaksa dilalui termasuk pengaruh iklan dan kempen minuman ini amat kuat dalam masyarakat Islam. Apa yang penting ialah komitmen semua pihak untuk lebih dekat kepada masyarakat bagi menjayakan misi murni ini.

Ustaz Zamanuddin Jusoh ialah Eksekutif Agama The New Straits Times Press (NSTP)

Categories: Islam

Konflik berterusan boleh halang kecemerlangan kerja

19 November 2011 Tinggalkan komen

Di tulis oleh Sharifah Hayaati
http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Konflikberterusanbolehhalangkecemerlangankerja/Article
2011/11/19

Perselisihan faham cetus perdebatan perlu dikawal

KITA sering berdepan pelbagai cabaran serta konflik dalam usaha mencapai kepuasan dan kecemerlangan kerja. Ibarat menuju satu destinasi, jalan dilalui ada yang lebar dan sempit, ada yang lurus dan berliku, menaiki dan menuruni bukit serta curam, indah pemandangan dan sebaliknya.
Begitu persekitaran kerja dalam mencapai destinasi kecemerlangan. Malah, salah satu faktor yang boleh menghalang kecemerlangan organisasi adalah konflik berterusan yang tidak diurus atau ditangani dengan baik.
Konflik daripada bahasa Latin ‘confligere’, bermaksud perselisihan atau pertentangan antara individu. Ia berlaku disebabkan pelbagai faktor perbezaan sama ada pemikiran, peranan, tanggungjawab, akhlak atau cara bertindak dan hasrat yang ingin dicapai.

Termasuk perbezaan pandangan, persepsi, pemahaman, pengetahuan, pendirian, pengalaman, ideologi, keinginan, matlamat, sifat atau sikap yang membentuk perbezaan peribadi dan tabiat. Dalam organisasi, konflik boleh berlaku sesama staf, dengan subordinat atau pengurusan atasan.

Konflik berlaku disebabkan rasa tidak puas hati terhadap sesuatu keputusan, arahan kerja, gaya komunikasi, agihan tugas, sempadan tanggungjawab atau bidang kuasa, perubahan matlamat, peraturan, pertindihan tugas dan perebutan ganjaran yang terhad.

Kepelbagaian ini dengan mudah menjuruskan individu kepada konflik yang jika berlarutan mampu mengundang perbalahan, permusuhan dan mengakibatkan pelbagai salah laku pentadbiran seperti ketidakcekapan, ketidaktelusan yang merugikan seluruh organisasi.
Islam mengakui perbezaan suatu tabii dan mempunyai hikmah dari rahmat Allah.
Firman Allah yang bermaksud: “Kalau Tuhanmu menghendaki, tentulah Dia menjadikan kamu umat yang satu. (Tetapi Dia tidak berbuat demikian) dan kerana itu mereka terus menerus berselisihan. Kecuali orang yang telah diberi rahmat oleh Tuhanmu, untuk itu Allah menjadikan manusia dan dengan demikian sempurna janji Tuhanmu.” (Surah Hud, ayat 118-119)

Menurut Dr Taha Jabir al-Alwani, perbezaan yang membawa kepada perselisihan terkandung dalam pelbagai istilah seperti al-khilaf (perbezaan pendapat), al-Khusumah (permusuhan atau perbalahan) dan al-Jidal (perdebatan).

Prinsip akhlak membenci perbezaan membawa kepada konflik permusuhan dan perbalahan berpanjangan yang melemahkan serta meragut kekuatan dinamakan Profesor Dr Yusof al-Qaradhawi sebagai perbezaan atau kepelbagaian pertentangan.

Khususnya dalam masalah kecil dan sampingan atau hukum furu’ kerana Islam menganjurkan sifat saling menghormati serta menghargai.

Firman Allah yang bermaksud: “Dan taat kamu kepada Allah dan Rasul-Nya dan jangan kamu berbantah-bantah yang menyebabkan kamu menjadi lemah dan hilang kekuatan dan bersabar (menghadapi segala kesukaran dengan cekal hati).
Sesungguhnya Allah berserta orang yang sabar.” (Surah al-Anfal, ayat 46)

Apabila perbezaan dapat diurus dengan baik dan berkesan, ia akan memberi banyak manfaat. Menurut Profesor al-Qaradhawi, perselisihan memberi kesempatan dan ruang untuk memilih pandangan yang baik, tepat serta berijtihad.

Konflik sifatnya provokatif dan menarik tindak balas orang ramai untuk memberi pandangan. Kehangatan konflik merangsang individu berfikir dan mencari idea alternatif. Tetapi perlu dikawal dan dikendalikan dengan berhemah supaya tidak mencetuskan perdebatan tidak sihat serta menjejaskan integriti staf.

Menghadapi konflik, kita perlulah terlebih dulu mengesan puncanya. Dari situlah beberapa langkah penyelesaian diusahakan. Antara panduan menguruskan konflik di tempat kerja ialah menyemarakkan kesedaran dan sistem bekerja secara berpasukan berpandukan matlamat organisasi.

Kedua, bagi konflik yang dicetuskan faktor peribadi seperti ego, bangga diri, salah sangka terhadap staf lain, tuduhan atau kenyataan tanpa asas dan bukti, berfikiran sempit serta fanatik, maka perlu diingatkan untuk kembali kepada asas akhlak.

Langkah mengukuhkan penerapan nilai teras seperti ikhlas, jujur, amanah, toleransi, hormat menghormati, mengamalkan kesederhanaan, muafakat, keterbukaan dan positif minda dalam organisasi perlu diberi keutamaan.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Jauhilah kamu dari prasangka kerana ia kata-kata dusta. Jangan saling mencurigai, menghasut, iri hati dan saling membenci. Dan jadi kamu hamba Allah yang bersaudara.” (Hadis riwayat Bukhari)

Ketiga, membina semangat setia kawan bertujuan mengeratkan silaturahim dalam organisasi.

Keempat, menyediakan ruang atau sistem maklum balas kualiti menyampaikan pandangan atau ketidakpuasan hati secara berhemah serta merapatkan jurang komunikasi.

Kelima, menyediakan khidmat pakar atau kaunseling dan keenam, tindakan disiplin bersesuaian dengan peraturan seperti memberi amaran, mengeluarkan surat peringatan, menggantung kenaikan dan sebagainya.

Tujuannya adalah menjaga kepentingan umum dan menolak kemudaratan supaya matlamat organisasi tercapai dalam suasana harmoni.

Kaedah masyhur Sheikh Muhammad Rasyid Ridha yang turut dipersetujui Imam Hassan al-Banna boleh dijadikan panduan berorganisasi iaitu, bekerjasama dalam masalah yang sudah disepakati dan saling bertolak ansur dalam masalah yang diperselisihkan.

Sharifah Hayaati ialah pensyarah di Jabatan Siasah Syar’iyyah, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya

Categories: Islam
Follow

Get every new post delivered to your Inbox.