PEMBANGUNAN mapan ialah pembangunan bagi memenuhi keperluan masa kini tanpa menafikan generasi yang akan datang. Justeru, penekanan perlu diberikan kepada pembentukan dan pengukuhan jalinan hubungan serta kerjasama melalui perancangan ke arah meningkatkan kualiti kehidupan serta melindungi kesejahteraan manusia sejagat.
Ini bermakna apa juga perancangan atau tindakan yang memberi faedah kepada manusia serta kehidupan lain semuanya dinilai dan diberi ganjaran oleh Allah.
Sehubungan itu diriwayatkan ada seorang bertemu sahabat Nabi SAW iaitu Abu Darda’ yang ketika itu sedang menanam pokok. Lelaki itu bertanya kepada beliau: “Wahai Abu Darda’, mengapa engkau tanam pokok ini padahal engkau sudah terlalu tua. Sedangkan pokok ini akan mengambil masa bertahun-tahun untuk mengeluarkan hasil? Jawab Abu Darda: “Bukankah aku yang akan memetik pahalanya dikala orang lain memakannya?”
Jawapan Abu Darda’ itu bertepatan dengan satu lagi sabda Baginda SAW bermaksud: “Tiada seorang Muslim pun yang menanam tanaman atau menaburkan benih kemudian dimakan oleh burung atau manusia melainkan dia itu baginya (pahala) sedekah.” (Hadis riwayat Imam Bukhari dan Muslim)
Bagaimanapun, jika diperhatikan hari ini, berlaku masalah alam sekitar seperti pencemaran dalam pelbagai bentuk seperti penebangan hutan yang tidak terkawal, hakisan dan air kelodak disebabkan runtuhan kawasan bukit dan bercerun, pembangunan tidak terancang, berlakunya jerebu, banjir besar dan bencana lain yang mengakibatkan ketidakseimbangan kepada alam sekitar. Keadaan itu menggugat kesejahteraan dan keselesaan kehidupan manusia.
Masyarakat dunia kini mulai bimbang dengan perubahan iklim dunia dan isu pemanasan global. Peningkatan suhu terjadi akibat banyak gas beracun dikeluarkan kenderaan dan kilang perusahaan terperangkap dalam atmosfera.
Keadaan ini meningkatkan suhu bumi pada paras yang tidak selesa dan kadangkala menyebabkan cuaca ekstrim, termasuk suhu kedinginan dan kepanasan yang melampau.
Kajian pada peringkat antarabangsa mendapati penduduk dunia menggunakan sumber bumi secara berlebihan dan menghasilkan pencemaran dengan lebih cepat daripada keupayaan bumi untuk pulih. Kajian itu menunjukkan penggunaan sumber asli oleh manusia meningkat 160 peratus dalam jangkamasa 30 tahun lalu berbanding keupayaan sistem semula jadi bumi untuk pulih menurun sebanyak 40 peratus.
Sehubungan itu, perancangan yang teliti ke arah mewujudkan pembangunan mapan dilihat sebagai satu langkah berkesan untuk memelihara kestabilan ekosistem dan kesejahteraan serta keselamatan kehidupan di dunia.
Kita semua mempunyai peranan dalam memastikan perancangan dan pembangunan dilaksanakan secara mapan. Pembangunan seimbang haruslah tidak menumpukan kepada pembangunan fizikal yang bersifat kebendaan dan luaran saja, tetapi juga pembangunan insan yang mempertimbangkan faktor kerohanian serta penghayatan nilai murni dalam sebarang bentuk tindakan pembangunan.
Ini selaras dengan jalinan tiga hubungan yang menjadi asas kesejahteraan kepada sesebuah masyarakat iaitu hubungan manusia dengan pencipta, hubungan manusia dengan manusia dan hubungan manusia dengan alam sekitar.
Firman Allah bermaksud: “Mereka ditimpa kehinaan di mana saja mereka berada kecuali dengan adanya sebab daripada Allah dan adanya sebab daripada manusia.” (Surah Ali-Imran, ayat 112)
Antara langkah boleh dilaksanakan ialah menyediakan pelan dan rancangan pembangunan yang mempertimbangkan kesan terhadap manusia, haiwan dan alam persekitaran. Juga memastikan penebangan hutan dijalankan secara berhemah, mengelakkan penggondolan bukit dan meminimumkan penukaran kawasan padi serta kawasan pertanian utama lain daripada dibangunkan dengan pembangunan yang tidak bersesuaian.
Tindakan lain termasuk amalan kitar semula, melakukan penjimatan dari semua segi, penggunaan kenderaan awam seboleh mungkin untuk mengurangkan masalah kesesakan lalu lintas dan pengeluaran gas karbon dioksida dari kenderaan selain memperbanyakkan padang permainan, kawasan hijau dan mempergiatkan penanaman pokok.
Pengajaran boleh diberi perhatian ialah manusia sebagai khalifah Allah di bumi wajib melaksanakan semua tindakan supaya tidak mengakibatkan berlakunya sebarang pencemaran atau kemusnahan terhadap manusia dan alam sekitarnya.
Kita mesti sentiasa mematuhi perancangan, peraturan dan garis panduan dikeluarkan pihak berkuasa untuk mengelakkan kesan buruk dalam sebarang bentuk pembangunan yang hendak dilaksanakan.
Janganlah kita hanya mengejar kemewahan hidup dan kemajuan sedangkan ia mengakibatkan bencana kepada haiwan dan tumbuh-tumbuhan yang juga menumpang di bumi Allah sebelum kita semua berhijrah ke alam akhirat yang kekal abadi.
Marilah kita bersama menggembleng tenaga dalam memelihara bumi yang diamanahkan supaya dapat mewariskannya kepada anak cucu dalam keadaan sejahtera, aman dan terpelihara.
sumber: http://www.bharian.com.my