Cegah kemungkaran belum sebati di jiwa Muslim

Setiap umat bertanggungjawab tegakkan kebenaran demi mengangkat martabat Islam

 

KEBAIKAN dan kemuliaan martabat umat Islam kerana keimanan kental yang dibuktikan dengan amalan menyeru manusia ke jalan benar serta mencegah perbuatan mungkar bersandar al-Quran dan sunnah.

 

Corak kehidupan umat seperti ini nyata memperoleh kedudukan terhormat dan mencapai kejayaan cemerlang, dikagumi bukan saja di dunia bahkan juga di akhirat .

 

Firman Allah bermaksud: “Kamu adalah umat terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang makruf dan mencegah daripada yang mungkar dan beriman kepada Allah.” (Surah Ali Imran, ayat 110)

 

Apabila amalan menyuruh berbuat baik dan menjauhi perbuatan dimurkai Allah menjadi budaya setiap Muslim, maka pasti terbina iklim kehidupan umat yang aman, selesa, bahagia dan maju kerana maksiat serta kemungkaran menimbulkan gangguan dalam masyarakat.

 

Oleh itu, kita diseru sentiasa saling mengingatkan kerana ia usaha dakwah yang dianjurkan sejak zaman Rasulullah SAW lagi.

 

Jika tidak ada usaha mengajak ke arah kebaikan, masyarakat terus hanyut di bawa arus kesesatan. Memetik kata Syed Ahmad Semait dalam bukunya Kuliah Subuh: “Andai kata tugas ini dilengahkan dan segala jentera amar makruf nahi mungkar dicuaikan, sama ada dalam ilmu pengetahuan atau amalan, tentu kesesatan bermaharajalela dan kejahilan terus melanda setiap orang dan ketika itu negara rosak binasa sementara rakyatnya menjadi kacau-bilau.”

 

Syarat yang perlu dipenuhi untuk mencegah kemungkaran digariskan Imam al-Ghazali dalam kitabnya Bimbingan Mukmin iaitu:

 

# Perkara yang dilarang itu memang perbuatan mungkar sama ada dosa kecil atau besar.

 

# Hendaklah kemungkaran itu dilakukan secara terang-terangan dapat dilihat orang awam, bukan secara rahsia atau diintip.

 

# Perkara yang dicegah itu mesti kemungkaran dalam perkara yang sudah diketahui hukumnya (haram atau berdosa) bukan yang dihukumkan secara ijtihad.

 

Tugas mengajak kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran perlu dilakukan secara bijaksana, istiqamah dan bersungguh-sungguh. Renungi contoh kesungguhan segelintir ahli kitab yang beriman serta mendukung risalah dibawa Rasulullah SAW.

 

Abdullah Salam, Tha’labah Syu’bah dan beberapa sahabat lain begitu aktif membaca dan menghayati al-Quran sepanjang hidup mereka, menegakkan amar makruf nahi mungkar, berlumba-lumba serta bersegera melakukan kebaikan demi bangsa dan negara.

 

Perkara itu terakam dalam ayat bermaksud: “(Ahli Kitab) tidak sama semua. Antaranya, ada golongan yang lurus. Mereka membaca ayat Allah pada malam hari dan sujud. Mereka beriman kepada Allah dan hari kemudian, menyuruh berbuat makruf dan melarang melakukan yang mungkar. Mereka bersegera (sedia) berbuat kebajikan, dan mereka termasuk orang-orang soleh.”

 

Ringkasnya, kegiatan dakwah ke jalan Allah adalah ketaatan yang mulia dan ibadah paling agung kerana untuk menegakkan panji Islam memerlukan usaha keras, tidak kenal malas atau penat serta memerlukan pengorbanan besar.

 

Sebagai membalas dan menghargai usaha pendakwah, Allah menyediakan ganjaran pahala yang berterusan untuk mereka seperti mana Rasulullah SAW bermaksud: “Barang siapa mengajak kepada petunjuk, maka ia akan mendapat pahala seperti pahala orang yang mengikutinya tanpa mengurangi pahala orang yang mengikutinya sedikitpun.” (Hadis riwayat Muslim)

 

Keikhlasan harus menjadi pakaian hati seseorang dalam menghidupkan kerja dakwah kerana ikhlas penting untuk memastikan ibadat diterima serta diredai Allah.

 

Allah berfirman yang bermaksud: “Padahal mereka tidak disuruh kecuali supaya menyembah Allah dengan memurnikan ketaatan kepada-Nya dalam (menjalankan) agama yang lurus, dan supaya mereka mendirikan solat dan menunaikan zakat dan yang demikian itulah agama yang lurus.” (Surah al-Bayyinah, ayat 5)

 

Tanpa keikhlasan, usaha dakwah tentu diconteng keburukan sifat riak atau sombong yang pasti mencemarkan usaha yang sepatutnya di pandang mulia. Ini perbuatan golongan munafik yang suka mempamerkan sifat bermuka-muka dalam melaksana dakwah.

 

Kesabaran juga tidak boleh diketepikan begitu saja kerana dalam menjalankan amar makruf nahi mungkar, jalannya berliku dan berduri. Banyak rintangan serta ujian yang memerlukan kesabaran tinggi seperti pernah ditempuh anbia, sahabat dan solihin.

 

Nabi Muhammad SAW ketika menjalankan dakwah tidak terkecuali menerima tentangan hebat seperti ejekan, ancaman, seksaan dan ugutan bunuh daripada masyarakat Arab jahiliah. Orang yang kuat menentang dakwah Rasulullah SAW di Makkah ialah Abu Lahab.

 

Namun, Baginda menghadapi semua itu dengan kesabaran dan keberanian sehingga dakwahnya mendapat kejayaan cemerlang dan gemilang. Benarlah seperti diucapkan Saidina Ali Abi Talib: “Orang yang sabar pasti mendapat kemenangan, walaupun lambat hasilnya.”

 

Pendakwah perlu menunjukkan akhlak terpuji dalam berpakaian, percakapan dan pergaulan. Contohnya hati kaya dengan sifat kasih-sayang, lemah-lembut, ramah tamah dan mempamerkan wajah dihiasi senyuman.

 

Sifat terpuji itu menghiasi keperibadian mulia Rasulullah SAW seperti diceritakan al-Quran yang bermaksud: “Sesungguhnya sudah ada pada (diri) Rasulullah itu suri teladan yang baik bagimu (iaitu) bagi orang mengharap (rahmat) Allah dan (kedatangan) hari kiamat dan dia banyak menyebut Allah.” (Surah al-Ahzab, ayat 21)

 

Muhammad Natsir dalam bukunya Fiqh Ad-Dakwah: “Ada tiga cara dakwah yang sesuai disampaikan di tengah masyarakat iaitu dakwah bil-lisan (memberi nasihat, ceramah, pengajaran), dakwah bil-kalam (dalam bentuk tulisan seperti menulis buku) dan dakwah bil-hal (menunjuk contoh teladan dan tingkah laku yang baik). Dakwah yang sering digunakan ialah dakwah bil-lisan. sementara dakwah bil-hal tidak dititikberatkan.”

 

Tingkah laku yang baik boleh mempengaruhi jiwa dan gaya hidup masyarakat di sekeliling. Ini juga adalah syiar Islam yang mesti didegupkan supaya dapat memberi kesimpulan dan gambaran baik mengenai ajaran Islam.

 

Ada masyarakat beranggapan tugas mengajak ke arah kebaikan dan mencegah kemungkaran tanggungjawab kerajaan atau pihak berkuasa. Ada yang tidak mahu bertindak atas alasan enggan mencampuri urusan orang lain kerana takut mendatangkan bahaya pada diri sendiri.

 

Disebabkan itu, walaupun kemungkaran berlaku di depan mata, tidak ditegah atas alasan bukan tugasnya. Anggapan salah ini perlu dikikis kerana apabila hal itu dibiarkan berlarutan, tidak mustahil mendorong perbuatan mungkar terus berleluasa di masa depan.

 

Kita harus takut dengan ancaman azab Allah jika tidak mencegah perbuatan mungkar seperti maksud sabda Rasulullah SAW:

 

“Apabila orang ramai melihat seorang zalim, tetapi tidak merubah kemungkaran yang dilakukannya, hampir-hampir Allah SWT menimpakan mereka dengan balasan daripada sisi-Nya.” (Hadis riwayat Abu Daud, An-Nasa’i dan At-Tarmizi)

 

Sebagai umat Islam yang mahu menjadi sebaik-baik umat pilihan Rabbul Jalil hendaklah menjalankan amar makruf nahi mungkar dengan penuh keinsafan, komitmen tinggi dan keimanan sejati.

 

Apabila semuanya sudah menjadi insan yang patuh kepada Allah dan membenci perbuatan menyalahi syariat Islam, maka akan terbina masyarakat yang hidup dalam suasana aman damai, serta mendapat keredaan Allah. 

 

Sumber: http://www.bharian.com.my/

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s