Mentaati pemimpin tuntutan Islam

 

Oleh Nik Salida Suhaila Nik Saleh

 

Kepemimpinan tidak berwibawa punca kerajaan lemah, rakyat porak-peranda perebutan kuasa, huru hara, perang saudara dan kemusnahan harta benda

 

APABILA menyebut soal ketaatan, ia membayangkan sikap mulia yang dilakukan oleh seseorang terhadap Allah, Rasulullah SAW atau orang lain, sama ada anak kepada ibu bapa, murid kepada guru, isteri kepada suami, adik kepada kakak atau abang dan rakyat kepada pemimpin.

 

Tidak semudah menyebutnya, ramai anak yang tidak suka lagi mendengar kata ibu bapa kerana beranggapan mereka tidak adil, tidak mengikut peredaran zaman, mungkin kekampungan.

 

Segelintir pelajar juga sudah berani menampar guru, penderaan siber kepada guru melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) dan jenayah lainnya yang bagaikan bukan keaiban lagi, bahkan sesuatu wajar berlaku setanding kemajuan dan kemodenan hari ini.

 

Pelbagai keluhan dan rintihan suami pula rata-ratanya kerana sikap isteri mementingkan diri sendiri, tidak mahu lagi menjadi isteri dan ibu yang solehah, sebaliknya mengimpikan kehidupan lepas bebas, selagi masih berpeluang hidup di dunia.

 

Adik yang tidak tahu mengenang masa depan serta menghargai saudara yang lebih tua, kononnya mereka boleh berdikari, tanpa mengambil kira soal qada dan qadar Allah. Tidak sukar mengajar mereka semua itu menjadi santun jika kena caranya, tetapi yang paling sukar ialah apabila rakyat tidak taat kepada pemimpin, kerana jumlahnya berkali ganda daripada institusi lainnya.

 

Ketaatan terhadap pemimpin yang melindungi dan mempertahankan hak adalah satu kewajipan yang tidak boleh disangkal oleh sesiapa, apatah lagi jika pemimpin itu memelihara kesucian agama Islam yang dijunjung Rasulullah SAW, pemimpin utama umat Islam di dunia.

 

Setiap rakyat yang berada di bawah kepemimpinan yang mengejar akhirat tanpa mengkesampingkan dunia untuk mendapat keredaan Ilahi haruslah melahirkan ketaatan dan kesetiaan yang tidak berbelah bagi.

 

Allah berfirman yang bermaksud: “Wahai orang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan Rasulullah dan kepada ‘Ulil Amri’ (orang yang berkuasa) daripada kalangan kamu. Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisih) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada kitab Allah (al-Quran) dan (sunnah) Rasul-Nya. Jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu) dan lebih elok pula kesudahannya.” (Surah an-Nisaa’, ayat 59)

 

Kewajipan mentaati Ulil Amri ialah mentaati ketua negara selagi mana ia bukan perintah untuk melakukan maksiat dan dosa. Akur dengan perintah pemimpin adalah termasuk patuh kepada undang-undang serta menjunjung perlembagaan negara yang melambangkan sesuatu bangsa itu berada di bawah daulat pemimpin yang memayungi seluruh pimpinannya.

 

Islam menolak sikap tidak tunduk dan patuh kepada pemimpin, hatta kepada seorang suami yang juga memimpin rumah tangga. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang mati sedangkan ia tidak memberi perakuan taat setia kepada pemimpin adalah ia mati dalam keadaan jahiliah.” (Hadis riwayat Muslim)

 

Kebimbangan umat Islam hari ini adalah kerana dunia tanpa sempadan mengizinkan sekecil-kecil anak menerobos ruang yang tidak sepatutnya untuk mereka demi meneroka dunia yang tidak mampu digapai tangan.

 

Mereka melihat keangkuhan manusia yang menolak kuasa Allah, memerhati perilaku manusia yang zalim menceroboh dan menyembelih umat Islam tanpa simpati, walaupun bayi dalam kandungan, melihat kerosakan serta kebinasaan dunia kerana umat Islam berbalah sesama sendiri merebut kuasa dan harta.

 

Mereka juga melihat kehidupan yang asing iaitu manusia yang tidak tahu menghormati dan taat kepada ibu bapa, guru, orang yang lebih tua dan pemimpin kerana keangkuhan lahir sebagai manusia.

 

Anak kecil juga sedia maklum bagi sesetengah negara yang menghadapi krisis kepemimpinan, di mana mereka tidak mempunyai pemimpin berwibawa atau kerajaan yang lemah, berlaku pelbagai masalah dalaman seperti perebutan kuasa, huru hara, perang saudara dan kemusnahan harta benda.

 

Semuanya berlaku kerana mereka bukan saja tidak taat kepada pemimpin, malah juga ingkar terhadap perintah Allah dan Rasulullah SAW.

 

Sebab itulah umat Islam mengajar anaknya taat kepada perintah Allah dan rasul-Nya serta orang yang lebih dewasa seawal usia setahun jagung, solat tepat waktunya, berpuasa di bulan Ramadan, menutup aurat, salam bercium tangan serta tunduk membongkok melintasi orang.

 

Umat Islam juga dididik supaya bercakap lemah lembut, senyum, memberi salam serta mendengar kata ibu bapa serta guru sebelum mereka terikut-ikut dengan budaya lainnya yang bertentangan dengan agama dan norma.

 

Tambahan pula hari ini ibu bapa tidak terdaya mengawal anak sepanjang masa sehingga ada kalanya tidak bertentang mata berhari-hari lamanya.

 

Oleh kerana Allah tidak meletakkan semua peraturan kehidupan dunia dalam al-Quran dan sunnah Rasulullah SAW, maka pemerintah yang dilantik diberi kuasa untuk mentadbir atau mengurus negara.

 

Ia termasuklah membuat perancangan, melaksanakan dan mengenakan peraturan demi keadilan, kesejahteraan serta kebaikan yang tidak lari daripada prinsip hukum agama. Sebab itulah Allah mewajibkan setiap umat Islam mentaati pemerintah yang adil, menjunjung agama dan mengurus kehidupan berasaskan wahyu.

 

Mentaati pemimpin bermula dengan pendidikan awal yang dibiasakan dari rumah. Akibat tidak taat, ada pekerja yang tidak betah berkerja dalam sistem yang berhieraki dan berorganisasi kerana tidak ingin menunaikan perintah.

 

Allah mengingatkan kita supaya sentiasa mentaati pemimpin dan tidak sekali-kali memuliakan yang fasik, yang mempunyai agenda untuk menghancurkan umat Islam di dunia dengan pertolongan umat Islam sendiri.

 

Allah berfirman yang bermaksud: “Wahai orang beriman. Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini – dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu lakukan.” (Surah al-Hujurat, ayat 6)

 

Penulis ialah Pensyarah Kanan Fakulti Syariah dan Undang-undang Universiti Sains Malaysia (Usim)

 

 

Sumber: http://www.bharian.com.my/

Advertisements

One thought on “Mentaati pemimpin tuntutan Islam

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s