Pembangunan Islam dibina berasaskan tasawwur

Oleh Mohd Shukri Hanapi

Kemusnahan kerajaan Saba’ berpunca daripada penafian tiga ciri utama prinsip kemajuan

SESUATU pembangunan yang muncul sudah tentu dibina berasaskan kepada acuannya tersendiri. Begitu juga pembangunan berteraskan Islam, dibina berasaskan acuan tasawwur atau perspektif Islam tulen.

Tasawwur Islam yang tulen adalah gambaran bentuk Islam hakiki. Ia menjelaskan secara keseluruhan prinsip asas Islam secara benar dan lengkap, sehingga sebati dalam diri orang yang memahaminya.

Umumnya, al-Quran sudah menggambarkan adanya tiga pokok utama tasawwur Islam iaitu Allah sebagai Pencipta, manusia sebagai makhluk dan alam semesta sebagai makhluk.

Oleh itu, setiap orang mendapat gambaran bentuk Islam hakiki dan memahami secara keseluruhan prinsip asas Islam terkandung dalam al-Quran serta beramal dengannya, mampu membawa kepada kemurnian peribadi Islam serta kecemerlangan hidup masyarakat Islam di dunia dan akhirat.

Jika dilihat pembangunan berteraskan Islam, tasawwur Islam dijadikan asas atau acuan dalam pembentukan pembangunan tulen. Ia pada asasnya adalah tapak bagi setiap aspek kehidupan manusia, sementara prinsip pembangunan berteraskan Islam adalah tapak khusus pembangunan.

Daripada tasawwur Islam inilah lahirnya prinsip pembangunan berteraskan Islam lain. Contohnya, prinsip pembangunan berteraskan Islam kedua (manusia sebagai pelaku pembangunan) lahir daripada tasawwur Islam yang meyakini manusia adalah makhluk Allah.

Prinsip pembangunan berteraskan Islam ketiga (alam roh, alam dunia dan alam akhirat sebagai skala waktu pembangunan), keempat (ilmu fardu ain kerangka pembangunan), kelima (ibadah sebagai perkaedahan pembangunan) dan ketujuh (mendapat keredaan Allah sebagai matlamat akhir) pula berhubung rapat dengan tasawwur Islam yang meyakini Allah adalah Pencipta.

Sementara prinsip pembangunan berteraskan Islam keenam (sumber alam sebagai perkaedahan pembangunan) pula lahir daripada tasawwur Islam yang meyakini alam semesta adalah makhluk Allah.

Oleh sebab tasawwur Islam yang mencorakkan segala kehidupan manusia, maka pembangunan yang muncul daripada tasawwur lazim atau falsafah Barat bukanlah pembangunan berteraskan Islam tulen.

Selagi ia tidak membebaskan diri daripada ikatan tasawwur lazim, selagi itulah ia terperangkap dalam paradigma lazim. Selagi ia terperangkap dalam cengkaman tasawwur lazim, selagi itulah pembangunan tidak boleh dikatakan pembangunan berteraskan Islam.

Sebenarnya al-Quran sudah menjelaskan implikasi pembangunan tidak dibina berdasarkan tasawwur Islam. Peristiwa menimpa kerajaan Saba’ pada 120 sebelum masihi. Empangan Ma’rib didirikan kerajaan Saba’ dengan didukung rakyatnya yang sangat kuat berusaha.

Empangan ini mampu membekalkan air tiga bulan kepada penduduk Saba’ ketika kemarau. Air daripada empangan itu dialirkan untuk mengairi daerah pertanian seluruh Saba’.

Dengan terbinanya Empangan Ma’rib itu, Saba’ berjaya mencapai tahap kemakmuran tinggi. Demikianlah makmurnya negeri itu sehingga sempat pula mereka membina dua taman tergantung cukup indah dengan teknik tercanggih pada zaman itu.

Kemakmuran Saba’ tidak kekal lama. Kemakmuran dan pembangunan dikecapi menyebabkan mereka lupa dan berpaling daripada agama Allah. Mereka tenggelam dalam kekufuran dan bermacam kemewahan hidup dunia. Akhirnya Allah menghancurkan umat Saba’.

Keruntuhan Empangan Ma’rib menyebabkan banjir al-Arim dan kemusnahan besar. Kebun anggur, taman dan ladang pertanian yang diusahakan kaum Saba’ sejak sekian lama musnah sama sekali. Masyarakat Saba’ juga diketahui menempuh kemelesetan sebaik saja kejadian. Tempoh itu menjadi penghujung bagi Saba’.

Allah berfirman yang bermaksud: “Maka mereka berpaling ingkar, lalu Kami hantarkan kepada mereka banjir yang membinasakan, dan Kami gantikan dua kebun mereka (yang subur) itu dengan dua kebun yang berisi dengan pohon yang pahit buahnya, dan pohon yang jarang berbuah, serta sedikit pohon bidara. Demikianlah Kami membalas mereka disebabkan kekufuran mereka; dan sebenarnya Kami tidak menimpakan balasan yang demikian melainkan kepada orang yang amat kufur.” (Surah Saba’, ayat 16-17)

Sebenarnya pembangunan yang dibina kerajaan Saba’ ini jelas tidak langsung berakar umbi daripada ketiga-tiga pokok tasawwur Islam yang utama. Keutamaan keupayaan ekonomi seperti memaksimumkan pengeluaran dan penggunaan oleh kaum Saba’ menafikan Allah sebagai Pencipta dan sekali gus menafikan keredaan-Nya seharusnya dijadikan matlamat akhir.

Selain itu, fungsi manusia dalam pembangunan kerajaan Saba’ juga turut bercanggah dengan pokok tasawwur Islam kedua iaitu manusia sebagai makhluk Allah. Mereka anggap manusia sebagai makhluk ekonomi yang fungsinya untuk mengeluar dan mengguna semata-mata.

Sedangkan berdasarkan kepada tasawwur Islam, manusia selaku makhluk Allah mempunyai fungsi lebih khusus daripada itu.

Aktiviti pengeluaran dan penggunaan hanyalah sebahagian daripada alat untuk manusia menjalankan atau mempertahankan fungsi khusus yang dipertanggungjawabkan ke atas mereka. Fungsi khusus manusia yang dimaksudkan ialah sebagai hamba dan khalifah Allah.

Dalam pembangunan berteraskan Islam, fungsi manusia sebagai hamba dan khalifah Allah ini direalisasikan menerusi dua dimensi perhubungan. Fungsi manusia selaku hamba Allah direalisasi menerusi hubungan menegak dengan Allah (hablum minallah) selaku Pencipta.

Sementara fungsi sebagai khalifah Allah direalisasikan dalam hubungan mendatar sesama manusia dan sumber alam selaku makhluk Allah (hablum minannas).

Maka pembangunan berteraskan Islam mesti dibina dan lahir daripada acuannya sendiri, iaitu daripada akar umbi mengenai pengetahuan dan tasawwur Islam serta tidak boleh dicampuradukkan dengan fahaman bercanggah Islam.

Justeru, jelaslah tasawwur Islam adalah perkara asas dan prinsip paling utama dalam pembangunan berteraskan Islam untuk mencapai kejayaan ke arah meraih kecemerlangan kehidupan di akhirat.

Sumber: http://www.bharian.com.my

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s