Blog kaedah terbaik realisasi misi dakwah dalam masyarakat

Oleh Mohamad Sofee Razak

 

SUATU masa dulu media elektronik seperti televisyen dan radio adalah antara medium utama serta efektif untuk berdakwah kepada masyarakat Islam dan bukan Islam. Hari ini, inovasi internet juga dilihat mampu mengambil tempat serta menjadi saluran terbaik yang cukup berpengaruh melaksanakan misi dakwah. 

 

Aliran hari ini melihat blog semakin popular dan menjadi gaya hidup masyarakat moden yang mesra teknologi maklumat (IT). Hal ini membuka dimensi baru kepada dunia penulisan digital atau maya dan sudah tentu memberi peluang luas kepada proses transformasi dakwah Islam. 

 

Pemikir dan pelopor gerakan dakwah terkenal seperti Hasan al-Banna, Syed Qutb, al-Maududi dan lain-lain dalam banyak tulisan serta ucapan mereka konsisten menyatakan medan dakwah terlalu luas untuk direntasi dan diceburi.

 

 

 

Pendakwah perlu bijak, kritis dan kreatif melaksanakan tanggungjawab serta amanah itu. Dalam keadaan dan realiti hari ini, mungkin aplikasi blog wajar dijadikan kaedah terbaik merealisasikan misi dakwah dalam masyarakat. 

 

Secara umumnya, laman blog seperti mana diketahui ialah catatan seharian yang ditulis dalam laman web tertentu secara talian yang disediakan secara percuma dan amat mudah memiliki serta mereka bentuknya mengikut cita rasa masing-masing. 

 

Aplikasi blog hari ini berperanan sebagai interaksi yang membolehkan himpunan makalah ilmu, pemikiran, perkongsian dan maklum balas dilakukan pada alam maya tanpa ada hubungan secara langsung.

 

 

Menurut Ibnu Ahmad al-Kurauwi dalam tulisan beliau, Berdakwah Melalui Blog, pengaruh blog dalam masyarakat negara ini semakin mendapat perhatian dan ulama dalam perkara ini berijtihad bahawa aplikasi blog adalah inovasi teknologi yang diharuskan menurut perspektif Islam. 

 

Ia kerana Islam tidak pernah menghalang teknologi seperti itu asalkan tidak bertentangan dengan syariat dan besar pula manfaatnya kepada masyarakat Islam itu sendiri. 

 

Keadaan dunia dan realiti kehidupan yang serba mencabar serta kepelbagaian kerenah sosiobudaya masyarakat hari ini, memerlukan metodologi dakwah massa serta semasa harus dipelbagaikan kaedah penyampaiannya. 

 

Dakwah bukan saja melalui kuliah atau ceramah kerana menggunakan aplikasi blog segala kuliah dan ceramah boleh dirakam serta dimuat turun oleh pendengar, ilmu dan pemikiran boleh dimanfaatkan orang ramai tanpa had, tempat, setiap masa dan ketika.

 

Kemajuan dan kemudahan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) ini secara langsung membuka ruang kepada ulama dan pemikir besar Islam seperti Dr Yusof al-Qaradhawi, Dr Wahbah al-Zuhayli, Dr Muhammad Said Ramadan al-Buty dan lain-lain turut berdakwah melalui alam dakwah siber ini. 

 

Tokoh ini walaupun berada di dunia berbeza mampu memberi pandangan, kritikan, fatwa dan sebagainya terhadap sebarang permasalahan agama disebabkan kecanggihan dunia siber ini. 

 

Oleh itu, dunia Islam di seluruh dunia harus mengambil sempatan daripada kemudahan ruang maya dilihat mampu membina jaringan dakwah yang kuat, fleksibel dan sistematik. Pelayar internet atau sasaran dakwah pula tidak mengira bangsa dan agama boleh mengikuti kemudahan ini kerana internet boleh diakses dari seluruh dunia. 

 

Berdakwah melalui laman blog misalnya lebih mudah dan pantas kerana pengguna boleh mengakses internet tanpa mengira masa atau tempat. Ia juga peluang terbaik untuk menjadikan blog rujukan ilmiah berkenaan Islam dan induk kefahaman Islam sebenar kepada seluruh masyarakat dunia. 

 

Ciri interaktif yang menawarkan aplikasi video, gambar, suara dan bunyi lebih menepati kehendak serta minat pengunjung laman blog terutama generasi muda. Di sini kita dapat memaparkan keindahan dan kedamaian Islam serta menunjukkan kepada masyarakat luar bahawa Islam tidak jumud atau ketinggalan zaman. 

 

Web portal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) misalnya menyediakan pelbagai kemudahan seperti rujukan tafsir al-Quran daripada Pimpinan ar-Rahman, himpunan hadis daripada Mastika Hadis, e-Fatwa, e-Hadis, kemusykilan agama, Iqra’, Portal Halal, aduan awam, khutbah online dan banyak lagi yang mampu menarik perhatian ramai untuk mendalami serta mengenali Islam secara lebih dekat. 

 

Melalui laman blog juga kita mampu menangkis segala serangan minda serta propaganda musuh Islam seperti gerakan intelektual Barat dan orientalis yang sentiasa mencari jalan mengelirukan umat Islam. 

 

Jika sebelum ini musuh Islam menggunakan blog untuk mencemar nama baik Islam, menghina Nabi Muhammad SAW dan sebagainya, maka umat Islam perlu memiliki laman blog masing-masing untuk menjawab segala tuduhan atau tohmahan itu. 

 

Di samping itu, salah faham terhadap ajaran Islam dapat diperbetulkan serta menjadikan blog sebagai medan diskusi dan dialog antara bukan Islam atau sesiapa saja yang berminat dengan agama suci ini. 

 

Oleh itu, adalah menjadi kemestian kepada ahli dan pentadbir agama seperti mufti, pendidik, ulama dan setiap umat Islam umpamanya mempunyai blog sebagai medan dakwah digital di negara serta seluruh dunia. 

 

sumber: http://www.bharian.com.my/

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s