Posted by: ahmadzaki on: 22 Oktober 2009
Oleh Mohd Shukri Hanapi
IBADAH haji wajib ditunaikan umat Islam sekali seumur hidup terutama kepada umat Islam yang berkemampuan. Allah berfirman yang bermaksud, “Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadah haji dengan mengunjungi Baitullah (Kaabah)” ( Ali-Imran: 97). Firman-Nya lagi yang bermaksud, “Sempurnakanlah ibadah haji dan umrah kerana Allah” (Al-Baqarah: 196).
Sekiranya seseorang Muslim itu memenuhi syarat wajib menunaikan haji, tetapi tidak dapat melaksanakannya kerana sebab tertentu, maka hajinya boleh ditunaikan oleh warisnya atau dengan mengupah orang lain. Upah haji ini bermaksud melakukan ibadah haji bagi pihak orang lain.
Ada dua sebab utama yang mengharuskan haji diwakilkan kepada orang lain (upah) iaitu pertama, meninggal dunia sebelum sempat menunaikan haji dan kedua, tidak mempunyai keupayaan fizikal.
Seseorang yang memenuhi syarat wajib menunaikan haji tetapi dia melewatkan pelaksanaannya tanpa sebarang halangan atau uzur syarie kemudian dia meninggal dunia, kewajipan haji tetap tidak gugur.
Dalam hal ini wajib diperintahkan orang menunaikan haji bagi pihaknya (upah). Perbelanjaannya pula hendaklah diambil daripada harta si mati. Ia dianggap sebagai hutang. Harta pusaka tidak boleh dibahagikan kecuali selepas segala hutang dilunaskan.
Diriwayatkan daripada Ibnu Abbas bahawa seseorang wanita daripada kabilah Juhainah datang menemui Rasulullah SAW berkata, “Sesungguhnya ibuku bernazar hendak menunaikan haji kemudian meninggal dunia sebelum menunaikannya, adakah aku perlu perlu menunaikan haji bagi pihaknya?
Baginda menjawab: “Ya, tunaikanlah haji untuk ibumu. Apa pandangan kamu kalau ibu kamu berhutang, bukankah kamu yang membayarnya? Jawabnya: Ya. Sabda baginda: Tunaikanlah hutang Allah dan hutang Allah lebih utama ditunaikan. (Riwayat al-Bukhari).
Jelaslah bahawa hadis ini menganggap sama haji dengan hutang yang tidak akan gugur kerana kematian. Ia wajib ditunaikan atau dibayar oleh waris si mati.
Adapun bagi orang yang sakit dan tiada harapan sembuh, dia harus mengupah orang lain untuk menunaikan haji bagi pihaknya. Namun, orang yang diwakilkan itu pula disyaratkan menunaikan hajinya terlebih dulu.
Diriwayatkan daripada Ibnu Abbas bahawa seorang wanita daripada kabilah Khasyam berkata, “Wahai Rasulullah. Bapaku wajib menunaikan haji. Namun dia seorang tua yang tidak berupaya duduk di atas kenderaan”. Rasulullah SAW bersabda, “Tunaikanlah haji untuknya”. (Riwayat al-Jama’ah).
Berdasarkan hadis di atas, jelas bahawa orang yang mengupah haji itu boleh terdiri daripada orang yang hidup tetapi uzur atau warisnya bagi meninggal dunia.
Islam mengharuskan upah haji ini bagi memberi peluang kepada orang sakit yang tiada harapan sembuh atau orang tua hilang upaya dapat mengupah orang lain mengerjakan haji bagi pihaknya.
Di samping itu, ia juga memberi peluang kepada anak-anak atau ahli keluarga untuk berbakti kepada ibu bapa atau keluarga yang sudah meninggal dunia.
Oleh itu, kita hendaklah merancang untuk menunaikan ibadah haji dalam usia muda dan sihat ini. Dengan itu, seseorang Muslim itu perlu bekerja keras untuk meningkatkan pendapatan, berjimat cermat dan menyimpan wang untuk menunaikan fardu haji.
Sumber ~ http://www.bharian.com.my
Posted by: ahmadzaki on: 21 Oktober 2009
Soalan:
Mengapakah kita tidak membacakan Bismillah pada awal surah al-Taubah.
Pelajar bingung,
Melaka.
Jawapan:
Ada pelbagai penjelasan ulama tafsir berhubung perkara ini. Sebagai contoh diperjelaskan oleh al-Qurtubi dalam tafsirnya, al-Jamik Li ahkam al-Quran.
Pandangan pertama ialah menjadi tradisi masyarakat Arab yang sengaja menggugurkan al-Basmalah apabila berlaku pencerobohan atau memungkiri janji. Sikap pihak Quraisy memungkiri janji menyebabkan surah ini diturunkan tanpa dimulakan dengan al-Basmalah.
Pandangan kedua pula yang diriwayatkan al-Nasaei ahmad daripada Muhammad al-Muthanna bahawa Ibn Abbas pernah bertanyakan kepada Uthman Affan, mengapakah surah al-Taubah termasuk dalam kategori suah al-Mi`in digabungkan dengan al-Anfal yang sebahagian surah al-Mathani.
Jawapan Uthman adalah perkara itu ditetapkan Nabi SAW tanpa penjelasan sehingga Baginda wafat. Uthman hanya berkata, kedua-dua surah itu mengandungi mesej hampir sama. Perkara ini juga diriwayatkan al-Tirmizi dalam jalan periwayatan.
Pandangan ketiga pula daripada Abu Ismah dan Kahrijah bahawa sahabat berselisih pandangan terhadap surah al-Anfal dan al-Taubah. Apakah kedua-duanya membentuk surah yang sama atau berbeza.
Apabila kedua-dua golongan itu tidak bersetuju, maka jalan tengah yang dipilih ialah membiarkan surah al-Taubah tanpa dimulakan al-Basmalah bagi menerima pandangan yang mengatakan ia sebahagian surah al-Anfal. Pada masa yang sama, surah al-Taubah dimulakan dengan nombor pertama bagi menerima hujah pihak kedua yang mengatakan ia adalah surah berbeza.
Pandangan keempat yang menjadi pilihan kebanyakan ulama bersumberkan daripada Ibn Abbas yang mengatakan al-Basmalah yang diletakkan pada permulaan surah membawa syiar kedamaian sedangkan surah al-Taubah ini mengetengahkan mesej yang tegas iaitu amaran dan peperangan.
Surah ini menyampaikan pernyataan umum putusnya ikatan dan perjanjian antara Muslimin dengan Musyrikin, kecuali sebahagian perjanjian yang sudah ditetapkan ketika berlakunya hingga ke waktu tertentu. Itupun jika perjanjian itu tidak dilanggar atau dirosakkan. Musyrikin sengaja melakukan helah terhadap Muslimin seperti menjalin hubungan dengan Yahudi dan mengingkari ketetapan yang ditandatangani bersama.
Perkara ini mengakibatkan ikatan persefahaman yang dimeterai bersama dirungkai dan tiada lagi tanggungjawab moral terhadap pengkhianatan itu.
Islam mesti membuat perhitungan dengan mereka. Demikian latar belakang peristiwa berkaitan dengan turunnya surah al-Taubah atau dinamakan juga sebagai al-Bara`ah seperti yang diperjelaskan Ibn Jarir dalam tafsirnya. Inti pati peringatan daripada surah ini dapat difahami dengan jelas menerusi ayat pertama surah berkenaan iaitu: “(Ini adalah) pemutusan tanggungjawab (pembatalan perjanjian) daripada Allah SWT dan Rasul-Nya terhadap golongan kafir musyrik yang kamu mengikat perjanjian setia (dengan mereka).”
Menurut Sufyan Uyainah, al-Basmalah yang terletak pada awal surah mengandungi makna rahmat yang diperuntukkan untuk kalangan Mukminin. Ini berbeza terhadap golongan Musyrikin, munafik dan kafir yang menjadi penentang Islam. Mereka tidak layak mendapat jaminan itu.
Bagaimanapun, setiap penjelasan ini sebenarnya adalah pandangan ulama di kalangan sahabat dan tabi’in. Memadailah untuk kita mengatakan setiap perkara yang berhubung dengan al-Quran adalah ketetapan Allah SWT secara tawqifiy.
Apabila Nabi SAW memperdengarkan bacaan al-Anfal hingga ke penghujung, maka Baginda menyambung dengan surah al-Taubah tanpa membacakan al-Basmalaha, wallahu a’lam.
Sumber ~ http://www.bharian.com.my
Posted by: ahmadzaki on: 20 Oktober 2009
Oleh Abdulrahman Haqqi
KASIH sayang sifat yang perlu dipraktikkan setiap Muslim untuk mendamaikan manusia dan alam sejagat.
Islam sedia panduan umat bersederhana jalani kehidupan agar mendapat rahmat Ilahi
PENULIS sedang menunggu giliran dipanggil untuk berjumpa doktor gigi Selasa lalu di klinik kerajaan, Berakas, Brunei Darussalam.
Di depan penulis yang duduk di ruang menunggu ada pintu masuk yang masih terkunci. Selama menunggu giliran, lima lagi cuba masuk melalui pintu itu; tiga perempuan dan dua lelaki.
Penulis ’sedekahkan’ waktu pada masa itu memerhati tingkah laku kelima-lima orang itu terhadap pintu, apakah mereka menyentuh pintu atau tidak dan terus pergi ke pintu utama di tengah bangunan klinik.
Daripada lima itu hanya seorang perempuan yang tidak menyentuh pintu dan terus menuju pintu utama, manakala empat lainnya menyentuh pintu. Ada yang merempuh pintu dengan badan kerana membawa barang, ada yang mendorong pintu, ada yang menariknya dan ada juga yang menyentuhnya sambil memerhati apakah pintu terkunci atau tidak.
Hasil pemerhatian cepat itu ialah hanya seorang yang lulus, manakala empat lagi gagal dan kesimpulan mengapa perempuan itu berhasil ialah kerana dia berjalan di bumi dengan sopan santun, ‘haunan’ (ayat 63 Surah al-Furqan) yang akan disoroti di sini.
Sebelum melanjutkan perbincangan, sukacita penulis mengambil perhatian pembaca mengenai kekeliruan ramai dengan masalah pintu dalam bangunan awam. Kita lihat di kebanyakan pintu tertulis perkataan mengelirukan kerana ia ditulis dalam bahasa asing. Kata-kata itu ialah push dan pull.
Ramai keliru untuk memahami yang mana pintu harus didorong dan yang harus ditarik. Kita selalu mengerling sebelum masuk apakah push yang ertinya ‘dorong’ atau pull yang ertinya tarik. Cuba kalau ditulis sejak awal ‘tarik’ dan ‘dorong’ tentu banyak pintu tidak akan cepat rosak.
Pada pemerhatian penulis perempuan berkenaan ‘lulus’ kerana dia berjalan dengan lemah lembut dan mantap tidak seperti lain yang berjalan cepat atau tergopoh-gopoh atau percaya diri bahawa pintu itu terbuka. Perempuan itu sebelum sampai di pintu sudah menyedari ia terkunci kerana boleh dilihat dengan jelas dari luar dan dalam.
Dalam ayat 63 Surah al-Furqan disebutkan maksudnya: “Dan hamba (Allah) Al-Rahman (yang diredai-Nya) ialah mereka yang berjalan di bumi dengan sopan santun dan apabila orang berkelakuan kurang adab, hadapkan kata kepada mereka, mereka menjawab dengan perkataan yang selamat daripada perkara yang tidak diingini.” Dalam ayat ini dan ayat yang berikutnya sampai akhir surah, Allah menerangkan sifat orang beriman yang terpuji dan diredai-Nya.”
Kata ‘haunan’ dalam ayat di atas ditafsirkan dengan pengertian sopan santun. Ibn Kathir dalam kitab tafsirnya menjelaskan ertinya: “tenang dan tenteram penuh kemuliaan tidak dengan kesombongan dan keangkuhan seperti firman Allah maksudnya: “Dan janganlah engkau berjalan di bumi dengan berlagak sombong.” (Surah Luqman: 18)
Bukan maksud ayat ini mereka berjalan terhuyung-hayang seperti sedang sakit atau dengan bersifat riak. Kita ketahui Nabi Muhammad SAW berjalan bak air yang mengalir dan seolah-olah bumi ini dihamparkan kepadanya.
Oleh itu, sebahagian orang salih tidak menyukai jalan yang dibuat-buat lemah atau penuh kepura-puraan sehingga pernah diriwayatkan daripada Umar ibn al-Khattab RA bahawa belia pernah melihat seorang pemuda yang berjalan perlahan dan beliau berkata kepadanya: “Apa yang tak kena padamu? Adakah kamu sakit?” Kemudian pemuda itu menjawab: “Tidak, wahai Amirul Mukminin.” Maka Saidina Umar menyebatnya dan memerintahkannya untuk berjalan dengan gagah. Jadi, maksud ‘haun’ dalam ayat ini adalah berjalan dengan tenang dan tenteram penuh kemuliaan.” (Mukhtasar)
Nasihat cendekiawan, Luqman al-Hakim kepada anaknya ialah seperti yang disebutkan al-Quran maksudnya: “Dan sederhanakanlah langkahmu ketika berjalan, juga rendahkanlah suaramu (ketika berkata), sesungguhnya seburuk-buruk suara ialah suara keldai.” (Surah Luqman: 19)
Dalam ayat ini ada hakikat sains yang dibuktikan pakar suara dan haiwan bahawa suara keldai adalah seburuk-buruk suara di bumi.
Berjalan sederhana akan membawa keberkatan dan keselamatan hidup di dunia dan di akhirat. Berjalan di sini tidak hanya menggunakan kaki, tetapi semua pengertian jalan yang maknawi dan hakiki. Menjalani kehidupan seharian juga diertikan sebagai berjalan.
Kesederhanaan dan bersahaja adalah sifat hamba Allah yang mulia. Sederhana dan bersahaja perbuatan yang tidak ekstrem atau berlebihan dan juga tidak berkurangan. Kesederhanaan adalah sifat penengah, adil dan umat Islam adalah ummatan wasatan, umat adil, penengah bagi umat lain.
Seperti dikatakan orang salih dan bijak pandai: “Sesungguhnya sifat dermawan itu ada di antara dua sifat, boros dan kikir. Sesungguhnya sifat berani ada di antara pengecut dan membabi buta.
“Sesungguhnya sifat penyantun ada di antara sifat keras dan bodoh. Sesungguhnya senyum ada di antara kemuraman dan tertawa. Sesungguhnya sifat sabar ada di antara sifat keras dan sifat mengeluh. Sikap ekstrem ubatnya merendam dan memadamkan sebahagian daripada gejolak yang membakar, sedangkan hati lalai boleh diubati dengan cara membakar semangat dan membakar harapan di hati.” Bersikap sederhana membuatkan kita bahagia dan berhasil. Berlebihan dalam ibadah merosakkan badan, memadamkan kobaran semangat dan ketahanan dalam bekerja.
Jangan malas kerana kemudian nanti kita cenderung menjauhi hal bersifat nafilah, mengabaikan fardu dan hanya bergantung pada harapan kosong. Sederhana dalam berinfaq bererti jangan menghamburkan harta sehingga kemudian kita menjadi orang merana.
Namun, jangan pula terlalu banyak perhitungan dan kikir terhadap apa yang kita miliki, sehingga menjadi tercela dan dijauhkan daripada rahmat Allah.
Sederhana dalam berakhlak bersikap di antara ketegasan yang melampaui batas dan kelembekan yang tidak berdaya, antara kemuraman hati yang terlalu dan tertawa yang terbahak-bahak, antara mengasingkan diri sehingga tidak kenal masyarakat setempat dan bergaul dengan masyarakat hingga lupa segala-galanya.
Sederhana dalam menangani masalah, menilai sesuatu dan dalam bergaul dengan orang lain. Tidak berlebihan, justeru meringankan timbangan nilai; tidak mengabaikan sehingga pokok kebaikannya tidak tersentuh. Berlebihan adalah pemborosan dan berfoya-foya, sedangkan mengabaikan adalah kering. Sopan santun adalah refleksi kesederhanaan yang diserukan agama Islam bahkan ia adalah inti kemuliaan manusia yang membezakan mereka daripada makhluk yang lain. Wallahualam.
Sumber ~ http://www.bharian.com.my
Posted by: ahmadzaki on: 19 Oktober 2009
Soalan:
APAKAH hukumnya membeli atau memakan ikan air tawar yang tidak diketahui sumber pemakanannya, termasuk kemungkinan ia berasal dari sumber yang haram dari sisi agama?
Insan Musykil,
Kuala Lumpur
Jawapan:
Diriwayatkan daripada Amr bin Syuaib daripada ayahandanya, datuknya bahawa Nabi SAW melarang memakan daging keldai belaan, menunggangi haiwan jalaalah dan memakan dagingnya (riwayat Ahmad dengan sanad yang baik sebagaimana dijelaskan oleh Ibn Hajar dalam Fathul Bari).
Kalangan ulama hadis menjelaskan jalaalah bermakna haiwan yang memakan daripada sumber yang kotor ataupun najis. Dalam hadis yang lain, diriwayatkan oleh al-Tirmizi, Abu Daud dan Ibn Majah Nabi melarang memakan haiwan jalaalah daripada disembelih untuk dimakan dagingnya dan daripada meminum susunya.
Berpandukan kepada mafhum dua hadis di atas, Muslim dilarang memanfaatkan binatang yang memakan kekotoran (jalaalah ) ini untuk kegunaan berikut :
1. Menunggangnya
2. Meminum susunya
3. Memakan dagingnya
Bagaimanapun apabila seseorang itu hendak memakan binatang yang sentiasa memakan kekotoran itu, beliau hendaklah mengurung binatang itu sehingga makanannya ditukarkan kepada makanan yang baik. Perkara ini berpandukan kepada amalan Abdullah bin Umar yang pernah mengurung ayam jalaalah ( pemakan kekotoran ) selama tiga hari sebelum menyembelihnya.
Sebahagian ulama ada yang menyangka bahawa haiwan jalaalah ini terbatas kepada haiwan berkaki empat saja, walhal sabda Nabi SAW seperti yang termaktub dalam riwayat di atas, bersifat umum untuk semua pemakan kekotoran.
Merujuk kepada soalan saudara/saudari, sekiranya meragui sumber pemerolehan ikan berkenaan dari tempat diharamkan, maka lebih baik diusahakan mencari rezeki daripada sumber yang diyakini kesuciannya.
Perbincangan ini sebenarnya lebih menjurus kepada ilmu akhlak bahawa Muslim diajar memastikan asal-usul atau sumber makanannya. Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Tidak akan mencapai seseorang Muslim itu tingkat ketakwaan sehinggalah beliau mening-galkan sesuatu yang tidak ada apa-apa dengannya kerana bimbangkan adanya sesuatu padanya. (Riwayat al-Tirmizi, al-Nasaei, al-Baihaqi dan al-Hakim )
Maksud hadis ini menuntut seseorang Muslim untuk bertindak menjauhi sesuatu perkara yang lahirnya kelihatan harus atau halal, tetapi apabila dilihat menerusi mata hati melahirkan sesuatu yang meragukan. Demikianlah seperti yang dihuraikan oleh al-Imam al-Ghazali dalam bab makan, dan dan kepentingan menjaga diri dari hal-hal yang syubhat.
Kemungkinan apabila sampai kepada suasana ini Muslim mesti lebih berjaga-jaga dan menukar menu kepada makanan yang lebih diyakini kesucian dan sumbernya.
Wasiat ini juga selari dengan perintah Allah menerusi surah al-Mukminun ayat ke 51 yang bermaksud: Wahai Rasul-rasul, makanlah daripada benda yang baik lagi halal dan kerjakanlah amal soleh; sesungguhnya Aku Maha Mengetahui akan apa yang kamu kerjakan.
Menurut al-Qurtubiy dalam tafsirnya, pesanan yang mengandungi perintah ini ditujukan khusus kepada golongan rasul. Jika kalangan manusia yang bertaraf maksum masih diingatkan kewajipan memelihara makanan, maka bagi manusia biasa, sudah tentulah lebih-lebih lagi ditekankan.
Kita juga dapat mengambil pengajaran betapa pentingnya umat Islam berkecimpung dalam kegiatan keusahawanan membabitkan penternakan ikan dan haiwan lain yang diperlukan untuk memenuhi keperluan duniawi dan fardhu kifayah. Wallahu a’lam.
~Sumber dari http://www.bharian.com.my
Posted by: ahmadzaki on: 18 Oktober 2009
SEGALA bencana ditimpa Allah sepatutnya menambah keimanan umat Islam.
Al-Quran beri peringatan, petanda agar manusia mengimani hari akhirat
ANTARA Rukun Iman enam perkara ialah percaya hari akhirat seperti disabdakan Baginda SAW ketika menjawab pertanyaan Malaikat Jibril AS mengenai iman yang bermaksud: “Iman ialah engkau beriman kepada Allah dan malaikat-Nya dan segala kitab-Nya dan rasul-Nya dan hari kemudian dan engkau beriman kepada takdir baiknya dan buruk.” (Hadis riwayat Muslim)
Lima daripada enam Rukun Iman sudah, sedang dan akan dilalui seorang mukmin bahkan dirasakan kenikmatannya bagi sesiapa yang beruntung.
Satu lagi rukun kekal menjadi rahsia Allah SWT iaitu hari akhirat. Dalam sambungan hadis di atas disebutkan maksudnya: “Khabarkan kepadaku perihal hari kiamat.” Rasulullah menjawab: “Tidaklah yang ditanya mengenainya lebih tahu daripada orang yang bertanya.” Nabi SAW pun tidak mengetahuinya.
Sebagai orang beriman kita beriman kepada hari kiamat dengan penuh keyakinan dan kebenaran (al-tashdiq), beriman kepada apa yang Allah SWT khabarkan mengenai hari kiamat dalam Kitab-Nya dan apa yang dikhabarkan Rasulullah SAW mengenai segala hal yang akan terjadi selepas mati sehingga penghuni syurga masuk syurga dan penghuni neraka masuk neraka.
Sesungguhnya Allah SWT berulang kali hari kiamat dalam kitab-Nya, menjelaskannya di banyak tempat, memperingatkan kepadanya dalam setiap kesempatan, menegaskan kejadiannya dan sering menyebutkannya, bahkan mengaitkan keimanan kepada-Nya dengan hari kiamat. Allah merahsiakan waktu berlaku kiamat kepada hamba-Nya, tetapi memberikan tanda kejadian itu.
Kita beriman kepada segala yang akan berlaku daripada tanda hari kiamat sama ada tanda kecil (alamat al-shughra) atau besar (al-kubra). Tanda itu ialah isyarat akan berlaku hari kiamat kerana ia termasuk dalam cakupan iman terhadapnya.
Dalam buku Al-Wajiz fi Akidah al-Salaf al-Salih Ahli al-Sunnah wa al-Jama’ah (Intisari Akidah Ahli Sunnah Waljama’ah) tulisan Abdullah Abdulhamid al-Atsri dibincangkan mengenai tanda kecil hari akhir yang mempunyai landasan dalil syarak muktamad antaranya: “Banyak berlaku pembunuhan, mengharapkan mati kerana musibah yang dahsyat, keinginan agar dirinya seperti orang yang mati dan berandai dia sudah mati kerana dahsyatnya petaka yang dihadapi, ramai meninggal dunia tiba-tiba, maut kerana gempa atau wabak, lelaki sedikit daripada perempuan, wanita berpakaian tetapi telanjang, melebarnya pelacuran di jalan dan munculnya penyokong orang zalim daripada kalangan petugas keselamatan yang mendera manusia.
Tandanya kiamat lain ialah munculnya alat muzik, arak, perzinaan, riba, pemakaian sutera halal bagi lelaki, terbenamnya sebahagian bumi dengan segala di atasnya, muncul perubahan bentuk tubuh dan bermaharajalela fitnah.
Gempa ialah kejadian yang luar biasa dahsyatnya. Bayangkan ketika anda dalam ketenangan, ketenteraman dan kedamaian hidup tiba-tiba bumi yang anda pijak bergetar, goyang dan hancur memporak-perandakan segala di sekitar anda. Betapa menderitanya jika anda ditakdirkan terus hidup.
Dalam mengilustrasikan kejadian hari kiamat, Allah menggunakan contoh gempa bumi dalam kitab suci-Nya kerana ia menunjukkan sesuatu yang sangat dahsyat dan kehebatan kekuasaan-Nya.
Firman Allah dalam Surah al-Hajj ayat 1 dan 2 yang bermaksud: “Wahai umat manusia, bertakwalah kepada Tuhan kamu! Sesungguhnya gempa hari kiamat itu sesuatu perkara yang amat besar. Pada hari kamu melihat (peristiwa yang mengerikan) itu, setiap ibu melupakan anak yang disusukannya, dan perempuan mengandung gugurkan anaknya; dan engkau akan melihat manusia mabuk, pada hal mereka tidak mabuk, tetapi azab Allah amatlah berat, mengerikan.”
Peringatan ayat di atas adalah untuk semua umat manusia bukan kepada kafir atau orang jahat saja.
Pada era nabi dan rasul dulu, Allah membinasakan pembangkang mereka dengan kejadian mengerikan seperti hujan batu, gempa dan ditelan bumi.
Al-Quran menerangkannya yang bermaksud: “Masing-masing Kami binasakan dengan sebab dosanya iaitu antaranya ada yang Kami hantarkan angin ribut menghujaninya dengan batu; dan ada yang dibinasakan dengan letusan suara yang menggempakan bumi; dan ada yang Kami timbuskan dia di bumi; dan ada pula yang Kami tenggelamkan di laut. Dan (ingatlah) Allah tidak sekali-kali menganiaya mereka, akan tetapi merekalah yang menganiaya diri sendiri.” (Surah al-’Ankabut: 40)
Pada hari ini, sudah tidak ada lagi era kenabian mahupun kerasulan. Kejadian gempa tidak ada kena-mengena dengan penderhakaan kepada nabi dan rasul. Di samping sebagai peringatan Allah, bencana alam gempa ialah hukum alam semula jadi dengan Allah menjadikan kawasan tertentu sebagai pusat gempa seperti persekitaran api akan merasakan kepanasan api dan persekitaran ais akan merasakan kesejukan.
Gempa bumi yang dalam bahasa Arabnya zilzal mempunyai konotasi mengerikan dan mendukacitakan. Oleh kerana dahsyat gempa itulah, Allah menamakan salah satu surah al-Quran yang berjumlah 114 dengan Surah al-Zalzalah (Gegaran), surah nombor 99 bersamaan jumlah Asmaul Husna. Surah ini juga bercerita mengenai hari kiamat.
Imam al-Suyuti dalam Asrar Tartib al-Quran (Rahsia Urutan Surah al-Quran) berkata: “Aku berpendapat: “Apabila pada akhir surah Lam yakun (al-Bayyinah) disebutkan balasan orang kafir ialah neraka dan ganjaran orang mukmin adalah syurga seolah-olah ditanyakan bila ia berlaku? Maka jawapannya ialah ‘apabila bumi digegarkan dengan gegaran yang sedahsyat-dahsyatnya’ yakni ketika berlaku gempa bumi.”
Sambungan surah ini ialah: “Serta bumi itu mengeluarkan segala isinya. Berkatalah manusia (dengan perasaan gerun): “Apa yang sudah terjadi kepada bumi?” (Ayat 2-3)
Selain dua tempat yang disebutkan di atas, kata ‘zilzal’ disebut tiga kali lagi dalam al-Baqarah ayat 214 dan al-Ahzab ayat 11 dengan pengertian gegaran jiwa bukan gegaran fizikal. Orang beriman ketika mendengar dan melihat tanda kebesaran Allah termasuk tanda kecil hari kiamat termasuk kejadian gempa akan bertambah iman mereka.
“Sesungguhnya orang yang beriman itu (yang sempurna imannya) ialah mereka yang apabila disebut nama Allah (dan sifat-Nya) gementarlah hati mereka dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayat-Nya, menjadikan mereka bertambah iman dan kepada Tuhan jualah mereka berserah.” (Surah al-Anfal: 2). Tawakkalnaalallah!
~Sumber dari http://www.bharian.com.my
Posted by: ahmadzaki on: 17 Oktober 2009
Oleh Idris Musa
idris@hmetro.com.my
ANDA seorang Muslim! Tetapi sejauh mana anda mengetahui diri anda adalah Muslim sejati, diredai Tuhan dan berada pada jalan yang lurus?
ANDA seorang Muslim! Tetapi sejauh mana anda mengetahui diri anda adalah Muslim sejati, diredai Tuhan dan berada pada jalan yang lurus?
Pastikan ia memerlukan kepada penanda aras atau neraca untuk mengetahuinya.
Sama juga di sektor korporat, ada Petunjuk Prestasi Utama (KPI), iaitu mekanisme metrik untuk memberi markah sejauh mana ia mencapai sasaran dan kejayaan.
Ia diamalkan di pelbagai sektor untuk menilai dan mengukur tahap kemajuan, kepemimpinan, perkhidmatan dan kepuasan dari segenap aspek, berdasarkan keutamaan dan garis panduan di setiap organisasi.
Bagaimanapun, mengukur pencapaian organisasi tidak semudah mengukur diri sendiri, kerana ia terletak pada hati budi masing-masing.
Penceramah bebas, Ahmad Shukri Yusof, berkata dalam mengukur tahap keislaman dan pengabdian diri konsep kita sebagai Muslim tidak boleh lari daripada tiga perkara utama iaitu Islam, iman dan ihsan.
“Islam ialah yang membabitkan rukunnya kenalah mencukupi, seperti ibadat solat, haji dan zakat perlu ditunaikan dengan sempurna.
“Persoalan iman membabitkan enam perkara. Dalam ihsan, kita melakukan ibadat seolah-olah kita melihat Tuhan, jika tidak dapat melihat Tuhan, lakukanlah seolah-olah Tuhan melihat kita,” katanya.
Menurutnya, dalam Islam juga ada konsep muhasabah iaitu melihat kekurangan yang ada pada diri dan kesilapan dilakukan, memperbaikinya dan melakukan yang lebih baik pada masa depan.
“Ramai orang berkata, muhasabah adalah membabitkan perkara yang sudah dilakukan, manakala perkara sebelum dan sedang dilakukan adalah tidak termasuk dalam muhasabah.
“Tetapi sebenarnya, kita kena lihat juga perkara yang belum dan sedang dilakukan, sama ada baik atau tidak, bahkan kesudahannya baik atau sebaliknya.
“Itulah neraca kita sebagai Muslim. Persoalan sama ada amalan yang dilakukan itu diterima atau tidak terserah kepada Allah,” katanya.
Mengenai amalan yang ikhlas, Imam Nawawi dalam keterangannya seperti dilaporkan dalam Hadith 40, berkata amal ada tiga bahagian, iaitu:
* Amal yang dikerjakan kerana takut kepada Allah. Amal ini dinamakan ibadat hamba.
* Amal yang dikerjakan kerana mendapatkan syurga dan pahala. Amal ini dinamakan ibadat saudagar.
* Amal yang dikerjakan kerana malu kepada Allah dan dilaksanakan hak pengabdian, malah membuktikan kesyukuran serta merasakan diri sebagai seorang yang masih di dalam kecuaian dan kebimbangan yang penuh ketakutan kerana tidak tahu adakah amalnya diterima atau tidak. Amal ini dinamakan ibadat yang merdeka.
“Dan inilah rupa amal ibadat yang dimaksudkan Rasulullah sewaktu menjawab sungutan Aisyah yang berkata: Mengapakah Rasulullah bersusah payah berdiri solat waktu malam hingga bengkak-bengkak dua belah kakinya, sedangkan Allah sudah mengampunkan dosanya yang lalu dan yang akan datang! Rasulullah dalam jawapannya berkata: Tidakkah patut aku menjadi hamba yang bersyukur!”
Ketiga-tiga bahagian amal ini yang dinamakan amal ibadat orang yang ikhlas dan perbezaannya terletak pada bahagian terbabit.
Ahmad Shukri yang juga Perunding Motivasi Fitrah Power Resources berkata, neraca yang diguna pakai Islam adalah bersifat syumul, kerana bertunjangkan akidah dan wahyu Ilahi.
Sementara neraca yang lain dari Islam menurutnya tidak sedemikian kerana lebih bersifat luaran dan material, malah ia mungkin baik dari satu sudut dan tidak pada sudut yang lain.
Al-Syahid Sayyid Qutb dan Abul Ala Al-Maududi dalam Manhaj Hidup Muslim, berkata kayu ukur yang dipakai Allah dalam menilai kedudukan seseorang adalah apakah hidupnya, matinya, kesetiaannya, kepatuhan dan pengabdiannya.
“Seluruh hidup dan kerjanya ditujukan kepada Allah semata-mata, lalu ia dinilai sebagai seorang Mukmin dan Muslim.
“Tetapi apabila semua itu diperuntukkan bagi yang lain, ia bukanlah Mukmin atau Muslim. Siapapun yang tidak memenuhi ciri ini bererti kurang imannya.
“Menurut Allah, satu-satunya hal yang dapat dinilai adalah apakah anda telah memberikan segala yang anda miliki pada jalan-Nya.
“Bila anda telah melakukannya, anda akan memperoleh hak istimewa, diberikan kepada mereka yang setia kepada-Nya dan menerima hak pahala bagi pengabdian anda kepada-Nya.
“Tetapi bila anda mengecualikan apa pun juga dari pengabdian kepada-Nya, pengakuan anda sebagai seorang Muslim, yang bererti anda mengabdikan diri sepenuhnya kepada Allah adalah pengakuan palsu, hanya dapat mengabui mata dunia dan masyarakat Islam, tetapi tidak akan dapat menipu Allah.”
Sekiranya mekanisme KPI memandang penting kepada objektifnya, kehidupan seorang Muslim meletakkan sasaran bertemu Allah di akhirat.
“Maka sesiapa mengharapkan pertemuan dengan Tuhannya, hendaklah kerjakan amal soleh. Dan janganlah ia sekutukan seorang pun dalam beribadat kepada Tuhannya.” (al-Kahfi: 110)
sumber http://www.hmetro.com.my
Posted by: ahmadzaki on: 16 Oktober 2009
SABAR adalah satu sifat manusia. Ia bererti menahan dan menanggung diri daripada perkara yang tidak disukai Allah kepada yang disukai atau menahan dan menanggung diri daripada yang disukai nafsu kepada yang disukai Allah.
Berpandukan kepada pengertian itu, sabar adalah satu istilah yang mengandungi pelbagai makna dan nama.
Contohnya menahan diri di medan perang disebut berani (as-saja’ah), lawannya bacul (al-jubn), manakala menahan diri daripada suatu keinginan nafsu Arabnya disebut ‘dabtun nafs’ dan lawannya ‘al-batr’.
Sabar adalah senjata terpenting manusia, lebih-lebih lagi diri manusia sentiasa menghadapi pelbagai ujian. Dengan sifat ini membolehkan manusia mengatasi ujian dan mencapai kejayaan.
Banyak nas yang memerintah kita bersifat sabar, antaranya bermaksud: “Hai orang-orang beriman, bersabarlah dan kuatkanlah kesabaranmu dan tetaplah bersiap sedia (di perbatasan negerimu) dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu beruntung.” (Ali-Imran:200)
Cendekiawan membahagikan sifat sabar kepada beberapa jenis, iaitu:
1. Sabar terhadap kesusahan dan bala bencana yang menimpa pada manusia biasa, bahkan di kalangan nabi.
Antara yang dirumuskan al-Quran ialah sabar dalam bentuk ini termasuklah bersabar dengan kefakiran atau kelaparan, bersabar terhadap kesakitan, ketika peperangan dan ketakutan, kerana kehilangan wang, kehilangan jiwa dan harta benda.
2. Sabar terhadap keinginan nafsu yang menjadi urusan syaitan. Antaranya sabar atas tarikan dan runtunan nafsu yang rendah dan hina, termasuk bersabar dari menurut perasaan marah.
3. Sabar terhadap kemewahan. Ini termasuk bersabar terhadap kenikmatan orang lain, seperti orang kafir dan golongan taghut yang pada lahirnya nikmat tetapi pada batinnya adalah azab.
4. Sabar terhadap ketaatan yang sememangnya banyak halangan. Nafsu itu tabiatnya liar dan tidak suka kepada pengabdian, malah malas pula untuk melaksanakan amal ketaatan.
Kesabaran ini memerlukan tiga peringkat:
# Sebelum dapat melaksanakan sesuatu ketaatan, perlulah memperbaiki niat dan ikhlas, sabar daripada riak yang merosakkan dan sabar untuk menguatkan keazaman.
# Ketika mengerjakan ketaatan, hendaklah sentiasa berjaga dan berwaspada daripada faktor yang boleh melemahkannya.
# Selepas mengerjakannya hendaklah bersifat sabar daripada melakukan suatu yang membatalkan amal ketaatannya.
5. Sabar terhadap kesusahan berdakwah ke jalan Allah. Dakwah ke jalan Allah adalah suatu usaha mulia dan suci. Ia adalah warisan daripada rasul dan nabi, mempunyai halangan dari musuh kebenaran dan kebaikan.
Harus diingat, dakwah kepada jalan Allah dan agama-Nya sangat bertentangan dengan keinginan dan hawa nafsu, dengan adat dan tradisi, keseronokan dan kerehatan, pangkat dan kedudukan, bahkan kekayaan dan kekuasaan.
sumber http://www.hmetro.com.my
Posted by: ahmadzaki on: 15 Oktober 2009
Oleh Idris Musa
idris@hmetro.com.my
TIADA lafaz paling keramat dari lidah seorang lelaki yang bergelar suami, kecuali talak, bahkan dilihat dari satu sudut ia adalah hak eksklusif kaum Adam terhadap kaum Hawa.
TIADA lafaz paling keramat dari lidah seorang lelaki yang bergelar suami, kecuali talak, bahkan dilihat dari satu sudut ia adalah hak eksklusif kaum Adam terhadap kaum Hawa.
Ada benarnya, kerana dalam Islam lafaz talak atau cerai yang keluar dari bibir si isteri tidak diambil kira, walaupun dia melafazkannya berulang kali dengan bersungguh-sungguh, sekali gus menunjukkan kuasa talak hak suami.
Firman Allah bermaksud: “Wahai Nabi! Apabila kamu (engkau dan umatmu) hendak menceraikan isteri-isteri (kamu), ceraikanlah mereka pada masa mereka dapat memulakan idahnya dan hitunglah masa idah itu (dengan betul) serta bertakwalah kepada Allah, Tuhan kamu…” (al-Quran, surah al-Talaq-65: 1)
Walaupun begitu, seorang suami harus berwaspada.
Sabda Nabi bermaksud: “Allah tidak menjadi sesuatu yang halal, yang lebih dibenci oleh-Nya dari talak.”
Dan lagi: “Perbuatan halal yang paling dibenci oleh Allah ialah talak.” (Riwayat Abu Dawud)
Seorang suami tidak wajar mempermainkan perkataan cerai kerana sekali ia terlepas dari mulut, mereka mungkin menyesal seumur hidup.
Rasulullah bersabda: “Tiga perkara menjadi serius walaupun dalam keadaan main-main atau serius iaitu nikah, cerai dan membebaskan hamba.”
Tetapi, sejauh mana lafaz cerai menjadi hak eksklusif suami? Apakah hak untuk berpisah bagi si isteri terkunci rapat? Jika benar, bukankah ia menzalimi isteri dan tidakkah undang-undang Islam ini menganiayai wanita!
Pensyarah Kanan Institut Islam Toronto, Kanada, Sheikh Ahmad Kutty, berkata dalam Islam, lelaki dan wanita mempunyai hak.
Menurutnya, ini selari dengan firman Allah bermaksud: “Dan isteri-isteri itu ada hak yang sama seperti kewajibannya secara yang sepatutnya…” (al-Quran, surah al- Baqarah: 228)
“Hak ini termasuk hak untuk dilayan secara adil dan baik dalam semua keadaan, kedua-duanya dalam kes perkahwinan dan perpisahan,” katanya, dalam satu ruangan soal jawab hukum di laman sesawang.
Sebagaimana lelaki mempunyai hak untuk membubarkan perkahwinan, wanita juga ada hak berbuat demikian, lebih-lebih lagi apabila berdepan dengan konflik yang mengakibatkan kekecewaan dan kesengsaraan.
Katanya, Allah memerintahkan lelaki berbuat baik terhadap wanita sepanjang waktu dan sebarang perlakuan tidak adil, menjadikan isteri tahanan penjara dalam perkahwinan.
“…maka bolehlah kamu pegang mereka (rujuk) dengan baik, atau lepaskan mereka dengan baik…” (al-Quran, surah al-Baqarah: 231)
“Dengan penjelasan penting al-Quran ini, Islam mengajar kita apabila seorang suami melanggar prinsip terbabit, isteri mempunyai hak mengambil apa-apa tindakan undang-undang bagi membubarkan perkahwinan.
“Ia adalah hak yang diberikan Islam kepadanya dan keputusan mahkamah dalam kes ini benar-benar berdasarkan Islam, bagi dirinya hanya bertindak dalam usaha untuk menghindari penganiayaan dan kecederaan dirinya,” katanya.
Beliau berkata, prinsip perundangan Islam menjelaskan, perlindungan mesti diambil bagi mengelak kecederaan dan kerosakan.”
Justeru, katanya, jika seorang isteri itu tidak mendapat keselesaan daripada suaminya, dia berhak meminta cerai.
Ulama terkemuka, Sheikh Yusuf Al-Qaradawi dalam bukunya, Halal dan Haram dalam Islam, berkata wanita yang tidak tahan tinggal dengan suaminya ada hak untuk membebaskan dirinya daripada ikatan perkahwinan, dengan mengembalikan mas kahwin (mahar) kepada suaminya.
Pemberian dari isteri itu katanya, sama ada lebih atau kurang nilainya bergantung kepada persetujuan kedua-dua pihak.
Bagaimanapun, katanya, seorang suami itu sepatutnya tidak meminta lebih daripada yang diberikannya kepada isteri.
“Dan tidak halal bagi kamu mengambil balik sesuatu yang telah kamu berikan kepada mereka, kecuali jika keduanya (suami isteri) takut tidak dapat menegakkan hukum Allah. Oleh itu kalau kamu khuatir bahawa kedua-duanya tidak dapat menegakkan hukum Allah, maka tidaklah berdosa (tebus talak) yang diberikan oleh isteri untuk menebus dirinya. Itulah hukum Allah maka janganlah kamu melanggarnya; dan sesiapa yang melanggar hukum Allah, maka mereka itulah orang yang zalim.” (al-Quran, surah al-Baqarah: 229)
Bagaimanapun, menurut al-Qaradhawi, adalah tidak dibenarkan bagi wanita untuk mendapat cerai dari suami kecuali dia diberikan layanan yang teruk atau dalam keadaan itu dia mempunyai sebab munasabah.
Katanya, Nabi bersabda, maksudnya: “Sekiranya mana-mana wanita meminta cerai dari suaminya tanpa sebab yang kukuh, terhalang haruman syurga darinya.”(Hadis riwayat Abu Daud)
Dari penjelasan ini, nyata sekali nasib seorang isteri masih terbela di dalam Islam dan dia mempunyai hak untuk bercerai apabila dirasakan perkahwinan sudah tidak memberikan nikmat kepadanya.
Perceraian itu boleh dituntut di Mahkamah Syariah, sama ada dengan cara fasakh (pembubaran perkahwinan) atau tebus talak (cerai yang diucapkan oleh suami dengan pembayaran dari pihak isteri kepada suaminya).
Dalam undang-undang keluarga Islam, perceraian boleh juga berlaku melalui talak taklik, pertukaran agama dan li’an.
sumber http://www.hmetro.com.my
Posted by: ahmadzaki on: 14 Oktober 2009
Berkawanlah dengan ‘penjual minyak wangi’
KAWAN mempunyai pengaruh cukup besar dalam pembentukan nilai dan perwatakan diri. Malah, kesannya boleh jadi berpanjangan, dari zaman remaja hingga ke alam dewasa.
Sekiranya pengaruh itu berunsur positif, tiada siapa menentang, tetapi bagaimana dengan pengaruh negatif? Tiada sesiapa menidakkan kesan dan pengaruh kawan sepergaulan serta sahabat seperjalanan.
Akhir-akhir ini, pengaruh dan kesan buruk cukup menonjol, misalnya merokok, melepak dan merempit.
Di sekolah, bahkan di mana-mana institusi, perbuatan seperti itu tidak diajar, tetapi bagaimana seseorang boleh tahu merokok dan mahir merempit? Bukankah ia lahir daripada kawan?
Berkawan tidaklah salah, malah dalam Islam amat digalakkan kerana menghubungkan ikatan persaudaraan. Tetapi apakah jenis kawan yang harus didekati?
Kawan yang dianjurkan ialah kawan yang baik serta ikhlas kerana Allah. Sikap Islam terhadap faktor dan peranan ini dapat dilihat dengan jelas daripada beberapa al-Quran serta hadis.
Terdapat ayat yang mengisyaratkan mengenai peranan dan pengaruh kawan, antaranya firman yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman! Bertakwalah dan hendaklah kamu bersama-sama orang yang bersifat benar.” (Surah at-Taubah: 119)
Orang yang bersifat benar ialah orang yang baik, berbudi bahasa, berakhlak dan mengamalkan budaya hidup terpuji, bukan orang jahat serta suka berdusta.
Ayat lain menceritakan, kawan yang bertakwa sebenarnya kekal dan bermanfaat, sementara kawan tidak bertakwa akan bermusuhan sesama sendiri.
Ini memang benar kerana kawan yang bertakwa mengenal Tuhan dan menjadikan Tuhan sebagai rujukan dalam semua perkara, manakala kawan tidak bertakwa lupa Tuhan serta demi kepentingan masing-masing bercakaran, walaupun sesama sendiri.
“Teman-teman pada masa itu setengah dengan setengah yang lain adalah musuh melainkan yang bertakwa.” (Surah al-Zukhruf: 67)
Dalam satu ayat lagi, Allah menceritakan mengenai penyesalan orang yang bertemankan si jahat.
“Aduhai, kiranya aku tidak menjadikan si pulan itu sebagai teman, sesungguhnya dia telah menyesatkan aku dari al-Quran, selepas aku didatangi olehnya. Dan sesungguhnya syaitan mendustai manusia.” (Surah al-Furqan: 28)
Kita sama-sama memohon perlindungan dan berharap supaya tidak termasuk golongan yang rugi bertemankan yang jahat sehingga mengakibatkan diri tersesat daripada landasan kebenaran.
Hadis al-Bukhari dari Abu Musa al-Asy’ari, bermaksud: “Diumpamakan rakan yang soleh dan rakan yang jahat ialah seperti (berkawan) dengan penjual minyak wangi dan tukang besi. Penjual minyak wangi tidak akan mensia-siakan anda, sama ada anda membelinya atau hanya mendapat bau harumannya. Tukang besi pula boleh menyebabkan rumah anda atau baju anda terbakar, atau mendapat bau busuk.”
Memang benar perumpamaan diceritakan itu. Apabila berkawan dengan orang baik, kita juga akan menjadi baik, tetapi jika berkawan dengan yang jahat, kita juga mungkin lambat laun serupa saja.
Walaupun kita tidak mengikut gelagat jahatnya, kadangkala tempiasnya terkena pada kita. Bukan sedikit orang yang berkawan dengan pencuri, juga dituduh mencuri, sedangkan dia tidak melakukannya.
Dalam sesetengah keadaan juga, kawan selalu diberikan keutamaan dan kepercayaan yang lebih berbanding ahli keluarga.
Malah, ada juga kawan yang dibela, manakala keluarga dicerca, sebagaimana penagih yang mahu menghilangkan ketagihannya. Kajian psikologi remaja amat jelas menunjukkan kebenaran ini.
Apa pun, tujuan berkawan sebenarnya untuk mendapatkan manfaat seperti bantuan dan perkongsian pengetahuan, bukan mencari keburukan. Perompak dan pencuri juga mencari kawan yang dapat memberikan faedah kepada dirinya.
sumber http://www.hmetro.com.my
Posted by: ahmadzaki on: 13 Oktober 2009
Bersama Mohd Zawawi Yusoh
SUDAH lama kita bersolat, tetapi nampaknya keajaiban dan jaminan solat yang disebut Allah masih samar-samar dalam kehidupan kita.
Allah memberi jaminan dalam firman-Nya, bermaksud: “Sudah pasti berjaya orang mukmin iaitu orang yang khusyuk dalam solatnya.” (Surah al-Mukminun: 1,2)
Pada pertemuan kali ini, penulis mengajak remaja dan siapa saja bermuhasabah mengenai peringkat solat.
Bukannya konsep kejayaan dan cara hendak mencapai khusyuk, tetapi ada beberapa jenis dan golongan serta gaya bersolat di kalangan orang Islam yang semuanya akan mempengaruhi perangai dan cara hidup.
* Jenis Pertama
Hari ini, ramai umat Islam yang tidak bersolat, bahkan ramai juga yang tidak tahu hendak bersolat. Ada yang menafikan kewajipan solat, mereka jatuh kafir sebab itu kadangkala perangainya dengan si kafir tidak ada beza.
* Jenis Kedua
Orang yang melakukan solat secara zahir saja, malah bacaan pun masih tidak betul, taklid buta dan main ikut-ikut orang lain.
Jadi, golongan ini sekejap bersolat, sekejap tidak. Jika ada masa dan emosi baik, dia bersolat. Kalau sibuk dan ada program kenduri, pesta ria, berziarah, bermusafir, letih dan penat, dia tidak bersolat.
Orang ini jatuh fasik. Tidak belajar solat mahupun secara rasmi atau tidak rasmi. Ilmu mengenai solat ialah apa yang dipelajari ketika kecil dan tadika saja. Golongan ini tertolak, bahkan berdosa besar dan hidup dalam keadaan derhaka kepada Allah.
* Jenis Ketiga
Golongan yang melakukan solat cukup lima waktu, tepat ilmunya, faham setiap bacaan solat, Fatihah, doa Iftitah dan tahiyatnya, tetapi tidak dihayati dalam solat itu.
Fikirannya masih melayang mengingatkan perkara dunia tanpa menghayati solat. Golongan ini dikategorikan sebagai solat ‘awamul Muslimin’ dan jika dididik serta ditambah mujahadah (kesungguhan), dia akan berjaya dalam solat.
* Jenis Keempat
Golongan ini baik sedikit daripada golongan sebelumnya, tetapi main tarik tali dalam solatnya.
Sesekali dia khusyuk, sesekali lalai pula. Apabila teringat sesuatu dalam solatnya, teruslah terbawa-bawa, berkhayal dan seterusnya.
Apabila teringat Allah secara tiba-tiba, insaf dan sedarlah semula, cuba dibawa hati serta fikirannya untuk menghayati setiap kalimah dan bacaan dalam solat. Begitulah sehingga selesai solatnya.
Peringkat ini orang terbabit akan mula memasuki zon ‘memelihara solat’, tetapi masih belum seronok dengan solat.
* Jenis Kelima
Golongan yang melakukan solat tepat ilmunya, faham secara langsung bacaan dan setiap lafaz dalam solatnya.
Hati dan fikirannya tidak terbawa-bawa dengan keadaan sekeliling sehingga pekerjaan serta apa pun yang dilakukan atau difikirkan di luar solat itu tidak mempengaruhi so latnya.
Walaupun dia memiliki harta dunia, menjalankan kewajipan dan tugas keduniaan seperti perniagaan, semua itu tidak mempengaruhi solatnya. Hatinya masih dapat memuja Allah dalam solat. Golongan ini disebut orang soleh.
Sebenarnya banyak lagi peringkat solat, tetapi keterbatasan ruangan sekadar lima tahap ini rasanya sudah boleh mu hasabah diri mengenai tahap solat yang kita lakukan.
Jika kita berada di peringkat satu, dua dan tiga, kita sebenarnya belum selamat dan mungkin solat tidak mampu mendapat jaminan Allah.
Ibadat solat boleh membangunkan jiwa dan iman, men jauhkan daripada yang buruk dan merungkai mazmumah (sifat keji), menanamkan mahmudah (sifat terpuji), me lahirkan disiplin hidup dan akhlak yang agung. Semoga solat kita akan berlangsung sebagai mi’raj.
sumber http://www.hmetro.com.my