Generasi cuai solat, ikut nafsu punca kehancuran bangsa

 

Oleh Engku Ahmad Zaki Engku Alwi

 

SETIAP keluarga bahagia pasti mengimpikan zuriat keturunan yang baik. Zuriat keturunan ini amat penting dalam kehidupan manusia sejagat kerana tempoh kehidupan manusia itu sendiri amat terbatas dan sudah pasti keturunan adalah penerus kelangsungan warisan dan kemuliaan ibu bapa.

 

Zuriat juga adalah aset terpenting yang dimiliki sesuatu bangsa dan negara sebagai generasi pewaris yang bakal meneruskan kelangsungan kepimpinan yang ada sekarang. Pendek kata, zuriat keturunan adalah harta kekayaan yang tiada ternilai harganya, di dunia dan akhirat.

 

Rasulullah bersabda bermaksud, “Apabila seorang anak Adam (manusia) meninggal dunia, maka akan terputuslah pahala segala amalannya melainkan pahala tiga amalan salih, iaitu sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan anak salih yang mendoakan orang tuanya. (Hadis riwayat Muslim).

 

Maksud hadis itu mengenai zuriat dalam mencorakkan kehidupan sebuah institusi keluarga. Anak salih sebenarnya adalah hiburan dan penyejuk mata hati ibu bapa. Mana-mana ibu bapa yang lama mengharungi kehidupan rumah tangga tetapi tidak dikurniakan zuriat keturunan sudah pasti akan berasa sedih kerana cita-cita dan harapan mereka berdua tidak dapat disalurkan dan diwujudkan dalam hidup. Hanya kepada anak-anak harapan dan cita-cita dapat menjadi kenyataan.

 

Jika dihalusi, Islam memberikan perhatian serius terhadap keturunan yang baik. Antaranya doa Nabi Ibrahim bersama dengan anaknya Nabi Ismail selepas selesainya pembinaan Kaabah seperti termaktub dalam surah al-Baqarah, ayat 128 yang bermaksud: “Wahai Tuhan kami! Jadikanlah kami berdua orang Islam (yang berserah diri) kepada-Mu, dan jadikanlah dari keturunan kami umat Islam (yang berserah diri) kepada-Mu dan tunjukkanlah kepada kami syariat dan cara ibadat kami dan terimalah taubat kami. Sesungguhnya Engkaulah Maha Penerima taubat lagi Maha Mengasihani.

 

Allah mengingatkan umat Islam keturunan atau generasi yang buruk yang akan menggantikan generasi yang sebelumnya. Ini dapat dilihat melalui firman Allah yang bermaksud: Kemudian mereka digantikan oleh keturunan (yang buruk) yang mencuaikan solat dan menurut hawa nafsu (dengan melakukan maksiat), maka mereka akan menghadapi azab (dalam neraka). – (Surah Maryam, ayat 58)

 

Dua ciri utama generasi yang buruk yang akhirnya membawa kepada kehancuran bangsa itu. Pertama, generasi yang mencuaikan pelaksanaan solat dalam kehidupan seharian. Sedangkan solat adalah tiang agama dan juga amalan yang pertama sekali dihisab pada hari kiamat kelak.

 

Selain itu, solat adalah satu jalinan suci yang menggambarkan perhubungan batin antara seseorang hamba dengan Tuhannya. Solat adalah amalan utama yang mempengaruhi amalan perbuatan yang lain. Ironisnya, seseorang yang rajin melaksanakan ibadat solat dengan baik dan istiqamah mempunyai benteng ketahanan diri yang cukup kuat daripada perbuatan keji dan mungkar.

 

Dalam erti kata lain, apabila sesuatu generasi mencuaikan ibadat solat dalam kehidupan sejagat, maka mereka sebenarnya sudah tersasar dari landasan hidup yang lurus dan akhirnya mereka hanya menanti saat-saat kehancuran dan kebinasaan akibat kecuaian dan kelalaian mereka sendiri dalam melaksanakan perintah Allah taala tersebut.

 

Kedua, generasi yang buruk pula adalah susulan dari akibat kecuaian mereka dalam melaksanakan solat ialah menurut kehendak hawa nafsu. Apabila ketahanan diri amat rapuh dalam jiwa, hati dengan begitu mudah terdorong kepada pujukan hawa nafsu yang hanya menyuruh kepada perbuatan yang keji dan mungkar.

 

Ke mana saja hawa nafsunya condong, ke situlah dia akan berjalan. Generasi yang seumpama ini tidak lagi mempedulikan perkara halal dan haram serta dosa dan pahala. Malah, apa yang penting bagi mereka ialah mereka dapat melakukan kesemua perkara selaras dengan kehendak hawa nafsu mereka itu.

 

Natijahnya, merebaknya gejala sosial di dalam setiap sendi masyarakat Islam hingga akhirnya ia membarah teruk dan seterusnya mengganggu gugat keamanan dan keharmonian yang dinikmati umat Islam.

 

Gejala sosial membabitkan generasi muda dewasa ini adalah satu petanda yang mengisyaratkan akan kebenaran wahyu Ilahi mengenai kemunculan generasi yang buruk dalam kehidupan umat Islam kini.

 

Oleh itu, umat Islam wajib mengambil langkah drastik bagi menyelamatkan generasi muda kini supaya mereka insaf dan kembali ke pangkal jalan serta diasuh dan dibimbing supaya mereka menjadi generasi yang baik yang bakal mewarisi tampuk kepimpinan Islam pada masa akan datang.

 

Apakah persediaan perlu dijana kepada generasi muda supaya mereka berupaya melayakkan diri sebagai generasi yang baik sebagai mana dikehendaki Allah. Perlu insaf persediaan dimaksudkan ini bukan hanya sekadar persediaan material yang tidak boleh menjamin apa-apa kebahagiaan di dunia mahu pun di akhirat kelak.

 

Persediaan sebenar yang wajib diisi dalam diri generasi muda ialah iman, ilmu dan ketakwaan. Ini amat penting dalam kehidupan generasi muda semasa menelusuri pentas hidup yang penuh cabaran.

 

Hanya dengan iman, ilmu dan takwa sajalah, seorang anak muda akan bijak memilih mana yang hak dan yang batil, mana yang baik dan mana yang buruk. Berbekalkan iman, seorang anak muda dapat membezakan mana tingkah laku baik yang mesti dilestarikan dan dilanjutkan sehingga menjadi koleksi amalan soleh baginya dan mana perilaku buruk yang mesti diperbetulkan dan dibuangkan jauh dari kamus kehidupan.

 

Dengan ilmu, seorang anak dapat membalas jasa dan kasih sayang orang tua yang sejati di mana mereka berdua sentiasa menyeru ke arah kebaikan dan mencegah kemungkaran. Dengan takwa, seorang anak yang soleh hanya menampilkan nilai-nilai keperibadian yang luhur kepada umat manusia sejagat.

 

Sumber: http://www.bharian.com.my/

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s