Tamak lalaikan umat Islam tunai haji

Oleh Zahari Hasib

RIBUAN umat Islam berkumpul di Mina untuk melontar di tiga jamrah sebagai satu daripada wajib haji.

Perbelanjaan, wang ringgit dikeluarkan untuk ke Makkah sama nilai dengan berjihad

KEBERKATAN pahala dan fadilat dalam ibadat haji sangat besar jika dilakukan dengan niat yang suci murni serta penuh rasa ikhlas seperti firman Allah yang bermaksud: “Tuhan mewajibkan ke atas manusia yang mampu mengadakan wang perbelanjaan untuk pergi mengunjungi rumah suci (Baitullah) atau menunaikan haji.” (Surah Ali-Imran, ayat 97)

Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya Islam itu terdiri daripada lima asas yang kukuh, pertama mengucap dua kalimah syahadah, kedua mendirikan solat lima waktu, ketiga berpuasa di bulan Ramadan, keempat mengeluarkan zakat fitrah, dan kelima menunaikan fardu haji ke Makkah”.

Sabda Baginda SAW lagi yang bermaksud: “Sesungguhnya ada tiga jihad yang penting dalam Islam, jihad dalam peperangan menegakkan agama Allah, jihad menentang hawa nafsu, tetapi mengerjakan haji adalah antara jihad yang paling utama.”

Jika kita menoleh ke zaman silam, tentu dengan sendirinya kita akan insaf betapa sukar serta sulitnya umat Islam pada zaman dulu kala menunaikan fardu haji, lantaran mereka bukan saja tidak mempunyai kemudahan yang cukup malah berhadapan risiko dalam perjalanan yang jauh.

Namun amat malang bagi sesetengah umat Islam masa kini yang nyata mempunyai serba kemampuan, kaya raya serta ada keupayaan wang ringgit tetapi masih enggan, kedekut serta kikir untuk mengeluarkan belanja pergi ke Makkah.

Kebanyakan mereka yang selama ini mendaftarkan diri untuk membuat simpanan bagi menunaikan haji terdiri daripada kalangan orang tua kampung, yang ternyata tidak mempunyai sumber pendapatan tetap atau ibu bapa yang semata-mata mengharapkan kiriman wang bulanan daripada anak.

Sementara mereka daripada golongan elit atau mempunyai sumber kewangan yang banyak serta mampu, seolah-olah kurang berminat ke arah itu. Rasa tamak kepada harta benda serta wang ringgit sehingga menjadikan kita lalai serta enggan menunaikan rukun Islam yang kelima itu.

Sabda Nabi Muhammad SAW yang bermaksud: “Sesungguhnya barang siapa yang mempunyai bekalan dan keupayaan tetapi enggan menunaikan fardu haji maka bersaksilah bahawa tidak ada halangan baginya untuk mati dalam keadaan sebagai seorang Yahudi atau Nasrani.”

Allah berfirman yang bermaksud: “Sesungguhnya ramai di antara hambaku yang telah aku sihatkan tubuh badannya, aku luaskan sumber rezeki dalam hidupnya, namun berselang antara lima tahun atau 10 tahun pun tetapi ia tidak juga mahu menunaikan haji, maka mereka ini adalah antara orang yang rugi.”

Dalam pembentukan rohani, berada di Makkah untuk menunaikan haji akan mengingatkan kita kepada sejarah yang berlaku di tanah suci itu yang dijadikan kiblat umat Islam serta perjuangan Nabi Muhammad menyebarkan agama Allah.

Setiap mereka yang pergi menunaikan haji akan berkesempatan mengunjungi makam Rasulullah SAW yang bersabda maksudnya: “Sesungguhnya orang yang mengerjakan umrah dan haji itu adalah tetamu Allah, sekiranya mereka bermohon nescaya diberi, jika mereka berdoa nescaya dikabulkan dan jika mereka telah berhabisan wang kerananya nescaya akan kami ganti.”

Nabi Muhammad SAW juga pernah bersabda sambil menangis yang bermaksud: “Barang siapa yang naik haji tetapi tidak menziarahi aku, maka ia sudah mengecewakanku, sebaliknya sesiapa yang menziarahiku sesudah aku mati maka seolah-olah ia menziarahiku seperti pada masa aku hidup.”

Sesuatu yang sering diingatkan Nabi Muhammad SAW kepada setiap kaum Muslimin yang hendak pergi menunaikan fardu haji ialah memastikan sumber kewangan yang akan digunakan untuk ke Makkah daripada pencarian rezeki yang bersih dan halal.

Sumber kewangan yang haram dan tidak bersih hanya akan menjadikan amalan haji itu sia-sia belaka. Justeru, pada ketika hendak memanjatkan doa selepas berihram, serta-merta doa kita tidak akan dimakbulkan Allah.

Dalam suatu riwayat sahih Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud: “Bahawa sesungguhnya mengeluarkan perbelanjaan serta wang ringgit untuk berpergian menunaikan haji ke Makkah sama nilainya dengan perbuatan mengeluarkan perbelanjaan untuk berperang pada jalan Allah manakala perbelanjaan yang tidak bersih dan halal akan menyebabkan amalan haji seseorang ditolak oleh Allah.”

Sabda Baginda SAW lagi yang bermaksud: “Barang siapa yang menunaikan hajinya dengan penuh rasa ikhlas, khusyuk dan suci hati, tidak ia melanggar segala bentuk syarat sahnya maka akan terhapuslah segala dosanya terdahulu dan nescaya ia kembali suci seakan-akan sama seperti keluarnya seorang bayi pada hari diperanakkan oleh ibunya.”

Dalam hadis lain Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud: “Satu umrah kepada umrah yang lain menjadi penebus dosa di antara keduanya, manakala haji yang mabrur tiada balasan yang lain selain syurga.”

http://www.bharian.com.my

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s