Ayat al-Quran, zikir boleh halang gangguan syaitan

Berbangga dengan kerja tingkat kualiti tugas
Oleh Azrina Sobian

Kepuasan peribadi laksana amanah tanam sifat positif di kalangan kakitangan kerajaan

PERTEMUAN Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dengan kakitangan awam baru-baru ini saat yang ditunggu-tunggu kerana kakitangan mahupun orang awam ingin mengetahui apakah pembaharuan perkhidmatan awam yang dicadangkan.

Pada pertemuan itu, Perdana Menteri mencadangkan pegawai sektor swasta (terutama syarikat berkaitan kerajaan atau GLC) diserapkan ke perkhidmatan awam dan pegawai kerajaan juga berpeluang diserap ke sektor swasta.

Cadangan yang diberikan itu pasti untuk memperbaiki perkhidmatan awam termasuk mengubah sikap penjawat awam dalam memberikan perkhidmatan kepada orang ramai. Sebenarnya, sikap adalah satu masalah yang sudah lama berakar umbi di kalangan penjawat awam.

Masalah sikap sering dikaitkan dengan perkara tidak baik seperti lewat memberikan perkhidmatan, tidak mesra, tidak cekap dan kurang pengetahuan. Lebih buruk lagi, apabila penjawat awam juga sering dikaitkan dengan keengganan untuk berubah.

Oleh itu, sukar mengubah sikap tidak baik yang disebutkan. Jika boleh diubah, ini pasti mengambil masa panjang kerana jika tiada kesungguhan maka perubahan yang diharapkan hanya tinggal angan-angan. Sebenarnya, usaha pembaharuan perkhidmatan awam dan mengubah sikap penjawat awam bukan usaha baru. Pembaharuan dilaksanakan sejajar dengan pembangunan negara. Sejak awal kemerdekaan, pembaharuan perkhidmatan awam dilakukan untuk memenuhi keperluan negara dan mengubah sistem pentadbiran kolonial kepada bersifat tempatan.

Apabila negara semakin berkembang maju, pembaharuan demi pembaharuan terus dilaksanakan demi memenuhi permintaan semasa dalam pembangunan negara.

Seiring matlamat untuk mencapai taraf negara maju pula, pembaharuan perkhidmatan awam diperlukan kerana kemajuan itu menjadikan persekitaran semasa berkembang serta berubah dengan begitu cepat. Jika perkhidmatan awam tidak bersedia dalam persekitaran begini maka kemajuan ingin dicapai mungkin tidak akan terlaksana.

Dalam hal ini, sikap penjawat awam perlu berubah dengan cepat. Bagaimanakah perubahan sikap ini boleh dicapai? Pada pandangan penulis, perubahan hanya boleh dilakukan jika kita dapat memahami punca kepada masalah itu.

Ada pelbagai punca yang boleh disenaraikan antaranya kurang latihan, persekitaran kerja yang tidak memberangsangkan, tiada pengiktirafan dan tidak bangga dengan tugas dilaksanakan. Penulis ingin menyentuh lebih lanjut kepada rasa bangga atau kepuasan terhadap kerja.

Laporan Asean Conference on Civil Service Matters pada 1993 menyebut, pegawai (penjawat awam) perlu digalakkan bukan saja melaksanakan tanggungjawab mereka tetapi juga mendapatkan kepuasan peribadi apabila melaksanakan tugas dengan jayanya.

Ini menunjukkan tiada kepuasan dalam melaksanakan kerja sudah lama dibincangkan bukan saja pada peringkat tempatan tetapi menjangkau peringkat lebih tinggi iaitu dalam Pertubuhan Negara-negara Asia Tenggara (Asean).

Perlu kita ingat apabila seseorang tidak mempunyai kepuasan dalam tugas, mereka menunjukkan rasa ketidakpuasan dalam kerja. Mungkin kerana inilah sebahagian penjawat awam tidak suka bermanis muka atau bercakap kasar ketika melayan pelanggan. Jadi, persoalannya, kenapakah penjawat awam tidak mendapat kepuasan daripada pekerjaan mereka? Adakah kerana tidak bangga dengan kerjaya mereka?

Selalunya, apabila kita tidak bangga dengan kerja yang dilakukan, kerja dihasilkan itu tidak akan mencapai mutu tinggi. Malah, dalam banyak keadaan kita akan sentiasa mencari salah dan mencipta pelbagai alasan atas kerja yang tidak bermutu itu.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Manusia yang paling dikasihi Allah ialah orang yang memberi manfaat kepada orang lain dan amalan paling disukai Allah ialah menggembirakan hati orang Islam atau menghilangkan kesusahan daripadanya atau menunaikan keperluan hidupnya di dunia atau memberi makan orang yang lapar.” (Hadis riwayat Ibnu Abi Dunya)

Ini menunjukkan pandangan hidup Islam sendiri, berbuat baik dan memberikan keselesaan kepada orang lain sangat dituntut dan akan mendapat balasan baik. Oleh itu, seharusnya, perasaan tidak bangga di kalangan penjawat awam terhadap kerja dilakukan dihapuskan.

Tugas yang mereka laksanakan iaitu memberi perkhidmatan kepada orang ramai adalah satu tugas mulia. Seharusnya, mereka bukan saja berusaha memuaskan hati orang lain iaitu orang awam tetapi lebih penting adalah mendapatkan kenikmatan sendiri daripada tugas yang berjaya dilaksanakan dengan baik.

Apabila perasaan itu berjaya dipupuk, rasa bangga terhadap tugasan akan terbina. Apa yang pasti, hanya penjawat awam yang bangga dengan tugasnya dapat melaksanakan kerja itu dalam apa juga keadaan atau persekitaran. Apatah lagi, perkhidmatan yang diberikan itu begitu mulia dan bukan calang orang dapat melaksanakannya. Oleh itu, berbanggalah dengan kerja anda.
sumber~ http://www.bharian.com.my

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s