Bersederhanalah dalam beribadat

DARIPADA Abu Hurairah katanya: “Nabi SAW bersabda yang maksudnya: Sesungguhnya agama (Islam) itu ringan. Sesiapa yang memberatkannya maka dia akan dikalahkan oleh agama. Oleh itu kerjakanlah (agama itu) mengikut sepatutnya atau mendekatinya dengan yang sepatutnya dan gembiralah (kerana akan beroleh pahala) serta beribadatlah (mohonlah pertolongan Allah) pada waktu pagi, petang dan sebahagian malam.” – (Hadis riwayat Bukhari)

Tujuan ibadah adalah untuk mengabdikan diri kepada Allah. Konsep ibadah terbahagi kepada dua iaitu ibadah khusus (seperti sembahyang, puasa, haji) dan ibadah umum iaitu setiap gerak geri, tindakan dan pekerjaan yang diniatkan kerana Allah.

Syarat diterima sesuatu ibadah itu bergantung kepada tiga perkara iaitu Islam, ikhlas dan ittiba’ (dilakukan sesuai dengan perintah Allah dan mencontohi apa yang dilakukan Rasulullah SAW)

Sesuatu ibadah itu hendaklah dikerjakan sebaik mungkin (menepati kehendak syarak) tanpa melebih-lebihkannya. Maksud ‘dikalahkan oleh agama’ ialah keadaan seseorang yang menjadi lemah lantaran terlalu kuat mengerjakan ibadah hingga lupa menguruskan keperluan diri seperti mencari nafkah menyara ahli keluarga.

Perkara itu ternyata bertentangan dengan kehendak Islam kerana Islam menyuruh manusia berusaha gigih untuk mencari penghidupan yang baik di dunia dan bukan menumpukan segala usaha untuk bekalan akhirat hingga melupakan dunia iaitu jambatan ke akhirat.

Oleh itu, mestilah bijak menyeimbangkan antara keperluan dunia dan akhirat supaya tidak termasuk di kalangan orang-orang yang rugi.

Begitu juga dalam usaha mengajak ke arah ajaran Islam yang benar, dakwah hendaklah dilakukan dengan berhemah supaya apa disampaikan mudah diterima golongan yang didakwah serta diikuti dengan hati penuh ikhlas.

Pendakwah juga dilarang menimbulkan rasa sukar untuk melakukan ketaatan kepada Allah. Contohnya ketika menjadi imam dalam solat, maka solat itu janganlah terlalu lama (panjang) kerana mungkin makmun yang ada terdiri daripada mereka yang lemah dan sakit.

Abu Burdah berkata: “Rasulullah mengutus ayahku iaitu Abu Musa dan Muaz ke Yaman, Nabi berkata: Mudahkanlah dan janganlah kamu menyukarkan, gembirakanlah dan jangan kamu menyusahkan dan bersatu padu kamu.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Nabi SAW juga menyuruh kita menggembirakan manusia bukan menjadikan mereka merasa benci dengan ajaran yang disampaikan. Oleh itu, kita hendaklah mendahulukan perkara yang menyedarkan manusia dan membangkitkan semangat mereka untuk melakukan kebaikan.

Jangan sekali-kali kita memberatkan dengan perkara berbentuk ancaman kerana ia akan menjauhkan masyarakat daripada agama dan kebenaran. Sebaliknya jinakkan hati mereka dengan bertindak secara berhikmah kerana perubahan manusia kebiasaannya memakan masa dan melalui peringkat serta tahap tertentu bukan bersifat drastik atau melulu.

sumber: http://www.bharian.com.my/

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s