Islam tuntut umat memuliakan pemerintah

Oleh Amran Zakaria

 

RAJA-RAJA Melayu dan Yang di-Pertua Negeri menjadi tunggak dalam Perlembagaan negara yang melindungi kesucian agama Islam dan rakyat.

 

Institusi raja bertanggungjawab memayungi rakyat jelata, pelindung agama

 

RAJA-RAJA Melayu memberi sumbangan besar dalam sejarah penyebaran agama Islam di negara ini sehingga dipandang sebagai bayangan Allah di dunia (zhil Allah fi al-Ardh), berasa bertanggungjawab langsung kepada Allah untuk memelihara, mengembangkan dan mempertahankan Islam.

 

Sejarah mencatatkan bahawa peranan dimainkan Istana amat besar dalam memastikan Islam terus berkembang dan dipertahankan di negara ini selepas disebarkan melalui pengaruh Raja-Raja Melayu, sejak zaman Melaka lagi.

 

Dalam Islam, pemegang fungsi kepemimpinan disebut sebagai imam dan istilah kepemimpinan disebut imamah. Sedangkan penyebutan istilah pemimpin negara dalam sejarah kebudayaan Islam menggunakan istilah beraneka ragam seperti khalifah, amir, sultan dan wali.

 

Mengenai perlunya ada pemimpin ditegaskan Rasulullah SAW dalam sabda bermaksud: “Apabila berangkat tiga orang dalam perjalanan, maka hendaklah mereka mengangkat salah seorang di antaranya menjadi pemimpin.” (Hadis riwayat Abu Daud)

 

Berkait dengan pemerintah, Saidina Umar ada menyebut: “Tiada Islam melainkan dengan jemaah, tiada jemaah melainkan dengan kepemimpinan dan tiada kepemimpinan melainkan dengan ketaatan. Ketaatan itu dihubungkan dengan baiah.”

 

Baiah adalah perjanjian untuk memberi ketaatan, manakala orang yang melakukannya seolah-olah membuat janji setia untuk menyerahkan dirinya dan urusan kaum Muslimin kepada amir atau ketuanya. Ia sunnah Nabi SAW yang pernah diberikan sahabat beberapa kali kepada Rasulullah SAW seperti Baiatul Aqabah pertama dan kedua serta Baiatul Ridhwan.

 

Imam al-Bukhari meriwayatkan daripada Junaidah bin Abi Umayyah daripada ‘Ubaidah bin Al-Samit yang menyatakan: “Rasulullah SAW memanggil kami, lalu kami pun memberi baiah kepada Baginda. Kemudian ‘Ubaidah berkata: Di antara perkara diminta kami berjanji ialah; kami berjanji mendengar dan mentaati (Rasulullah) dalam perkara yang kami sukai atau benci, dalam keadaan kami susah dan senang, tidak mementingkan diri sendiri, tidak membantah terhadap amir (ketua) dalam urusan kecuali kami melihat kekufuran terhadap Allah secara nyata dengan bukti yang terang dan jelas.”

 

Justeru, masyarakat Islam negara ini mempunyai vokal tersendiri terhadap Raja mereka. Rakyat bukan saja meyakini institusi Raja sebagai pelindung agama bahkan institusi Raja juga menjadi pelindung kepada rakyat.

 

Sebenarnya, menjadi tugas dan tanggungjawab Raja-Raja Melayu mempertahankan agama Islam di Malaysia. Ia jelas termaktub umpamanya dalam sumpah atau ikrar Yang di-Pertuan Agong dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong ketika menaiki takhta.

 

Bukan hanya sumpah itu untuk melindungi Islam, malah ia turut dimulai dengan menyebut nama Allah dengan lafaz ‘wallahi wabillahi watallahi’. Jelaslah tanggungjawab itu harus dipikul Raja-Raja Melayu dan Raja-Raja Melayu ini hendaklah dibantu oleh kerajaan baginda.

 

Perkara 3(2) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa Raja adalah ketua agama yang mempunyai kuasa atas hal ehwal Islam. Malah, perkara mengenai Islam seperti penggunaan perkataan tertentu adalah kuasa Raja-Raja Melayu dan bukan semua perkara boleh dibawa ke mahkamah. Ia kerana perkara membabitkan hal ehwal Islam, Majlis Raja-Raja yang mempunyai kuasa pemutus.

 

Sebenarnya, kekuatan dan kelemahan seseorang Raja dipengaruhi kekuatan atau kelemahan di kalangan mereka yang diberi amanah menjadi pembesar dan penasihat Raja. Hubungan Raja, pembesar, pemimpin dan rakyat perlu dibina secara sihat, disuburkan melalui saluran komunikasi berkesan.

 

Barisan yang diberi kepercayaan dan tanggungjawab menasihati Raja, wajib bersifat ikhlas, arif lagi berilmu, berkata benar betapa pahit sekalipun, supaya Raja tidak dibuai dalam khayalan dan tidak diulit gurindam pujian.

 

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Barang siapa yang mentaatiku bererti ia mentaati Allah. Barang siapa yang menderhakaiku, maka ia sudah menderhakai Allah. Barang siapa yang mentaati amirku bererti ia taat kepadaku dan barang siapa yang menderhakai amirku bererti ia menderhakaiku.” (Hadis riwayat Bukhari)

 

Menumpahkan taat setia kepada Raja-Raja Melayu tidak harus dipersoalkan lagi. Malah, rakyat sudah pasti bangkit melindungi institusi Raja-Raja Melayu dalam apa juga keadaan sejajar apa tersurat dalam Perlembagaan negara.

 

Mempersoalkan hak eksklusif dan kuasa mutlak atas budi bicara Raja-Raja Melayu boleh memainkan alunan emosi orang Melayu. Raja bertanggungjawab memayungi rakyat jelata dan menjadi tunggak semangat serta kekuatan.

 

Raja-Raja Melayu bukan hanya simbol negara, malah terbukti Raja-Raja Melayu berperanan penting memastikan kestabilan politik dan mempertahankan agama. Apabila kuasa politik lemah maka lemahlah kuasa mempertahankan hak dan kepentingan agama.

 

Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Tiga golongan yang tidak diajak berbicara oleh Allah pada hari kiamat dan tidak dilihatnya serta tidak diakuinya, bahkan bagi mereka siksa yang sangat pedih iaitu pertama, seseorang yang mempunyai air melimpah di tengah padang pasir dan tidak mahu memberi minum kepada seorang ibnu sabil yang kehausan.

 

Keduanya, seseorang menjual jualannya kepada orang lain selepas waktu Asar, kemudian bersumpah dengan nama Allah dan mengatakan bahawa dia pasti akan mengambilnya dengan harga sekian. Lalu dia (pembeli) percaya saja, padahal kenyataannya tidaklah demikian. Ketiga, seseorang membuat janji setia kepada pemimpin kerana tujuan duniawi semata-mata, bila diberi sesuatu dia menepati janji setianya, tetapi jika tidak diberi, maka dia pun ingkar (mengkhianati) pada janji setianya (kerana tidak puas hati).” (Hadis riwayat Bukhari)

 

Tidak dinafikan apabila ada pemerintah maka tentu saja ada pihak yang bersedia menjatuhkannya. Musuh ini sama ada dari dalam atau luar sememangnya menjadi pengkhianat kepada umat.

 

Golongan seperti itu berdolak-dalih dengan sikap mereka yang kononnya bertindak untuk mempertahankan negara, tetapi sentiasa berusaha mencari ruang memenuhi kepentingan kumpulan mereka.

 

Orang bersikap seperti itu diingatkan oleh Rasulullah SAW melalui sabda Baginda bermaksud: “Barang siapa melepaskan ketaatan daripada pemimpin, dia akan berjumpa dengan Allah pada hari kiamat tanpa mempunyai hujjah (alasan).” (Hadis riwayat Muslim)

 

Sebenarnya, Rasulullah SAW sudah mengajar umatnya supaya sentiasa memuliakan pemerintah. Baginda bersabda bermaksud: “Barang siapa yang memuliakan penguasa (kerana) Allah (di atas bumi), maka Allah akan memuliakannya pada hari kiamat.” (Hadis riwayat Ibnu Abi Asim)

 

Sabda Baginda lagi bermaksud: “Kamu akan diperintah oleh pemerintah selepas aku; yang baik akan memerintah kamu dengan kebaikannya dan yang tidak baik akan memerintah kamu dengan keburukannya, maka hendaklah kamu dengar dan taat kepada mereka pada setiap perintah yang sesuai dengan kebenaran; jika mereka melakukan kebaikan, maka kebaikan itu bagi kamu dan bagi mereka; tetapi jika mereka melakukan kejahatan, maka kamu akan beroleh kebaikan, tetapi mereka akan menerima akibat kejahatan yang mereka lakukan.” (Hadis ini disebut oleh Al-Mawardi dalam kitabnya Al-Ahkam al-Sultaniah dari riwayat Abu Hurairah)

 

 

Penulis ialah Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Dewan Amal Islam Hadhari (DAMAI)

Sumber: http://www.bharian.com.my/

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s