Langit bumi asalnya satu

FITRAH kejadian alam dicipta berpasangan. Manusia dicipta lelaki dan perempuan manakala alam haiwan ada jantan dan betina.

Begitu juga Nabi Adam ada Hawa dan permulaan generasi manusia. Jika kita perhatikan ayat al-Quran, kita akan dapati manusia termasuk Hawa bermula daripada diri yang satu iaitu Nabi Adam.

“Wahai sekalian manusia! Bertakwalah kepada Tuhan kamu yang menjadikan kamu (bermula) daripada diri yang satu (Adam) dan yang menjadikan daripada (Adam) itu pasangannya (isterinya, Hawa) dan juga membiakkan daripada kedua-duanya zuriat keturunan lelaki dan perempuan yang ramai.” (an-Nisa’:1)

Malah, langit yang menaungi kehidupan seisi alam dikatakan berpasangan dengan bumi. Tetapi pernahkah kita terfikir, langit dan bumi pada asalnya juga bersatu?

Cuba perhatikan ayat 30, surah al-Anbiyaa, maksudnya: “Tidakkah orang kafir itu memikirkan dan mempercayai sesungguhnya langit dan bumi itu pada asal mulanya bercantum lalu Kami pisahkan kedua-duanya? Dan Kami jadikan daripada air tiap-tiap benda yang hidup. Maka mengapa mereka tidak mahu beriman?”

Imam Qurtubi dalam kitab al-Jamik lil Ahkamil Quran meriwayatkan: “Berkata Ibn Abbas, al-Hassan, ‘Atha dan ad-Dahhak dan Qatadah, ayat ini bermaksud, langit dan bumi asalnya satu yang melekat lagi bercantum kemudian Allah pisahkan kedua-duanya.

Syeikh Said Hawwa melalui kitab al-Asas fit Tafsir, mengemukakan riwayat daripada Ibn Kathir mengenai pandangan Imam Said bin Jubair terhadap ayat terbabit: “Bahkan sebelum ini langit dan bumi melekat dan bercantum antara satu sama lain. Ketika Allah meninggikan langit maka menonjollah bumi. Demikianlah maksud Allah memisahkan antara kedua-duanya.”

Penulis kitab al-Jawahir, Syeikh Tantawi Jauhari, berkata apa yang dijelaskan al-Quran adalah langit yang banyak dan bumi termasuk matahari, bintang dan segala alam yang ada di dalamnya, semuanya bercantum sebelum ini tetapi kemudian Allah pisahkan semuanya.

Ayat terbabit, katanya, adalah mukjizat kerana ilmu mengenai perkara berkenaan belum diketahui pada waktu itu, kecuali hari ini.

Teori yang diterima umum mengenai asal kejadian alam adalah teori Big Bang (Letupan Besar). Mengikut teori ini alam maya ini pada asalnya bercantum kemudian berlakulah letupan yang kuat, sekitar 10 hingga 20 bilion tahun dulu, dinamakan sebagai Big Bang.

Sejak itu, berlaku pengembangan dan penyejukan sehingga akhirnya lahir bintang, galaksi dan seumpamanya.

Teori ini pada asalnya diasaskan daripada formula General Theory of Relativity yang diutarakan Albert Einstein pada 1915, kemudian pada 1922, seorang pakar fizik Russia, Alexander Friedmann, mengembangkan formula ini.

Pada 1929, tokoh astronomi dari Amerika, Edwin Hubble, menemui bukti kukuh yang menyokong teori Big Bang dan penemuan ini mengukuhkan lagi pendapat yang mengatakan alam ini bercantum pada asalnya diikuti dengan satu letupan besar kerana letupan itu yang menyebabkan pengembangan ini.

Kewujudan gas helium dan radiasi yang seimbang di angkasa menguatkan lagi teori Big Bang. Kajian tahap radiasi di angkasa dilakukan pakar astrofizik dari Amerika, Arno Penzias dan Robert Wilson pada 1965 dan penemuan ini disahkan pakar sains lain menggunakan alat pengesan khas Nasa bernama COBE spacecraft antara 1989 hingga 1993.

Semua ini mengesahkan langit dan bumi pada satu masa dulu bercantum padu sebelum dipisahkan. Hakikat yang baru difahami ini sudah ditegaskan Allah lebih 1,420 tahun dulu, cuma disebabkan tahap kemampuan manusia yang terbatas, kefahaman mengenainya mengambil masa.

Kajian dan penemuan saintifik seperti ini dirangkumkan Dr Danial Zainal Abidin melalui karyanya yang sudah terjual lebih 15,000 naskhah, berjudul Bukti-Bukti Sains Dan Sejarah Kerasulan Muhammad.

Walaupun tidak setebal kebanyakan buku lain, buah tangan beliau ini tetap mempunyai daya tarikan tersendiri. Tema ketuhanan yang diolah beliau berbekalkan nas al-Quran dan hujah logik berjaya menjelmakan kebenaran.

Pendapat dan hasil kajian yang dipindahkan ke dalam buku terbabit sama ada daripada ilmuwan Islam atau bukan Islam menunjukkan penulis peka dengan faktor keseimbangan dalam penulisan, sekali gus mengelakkan sebarang prejudis dalam menyaring kebenaran.

Riwayat Nabi Muhammad s.a.w yang menjadi nadi dalam buku terbabit diceritakan penulis secara perbandingan, bersumberkan al-Quran, kitab orang Yahudi, Nasrani, Hindu dan Buddha bagi memberikan gambaran lebih luas kepada pembaca.

Banyak penemuan yang ditonjolkan penulis dan satu daripada yang menarik ialah penemuan jasad firaun (atau pharoah adalah gelaran bagi raja Mesir kuno) yang tenggelam pada zaman Nabi Musa diselamatkan supaya menjadi pengajaran kepada manusia sejagat.

Kajian pakar arkeologi berjaya mengenal pasti firaun yang tenggelam itu, bernama Merneptah, anak kepada firaun Ramses II yang terkenal. Mayat Merneptah (dalam bentuk mumia) ditemui pada 1898 di Mesir oleh pakar arkeologi bernama Loret.

Hasil kajian menunjukkan firaun Merneptah ini yang mengejar Nabi Musa dan Bani Israel sebelum dia sendiri mati lemas di lautan.

Perkara ini ada digambarkan dalam ayat 92, surah Yunus, maksudnya: “Maka pada hari ini Kami biarkan engkau (hai Fir’aun) terlepas dengan badanmu (yang tidak bernyawa, daripada ditelan laut), untuk menjadi tanda bagi orang yang di belakangmu (supaya mereka mengambil iktibar). Dan (ingatlah) sesungguhnya kebanyakan manusia lalai daripada (memerhatikan dan memikirkan) tanda kekuasaan Kami!”

Oleh Dr Danial Zainal Abidin

Sumber: http://www.hmetro.com.my

Advertisements

One thought on “Langit bumi asalnya satu

  1. Pengajian Kitab Bersama al-‘Allamah al-Habib Salim bin ‘Abdullah bin ‘Umar asy-Syatiri.

    Tarikh: 17 Dhulqaedah 1429/15 November 2008 (Sabtu)
    Masa: Selepas sholat Maghrib
    Lokasi: Masjid Baitul Aman,102, Jalan Damai, Off Jalan Ampang, Kuala Lumpur
    Kitab: an-Nasooih ad-Diiniyah wal Washooyaa al-Imaniyah (Nasihat Agama dan Wasiat Iman)
    Pengajar: InsyaAllah khusus untuk pengajian malam tersebut al-‘Allamah Habib Salim bin ‘Abdullah bin Umar asy-Syatiri akan mengajar.

    Tarikh: 18 Dhulqaedah 1429/16 November 2008 (Ahad)
    Masa: Selepas sholat Maghrib
    Lokasi: Masjid Baitul Aman,102, Jalan Damai, Off Jalan Ampang, Kuala Lumpur
    Kitab: ad-Da’wah at-Tammah wa Tazkiratul ‘Aammah (Dakwah Yang Sempurna dan Peringatan Yang Utama)
    Pengajar: InsyaAllah, khusus untuk pengajian malam tersebut al-‘Allamah al-Habib Salim bin Abdullah bin Umar asy-Syatiri akan mengajar.

    http://pondokhabib.wordpress.com

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s