Keluarga bahagia ukuran kejayaan ibu cemerlang

 

Oleh Azrina Sobian

 

Tanggungjawab wanita didik anak jadi insan berguna, beri khidmat kepada masyarakat

 

ISLAM meletakkan wanita pada kedudukan mulia, terutama apabila mereka menjadi seorang ibu, mulianya taraf ibu dalam Islam tidak boleh dipertikaikan lagi.

 

Di dalam al-Quran dan hadis, banyak tuntutan dan nasihat supaya memuliakan ibu. Hinggakan ke satu tahap, kelayakan insan untuk diterima ke syurga diletakkan di telapak kaki ibu.

 

Namun, ibu yang bagaimanakah boleh dianggap sebagai mulia? Adakah setiap wanita yang bergelar ibu, adalah ‘ibu’ yang dimaksudkan? Atau, pada ketika manakah, ibu itu benar-benar bergelar seorang ‘ibu’?

 

Saat awal seorang wanita bergelar ibu adalah ketika beliau melahirkan anaknya. Namun, adakah dengan hanya melahirkan anak, seorang wanita benar-benar layak bergelar ibu?

 

Pastinya, ramai yang akan menjawab alam keibuan itu tidak akan lengkap dengan hanya melahirkan anak ke dunia tetapi lebih penting untuk memberikan anak jaminan kasih-sayang dan keselamatan, sentuhan, perhatian, jagaan serta pendidikan. Oleh itu, apabila semua tuntutan ini lengkap, wanita sah bergelar seorang ibu.

 

Dengan jawapan diberi itu, maka lihat pula keadaan dunia kini. Anak kita kini dijaga oleh ibunya atau lebih banyak dijaga pembantu atau penjaga? Masa seorang ibu lebih banyak di rumah atau di luar, bekerja serta berpersatuan? Pendidikan anak dipikul guru atau ibu mereka atau ibu kini hanya sekadar bertanya sama ada anak sudah selesai kerja sekolahnya?

 

Persoalan dipaparkan itu sebenarnya membawa kepada satu persoalan penting iaitu sama ada ibu pernah terfikir adakah diri mereka sudah menjadi ibu sebenarnya terhadap anak?

 

Penulis pasti, tidak ramai ibu yang pernah atau benar-benar memikirkan keadaan ini. Kesibukan hidup seharian kadang-kala tidak memungkinkan kita memikirkan perkara ini. Malah dalam banyak keadaan, orang mungkin menganggap perkara ini remeh dan tidak perlu difikirkan.

 

Namun, dalam dunia serba maju dan sibuk kini, penulis tetap yakin kadang-kala kita perlu menanyakan soalan itu. Ini adalah satu bentuk muhasabah diri. Dengan kata lain, ibu menilai diri mereka sendiri demi untuk mengubah sesuatu yang silap dan merancang sesuatu lebih baik. Misalnya, jika memikirkan diri terlalu sibuk dan tiada masa untuk keluarga, maka berubahlah. Rancangkan sesuatu kegiatan yang boleh diamalkan bersama keluarga. Lanjutan dari ini tetapkan azam untuk memberi lebih perhatian kepada keluarga.

 

Sebenarnya, tidaklah salah untuk seorang ibu menjadi sibuk. Mereka boleh saja sibuk dalam urusan rumah tangga mahupun pekerjaan. Namun, apa yang menimbulkan kesedihan ialah apabila kesibukan ibu adalah satu kesibukan yang dicipta semata-mata. Misalnya, mementingkan pertemuan dalam persatuan di hujung minggu sedangkan masa itu sepatutnya diperuntukkan untuk anak. Berjam di pusat rawatan kecantikan sedangkan anak dibiar berlari dan menjerit-jerit dikejar pembantu rumah.

 

Kita yakin, setiap wanita yang bergelar ibu ada cara yang tersendiri untuk membawa watak mereka itu. Ada yang lebih selesa menguruskan rumah tangga sendiri tanpa mengharapkan bantuan orang luar. Ramai juga ibu yang memerlukan bantuan dalam menguruskan hal ehwal rumah tangga. Kedua-dua keadaan ini tidak ada salahnya. Apa yang salah adalah apabila kita menganggap kita terlalu memberikan tumpuan kepada perkara lain sehingga keluarga terabai.

 

Sebenarnya, sering kali orang berkata penting keluarga dalam hidup mereka tetapi dalam keadaan sebenarnya, apa pula amalan kita untuk membuktikan perkara itu. Misalnya, bagi seorang ibu, anak sangat penting. Malah jika ditanya maka ramai yang akan berkata mereka sanggup melakukan apa saja untuk kesejahteraan anak. Namun dalam keadaan sebenar, selalunya berbeza.

 

Jika dipanggil untuk menghadiri pertemuan guru dan ibu bapa, berapa ramaikah ibu bapa yang turut serta? Jika anak menunjukkan hasil lukisan mereka di sekolah, berapa ramaikah ibu bapa yang benar-benar memerhatikan lukisan yang ditunjukkan itu? Sering kali kita terjerat di dalam perangkap kesibukan dalam hidup.

 

Apabila ditanya, ramai yang akan berkata terlalu sibuk dengan kerja atau kegiatan yang lain hingga tidak dapat membawa anak bercuti atau menghadiri kegiatan anak di sekolah. Begitu mudah kita meletakkan kesalahan kepada kesibukan hidup. Ini mengingatkan penulis nasihat keluarga manusia yang harus mengurus masa dan bukan sebaliknya.

 

 

 

 

 

Maka jelas terbukti melahirkan anak bukan satu syarat utama untuk bergelar ibu. Ada banyak tanggungjawab yang perlu dipikul untuk memastikan wanita layak memegang gelaran itu. Namun, jika dilihat dalam dunia kita, ramai pula ‘ibu’ yang terlupa akan hakikat ini.

 

Ini adalah usaha saling mengingatkan akan hakikat tanggungjawab seorang ibu. Hakikatnya, tanggungjawab utama wanita adalah kepada keluarga. Apa-apa yang diamalkan dalam hidup, misalnya bekerja, seharusnya dikaitkan dengan keluarganya. Malah kejayaannya di dunia dan di akhirat juga akan diukur dari sudut ini dan bukannya semata-mata kejayaan sebagai pekerja terbaik atau ahli persatuan paling setia.

 

Apa yang pasti, setiap keistimewaan datang dengan tanggungjawab yang besar. Oleh itu, keistimewaan yang diberikan kepada wanita untuk menjadi seorang ibu juga datang dengan tanggungjawab tertentu. Sebagai perbandingan, lihat saja sekeliling kita. Seorang ketua pengarah, mendapat kedudukan jawatan tinggi tetapi mempunyai tanggungjawab besar untuk memimpin orang bawahannya.

 

Sama dengan wanita. Keistimewaan yang dianugerahkan kepada mereka bukan sekadar mengiktiraf kedudukan mulia mereka tetapi lebih penting lagi keistimewaan itu datang dengan tugas yang besar, iaitu mendidik anak menjadi insan yang berguna dan dapat berkhidmat dengan cemerlang dalam masyarakat.

 

Kisah Sayyidati Fatimah, anakanda Rasulullah. Suatu hari Fatimah berjumpa dengan Rasulullah SAW meminta seorang pelayan dari hasil tawanan perang. Hasratnya, pelayan itu dapat membantunya dalam urusan rumah tangga. Namun Rasulullah menolak permintaan itu dan kemudian mengajar Fatimah beberapa potong doa dan menyuruhnya supaya meminta tolong kepada Allah untuk mengurus rumah tangga, mendidik anak serta melayani suami.

 

Dalam pada itu, Rasulullah SAW memberi nasihat, “Hai Fatimah, sabarlah. Sesungguhnya sebaik-baik wanita adalah yang memberi manfaat kepada keluarganya”. Oleh itu, sedarlah ibu ukuran kejayaan seorang ibu bukan semata-mata kejayaan dalam kerjaya, pendidikan atau kedudukan dalam masyarakat tetapi yang lebih penting adalah kejayaan ibu dalam membina keluarga bahagia.

 

Penulis adalah felo Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)

 

Sumber: http://www.bharian.com.my/

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s