Penyakit fanatik, minda tertutup hancurkan negara

 

Oleh Masmawi Abdullah

 

Kurang ilmu, angkuh punca sesetengah pihak sanggup jadi pak turut pemimpin gila kuasa

 

KELEMAHAN setengah umat Islam ialah begitu mudah terpengaruh dengan apa saja yang dibuat atas nama Islam. Apabila sudah meyakini atau percaya, mereka kerap menjadi fanatik terhadap kepercayaan ini sehingga sukar dibawa kembali ke jalan yang benar. Lebih daripada itu, mereka bersikap tertutup dalam menerima pendapat pihak lain. Mereka menilai antara benar dan salah berdasarkan perasaan persamaan suku, golongan dan aliran.

 

Meskipun Rasulullah SAW memberikan panduan dalam membentuk pemikiran dengan anjuran supaya melihat apa yang dibicarakan, namun peringatan berharga itu tidak mapan bagi mereka yang dihinggapi penyakit fanatik melulu.

 

Mereka menganalisis masalah dengan lebih mendahulukan ‘siapa’ bukan ‘apa’. Kita harus bersikap kritis dalam menghadapi kemajuan. Justeru, Rasulullah SAW sendiri lebih jauh menekankan, “terimalah kebenaran itu daripada mana pun ia datang, walaupun daripada seorang fasik atau kafir”. Ini petanda kelemahan seseorang atau golongan, dari satu segi ia juga memiliki kelebihan.

 

Daripada Abu Hurairah katanya, Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Sesiapa yang tidak mematuhi imam dan memencilkan diri daripada jemaah lalu dia mati, maka matinya seperti mati jahiliyah. Sesiapa yang mati terbunuh di bawah bendera kefanatikan, bermusuhan dan berperang kerana kesukuan (kebangsaan), dia bukan umatku. Sesiapa yang keluar daripada umatku lalu menyerang umatku, membunuh orang baik dan orang jahat tanpa mempedulikan apakah dia orang mukmin atau tidak dan tanpa mengendahkan janji yang sudah dibuatnya, orang itu juga bukan umatku.” (Hadis riwayat Muslim)

 

Mereka yang taksub itu walau setinggi manapun pengetahuan, sebenarnya mereka buta dan jahil. Kebanyakan mereka tidak suka menggunakan akal dengan baik dan tidak memahami ajaran Islam sebenar.

 

Secara lahir mereka beragama, namun hakikatnya mereka pengikut secara taklik buta yang tidak mengerti hendak dibawa ke mana oleh pemimpin, sekalipun ke arah kesesatan pasti mereka mengikutnya. Sifat seperti ini memang diasuh oleh pemimpin mereka supaya pengikutnya mengikut secara membabi buta. Muslim seperti ditegaskan Islam patut bersikap terbuka, ingin belajar dan mengubah sikap apabila mengetahui kesalahan sesuatu fahaman tanpa rasa angkuh dan sombong.

 

Islam adalah agama mementingkan rasional yang dibimbing oleh wahyu. Segala tindakan atau amalan yang tidak berlandaskan rasional ditolak termasuk fanatisme.

 

Punca fanatisme melulu adalah akibat kejahilan ilmu pengetahuan yang memberi kesan buruk terhadap kehidupan. Ia boleh menyebabkan kebinasaan kepada seorang individu, masyarakat dan negara.

 

Muaz Jabal pernah berkata: “Pelajarilah ilmu pengetahuan sebab mempelajarinya kerana Allah tanda takut kepada-Nya, menuntutnya adalah ibadah, menelaah adalah tasbih, mencarinya adalah jihad, mengajarkannya kepada orang yang belum mengetahui adalah sedekah, memberikannya kepada ahlinya adalah kebaktian”.

 

“Ia kawan dalam masa kesepian dan teman ketika kesunyian. Ia penunjuk jalan kepada agama dan pendorong kesabaran pada masa kepayahan dan kesempitan.

 

“Allah mengangkat setengah kaum kerana ilmu pengetahuannya, menjadikannya pemimpin, penghulu dan penunjuk jalan kebaikan yang diikuti orang ramai. Orang berilmu juga menjadi model utama dalam amalan kebajikan, dicontohi segala jejak langkahnya dan dituntut segala kelakuannya.

 

“Dengan ilmu, seseorang hamba sampai ke peringkat orang terpuji ketaatannya dan tinggi kedudukannya. Memikirkan perihal ilmu setanding pahalanya dengan berpuasa dan menelaah setanding pahalanya dengan beribadat di tengah malam.

 

“Dengan ilmu manusia mentaati Allah Azza wajalla. Memperhambakan diri kepada-Nya, menyedarkan dan membesarkan-Nya, mencapai darjat kewarakan dan menyambung silaturahim.

 

“Dengan ilmu pengetahuan juga, ia akan mengenal yang halal dan yang haram. Ilmu pengetahuan itu diumpamakan sebagai pembimbing, manakala amalan pula menjadi pengikutnya. Berbahagialah orang yang menerima ilham dari ilmu pengetahuan dan celakalah orang yang terhalang daripada ilmu pengetahuan.”

 

Islam memerangi kejahilan kerana akibat buruknya ia melahirkan manusia yang bersifat taksub. Ini juga akan memecah-belahkan umat Islam dan memutuskan hubungan silaturahim sesama sendiri. Kesan fanatisme secara membabi buta juga boleh menjejaskan keutuhan pemerintah negara.

 

Islam melarang perasaan fanatik kerana ia akan menolak peranan wahyu termasuk al-Quran dan sunnah. Islam menganjurkan perasaan terbuka, rasional, berfikir dalam menangani sesuatu perkara.

 

Kita mesti sedar sejarah tidak pernah membuktikan yang aliran fanatisme berjaya menampakkan keberkesanannya. Fanatisme tidak pernah menjanjikan umat ke arah perpaduan tetapi yang jelas fanatisme mencipta perpecahan umat.

 

Sesungguhnya kita umat Islam dijadikan Allah berbilang bangsa supaya dapat mengenali antara satu sama lain dan bukan membanggakan diri, serta taksub terhadap puak atau kaum sendiri saja kerana pada pandangan Allah, orang yang mempunyai kedudukan tertinggi adalah mereka yang bertakwa.

 

Firman Allah bermaksud: “Sesungguhnya Kami sediakan neraka jahanam itu untuk jin dan manusia yang mempunyai hati tetapi mereka tidak cuba memahami, mempunyai mata tetapi tidak berusaha melihat (nikmat Allah), mempunyai telinga tetapi tidak mendengar. Mereka umpama haiwan, bahkan lebih sesat lagi. Mereka itulah orang yang lalai.” (Surah al-A’raaf, ayat 79) 

 

Sumber: http://www.bharian.com.my/

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s