Madinah contoh unggul konsep satu bangsa

Oleh Abdurrahman Haqqi

Rasul damaikan kaum di bawah satu akidah, Islam sebagai negara, al-Quran jadi perlembagaan

BANGSA dalam Kamus Dewan mempunyai lima pengertian. Bangsa bermaksud jenis manusia daripada satu asal keturunan; kumpulan manusia dalam satu ikatan ketatanegaraan; macam atau jenis; jantina atau jenis kelamin dan darjat tinggi atau keturunan mulia.

Kelima-lima pengertian bangsa itu termasuk dalam beberapa pengertian ‘umat’ dalam bentuk kata tunggal atau jamak yang disebut 141 kali dalam al-Quran.

Sebagai contoh, satu kumpulan manusia tanpa diberi tambahan ‘satu asal keturunan’ atau ‘dalam satu ikatan ketatanegaraan’ juga disebut umat dalam al-Quran seperti dalam ayat bermaksud: “Dan tatkala dia (Musa) sampai di telaga air negeri Madyan, dia dapati di situ sekumpulan lelaki sedang memberi minum (binatang ternak masing-masing).” (Surah al-Qasas: 22)

Bahkan, dalam al-Quran seorang manusia pun dikatakan umat atau bangsa seperti yang boleh kita tafsirkan daripada ayat bermaksud: “Sesungguhnya Nabi Ibrahim adalah satu umat (walaupun dia seorang diri), dia taat kepada Allah, berdiri teguh atas dasar tauhid dan tidak pernah menjadi orang yang musyrik. Dia sentiasa bersyukur nikmat Allah (dan) Allah memilihnya (menjadi Nabi) dan memberi hidayah petunjuk ke jalan yang lurus.” (Surah al-Nahl: 120-121).

Dalam penjelasannya, Syeikh Abdullah Basmeih menulis: “Selepas itu Allah menerangkan pula kelebihan Nabi Ibrahim as sebagai contoh baik yang sepatutnya dituruti. Meskipun seorang diri, Allah sifatkan dia sebagai satu umat kerana terhimpun padanya sifat kebaikan dan kesempurnaan yang hampir tidak wujud, melainkan pada satu umat yang ramai bilangannya. (Tafsir Pimpinan Arrahman).

Pujian dan sanjungan Allah SWT terhadap Nabi Ibrahim as sebagai satu umat kerana Baginda mengamalkan empat sifat utama sebagai penunjangnya iaitu taat kepada Allah, berdiri teguh atas dasar tauhid, tidak musyrik dan sentiasa bersyukur. Keempat-empat penunjang ini sebagai implementasi daripada perintah Allah dalam konsep keumatan yang termaktub dalam dua ayat al-Quran dalam dua surah yang berurutan, masing-masing bermaksud: “Dan Akulah Tuhan kamu, maka kamu sembahlah aku.” (Surah al-Anbiya: 92) dan “(dan) Akulah Tuhan kamu dan bertakwalah kamu kepada-Ku.” (Surah al-Mukminun: 52).

Ibadah dan takwa adalah kunci utama konsep pembentukan umat atau bangsa dalam al-Quran. Nabi Ibrahim menerapkan dua kunci utama ini dalam empat sifat tonggak perilaku kehidupan Baginda sehingga mendapat pujian dan sanjungan Allah.

Dua kunci utama ini juga diamalkan buat pertama kali oleh umat atau bangsa Madinah al-Munawwarah di bawah kepemimpinan Nabi Muhammad SAW sehingga mereka mendapat pujian dan sanjungan Allah SWT. Al-Quran menyatakan yang bermaksud: “Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala kebaikan dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman).” (Surah Ali ‘Imran: 110).

Tiga sifat utama dalam ayat ini yang menjadikan umat Islam sebaik-baik umat yang dilahirkan ialah amar makruf, nahi mungkar dan iman. Ketiga-tiga sifat ini adalah implementasi daripada dua kunci utama pembentukan kebangsaan menurut al-Quran iaitu ibadah dan takwa. Ibadah ada pada amar makruf nahi mungkar, manakala takwa ada pada iman yang sebenar-benar iman.

Konsep satu umat atau bangsa pertama kali diperkenalkan dalam sejarah Islam oleh Rasulullah SAW sempena ketibaan Baginda di Kota Yathrib yang kemudian ditukar menjadi Kota Madinah 1,430 tahun lalu. Pada masa itu, Madinah adalah kota metropolitan walaupun tidak sehebat Makkah yang memiliki kepelbagaian bangsa dan budaya termasuk Arab yang diwakili suku Aus dan Khuzruj di samping Yahudi, Nasrani dan musyrik.

Bagi mengelak jurang pemisah di antara mereka, Rasulullah memperkenalkan Piagam Madinah yang menjelaskan secara global hak atau tanggungjawab dan kewajipan pemerintah dan keperluan yang mendesak. Piagam ini merangkumi 52 peruntukan dan diambil berat oleh pengkaji perlembagaan Islam oleh sejarawan Islam, di samping orang Yahudi dan Nasrani Eropah.

Antara sarjana Yahudi dan Kristian yang memberi perhatian kepada piagam ini ialah Wellhaussen, Caetani, Ranke, Wensick, Sprenger, Grimmer, Mueller dan antara yang terakhir ialah W Montgomery Watt. Piagam ini diterjemahkan secara keseluruhan atau perbincangan antaranya ke dalam bahasa Belanda, Itali, Inggeris, Perancis dan Jerman. Antara cendekiawan Islam terkini yang membincangkan secara serius perlembagaan itu ialah Prof Muhammad Hamidullah. Beliau menyifatkan Perlembagaan Madinah sebagai The First Written Constitution in the World. (Muhammad Nasir: Aspek Undang-Undang Perlembagaan Islam)

Sayyid Qutb dalam Ma’alim fi al-Tariq menulis: “Islam datang membawa satu konsep baru untuk umat manusia, konsep mengenai hakikat segala tali-temali dan alat penghubung. Serentak itu, Islam juga membawa satu konsep baru mengenai hakikat nilai dan dari manakah nilai itu perlu ditatang terima.

Islam datang untuk membawa umat manusia kembali ke pangkuan Tuhannya, untuk menjadikan kuasa Tuhan sebagai kuasa tunggal sebagai tempat manusia menceduk dan mendapatkan nilai seperti mana manusia wujud dan hidup dirinya, tempat manusia kembali seperti juga daripada iradat-Nya manusia merangkak keluar ke dunia dan ke pangkuan-Nya manusia menyusur kembali.

Selepas memerhati kejayaan bangsa Madinah, beliau pun mengulas: “Umat yang dirintis perjalanannya dan dipelopori pembentukannya oleh Abu Bakar berbangsa Arab, Bilal (kulit hitam Habsyah) Suhaib (Rome) dan Salman (Parsi) serta saudara mereka yang budiman. Jejak mereka pula diikuti beberapa generasi lagi selepas mereka dengan akidah sebagai pengenalan rupa bangsa, Islam menjadi negara mereka, Allah menjadi pemerintah mereka dan Al-Quran sebagai perlembagaan mereka.

“Inilah konsep tinggi nilainya mengenai negara, rupa bangsa dan keluarga yang menjadi pedoman menguasai hati setiap orang pendakwah kepada agama Allah, diberitahu dengan terang dan lantang kepada seluruh umat manusia supaya tidak bercampur dengan penyelewengan yang dibawa konsep ala Jahiliah yang diseludup secara senyap, tidak diresapi pelbagai bentuk syirik tersembunyi (syirik khafi) iaitu mensyirikkan Allah SWT dengan tanah, bangsa, kaum, keturunan dan pelbagai kepentingan kecil untuk keperluan jangka pendek serta syirik yang dikumpulkan Allah dalam sebelah tangan dan diletakkan iman di tangan yang lain, lalu disuruh manusia memilih sendiri.”

Wallahualam
sumber: http://www.bharian.com.my/

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s