Sejarah Jalur Gemilang

Keratan Akhbar Berita Minggu 24 Ogos 2008


Surat Hamzah ketika menghantar rekaan bendera Malaysia.

JALUR GEMILANG yang dilihat sekarang sebenarnya wujud beberapa tahun sebelum negara merdeka. Sejarah sepintas lalu, merekodkan Bendera Persekutuan Tanah Melayu diilhamkan menerusi satu pertandingan mereka cipta bendera peringkat kebangsaan. Pertandingan dikelolakan Jawatankuasa Khas dan dipengerusikan Ketua Setiausaha Negara ketika itu, Sir Alec Newboult dianjurkan bagi mencari lambang kewujudan kerajaan Persekutuan.

Pada 15 November 1949, Jawatankuasa ini mengemukakan 373 reka bentuk bendera kepada Majlis Perundangan Persekutuan untuk pertimbangan dan pemilihan. Daripada jumlah itu, tiga rekaan disenarai pendekkan membabitkan lambang keris bersilang dikelilingi 11 bintang pecah lima manakala rekaan kedua mempertaruhkan reka bentuk hampir serupa kecuali 11 bintang pecah lima membentuk dua bulatan mengelilingi keris bersilang.

Bagaimanapun, rekaan ketiga ciptaan arkitek Jabatan Kerja Raya Johor, Mohamed Hamzah yang menampilkan sebelas jalur biru-putih dengan bulan bintang berwarna putih di bahagian tepi kiri mendapat pilihan majoriti dan perkenan Mesyuarat Majlis Raja-raja yang berlangsung pada 22 dan 23 Februari 1950.

Sebelum kekal dengan rekaan sekarang, beberapa pindaan dibuat termasuk mengikut cadangan Sultan Kedah yang meminta warna putih bulan sabit ditukar kuning bagi mewakili warna Diraja.

Pada 19 April 1950, Majlis Perundangan Persekutuan menerusi perkenan Majlis Raja-raja Melayu meluluskan usul yang dibentangkan Pemangku Ketua Setiausaha Negara mengenai Bendera Persekutuan Tanah Melayu.

Pada 26 Mei tahun yang sama, bendera itu dikibarkan buat pertama kalinya di Istana Sultan Selangor, Kuala Lumpur. Majlis pengibaran yang berlangsung pada 9.30 pagi itu dihadiri wakil Sultan seluruh tanah Melayu.

Mohamed Hamzah

.

Selama 47 tahun digelar Bendera Malaysia, pada kemerdekaan ke-40 pada 1997, namanya ditukar kepada Jalur Gemilang. Nama diusulkan pegawai dari Jabatan Muzium Negara dan Antikuiti, Redzuan Tamin dalam satu peraduan membabitkan pihak tertentu ini berjaya menewaskan 28 cadangan antaranya, Malaysia Raya, N.U.S.A, Mega Sakti, Saga Merah dan sebagainya.

.

.

.

.

Jalur Gemilang dalam catatan sejarah

1. Pada 1999, Azhar Mansur, rakyat Malaysia pertama mengelilingi dunia secara solo membawa Jalur Gemilang merentasi Cape Leeuwin di Australia, South Cape di New Zealand, Cape Horn di Amerika Selatan, Kepulauan Fernando de Noronha di Lautan Atlantik dan Cape of Good Hope di Afrika Selatan.

2. Pada 23 Mei 1997, dua pendaki Projek Malaysia-Everest 97, M Magendran dan N Mohandas berjaya memacakkan bendera di puncak Everest setinggi 8,848 meter diseliputi salji selepas kira-kira dua bulan mendaki.

3. Angkasawan Negara, Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor, membawa bendera Malaysia ketika berada di Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa (ISS) selama 11 hari mulai 10 Oktober 2007.

4. Pemain badminton negara, Lee Chong Wei berjaya memenangi pingat perak pada temasya Olimpik Beijing 2008. Beliau sebelum ini pernah memenangi emas pada Sukan Komanwel 2006.

.

Fakta Jalur Gemilang

  • Ilham untuk menamakan bendera Malaysia kepada Jalur Gemilang diusulkan Datuk Hashim Mat Idris. Cadangan berkenaan dikemukakan kepada mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir pada 11 Julai 1995.
  • Pada 1 Julai 1996, Urus setia menguruskan nama mengemukakan 75 cadangan berserta ulasan dan huraian. Tiga nama disenarai pendekkan iaitu Setia Perkasa, Seri Setia Perkasa dan Seri Setia Negara.
  • Tiga nama ini bagaimanapun ditolak Jemaah Menteri ketika mesyuarat pada 11 September 1996.
  • 28 nama lagi dicadangkan dan pada 2 Jun 1997, tiga nama dicalon mengikut keutamaan iaitu Jalur Gemilang, Jalur Nusa Gemilang dan Jalur Sinar Gemilang.
  • Pengisytiharan Jalur Gemilang dilakukan Tun Dr Mahathir, pada 31 Ogos 1997, jam 11.58 di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur.
  • Maksud lambang dan warna;- Lambang Jalur pada bendera menggambarkan satu laluan lurus, hala tuju dan arah yang sama dianuti rakyat negara ini.
    - Gemilang bermaksud bercahaya, terang benderang dan cemerlang. Jalur Gemilang melambangkan kecemerlangan negara dan rakyat Malaysia dalam mengharungi suasana kehidupan dengan penuh gigih, taat dan bersatu padu bagi menjaga nama dan menaikkan imej negara.
    - Warna merah pada jalur melambangkan kesanggupan, keberanian, kegagahan dan kegigihan rakyat menghadapi segala cabaran. Warna putih melambangkan keluhuran dan keikhlasan, biru melambangkan perpaduan hidup yang rukun dan damai manakala warna kuning melambangkan kesetiaan rakyat kepada Raja dan negara.
  • sumber : http://www.bharian.com.my [24 Ogos 2008]

    About these ads

    One thought on “Sejarah Jalur Gemilang

    Tinggalkan Jawapan

    Fill in your details below or click an icon to log in:

    WordPress.com Logo

    You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Tukar )

    Twitter picture

    You are commenting using your Twitter account. Log Out / Tukar )

    Facebook photo

    You are commenting using your Facebook account. Log Out / Tukar )

    Google+ photo

    You are commenting using your Google+ account. Log Out / Tukar )

    Connecting to %s