Wanita boleh semak pernikahan suami di pejabat agama

Soalan:
BAGAIMANA saya boleh menyemak pernikahan suami dengan isteri keduanya? Mereka bernikah tanpa pengetahuan saya. Minggu lalu saya terjumpa catatan lafaz taklik yang dibuat isteri kedua suami di komputer beliau. Lafaz taklik itu berbunyi: “Wahai suamiku. Aku isterimu membuat lafaz taklik terhadap dirimu jika aku mendapati engkau sengaja membuat hubungan sulit, berlaku curang terhadap diriku dengan perempuan di luar, sama ada berhubungan melalui telefon atau SMS dan juga jika engkau balik rumah binimu di Kedah dengan niat berjumpa dengannya bukan atas urusan kerja, maka dengan itu engkau melanggari akan lafaz taklikku ini, dengan serta-merta maka jatuh talak satu terhadap diriku.” Adakah lafaz taklik itu sah?

Isteri duka,
Kedah.

Jawapan:
Persoalan pertama, puan boleh menghubungi pejabat agama Islam tempat asal isteri kedua suami atau pejabat agama tempat suami tinggal. Jika pernikahan itu didaftarkan, pihak berkenaan akan menyimpan rekod. Cuma dikhuatirkan pernikahan itu secara sindiket atau dibuat di luar negara. Jika demikian, sukar menyemak status pernikahan mereka.

Berhubung persoalan kedua, pada asasnya lafaz talak adalah hak suami. Firman Allah yang bermaksud: “Wahai Nabi! Apabila kamu (engkau dan umatmu) hendak menceraikan isteri (kamu) maka ceraikanlah mereka pada masa mereka dapat memulakan edahnya.” (Surah at-Talaq, ayat 1)

Lafaz taklik adalah lafaz talak taklik (talak tergantung) yang dilafazkan apabila suami mengaitkan talak dengan sesuatu sifat atau syarat sama ada mempunyai hubungan dengan isterinya, suami sendiri atau orang lain.

Hikmah dijadikan talak di tangan suami dan bukan isteri bagi menjaga hubungan perkahwinan dan tidak diputuskan sewenang-wenangnya tanpa sebab yang wajar kerana lelaki membayar mahar dan membiayai nafkah isteri serta menyediakan tempat tinggal.

Kebiasaannya suami lebih berhati-hati membuat pertimbangan dengan memikirkan akibat buruk perceraian. Wanita lebih dipengaruhi emosi. Apabila berlaku talak, diikuti beberapa perkara bersifat harta seperti mahar, nafkah edah dan mutaah. Semua bebanan ditanggung lelaki dan ini membuatkan dia berfikir panjang sebelum menjatuhkan talak.

Wanita sejak awal lagi sudah menerima perkahwinan dengan talak berada dalam kekuasaan lelaki, sedangkan dia juga boleh mensyaratkan kuasa talak pada tangannya sejak permulaan akad perkahwinan lagi jika lelaki bersetuju berbuat demikian.

Bagaimanapun, ijmak ulama mengharuskan suami menyerahkan talak kepada isterinya atau mewakilkan kepada orang lain. Contoh, suami menyerahkan talak kepada isteri dengan berkata: “Awak talaklah diri awak sendiri”.

Nabi SAW pernah memberi pilihan kepada isterinya sama ada terus tinggal bersama Baginda sebagai isteri atau berpisah kerana turunnya ayat yang bermaksud: “Wahai Nabi, katakanlah kepada isteri-isterimu, jika kamu semua mahukan kehidupan dunia (yang mewah) dan perhiasannya (yang indah) maka marilah supaya aku berikan kepada kamu pemberian mutaah (sagu hati) dan aku lepaskan kamu dengan cara sebaik-baiknya.” (Surah al-Ahzab, ayat 28)

Menurut pendapat golongan Syafie, penyerahan talak adalah memberi milik kuasa bagi seseorang mengikut pendapat baru (qaul jadid). Syarat dikenakan bagi isteri segera menjatuhkan talak dan apabila isteri memiliki dirinya sendiri, maka pemilikan itu tidak boleh ditarik balik.

Sementara menurut pendapat golongan Hambali, orang yang diwakilkan talak itu berhak menjatuhkan talak pada bila-bila masa dikehendaki melainkan jika suami mengehadkan tempoh tertentu.

Orang yang diwakilkan itu tidak boleh menjatuhkan talak lebih daripada satu melainkan suami menyatakan sebaliknya. Jika suami mewakilkan talak kepada isteri dengan syarat, maka talak akan jatuh sebaik saja syarat itu dipenuhi. Ini berbeza dengan pendapat golongan Syafie yang mensyaratkan ia perlu dilaksanakan dengan segera tanpa bersyarat.

Merujuk persoalan puan, ia tertakluk ketentuan dan persetujuan antara suami puan dengan isteri keduanya. Jika suami ada atau tidak mewakilkan atau menyerahkan kuasa talak kepada isteri keduanya itu, maka si isteri berhak menceraikan dirinya sendiri.

Cuma jika memegang kepada pendapat golongan Syafie, isteri perlu menjatuhkan talak ke atas dirinya dengan segera, tidak boleh digantung atau ditaklikkan dengan syarat.

Jika suami tidak menyerahkan kuasa talak kepada isteri keduanya, lafaz taklik dibuat isteri kedua itu berkemungkinan besar tidak sah menurut hukum syarak.

Cuma dalam persoalan ini, ia adalah antara suami dan isteri keduanya. Mereka yang perlu memanjangkan perkara itu ke Mahkamah Syariah untuk pengesahan.

Jawapan disediakan Timbalan Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia, Musa Awang. Sila layari http://peguamsyarie.org.

sumber: http://www.bharian.com.my

Advertisements

4 thoughts on “Wanita boleh semak pernikahan suami di pejabat agama

  1. sy berumur 22tahun. sy ada kenal dengan lelaki berusia 35 tahun dan hubungan kami sudah serius.
    tetapi masalah saya sekarang saya ragu-ragu samada dia sudah berkahwin atau belum. macm mana saya ingin menyemak status dia samada dia sudah beristeri atau belum? sy asal dari kelantan manakala dia berasal dari perak mengikut alamat dari kad pengenalan dia. adakh saya perlu pergi ke pejabat jabatan agama islam di perak untuk bertanya tentang status dia atau saya hanya perlu menelefon sahaja pejabat jabatan agama islam perak?

  2. Saya ada seorang makcik kematian suami nye 6 tahun lalu. Tak sampai 3 bulan, dia dibawa ke siam untuk pernikahan nya dengan seorang lelaki yang sebenar nye sahabat baik arwah pakcik saya.

    Kami sekeluarga muskhil dengan tindakan makcik saya kerana kami tahu betapa sayang nye dia dengan arwah suaminya dan kerana pernikahan nye berlangsung dengan cara mendadak. Dan kami persoalkan kenapa tidak bernikah di Singapura sahaja.

    Makcik saya ade 4 orang anak 3 lelaki dan yang kecik perempuan. Anak nye yang pertama 26 tahun, bersama beliau mangambil alih business peninggalan arwah.

    Dari dulu lagi si pakcik(suami baru makcik saya) selalu menggangu business mereka..

    Saya bekerja di bahagian ofis mereka. Kami ada factory kisar rempah ratus di Johor. Semua rempah ratus akan dibeli di Johor dan selepas di kisar akan dibawa masuk ke Singapura.
    Makcik saya sudah beberapa kali memberi duit kepada pakcik untuk membayar supplier di Johor yang saya kira sudah hampir setengah juta RM kesemuanya yang telah ‘hilang’ di tangan pakcik.
    Setiap kali ini berlaku, makcik dan anaknya terpaksa bertungkus lumus untuk cari duit untuk bayar balik supplier sehinggalah sekarang. Dan sudah beberapa kali makcik saya berkata beliau sudah serik dan tak mahu lagi dibuat pakcik. Tetapi beliau tetap masih bersama pakcik.

    Anak nye pernah menghalang makcik daripada walaupun bercakap dengan pakcik, dan ketika itu makcik sudah sedar dan bertekad untuk lepas diri dari pakcik. Tetapi dalam senyap pakcik merayu dan akhirnye bertemu dengan makcik secara sembunyi. Dan mereka pun telah bersama kembali.

    Dan sekarang anaknye pula sudah berbaik dengan pakcik ( ini tidak pernah berlaku!!) Dan yang menghairankan dan membuat saya geram ialah pakcik mengambil alih bahagian accounts (sedangkan selama ini walau dihina dan di halang pakcik, anak nye tetap tidak pernah pakcik kebenaran)

    Dan hari ini saya menerima panggilan dari Johor. Seorang perempuan ingin bercakap dengan makcik (beliau tak masok ofis hari ini) perempuan itu bilang saya yang dia adalah teman isteri pakcik yang di Johor. Saya bertanya kan sekali lagi kerana takut salah dengar. Betul perempuan itu ulangi yang sama.

    Jadi sekarang saya ingin sekali tahu macam mana cara nya untuk saya dapat check kalau pakcik betul ade isteri di Johor. (makcik saya adalah isterinya yang ke dua di Singapura)

    Saya berharap sangat pertolongan… saya tak mahu makcik dan anak2 nye termakan dan terseksa kerana pakcik!!

    • Assalamualaikum, saya mencadangkan supaya saudari menghubungi Pejabat Jabatan Agama Islam berdekatan atau merujuk kepada laman http://peguamsyarie.org dan mengemukakan pertanyaan untuk jawapan yang benar-benar tepat. Terima Kasih.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s