Profesion perguruan setanding peranan ulama

Oleh Mohd Shahrizal Nasir

Rasulullah mengiktiraf tugas pendidik dalam proses penyebaran dakwah Islamiah

PROFESION perguruan adalah tugas mulia di sisi Islam, apatah lagi yang membabitkan disiplin ilmu berkaitan agama. Tanpa menafikan peranan pendidik dalam disiplin ilmu lain, bidang perguruan seharusnya terus dipandang tinggi masyarakat.

Sesungguhnya guru memainkan peranan besar mencorakkan pemikiran, budaya dan peradaban generasi akan datang. Jika guru diperlekeh oleh masyarakat, mana mungkin peranan mereka dapat dilaksanakan dengan jaya dan berkesan.

Islam sebagai agama yang mementingkan ilmu pengetahuan memandang tinggi martabat seorang pendidik. Rasulullah SAW sendiri sudah membuktikan pentingnya peranan guru dalam proses penyebaran dakwah Islamiah pada zaman permulaan Islam.

Sebagai utusan terakhir kepada umat manusia, Baginda sendiri berperanan mengajar dan mendidik umat manusia berpandukan wahyu Ilahi yang diterimanya.

Firman Allah yang bermaksud: “Dialah (Allah) yang mengutuskan daripada kalangan orang yang Ummiyyin, seorang Rasul dari kalangan mereka sendiri, yang membacakan kepada mereka ayat Allah, dan membersihkan mereka (dari iktikad yang sesat), serta mengajarkan mereka Kitab Allah (al-Quran) dan hikmah (pengetahuan yang mendalam mengenai hukum syarak). Dan sesungguhnya mereka sebelum (kedatangan Nabi Muhammad) itu adalah dalam keadaan sesat yang nyata.” (Surah al-Jumu’ah, ayat 2)

Selain itu, Baginda SAW juga mengambil inisiatif dengan menghantar Mus’ab ibn ‘Umair ke bumi Yathrib (Madinah) dengan tujuan mengajar al-Quran dan ilmu asas berkaitan Islam kepada masyarakat Arab yang baru memeluk Islam pada ketika itu.

Inilah antara peranan penting pendidik dalam usaha menyebarluaskan dakwah Islamiah dengan cara lebih berkesan. Secara tidak langsung, sebenarnya Rasulullah SAW turut menggesa umatnya menjadi pendidik menerusi sabdanya yang bermaksud: “Sampaikanlah daripada aku walaupun sepotong ayat.” (Hadis riwayat Bukhari)

Saidina Ali pernah berkata: “Jadilah orang yang mencurahkan ilmu atau orang yang menuntut ilmu atau orang yang suka mendengar ilmu atau orang yang cintakan ilmu dan jangan kamu jadi golongan yang kelima, maka kamu akan binasa.”

Sebenarnya pendidik boleh dikategorikan sebagai ulama dalam konteks kepakaran masing-masing. Justeru, dapat dilihat ulama silam amat mementingkan tatasusila dan adab yang perlu dijaga penuntut ilmu apabila bermuamalat dengan gurunya.

Ulama menggariskan beberapa adab yang perlu diikuti bagi mendapat keberkatan ilmu yang dipelajari. Imam Ghazali antara lain menyebut dalam kitabnya Ihya ‘Ulum ad-Din: “Apapun yang diterangkan oleh guru ketika pengajian maka hendaklah (penuntut) mengikutinya dan meninggalkan pandangan peribadinya, kerana kesilapan guru lebih bermanfaat daripada apa yang mungkin benarnya yang datang dari dirinya (penuntut).”

Bukanlah maksud kata-kata itu bahawa segala yang dicurahkan guru, walaupun ia mungkin ada kesilapan perlu diterima bulat-bulat, tetapi apa yang cuba disampaikan adalah betapa perlunya bagi penuntut untuk sentiasa meletakkan martabat guru pada tempat yang selayaknya.

Percanggahan pendapat harus ditangani dengan bijak supaya hubungan antara penuntut dengan gurunya akan terus terpelihara dan dijauhkan daripada menjatuhkan air muka guru di khalayak ramai.

Kebelakangan ini, pelbagai berita dilaporkan yang boleh dikira sebagai cuba merendahkan martabat guru. Berita guru dikasari murid, diheret ke mahkamah, guru dera pelajar, jika tidak diselidiki kesahihannya dengan teliti boleh menyebabkan pelbagai persepsi buruk dilontarkan kepada guru dan pendidik.

Perbezaan ketara dapat diperhatikan apabila guru dipandang tinggi oleh anggota masyarakat satu ketika dulu.

Ibu bapa akan menyerahkan amanah menjaga dan mendidik anak kepada guru dengan rasa ikhlas dan penuh kepercayaan.

Sebaliknya situasi masa kini, guru semacam perlu berjaga-jaga supaya tindak tanduknya tidak mengundang sebarang masalah, walhal secara lazimnya mereka melakukan setiap perkara hanya dengan tujuan untuk melihat anak didiknya terus cemerlang dan berjaya.

Dalam konteks lain pula, guru perlu sentiasa menjaga akhlak dan tingkah laku supaya dapat menjadi ikutan terbaik kepada generasi muda. Guru harus sedar setiap tingkah laku mereka sentiasa menjadi perhatian masyarakat. Jangan sesekali bercakap sesuatu yang tidak pernah dilakukan. Sesungguhnya balasan Allah amat berat bagi mereka yang tidak melakukan apa yang diperkatakan.

Firman Allah yang bermaksud: “Wahai orang beriman, mengapa kamu memperkatakan apa yang kamu tidak melakukannya. Amat besar kebenciannya di sisi Allah, kamu memperkatakan sesuatu yang kamu tidak melakukannya.” (Surah as-Saf, ayat 2-3)

Hakikatnya, jika guru tidak menjaga maruah dan perilaku, mereka merendahkan fungsi dan martabat sendiri pada mata masyarakat, seterusnya mengabaikan amanah Allah bagi melahirkan umat yang terbaik menerusi ilmu pengetahuan.

Sempena sambutan Hari Guru, hari ini, marilah bersama kita mengenang jasa guru dan pendidik yang sudah banyak membantu agama, bangsa dan negara dalam melahirkan ummah terbaik dan dipandang tinggi.

Ucapan terima kasih seharusnya ditujukan khas buat guru yang banyak berkorban masa, tenaga dan idea demi melihat anak didiknya terus berjaya, bukan saja di dunia malah di akhirat kelak.

Hal ini bertepatan saranan Baginda SAW yang mengajar umatnya sentiasa ringan mulut untuk mengucapkan ‘terima kasih’ kepada sesiapa saja yang berbakti kepada mereka.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Tidaklah berterima kasih kepada Allah sesiapa yang tidak berterima kasih kepada manusia.” (Hadis riwayat Bukhari)

Segala amal bakti seorang guru menyampaikan ilmu bermanfaat kepada anak didik akan melayakkan dirinya mendapat ganjaran kebaikan, meskipun setelah pergi mengadap Ilahi.

Firman Allah yang bermaksud: “Dan (ingatlah), apa juga kebaikan yang kamu kerjakan sebagai bekalan untuk diri kamu, tentulah kamu akan mendapat balasannya pada sisi Allah, sebagai balasan yang sebaik-baiknya dan yang amat besar pahalanya.” (Surah al-Muzammil, ayat 20)

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Apabila meninggal dunia seorang manusia, maka terputuslah pahala amalannya kecuali tiga perkara; sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat, anak soleh yang mendoakannya.” (Hadis riwayat Muslim)

Penulis ialah Felo Akademik Fakulti Bahasa Dan Komunikasi Universiti Darul Iman Malaysia

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s