Lima persediaan umat Islam hadapi kemajuan

 

Oleh Mohd Zamri Shafie

 

Muslim perlu lengkapkan diri agar tidak jadi mangsa pemodenan yang melalaikan

 

HIDUP di kota raya Kuala Lumpur adalah cabaran besar bagi sesiapa saja yang menjejakkan kakinya di bumi serba maju dan moden dengan 1001 paparan ragam manusia menghiasinya. Sistem dan pergerakan sosial masyarakatnya bergerak pantas seiring dengan kepesatan yang berlaku.

 

Hakikat yang perlu difahami ialah Islam tidak pernah menghalang kemajuan di sesebuah desa, pekan, bandar dan negara. Kemajuan akan datang sekali pun diletakkan tembok besar untuk menghalangnya.

 

Kemajuan akan menyenangkan dan hadir bersama kemudahan kepada penduduk bumi yang tinggal di dalamnya. Apa yang penting ialah mendepani kemajuan dengan persediaan yang perlu bagi setiap individu sebagai anggota masyarakatnya.

 

Kemajuan negara diukur dengan maju mundur bangsa atau masyarakatnya dari sudut akidah, akhlak, berilmu, ekonomi, perpaduan serta politik. Masyarakat Islam perlu memberi penekanan kepada asas berikut iaitu:

 

# Pengukuhan pegangan akidah. Ibn Khaldun menerusi kitabnya, al-Muqaddimah menyatakan hakikat yang tidak dapat dinafikan bahawa kehidupan bermasyarakat adalah keperluan asasi bagi manusia.

 

Asas bagi sistem masyarakat Islam ialah akidah Islam. Individu Muslim perlu memiliki akidah atau kepercayaan yang teguh dan sahih kepada Allah supaya ia mengetahui di mana kedudukannya dalam hidup, memahami tujuan dirinya diciptakan, mengetahui ke mana arah kemajuan yang hendak dibangunkannya.

 

Keutuhan akidah dan keteguhan iman kepada Allah akan melahirkan sifat takwa dalam diri, seterusnya mendekatkan dirinya kepada Allah Yang Maha Esa, jalinan sesama makhluk dimantapkan serta dapat mengelak berlaku kezaliman dan penindasan dalam masyarakat.

 

Allah menegaskan menerusi firman-Nya yang bermaksud: “Wahai orang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran; dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa juga) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada takwa. Dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan.” (Surah al-Maaidah, ayat 8)

 

Membentuk masyarakat maju dalam segenap aspek dan lapangan kehidupan perlu bertunjangkan kekuatan iman dan takwa. Dengan kedua-dua sifat itu lembayung keberkatan akan melimpahi hidup seorang mukmin, masyarakat, bandar seterusnya negara.

 

# Pengukuhan jati diri dan kemuliaan akhlak masyarakat. Sifat ini yang mendasari hidup akan menghiasi tatasusila nilai insan. Akhlak seperti digariskan Islam suatu yang penting kerana peranannya besar dalam mengatur semua tingkah laku manusia.

 

Semua tingkah laku manusia selari dengan nilai atau sifat yang sebati dalam diri. Imam al-Ghazali dalam kitabnya Ihya’ Ulum ad-Din menyatakan: “Setiap sifat yang tersemat di dalam hati akan tercerna kesannya pada anggota badan, malah anggota ini sudah tentu bergerak menurut sifat ini.”

 

Akhlak juga ibarat sebatang pokok yang akarnya berada di bumi. Tingkah laku yang baik bergantung kepada akhlak baik seperti pokok yang bergantung kepada akarnya. Jika baik akar, baiklah pohon dan jika rosak akar, maka rosaklah pokok itu.

 

Perumpamaan itu dirakamkan Allah menerusi firman bermaksud: “Dan negeri yang baik (tanahnya), tanamannya tumbuh (subur) dengan izin Allah; dan negeri yang tidak baik (tanahnya) tidak tumbuh tanamannya melainkan dengan keadaan bantut. Demikianlah Kami menerangkan tanda (kemurahan dan kekuasaan) Kami dengan pelbagai cara bagi orang yang (mahu) bersyukur.” (Surah al-A’raf, ayat 58)

 

Kaedah terbaik dalam memulihkan tingkah laku manusia dan mewujudkan hidup sejahtera ialah dengan memulih dan membersihkan jiwa manusia di samping menanamkan nilai akhlak yang baik. Kaedah ini dapat mengelak berleluasa kegiatan jenayah dan aktiviti tidak sihat dalam masyarakat.

 

Mendidik masyarakat pentingkan nilai akhlak terpuji mencerminkan tamadun bangsa yang unggul. Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Kemuliaan seseorang mukmin terletak pada penghayatan agamanya, harga dirinya terletak pada kecerdasan akal fikirannya dan kehormatannya terletak pada kebaikan budi pekertinya.” (Hadis riwayat al-Hakim)

 

# Penguasaan ilmu pengetahuan. Orang berilmu bukan saja membawa kebaikan kepada diri mereka, malah membawa kebaikan kepada orang lain. Imam Ahmad Hanbal menyatakan:

 

“Manusia sebenarnya lebih memerlukan ilmu berbanding makanan dan minuman. Ini kerana mereka hanya memerlukan makanan dan minuman sekali dan dua kali dalam sehari, akan tetapi mereka memerlukan ilmu sama seperti nafas mereka. Oleh itu, menuntut ilmu lebih mulia daripada sembahyang sunat.”

 

Kelebihan ilmu dan orang berilmu tidak dapat dinafikan. Orang berilmu lebih takut kepada Allah dan perjalanan hidupnya terpimpin dengan ilmu dimilikinya. Firman Allah bermaksud: “(Engkaukah yang lebih baik) atau orang yang taat mengerjakan ibadat pada waktu malam dengan sujud dan berdiri sambil takutkan (azab) hari akhirat serta mengharapkan rahmat Tuhannya? Katakanlah lagi (kepadanya): Adakah sama orang yang mengetahui dengan orang yang tidak mengetahui? Sesungguhnya orang yang dapat mengambil pelajaran dan peringatan hanyalah orang yang berakal sempurna.” (Surah az-Zumar, ayat 9)

 

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Orang yang berupaya tidak akan memperoleh hasil seperti keutamaan ilmu yang akan membawanya ke jalan hidayah atau mencegahnya daripada tergelincir (daripada landasan kebenaran) dan tidak akan lurus pegangan agama seseorang, sebelum lurus akalnya (dengan ilmu yang dikuasainya).” (Hadis riwayat at-Tabrani)

 

# Persaudaraan dan perpaduan diperkasakan. Semangat perpaduan antara umat Islam adalah faktor terpenting, malah senjata paling ampuh dalam memastikan kedudukan Islam tidak terpinggir, ditelan arus kemajuan dan pemodenan yang dipenuhi segala kenikmatan melalaikan.

 

Daripada Amir Saad daripada bapanya katanya: “Pada suatu hari Rasulullah SAW datang dari daerah perbukitan. Ketika Baginda sampai di Masjid Bani Mu’awiyah, Baginda masuk ke masjid itu lalu solat dua rakaat. Kami pun solat bersama Baginda.

 

“Baginda berdoa kepada Tuhan panjang sekali. Selepas berdoa Baginda berpaling kepada kami lalu bersabda: Aku memohon kepada Tuhan tiga perkara.

 

“Dia memperkenankan dua perkara dan menolak satu perkara. Aku memohon kepada Tuhan supaya jangan membinasakan umatku dengan musim susah yang panjang. Maka diperkenankan.

 

“Aku memohon supaya umatku jangan dibinasakan dengan bencana tenggelam (seperti banjir besar yang melanda umat Nabi Nuh atau seperti tentera dan Raja Firaun yang ditenggelamkan di lautan), permohonanku itu diperkenankan-Nya juga.

 

“Aku memohon supaya umatku jangan dibinasakan kerana pertentangan sesama mereka. Permohonan ini tidak diperkenankan”. (Hadis riwayat al-Bukhari)

 

# Amar makruf nahi mungkar. Umat Islam wajib meletakkan kepentingan agama di tempat teratas. Segala perkara yang merosakkan agama perlu dihindarkan. Antara tugas untuk meletakkan kepentingan agama di tempatnya ialah memperhebatkan amar makruf nahi mungkar dalam masyarakat.

 

Firman Allah yang bermaksud: “Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang makruf dan mencegah daripada yang mungkar; merekalah orang yang beruntung.” (Surah Ali-Imran, ayat 104)

 

Ini isyarat yang jelas mengingatkan setiap Muslim berperanan sebagai pendukung amalan kebaikan dan pencegah kegiatan mungkar. Ia juga kaedah berkesan dalam menangani gejala sosial yang boleh membantutkan pembangunan insan.

 

Tahap kesedaran melaksanakan amar makruf semakin lemah mutakhir ini, lazimkanlah budaya mengambil tahu permasalahan orang lain bertujuan menyelamat dan membahagiakan orang lain. Inilah sebenarnya prinsip hidup bermasyarakat yang mengangkat martabat umat Islam di zaman kegemilangannya.

 

Info

Persediaan ummah hadapi kemajuan

 

# Pengukuhan pegangan akidah – memiliki kepercayaan teguh kepada Allah supaya mengetahui tujuan hidup dan hala tuju kemajuan yang dibangunkannya.

 

# Pengukuhan jati diri dan kemuliaan akhlak – sifat ini berperanan penting dalam mengatur tingkah laku insan.

 

# Penguasaan ilmu pengetahuan – orang berilmu bawa kebaikan kepada diri dan masyarakat.

 

# Memperkasa persaudaraan dan perpaduan – senjata ampuh memastikan Islam tidak ditelan arus kemajuan yang dipenuhi segala kenikmatan melalaikan.

 

# Memperhebat amar makruf nahi mungkar – setiap individu bertanggungjawab tegakkan kebenaran, hapuskan kejahatan untuk meletakkan kepentingan agama di tempat teratas. 

Sumber: http://www.bharian.com.my/

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s