Adakah MLM (Multi-Level Marketing) HARAM?

Sumber 1:

Isu Shariah Dalam Perniagaan MLM

Oleh : Ust Hj Zaharuddin Hj Abd Rahman

www.zaharuddin.net

Jualan Pelbagai Peringkat atau lebih dikenali sebagai ‘Multi Level Marketing’ atau MLM adalah amat popular di Malaysia. Dalam pada masa yang sama, sistem yang sama juga digunakan oleh industri penjualan Saham Amanah Islam dan beberapa produk Takaful. Statistik tahun 2003 menunjukkan industri MLM Malaysia mencatatkan jualan RM 4 bilion dan lebih dari 3 juta orang Malaysia terlibat dalam urusniaga MLM.

Akibat dari kebanjiran produk dan syarikat yang menggunakan sistem ini dalam mempromosi dan penjualan produk mereka. MLM kini boleh dianggap sebagai sebuah sistem pemasaran yang diterima ramai. Bagaimanapun, amat jarang dijumpai ilmuan Shariah samada dalam atau luar negara yang ingin atau berminat untuk menghuraikan sistem ini dari aspek Shariah dengan terperinci dan konkrit. Ini mungkin disebabkan kerumitan atau kurangnya minat ilmuan Shariah untuk mendalami proses sistem ini.

Para ‘Ustaz’ dan Multi Level Marketing

Saya juga tidak dapat lari dari dibanjiri soalan demi soalan berkenaan hal ini. Pada awalnya, saya cuba untuk mengelak disebabkan terlampau banyak bentuk dan jenis MLM ini hingga menyukarkan sesiapa juga untuk memandu dan menerangkan hukumnya secara jelas. Di tambah pula mengenagkan pengikut dan pengamalnya yang terlalu ramai dan kebanyakkannya pula kelihatan ‘taksub’ dan amat yakin akan halalnya kaedah MLM ini.

Tidak kurang juga terdapat para graduan Shariah atau pengajian Islam yang digelar ‘Ustaz’ dan Ustazah’ yang juga kuat berkempen produk-produk syarikat dengan skim MLM. Lebih hangat dan meriah lagi, kumpulan ini kerap mendakwa ianya halal lalu diselitkan dengan pelbagai dalil Al-Quran dan Hadith yang menggalakkan umat Islam berniaga, kuat ekonomi dan lain-lain. Hakikatnya, dalil-dalil ini bukanlah khusus untuk menyokong MLM dan perniagaan piramid mereka.

Ikhlas saya ingin nyatakan di sini, agak ramai juga orang ramai yang terpengaruh dengan kempenan dari kumpulan ilmuan agama seperti ini, menyebabkan orang ramai menyertainya tanpa berfikir lagi berkenaan halal atau haramnya sesuatu produk itu kerana ia telah diiktiraf oleh seorang ‘ustaz’. Justeru, saya ingin menasihatkan semua rakan-rakan lulusan Shariah dan Pengajian Islam agar lebih berhati-hati memberikan sebarang hukum dan merujuk dengan lebih mendalam sebelum berkempen dan mendakwa halalnya sesuatu produk hanya semata-mata kerana ia mendapat keuntungan besar di dalamnya. Ini kerana agak ramai juga saya dapati orang ramai yang berkiblatkan ustaz tertentu dalam kempen MLM mereka. Berkatalah Al-Laith bin Sa’ad : « Seandainya orang-orang yang memiliki pemahaman halal dan haram meneliti masalah ini, pastilah mereka tidak akan membolehkannya kerana terdapat di dalamnya unsur perjudian » ( Riwayat Al-Bukhari, no 2346 ). Sayyidina Umar al-Khattab r.a telah mengingatkan:

لا يبع في سوقنا إلا من قد تفقه في الدين

Ertinya : “Jangan seseorang kamu berjual beli di pasar kami, kecuali ia telah mendalami ilmu (hukum) agama tentangnya” ( Riwayat Tirmidzi, no 487, hlm 129 ; Albani : Hasan)

Bagi membantu masyarakat yang semakin ‘hangus’ dalam industri ini, saya merasakan adalah elok untuk saya berkongsi panduan umum Shariah dalam hal penggunaan MLM ini. Bagaimanapun, saya tidaklah mampu untuk menujukan tulisan ringkas ini kepada mana-mana jenama MLM yang wujud di Malaysia mahupun luar negara. Tulisan ini hanya memberikan sedikit gambaran dan garis panduan yang diletakkan oleh undang-undang Islam dalam hal MLM ini.

Pengertian MLM

Secara umum ‘Multi Level Marketing’ adalah suatu cara perniagaan alternatif yang berkaitan dengan pemasaran yang dilakukan melalui banyak level (tingkatan), yang biasa dikenal dengan istilah ‘Upline’ (tingkat atas) dan ‘Downline’ (tingakt bawah), orang akan disebut ‘Upline’ jika mempunyai ‘Downline’. Pokok utama dari perniagaan MLM ini digerakkan dengan jaringan ini, sama ada yang bersifat ‘vertikal’ atas bawah mahupun ‘horizontal kiri kanan’ ataupun gabungan antara keduanya. (Lihat All About MLM oleh Benny Santoso hal: 28, Hukum Syara MLM oleh Hafidz Abd Rahman, MA)

Bentuk MLM yang Haram

Ada beberapa bentuk sistem MLM yang jelas keharamannya, iaitu apabila ia menggunakan sistem berikut :

1) Harga tinggi dari biasa : Menjual produk yang diperjualbelikan dalam sistem MLM dengan harga yang jauh lebih tinggi dari harga biasa, ia adalah amat tidak digalakkan menurut Islam malah menurut sebahagian ulama, aqad seperti ini adalah terbatal. Tatkala itu, ia digelar ‘Gabhnun Fahisyh’ menurut istilah ulama Fiqh. Hukum jualan secara ‘Ghabnun Fahisy’ ini diperbezakan oleh ulama antara harus, makruh dan haram. (Durar al-Hukkam Fi Syarh Majallah al-Ahkam, klausa no 356, hlm 369). Bagaimana Nabi SAW pernah mengisyaratkannya sebagai suatu kezaliman jika berlaku kepada orang yang tidak mengetahui selok belok harga barang. (Al-Qawaid, Ibn Rusyd, hlm 601)

2) Jualan target sebagai syarat komisyen : Selain dari yuran yang wajib dibayar oleh ahli, pada kebiasaannya terdapat syarat yang mewajibkan ahli tersebut mencapai target jualan tertentu bagi melayakkannya mendapat apa jua komsiyen dari hasil jualan orang di bawahnya. Apabila ia gagal mencapai ‘harga target’ tersebut maka keahliannya akan hilang atau tiada sebarang komisyen untuknya walaupun orang bawahannya menjual dengan begitu banyak. Semua MLM yang terlibat dengan syarat seperti ini, menyebabkan sistem MLM mereka menjadi bermasalah dari sudut Shariah kerana wujudnya unsur kezaliman terhadap ahli selain wujudnya kewajiban jualan bersyarat dengan syarat yang tidak menyebelahi ahli serta berbentuk penindasan. Seolah-olah pihak syarikat memaksanya dengan mengatakan “Anda mesti membeli atau mengekalkan penjualan peribadi sebanyak RM 500 sebulan bagi membolehkan anda mendapat hak komisyen orang bawahan anda”.

Pada asasnya, komisyen yang diambil atas usaha menjual (seperti ‘brokerage fee’) sesuatu barangan adalah adalah harus menurut Shariah, ia adalah pandangan ulama besar Tabi’en seperti Muhammad Ibn Sirin, ‘Ato’ Bin Abi Rabah, Ibrahim an-Nakha’ie dan ramai lagi (Sohih Al-Bukhari ; Al-Musannaf, 5/242 ; Mawahibul Jalil, 4/452 ). Bagaimanapun, komisyen dalam hal MLM dan system piramdi ini boleh bertukar menjadi haram apabila :-

* Diikat komisyen jualan rangkaiannya dengan sesuatu jualan olehnya, ia menimbulkan masalah dari sudut Shariah seperti unsur pemaksaan, syarat yang tidak sah dalam perwakilan dan perjudian.

* Komisyen datang dari orang bawahan yang langsung tidak dikenalinya kerana sudah terlampau jauh ke bawah. Ini menjadikan orang atasan seolah-olah mendapat untung di atas angin tanpa sebarang kerja dan usaha lagi. Ia juga boleh dikelaskan sebagai broker di atas broker di atas brOker di atas broker dan seterusnya. Dalam hal berbilangnya rantaian komsiyen broker ini, menurut perbincangan saya bersama Syeikh Prof. Dr Abd Sattar Abu Ghuddah (Pakar Shariah utama dalam bidang kewangan Islam dunia di Kesatuan Ulama Fiqh Sedunia, AAOIFI, Dow Jones Islamic Index dan lain-lain) ia termasuk dalam konteks memakan harta orang lain dengan bathil selain terdapat unsur judi. Ini adalah kerana ia seolah-olah meletakkan syarat kepada semua orang bawahan samada dengan pengetahuan mereka atau tidak, semua hasil jualan mereka akan diambil sebahagian keuntungannya untuk orang atasnya.

* Dari sudut yang lain, terdapat juga keraguan dalam isu pemberian komisyen di atas usaha dan tugas agen (wakil penjual) atau “brokerage” (tukang kempen). Ini kerana sepatutnya komisyen ke atas “brokerage” tidak harus mensyaratkan tukang kempen itu untuk membeli untuk diri sendiri sebagaimana yang berlaku dalam beberapa jenis MLM. Sesetengahnya pula mensyaratkan ‘broker’ atau ‘agen’ untuk menjual sendiri sebanyak sekian jumlah bagi memperolehi komisyen jualan broker (ahli) di bawahnya. Dengan sebab-sebab ini, hal ‘broker’ atau ‘agen’ menjadi syubhah dan tidak lagi benar ianya disifatkan sebagai komisyen wakil atau broker yang diterima Islam.

3) Jika ahli berdaftar menyertai MLM dengan yuran tertentu, tetapi tiada sebarang produk untuk diniagakan, perniagaannya hanyalah dengan mencari orang bawahanya (downline), setiap kali ia mendapat ahli baru, maka diberikan beberapa peratus dari yuran ahi tersebut kepadanya. Semakin banyak anggota baru bermakna semakin banyak jualah bonusnya. Ini adalah bentuk riba kerana memperdagangkan sejumlah wang untuk mendapat sejumlah lebih banyak yang lain di masa hadapan. Ia merupakan satu bentu Riba Nasiah dan Riba Al-Fadl. Hal yang sama juga hukumnya bagi perusahaan MLM yang tidak mempunyai produk bersungguh dan berkualiti, sebaliknya produk miliknya hanyalah berupa ruangan laman web yang tidak berfaedah buat kebanyakkan orang, atau apa jua produk yang hanya dijadikan sebagai alasan pembelian. Malah harga sebenar produknya juga adakalanya jauh dari harga yang dijual kepada ahli (sebagai contoh dijual produk web komputer, sedangkan haragnya jauh lebih tinggi dan si ahli pula tidak mempunyai komputer pun). Pada hakikatnya, si ahli bukannya ingin membeli produk itu, tetapi untuk menyertai rangkaian serta memperolehi wang darinya. Ia juga termasuk dalam yang diharamkan. Hal membeli produk tidak benar dengan niat utama memasuki rangkaian dan mendapat untung dari rangkaian ini telah difatwakan haram oleh Majlis Fatwa Al-Lajnah Ad-Daimah Arab Saudi no 15/192-193.

4) Terdapat juga syarikat MLM yang melakukan manipulasi dalam menjual produknya, atau memaksa pembeli untuk menggunakan produknya atau yang dijual adalah barang haram. Maka MLM tersebut jelas keharamannya. Namun tidak semua MLM begini, cuma sebahagianya sahaja.

5) Terdapat juga unsur mirip “shafqatayn fi shafqah”, atau bay’atayn fi bay’ah, (iaitu dua aqad jenis jual beli dalam satu) yang dilarang oleh Baginda SAW dengan pelbagai lafaz antaranya : ”

نهى رسول الله صلى الله عليه وسلم عن صفقتين في صفقة واحدة

Ertinya : “Rasulullah SAW melarang dari membuat dua belian (aqad) dalam satu aqad” ( Riwayat Ahmad, Al-Bazzar ; Al-Haithami : perawi Ahmad adalah thiqah ; 4/84 )

Ini berlaku apabila ada sebahagian syarikat MLM yang membuka pendaftaran ahlinya, setiap ahli perlu membayar sejumlah wang disebut yuran, tidak dapat dipastikan samada yuran tersebut untuk membeli kedudukan di dalam rangkaian ataupun membeli produk. Pada waktu yang sama, dengan termeterainya keahliannya itu, ia akan menjadi wakil pula bagi syarikat untuk merekrut ahli baru, maka tindakan MLM seperti ini, boleh dikatakan termasuk dalam kategori hadis : shafqatayn fi shafqah, atau bay’atayn fi bay’ah. Ini kerana, dalam hal ini, orang tersebut telah dikira melakukan transaksi aqad Mu’awadat (kontrak pertukaran hak kewangan) bila membeli produk atau menjadi ahli dan dalam masa yang sama masuk dalam satu jenis aqad lagi iaitu perwakilan (untuk menjualkan produk itu kelak di samping mencari ahli baru) dengan komisyen tertentu. Maka, praktis seperti ini jelas tergolong sebagaimana hadith di atas.

Kesatuan Fiqh Sedunia (Majma’ Fiqh Islami) pernah mengeluarkan fatwa ke atas satu bentuk perniagaan MLM jenama PT Biznas yang disifatkan sebagai haram kerana ia adalah salah satu bentuk perjudian. Selain itu, keputusan itu juga menafikan bahawa komisyen yang digunakan adalah komisyen atau upah ‘brokerage’ sebagaimana didakwa. (Rujuk keputusan nombor 3/24, 17 Julai 2003). Selain itu, Syeikh Salim Al-Hilali pernah mengeluarkan fatwa pengharaman dengan katanya : “Banyak pertanyaan berkenaan perniagaan yang diminati ramai. Yang secara umum gambarannya adalah mengikuti kaedah piramid dalam sistem pemasarannya, dengan cara setiap anggota harus mencari ahli-ahli baru dan demikian selanjutnya. Setiap anggota membayar yuran pada syarikat dengan jumlah tertentu dengan angan-angan mendapat bonus, semakin banyak anggota dan memasarkan produknya maka akan semakin banyak bonus yang dijanjikan. Sebenarnya kebanyakan anggota MLM yang menyertai cara ini adalah hasil motivasi bonus yang dijanjikan tersebut dengan harapan agar cepat kaya dalam waktu yang sesingkat mungkin, padahal ia langsung tidak menginginkan produknya. Perniagaan jenis ini adalah perjudian murni, kerana beberapa sebab berikut, iaitu:

Ø Sebenarnya anggota MLM ini tidak mahukan produknya, akan tetapi tujuan utama mereka adalah menyertai rangkaian piramid bagi mendapatkan kekayaan cepat apabila setiap ahli baru membayar yuran.

Ø Harga produk yang dibeli sebenarnya tidak sampai 30% dari wang yang dibayarkan pada syarikat MLM.

Ø Tujuan perusahaan adalah membangun jaringan individu secara berkesinambungan. Yang mana ini akan menguntungkan anggota yang berada pada level atas (Upline) sedangkan level bawah (downline) selalu memberikan nilai point pada yang berada dilevel atas mereka.

Justeru, saya kira, amat tipis untuk mencari MLM yang tidak tergolong dalam item-item salah yang saya sebutkan di atas, malah saya juga suka menyarankan agar pengamal-pengamal jualan amanah saham dan Takaful secara wakil untuk lebih berhati-hati agar tidak terjerumus dalam bab MLM. Bagaimanapun, jika anda masih ingin mendakwa halalnya MLM ini, saya sarankan agar pengamal MLM memastikan asas minima Shariah berikut dapat dipatuhi :-

1. Produk MLM ini mestilah dibeli dengan tujuan yang sebenarnya (seperti produk yang benar-benar bermanfaat dan dibangunkan dengan serius seperti ubat-ubatan berkualiti, unik dan lainnya). Justeru, produk MLM yang kabur kualiti dan kegunaannya tidaklah dibenarkan kerana ia hanyalah bertujuan untuk mengabui dalam undang-undang dan hukum Shariah, ia tiadalah halal di sisi Shariah. Justeru, kekuatan MLM itu ialah kepada produknya yang bermutu dan bukan kepada objektif jangka pendek mengumpul dana (modal).

2. Produknya bukan emas dan perak yang boleh dijual beli secara tangguh. Ini kerana penjualan barangan emas secara tangguh adalah Riba jenis Nasiah.

3. Komisyen yang diberikan kepada ahli untuk setiap penjual dan ahli bawahannya mestilah jelas. Tiada komisyen tanpa usaha, ini bermakna orang atas hanya berhak mendapat komisyen dari ahli bawahan yang dibantunya sahaja.

4. Keuntungan dan komisyen bukan berdasarkan ‘kepala’ atau ahli yang ditaja, tetapi adalah berdasarkan nilai produk yang berjaya di jualnya. Ini diperlukan bagi membuktikan ia menumpukan kepada perniagaan penjualan produk dan perkhidmatan dan bukannya permainan wang (money game).

5. Tidak diwajibkan bagi si ahli menjual jumlah tertentu bagi memperolehi komsiyen dari orang bawahannya.

6. Setiap ‘upline’ atau orang di sebelah atas mestilah menaruh usaha atas jualan orang bawahannya, seperti mengadakan perjumpaan taklimat, motivasi dan teknik berkempen secara terancang seperti sebuah syarikat yang pelbagai ahlinya. Ia perlu bagi melayakkannya menerima komisyen itu dari sudut Shariah, jika tidak adalah dibimbangi ia akan terjerumus kepada keraguan ‘syubhah’. Ini kerana konsep niaga dalam Islam tidak membenarkan suatu keuntungan dari sesuatu perniagaan yang diperolehi tanpa usaha. Justeru, sedikit usaha perlu dicurahkan bagi menjadi sebab haknya ke atas komisyen. Perlu diingat, kebanyakan ahli di kaki yang 10 ke bawah, mungkin tidak mengenalinya lantaran ia dilantik oleh orang bawahannya yang kesembilan. Jika tidak, apakah haknya untuk mendapat komisyen yang demikian berangkai dan begitu jauh ?.

7. Tidak menggunakan skim piramid iaitu skim siapa masuk dulu akan untung selamanya. Manakala hak mereka yang masuk kemudian akan berkurangan. Justeru, plan pemasaran mestilah memberikan hak kepada semua, malah orang bawahan mampu mendapat keuntungan lebih dari orang atasannya, apabila ia mampu menjual dengan lebih hebat.

8. Mempersembahkan system komisyen dan bonus yang telus dan boleh difahami dan dipantau oleh ahli dengan jelas. Ia bagi mengelakkan segala jenis penipuan.

9. Menstruktur plan pemasaran di anatara ahli dan orang bawahannya secara musyarakah iaitu perkonsgian untung dan rugi berdasarkan modal masing-masing dengan nisbah pembahagian keuntungan yang ditetapkan di peringkat awal lagi.

Akhirnya, saya tahu bahawa hukum MLM ini masih terbuka untuk perbincangan, malah Syeikh Dr Abd Sattar Abu Ghuddah ketika perbincangan dengan beliau mengakui ini isu yang agak baru baginya. Benar, amat sukar ditemui tulisan para ulama Islam dari Timur Tengah berkenaan hal MLM ini, disebabkan MLM belum masuk ke pasaran negara Arab dengan meluas. Justeru, menjadi tanggungjawab para ilmuan Shariah Asia Tenggara untuk membantu masyarakat untuk mengetahui pandangan Shariah tentang MLM ini. Tulisan ringkas saya hanyalah pandangan awal bagi memberi peringatan bahawa dengan sekadar pandangan, kelihatan begitu banyak keraguan boleh muncul dalam perniagaan MLM ini. Tidak perlulah pembaca merasa marah dan benci dengan tulisan ini. Ini sekadar nasihat bagi mereka yang mengambil berat tentang pendapatan serta memikirkan barzakh dan akhirat mereka yang kekal abadi. Wallahu ‘alam.

Kuala Lumpur, Malaysia (14 Zulhijjah 1427 H = 4 Januari 2007)

.

Sumber 2:

Assalamualaikum,

Bila membicarakan bisnes MLM maka teringatlah kita tentang adakah perniagaan cara MLM ini boleh diamalkan dan apakah hukumnya harus ataupun haram di sudut syariat Islam. Kita memerlukan ilmu yang jelas tentang hukum perniagaan MLM ini sebelum kita terlibat secara langsung dengannya. Alhamdulillah, rupa-rupanya pihak yang arif tentang soal ini telah pun mengeluarkan ilmu dan garis panduan yang jelas tentang hukum perniagaan MLM ini.

Mari kita ikuti artikel di bawah ini.

MLM: YANG HALAL DAN YANG HARAM

Oleh: Ust. Ahmad Adnan Fadzil

(Dipetik dari blog Soal-Jawab Agama: http://ilmudanulamak.blogspot.com, kendalian Ust. Ahmad Adnan Fadzil)

Soalan; Sekarang ini banyak jualan langsung yang menjalankan operasi di Malaysia. Apa pendirian Syarak berkenaan MLM; apa ciri-ciri MLM yang harus dan apa ciri-ciri MLM yang haram pula?

Jawapan;

Setakat sekarang ini penulis belum menemui sebarang fatwa yang jelas berkenaan Sistem Jualan Lansung MLM dari mana-mana ulamak muktabar hari ini khususnya dari Timur Tengah atau Al-Azhar sama ada mengharuskannya atau mengharamkannya. Namun secara umumnya panduan urus-niaga secara Islam telah dihuraikan oleh ulamak dengan lengkap dan panjang lebar di dalam kitab-kitab Feqah. Dengan memahami sebaik mungkin panduan tersebut, kita sebenarnya dapat mengukur sama ada suatu urus-niaga yang ditawarkan kepada kita itu (termasuklah MLM) halal atau tidak. Di sini, saya akan kemukakannya secara ringkas.

Menjadi prinsip yang diterima oleh semua ulamak bahawa dalam hal-hal keduniaan (antaranya urusan perniagaan dan jual-beli), kedudukan asal setiap perkara dan urusan yang berkait dengannya adalah harus sehingga terdapat bukti yang jelas yang menunjukkan percanggahannya dengan Syarak sama ada dari segi prinsipnya atau terlibat dengan perkara-perkara yang dilarang atau diharamkan. Oleh itu, dalam berhadapan dengan suatu perkara baru atau urusan baru yang bersifat keduniaan, yang harus diteliti ialah ada atau tidak di dalamnya sebarang unsur yang menyalahi prinsip Syarak dan unsur-unsur yang diharamkan? Jika tidak ada, maka ia dikekalkan atas kedudukan asalnya iaitu harus. Secara umumnya, perniagaan yang sah menurut Syari’at Islam ialah yang memenuhi prinsip-prinsip asas berikut;
1. Ia berasaskan akad saling meredhai antara penjual dan pembeli
2. Ia memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan oleh Syarak ke atas suatu urusan perniagaan atau jual-beli.
3. Ia bebas sepenuhnya dari larangan-larangan Syarak iaitu perkara-perkara yang diharamkannya.

Saling meredhai

Saling meredhai bermaksud pembeli meredhai atau berpuas hati dengan barang atau produk yang diterimanya dan tidak rasa tertipu dan penjual juga meredhai dengan harga jualannya, yakni ia tidak menjual dengan terpaksa. Prinsip saling redha-meredhai ini amat penting dalam urusan perniagaan kerana Allah berfirman (yang bermaksud); “Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu saling memakan harta sesama kamu dengan jalan yang batil, kecuali dengan jalan perniagaan yang berlaku dengan saling meredhai di antara kamu” (Surah an-Nisa’, ayat 29).

Syarat-syarat bagi akad perniagaan

Bagi memastikan prinsip saling meredhai itu terlaksana, maka Syarak telah menetapkan syarat-syarat tertentu bagi setiap urusan perniagaan. Syarat-syarat ini jika dilanggari akan menyebabkan suatu urusan perniagaan tidak sah atau batal. Di antara syarat-syarat tersebut ialah;
1. Orang yang menjalankan akad perniagaan hendaklah mumayyiz, iaitu mampu membuat pertimbangan sendiri.
2. Mereka melakukan akad dengan kerelaan sendiri, iaitu tidak dipaksa melakukan akad.
3. Status barang yang diperniagakan dan harganya hendaklah diketahui dengan pasti (yakni tiada kesamaran) oleh penjual dan juga pembeli. Ini untuk mengelak dari berlakunya gharar.
4. Barangan jualan diizinkan oleh Syarak (yakni tidak tersenarai dalam barang-barang yang haram)
5. Jika urus-niaga membabitkan mata-wang hendaklah mematuhi syarat-syarat pertukaran matawang mengikut Syarak.
6. Hendaklah diselaraskan kandungan ijab dan qabul dari segi sebutan barang, harga dan sebagainya. Tidak sah aqad jual-beli yang ijab dan qabulnya tidak selaras seperti penjual berkata; “Saya jual barang ini dengan harga RM 40” dan pembeli pula berkata; “Saya beli dengan harga RM 30”.

Larangan-larangan Syarak dalam perniagaan

Setiap urusan perniagaan yang hendak diiktiraf oleh Islam juga hendaklah bebas dari sebarang unsur yang dilarang atau diharamkan oleh Syarak. Menurut Dr. Yusuf al-Qaradhawi, larangan-larangan Syarak dalam urusan perniagaan berkisar atas beberapa sebab iaitu;
a) Membantu kepada perbuatan maksiat
b) Terdapat unsur-unsur gharar atau penipuan
c) Terdapat unsur-unsur eksploitasi atau pemerasan
d) Terdapat penganiayaan terhadap salah satu pihak yang beraqad. (Al-Haram wa al-Haram Fi al-Islam, Dr. Yusof al-Qardhawi. Hlm. 242)

Lebih terperinci, antara unsur yang dilarang oleh Syarak dalam urusan perniagaan ialah;

(1) Menjalankan perniagaan yang diharamkan atau mendatangkan mudarat. Jika ada syarikat MLM yang menjual barangan/produk yang diharamkan oleh Syarak atau mendatangkan mudarat kepada manusia, maka tidak harus syarikat tersebut disertai oleh orang Islam sama ada sebagai pembeli, pengedar, penaja atau sebagainya.

(2) Al-Gharar; iaitu menjalankan urus-niaga dalam kesamaran iaitu tanpa dipastikan dengan tepat barangan/produk yang terlibat dan harganya sama ada oleh penjual atau pembeli. Para fuqaha’ sepakat menyatakan bahawa jual-beli secara gharar adalah batal atau tidak sah kerana sabit di dalam hadis; “Rasulullah s.a.w. menegah daripada jualan secara gharar” (Riwayat Imam Ahmad dan Muslim dari Abu Hurairah r.a.).

(3) Melakukan penipuan dalam urusan urus niaga. Sabda Rasulullah s.a.w.; “Sesiapa yang menipu maka ia bukan daripada golonganku” (Riwayat Imam Muslim dari Abu Hurairah r.a.). Antara contoh penipuan ialah;
( a) Membuat iklan barangan dengan memaparkan keistimewaan-keistimewaan atau ciri-ciri yang sebenarnya tidak ada pada barangan tersebut melainkan untuk menarik perhatian orang supaya membelinya semata-mata. Penipuan sebegini dinamakan at-Taghrir iaitu memperdaya.
(b) Menipu pembeli dengan menjual barang yang murah dengan harga yang terlalu tinggi dengan mengeksploit kejahilan pembeli terhadap nilai sebenar barang/produk di pasaran. Contohnya; menjual barang yang bernilai RM20 dengan harga RM100 tanpa diketahui oleh pembeli nilai sebenarnya.
(c) Menyembunyikan kecacatan barangan atau produk. Contohnya; menyembunyikan kerosakan enjin kereta yang akan dijual dan sebagainya.
(d) Mengurangi timbangan

(4) Antara yang dilarang juga di dalam perniagaan ialah melakukan penganiayaan, memeras pengguna dan merosakkan kepentingan masyarakat; antaranya dengan melakukan ihtikar (monopoli barangan; yakni menyorok barangan untuk menaikkan harganya) dan menjadi orang tengah yang memeras pengguna. Sabda Rasulullah s.a.w.; “Tidak melakukan ihtikar melainkan orang yang berdosa” (Riwayat Imam Ahmad, Muslim, Abu Daud, an-Nasaie dan Ibnu Majah dari Mu’ammar Ibn Abdillah r.a.)

Larangan-larangan di atas jika berlaku dalam urusan perniagaan akan menyebabkan perniagaan tidak sah atau sekurang-kurangnya mendatangkan dosa kepada pelakunya walaupun perniagaan masih dianggap sah.

Prinsip-prinsip di atas bersangkutan dengan perniagaan secara umum termasuklah perniagaan secara MLM. Di sana ada perkara-perkara khusus yang berkait dengan MLM yang perlukan perhuraian atau garis panduan iaitu mengenai yuran keahlian, bonus dan harga barangan/produk.

Syarat-syarat yuran keahlian

Boleh dikatakan kesemua syarikat MLM menetapkan suatu kadar yuran keahlian terhadap orang yang ingin menjadi ahli atau pengedar bagi produk-produk keluarannya. Mengenakan yuran keahlian tersebut diharuskan jika memenuhi syarat-syarat berikut;
1. Yuran tersebut tidak bertujuan untuk mengaut keuntungan dan mengambil kesempatan dari peserta.
2. Yuran tersebut bertujuan untuk menyediakan maklumat dan keterangan kepada peserta berkaitan urusan dan agenda yang akan dijalankan oleh syarikat.
3. Yuran itu tidak mengikat peserta dengan mewajibkan syarat-syarat yang zalim dan tidak bermoral, dalam erti kata lain peserta boleh menarik diri dan dalam sesetengah hal duit akan dikembalikan.
4. Yuran tersebut tidak mempengaruhi perlakuan akad yang selanjutnya semasa berurus-niaga atau berjual-beli.

Syarat-syarat di atas kita putuskan berasaskan kepada fatwa yang pernah dikeluarkan oleh Majma’ al-Fiqh terhadap soalan mengenai yuran yang dikenakan sebagai satu syarat penting sebelum berhak menyertai jualan lelongan yang diamalkan oleh syarikat-suarikat peniagaan. Mengikut fatwa tersebut, pengenaan yuran tersebut adalah harus apabila ia memenuhi syarat-syarat di atas. (Lihat; Majallah Majma’ al-Fiqh al-Islami, 1994, 2/37).

Bonus

Dicadangkan pemberian bonus dilakukan dengan menepati konsep al-Ji’alah di dalam Fiqh Islam. Al-Ji’alah bermaksud menjanjikan suatu pemberian (komisyen) kepada orang yang melakukan suatu kerja atau tugas tertentu yang sukar seperti seorang lelaki berkata; “Sesiapa dapat mengembalikan untaku yang hilang, baginya pemberian sebanyak RM 200” (Al-Majmu’, jil. 15, Bab al-Ji’alah). Al-Ji’alah adalah akad yang diharuskan dengan dalil al-Quran dan hadis, antaranya firman Allah;

“Orang-orang menteri menjawab: “Kami kehilangan cupak raja dan sesiapa yang memulangkannya akan diberi (benda-benda makanan) sebanyak muatan seekor unta, dan akulah yang menjamin pemberian itu”. (Yusuf: 72)

Menurut ulamak, keharusan al-Ji’alah terikat dengan beberapa syarat, antaranya;
1. Pihak yang berakad hendaklah terdiri dari mereka yang memiliki keahlian untuk melakukan akad.
2. Hendaklah bayaran terdiri dari nilai harta yang diketahui.
3. Hendaklah manfaat yang diperolehi menerusi kegiatan ini diketahui pada hakikatnya serta harus memanfaatkannya dari sudut Syarak.(Wahbah az-Zuhaili, 4/787)

Jadi, supaya bonus dapat menepati konsep al-Ji’alah tersebut, maka pemberian bonus oleh Syarikat MLM hendaklah berasaskan kepada manfaat/kerja yang disumbangkan oleh para pengedar atau orang terbabit dalam membantu syarikat. Nilai bonus yang dijanjikan hendaklah dinyatakan dengan pasti oleh Syarikat kepada para pengedarnya supaya ia menepati syarat yang kedua di atas.

Meletakkan syarat untuk memperolehi Bonus

Menetapkan syarat tambahan -selain dari yang ditetapkan Syarak- dalam mana-mana akad perniagaan dan harta adalah harus jika syarat itu tidak melanggar hukum Syarak yang sedia termaktub dan tidak terdapat sebarang penganiayaan dan pilih kasih. Keharusan ini adalah berdasarkan hadis Nabi s.a.w.; “Orang-orang Islam terikat dengan syarat-syarat sesama mereka selama menepati yang hak (yakni hukum Allah)” (Riwayat al-Hakim dari Anas dan Aisyah r.a.).

Oleh demikian, tindakan pihak syarikat menetapkan syarat tertentu ke atas para pengedarnya untuk melayakkan mereka memperolehi bonus -jika bonus tersebut dilakukan mengikut kaedah al-Ji’alah di atas- tindakan tersebut adalah harus asalkan syarat yang ditetapkan tidak bercanggah dengan mana-mana ketetapan Syarak dan tidak bersifat pilih-kasih atau menganiayai mana-mana orang.

Jauhi “Sistem Piramid”

Sistem Piramid yang kita maksudkan ialah satu sistem di mana kumpulan orang di bawah membayar kepada orang-orang yang berada di peringkat atas. Setiap peserta baru membayar supaya berpeluang mara ke tahap paling atas dan mendapat keuntungan daripada bayaran orang lain yang menyertai skim itu kemudian. Penaja atau pemilik skim ini tidak mengambil berat tentang penjualan barang/produk, tetapi mengambil berat tentang keuntungan yang dikaut melalui wang yang diperolehi dari ahli-ahli baru.

Di antara ciri-ciri Skim Piramid ini ialah;

1. Produk berkualiti rendah dengan harga mahal dan para pengedar baru perlu membelanjakan wang ke atas inventori barangan yang berlebihan.
2. Yuran keahlian yang tinggi serta komisyen kepada setiap peserta yang dapat menarik ahli baru.
3. Tiada hak pemulangan wang dan tiada kontrak bertulis di antara syarikat dan pengedar.
4. Tidak mengambil berat tentang jualan runcit dan penghasilan wang dengan mengembangkan jumlah keahlian di bawah para pengedar.
5. Kehadiran wajib pada sesi latihan yang mahal.
6. Dakwaan perolehan wang dan kejayaan besar yang sengaja direka-reka serta digembar-gemburkan.
(Amar Said, Persatuan Pengguna Pulau Pinang)

Apa yang jelas di dalam Sistem Piramid ini, yang menjadi fokus bukanlah penjualan barangan/produk, tetapi penaajaan ahli baru di mana keuntungan dikaut dari yuran keahlian yang tinggi bukan melalui kegiatan perniagaan. Bonus diberikan hasil dari kutipan dari orang-orang dibawah, bukan dari keuntungan barangan/produk yang dijual. Melihat kepada konsep dan ciri-ciri di atas, jelas bahawa Sistem Piramid tersebut bertentangan dengan Syari’at Islam kerana terkandung di dalamnya unsur-unsur penipuan, pemerasan, gharar (ketidakjelasan salam dalam akad), ghabn fahiysh dan sebagainya yang diharamkan oleh Syarak dalam urusan perniagaan atau jual-beli.

Harga barangan/produk

Dr. Muhammad Bakr Ismail (salah seorang ulamak dari al-Azhar, Mesir) menjelaskan dalam buku himpunan fatwanya; “Tidak ada di dalam Islam batasan tertentu bagi keuntungan (yang harus diambil dalam perniagaan atau jual-beli) mengikut pandangan yang paling soheh dari para ulamak Islam. Peniaga hendaklah menetapkan harga mengikut kadar yang diredhai olehnya dan juga diredhai oleh pembeli. Ini kerana akad jual-beli terbina di atas saling redha-meredhai antara penjual dan pembeli sebagaimana firman Allah; “Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu makan (gunakan) harta-harta sesama kamu dengan jalan yang salah (tipu, judi dan sebagainya), kecuali dengan jalan perniagaan yang dilakukan secara saling redha-meredhai di antara sesama kamu”. (an-Nisa’: 29) (Lihat; Baina as-Sa-il Wa al-Faqih, Syeikh Dr. Bakar Ismail, hlm. 108).

Dari fatwa di atas kita dapat simpulkan dua perkara berkenaan penetapan harga barang/produk;
a) Tidak ada batasan tertentu dari Syarak bagi keuntungan yang harus diambil dari produk yang dijual. Jadi, penentuan harga produk/barangan terserah sepenuhnya kepada penjual/pengeluar.
b) Namun begitu, para penjual/pengeluar hendaklah mengambil kira keredhaan pengguna terhadap harga yang ditetapkan. Tidak harus ia melakukan penipuan harga atau ghabn fahisyh (yakni beza harga yang keterlaluan dari harga sebenar di pasaran) yang menyebabkan pembeli hilang perasaan redhanya terhadap jual-beli apabila mereka mengetahui nilai sebenar di pasaran. Contohnya; menjual barang yang murah dengan harga yang terlalu tinggi dengan mengeksploit kejahilan pembeli terhadap nilai sebenar barang/produk di pasaran, seperti; menjual barang yang bernilai RM20 dengan harga RM100 tanpa diketahui oleh pembeli nilai sebenarnya.

Demikianlah beberapa panduan penting untuk mengukur sama ada sesuatu MLM itu harus atau tidak di sisi Syarak. Panduan tersebut bukan sahaja berguna untuk orang ramai, tetapi juga untuk pemilik syarikat yang menjalankan MLM untuk melihat sama ada sistem yang mereka guna menepati Syariat atau tidak.

Wallahu A’lam.

Rujukan;

1. Al-Haram wa al-Haram Fi al-Islam, Dr. Yusof al-Qardhawi. Hlm. 242.
2. Mu’jam Al-Mustalahat Al-Iqtisadiyyah Fi Lughatil Fuqaha’, Dr. Nazih Hamad, ter. Al-Ma’had al-‘Alami Lil Fikri al-Islami, Herndon, Virginia, U.S.A. (1993).
3. Fiqh Sunnah, Syeikh Sayyid Sabiq, ter. Al-Fath Lil ‘ilam al-‘Arabi, Kaherah, Mesir (1411/1412H)
4. Al-Fiqhul Manhaji ‘ala Mazhabil Imam as-Syafi’ie, Dr. Mustafa al-Khin, Dr. Mustafa al-Bugha dan ‘Ali Syarbaji, ter. Dar al-Qalam, Damsyiq, Syiria (1991)
5. Fiqh Islami Wa Adillatuhu, Dr. Wahbah az-Zuhaili, ter. Dar al-Fikr, Damsyiq, Syria (1885)
6. Baina as-Sa-il Wa al-Faqih, Syeikh Dr. Bakar Ismail, ter. Dar al-Manar, Mesir (1992).
7. Sistem Syarikat Jualan Lansung Di Malaysia Dari Perspektif Mualamat Islam, Muhammad Hasan Zaid bin Ramli, UKM Bangi (2002).
8. Al-Majmu, ter. Dar al-Fikr, Beirut, Lubnan (2000)

Sumber~ http://hpa4u.wordpress.com/2009/04/30/mlm-haram/

Sumber 3:

MLM dari perspektif Fiqh Islami

‘Multi Level Marketing’ (MLM) adalah salah satu strategi pemasaran yang digunakan secara meluas kini. Walaupun MLM berteraskan jualan langsung, tetapi sistem dan perjalanan antara MLM tertentu dengan yang lain adalah berbeza.

Justeru, hukum halal dan haram MLM tidak boleh diukur kepada namanya sahaja, tetapi ia mesti dilihat perjalanan MLM itu sendiri. Ini kerana, hukum sesuatu perkara berkait rapat dengan hakikatnya.

Untuk mengukur MLM dari perspektif Islam, kita perlu melihat beberapa sudut seperti hukum asal MLM, faktor yang mengharamkannya dan cara untuk keluar daripada unsur-unsur haram itu.

MLM dari sudut positif

Jika dilihat sudut positif, MLM berperanan ‘pemecah’ kepada pemonopolian pasaran bagi sesetengah produk. Tanpa disedari, barangan orang Islam tempatan hampir tiada di pasar raya di negara kita hatta pasar kecil atau kedai runcit. Sedangkan sebahagian produk orang Islam tempatan mempunyai mutu yang baik dan terjamin halalnya.

Apabila orang Islam yang mampu mengeluarkan produk tersendiri, tetapi apabila berdepan pasaran yang sebahagiannya boleh disifatkan sebagai ‘dibentengi’ menyebabkan kemampuan orang Islam mengeluarkan produk akhirnya terhenti akibat tidak dapat bersaing dengan pengeluar lain dari sudut pemasaran.

Hakikatnya orang Islam yang mempunyai keupayaan menghasilkan produk mempunyai modal kecil berbanding syarikat gergasi antarabangsa serta mereka tidak mampu menanggung kos pemasaran yang tinggi berbanding syarikat gergasi yang lain.

Akhirnya mereka berdepan kelembapan pasaran seterusnya keupayaan dan potensi orang Islam yang sepatutnya boleh dibangun dan dipertingkatkan mati begitu sahaja. Lebih parah apabila kerajaan membuat perjanjian FTA dan serangan globalisasi yang menyebabkan persaingan tidak adil antara pemodal besar dan peniaga kecil.

MLM dari sudut positifnya boleh menjadi strategi pemasaran bagi memecahkan pasaran yang dibentengi tembok tertentu. Ia berguna bagi memperkenalkan produk terutamanya produk halal orang Islam tempatan.

Justeru, MLM perlu dilihat dari sudut positif dan kita sepatutnya sama-sama berusaha memperbaikinya supaya bertepatan dengan syariat sehingga sistem MLM dapat menjadi penyumbang kepada pemasaran barangan orang Islam.

Hukum asal MLM

Hukum asal bagi setiap muamalat adalah harus selama mana tidak terdapat dalil dan faktor yang mengharamkannya. �Dialah (Allah) yang menjadikan untuk kamu segala yang ada di bumi.� (maksud al-Baqarah 29).

Hukum asal bagi segala sesuatu adalah harus. Berdasarkan kaedah ini, hukum asal sistem dan konsep MLM adalah harus selama mana tidak terdapat faktor yang mengharamkannya. Untuk menghukumkan sesuatu muamalat sebagai haram mestilah bersandarkan dalil. Selama mana tidak terdapat dalil dan faktor haram, maka selama itu muamalat tersebut kekal harus.

Dengan kata lain, keharusan sesuatu muamalat seperti MLM tidak memerlukan dalil, sebaliknya pengharaman sesuatu muamalat memerlukan kepastian dan sandaran dalil yang kuat, seperti haramnya sesuatu muamalat kerana kepastian terdapat riba di dalamnya di mana riba adalah haram secara putus dan ijmak di kalangan ulama.

Berdasarkan kaedah syariat, pengharaman sesuatu yang asalnya harus tidak boleh bersandarkan kepada hukum khilafiah, kecuali ketika penggubalan undang-undang. Contohnya, jika ulama khilaf berkenaan dengan Ghabnun dan ‘had maksimum keuntungan’, maka kita tidak boleh mengharamkan MLM disebabkan harganya yang tinggi berbanding barangan lain.

Oleh itu, untuk mengukur sesuatu muamalat halal atau haram memerlukan kepada:

1. Memastikan benar-benar terdapat unsur haram di dalamnya seperti pemastian bonus yang diagihkan berasaskan perjudian yang akhirnya menyebabkan muamalat tersebut haram.

2. Unsur tersebut hendaklah haram secara putus dari sudut syariat. Seperti unsur riba, unsur perjudian, unsur kezaliman dan sebagainya. Sebaliknya, tidak boleh kita menghukumkan haram sesuatu muamalat jika ia bersandarkan kepada unsur yang khilafiah dari sudut halal dan haramseperti muamalat yang berasaskan kepada bai’ ‘inah, ghabnun yang tidak faahish dan seumpamanya.

Perlu difahami asas kepada muamalat ialah mudah dan toleransi. Berbeza dengan asas kepada ibadat yang bersandarkan kepada ikutan dan ta’abbudi.

Justeru, talfik mazhab atau penggabungan mazhab dalam muamalat adalah dibenarkan berbeza dengan talfik dalam ibadat di mana hukum talfiknya lebih ketat berbanding talfik dalam muamalat.

Faktor-faktor haram

Selama mana sesuatu muamalat tidak dimasuki unsur dan faktor haram, maka hukumnya harus sebagaimana asal. Setakat ini faktor haram di sebalik MLM ialah:

1. Perjudian

Perjudian yang terdapat dalam sesetengah MLM dinamakan judi ’21 up’. Judi ’21 up’ bermaksud, setiap yang terlibat di dalam perjudian tersebut mempertaruhkan sejumlah wang tertentu seperti setiap penjudi mempertaruhkan RM10. Selepas pengagihan daun terup dan kiraan mata dikumpulkan, maka penjudi pertama yang dapat mengumpulkan sebanyak 21 mata akan mengambil semua wang yang dipertaruhkan.

Konsep ini diamalkan dalam sebahagian MLM bagi memberi bonus yang tinggi kepada orang yang mencapai point tertinggi atau jualan tertinggi dalam sesuatu level. Contohnya, andai kata dalam level ketiga terdapat 3 orang menjual ubat gigi yang harga jualannya RM5. Daripada RM5 itu, syarikat mengambil RM3 sebagai kos dan untung, manakala penjual MLM mendapat RM1 daripada setiap unit yang dijual. Baki RM1 dipegang syarikat untuk diberikan kepada orang pertama dalam level tersebut yang mencapai tahap jualan sebanyak 5 unit.

Jika penjual pertama berjaya menjual 3 unit, penjual kedua sebanyak 2 unit dan penjual keempat sebanyak 5 unit, maka penjual ketiga akan memperolehi bonus RM10 kerana dia adalah orang pertama dalam level tersebut mencapai jualan 5 unit.

Hakikatnya, RM5 daripada RM10 bonus itu adalah hak penjual pertama (RM3) dan hak penjual kedua (RM2) yang dipegang syarikat yang akhirnya diserahkan kepada penjual ketiga kerana berjaya mencapai jualan target.

Bonus dalam bentuk ini secara pastinya adalah perjudian yang diharamkan Islam kerana si penjual pertama dan si penjual kedua dinafikan haknya kerana kalah, justeru tidak mencapai jualan �target�. Sedangkan konsep keuntungan dalam muamalat Islam yang berpandukan surah al-Baqarah ayat 286 ialah, ‘setiap yang berusaha berhak mendapat hasil yang diusahakan’.

Bagaimanapun, perjudian yang mencemari MLM ini dapat dibersihkan dengan pelbagai cara seperti pembahagian bonus, bersumberkan keuntungan syarikat yang diagihkan kepada setiap penjual MLM berpandukan unit yang berjaya dijual.

Walaupun bonus yang berkonsepkan pembahagian yang berpandukan jumlah jualan tidak dapat dijadikan bahan kempen kerana jumlah bonus penjual tertinggi lebih rendah berbanding bonus yang berkonsepkan perjudian, tetapi ia bersifat adil untuk semua pihak.

Sememangnya sebahagian pembuat sistem MLM lebih tertarik dengan bonus yang berkonsepkan perjudian kerana ia boleh dijadikan bahan untuk menarik orang ramai menyertainya justeru nilaiannya yang sangat tinggi, tetapi ia diharamkan kerana nilai yang tinggi tadi diperolehi dengan menzalimi pihak lain.

2. Riba

Apabila terdapat ‘fixed return’ atau janji kemasukan tetap dalam sesuatu sistem MLM, maka ia adalah riba yang diharamkan. Contohnya, setiap ahli yang menyertai rangkaian MLM mestilah membayar yuran RM50. Setelah ia menjadi ahli dengan pembayaran yuran, maka ia berhak mendapat RM5 setiap bulan sebagaimana dijanjikan syarikat di samping keuntungan jualan atau keuntungan melalui poin penggunaan produk MLM.

‘Fixed return’ tersebut adalah riba yang mencemarkan keharusan sistem MLM. Jelasnya, ‘fixed return’ ini juga diadakan guna untuk menarik orang ramai menyertai rangkaian MLM tersebut. Bagaimanapun, sistem MLM yang dicemari riba ini boleh dibersihkan melalui pelbagai cara.

Contohnya agihan keuntungan berdasarkan mata penggunaan melalui konsep mudharabah, dimana setiap ahli yang membeli adalah mudhorib (pencarum) yang berhak mendapat peratusan keuntungan syarikat MLM dalam tempoh setahun sebagai contoh. Cara ini bersih daripada riba dan boleh menarik orang ramai menjadi ahli MLM ini.

3. Tadlis, taghrir dan Syamta’

Tadlis bermaksud memalsukan, taghrir bermaksud memperdayakan dan syamta’ pula bermaksud ‘make up’ hamba yang hodoh sehingga kelihatan cantik dengan tujuan memperdayakan pembeli.

Contohnya, syarikat yang berkempen menarik keahlian dengan mengeluarkan buletin yang mempamerkan ahli yang dihadiahkan bonus kereta BMW 3 Series. Ahli dan orang ramai yang melihat buletin tersebut secara umumnya memahami syarikat menghadiahkan kereta tersebut kepada ahli berkenaan tanpa bayaran-bayaran tambahan. Sedangkan syarikat hanya membayar muka pendahuluan RM1,000 untuk diserahkan kepada ahli yang diiklankan sebagai paling cemerlang.

Apabila ahli tersebut menerimanya, ia terpaksa menanggung ansuran bulanan yang tinggi yang akhirnya menyebabkan ahli tadi hanya mampu memakai kereta tersebut dalam tempoh dua hingga tiga bulan.

Syarikat berjaya mengiklankan si ahli tersebut berjaya mendapatkan BMW 3 Series tanpa menjelaskan keadaan sebenar syarikat yang hanya membayar down payment RM1000. Apabila diiklankan ‘dihadiahkan’ atau ‘menerima hadiah’ atau ‘berjaya memperolehi’, umum memahami si ahli memperolehi secara seratus peratus kereta tersebut tanpa apa-apa ansuran bulanan.

Menyembunyikan hakikat pembayaran RM1000 sebagai down payment pastinya bersalahan dengan pemahaman umum. Ini menyebabkan pengiklanan tadi boleh dikategorikan sebagai ‘taghrir’ (memperdayakan) dalam bentuk ‘Syamta’ yang diharamkan.

Syamta’ ini boleh dibersihkan melalui pelbagai alternatif. Syarikat boleh menganjurkan majlis penyampaian bonus yang halal kepada ahli-ahli yang mencapai jualan tertinggi dan diiklankan dalam buletin. Sekalipun iklan dalam bentuk ini tidak semenarik iklan ahli yang mendapat BMW 3 Series, tetapi ia berupaya menarik ahli baru dalam bentuk tidak memperdayakan dan tidak menghiasi sesuatu hakikat yang tidak benar.

4. Mengambil hak orang lain dengan cara yang salah

Terdapat MLM yang sistemnya berkonsepkan kutu yang haram seperti penggunaan konsep �Auto Placement�. Dalam konsep �Auto Placement� ini, ahli pertama perlu mencari dua ahli di bawahnya dan setiap ahli dikenakan yuran RM2. Yuran RM2 tadi terkumpul dan akan dinikmati ahli yang awal sehinggalah yang pertama terkeluar dengan masuknya ahli baru.

Konsep ini asalnya bukan sistem MLM bahkan ia konsep kutu yang haram. Tetapi ada sistem MLM menggunakan kaedah kutu yang haram ini bagi penetapan yuran keahlian dan jumlah yuran ahli yang terkumpul dijadikan bonus bagi level yang paling tinggi.

Di sini, syarikat MLM yang menggunakan konsep ini tidak mementingkan barang, tetapi ia mementingkan keahlian kerana bonus yang diperolehi �upline� adalah yuran ahli yang terkumpul. Ini punca sesetengah barangan yang tidak jelas dalam sebahagian MLM.

Jika ada bertanya, apa salahnya jika pembayaran yuran berasaskan reda sebagaimana dalam hukum hibah dan tabarru’? Jawapannya, reda yang menjadi syarat halal tersebut mesti didahului atau disertai perniagaan halal sebagaimana ayat 29, an-Nisaa’. Jika tiada perniagaan, iaitu wang yang dikeluarkan hanyalah berbentuk yuran terkumpul yang dipusingkan di kalangan ahli tanpa ada apa-apa pertukaran, maka reda tidak boleh menjadi sebab untuk menghalalkannya.

Tambahan pula, hibah dan tabarru’ yang halal dan harus tidak boleh disertai dengan tujuan seperti hibah untuk mendapatkan untung, dan sebagainya. Jika hibah dengan niat ini, ada pendapat yang menyatakan batal dan ada menyatakan ia berubah menjadi transaksi jual beli atau seumpamanya dan bukan lagi hibah sebenar.

Jika berpandukan pendapat yang menyatakan batal, maka penyertaan dalam MLM yang bersifat seperti ini adalah batal. Dan jika berpandukan pendapat hibah dengan niat mendapatkan keuntungan ini berubah menjadi hukum jual beli, maka tuntasnya jika ketiadaan barang yang menjadi pertukaran maka hukumnya adalah haram kerana si pemakannya memakan hak orang lain tanpa sebab yang harus sebagaimana konsep kutu yang haram di atas.

Bukan semua hibah hukumnya harus bahkan kadangkala hibah menjadi haram seperti hibah yang menjadi syarat pinjaman yang dikategorikan sebagai riba yang haram.

5. Penindasan

Bagi sesetengah sistem MLM, ia mensyaratkan jumlah jualan tertentu bagi mendapatkan keuntungan. Sebagaimana diterangkan, ahli-ahli yang tidak mencapai jualan �target� akan dicabut bahagian keuntungannya dan pihak syarikat akan memberikan kepada orang yang mencapai jualan �target�.

Seorang ahli yang berjaya menjual 5 produk yang sepatutnya mendapat keuntungan asal bagi setiap satunya berjumlah RM2, tetapi ahli tersebut hanya diberikan RM1 kerana tidak berjaya mencapai jualan �target� dan baki RM1 diambil syarikat untuk diserahkan kepada ahli satu level yang berjaya mencapai jualan target.

Ini bermakna, ahli yang berjaya menjual 5 produk diberikan RM5 dan RM5 lagi diserahkan kepada ahli yang berjaya mencapai jualan �target� seperti berjaya menjual 10 produk. Justeru, ahli yang berjaya menjual 10 produk mendapat RM25 (RM20 untung jualan dan ditambah bonus RM5 yang diambil daripada ahli yang tidak dapat mencapai jualan �target�).

Di samping mengandungi unsur perjudian, ia juga mengandungi penindasan yang menjadi punca haram. Sedangkan konsep muamalat Islam ialah, setiap seseorang berhak mendapat apa yang ia usahakan. Berdasarkan konsep Islam ini, si ahli yang berjaya menjual lima produk sepatutnya mendapat RM10 sebagaimana ahli yang berjaya menjual 10 produk mendapat RM20.

Apakah alternatifnya?

Sebenarnya, Islam hanya menyenaraikan unsur-unsur haram sahaja dan selainnya halal. Ada ulama hanya menyimpulkan sebab-sebab haram hanya tiga perkara, iaitu riba, gharar dan zalim. Jika sesuatu muamalat bersih daripada ketiga-tiga unsur ini, maka hukumnya halal.

Justeru, alternatif kepada unsur-unsur haram ini terlalu banyak jika dibincangkan secara serius dan bersama. Contohnya, jika ‘upline’ haram mendapatkan bahagian yuran ‘downline’ kerana ia termasuk dalam kategori ‘memakan harta orang lain secara batil’ seperti bentuk yang diterangkan, pihak syarikat boleh menyediakan jumlah tertentu sebagai kos marketing untuk diberikan kepada ‘upline’ yang berjaya mencari ‘downline’ atau ahli pengguna baru dengan perincian tertentu.

Berdasarkan konsep Islam, �upline� boleh mendapatkan bahagian upahnya mencari pengguna baru kerana itu hasil usaha dan titik peluhnya, tetapi disyaratkan perolehannya tadi bukan dengan cara memakan hasil orang lain.

Justeru, apabila disebut ‘upline’ haram mendapatkan bahagian yuran �downline� maka kita memahami bahawa ‘upline’ tidak berhak mendapat apa-apa. Ini menatijahkan ‘upline’ yang bertindak sebagai pekerja marketing tidak akan melakukan kerja promosi dan akhirnya syarikat tidak berkembang dan barangan produknya akan mati begitu sahaja.

Unsur haram pada MLM tanpa disusuli usaha mencari alternatifnya akan mematikan sebahagian pembangunan produk orang-orang Islam dalam konteks dan suasana ekonomi kita sekarang.

Pakar-pakar ekonomi yang mencipta sistem MLM jangan berputus asa apabila sistemnya disifatkan haram atau mengandungi unsur haram. Mereka mestilah meningkatkan usaha dan meninggikan semangat melalui perbincangan dengan ulama berkebolehan di lapangan ekonomi dan muamalat Islam bagi mencari jalan penyelesaian kepada perkara-perkara buntu serta alternatif kepada unsur-unsur haram.

Sikap, tindakan dan peranan umat Islam

� Tidak boleh cepat menghukum: Apabila diperhatikan unsur haram yang disenaraikan di atas, kita dapati sebahagiannya hanya diketahui pihak yang menggubal sistem MLM itu sendiri. Contohnya hakikat kepada sumber bonus yang diagihkan hanya diketahui oleh pembuat sistem MLM sahaja sekalipun terdapat beberapa petunjuk yang menjadi ukuran kepada sumbernya.

Sikap kita sebagai pemerhati tidak boleh terlalu cepat menghukum halal atau haram sesuatu MLM melainkan melalui penyelidikan atau terdapat sebab yang jelas keharamannya. Ini dari sudut kita sebagai pemerhati yang tidak terlibat dengan sistem MLM.

� Tidak terlibat dalam perkara yang tidak jelas: Jika kita ingin menyertai, sepatutnya kita mengetahui dengan jelas apakah sumber bonus yang bakal kita perolehi, apakah punca pengembangan modal yang dilaburkan dan sebagainya. Jika ia tidak jelas dan masih keliru dengan sistem atau rangkaian MLM, ia tidak sepatutnya melibatkan diri.

� Tidak terpedaya dengan kempen �cepat kaya�: kadangkala faktor yang menjebakkan seseorang ke dalam rangkaian MLM yang haram disebabkan keghairahan keuntungan yang ditawarkan. Sepatutnya kita perlu berfikir rasional dan logik kerana ulama Islam menggariskan sebab-sebab pulangan di dalam lingkungan tiga perkara: modal, kerja dan dhoman.

Jika sesuatu keuntungan yang dijanjikan bukan selain daripada tiga perkara tadi, sama ada ia menyebabkan kita akan tertipu atau akan mengalami kerugian atau memang benar-benar mendapat untung sebagaimana yang dijanjikan tetapi keuntungan tadi dibina di atas kezaliman dan penindasan terhadap orang lain.

� Bantu membantu dalam kebaikan: Kita perlu membantu ekonomi orang-orang Islam dengan membeli barangan keluaran mereka sekalipun harganya lebih mahal dan mutunya mungkin lebih rendah.

Ini kerana, modal yang dimiliki orang Islam lebih rendah berbanding bukan Islam, menyebabkan kos pengeluaran dan pemasaran lebih tinggi berbanding mereka yang bermodal besar seterusnya menyebabkan harganya tidak mampu diturunkan lebih rendah daripada produk antarabangsa yang kuantiti pengeluaranya lebih banyak dan pasarannya lebih meluas.

Jika orang Islam tidak membantu dan hanya memilih barangan lebih murah dan bermutu tanpa melihat kepada ‘konsep membantu orang Islam’, ia akan melenyapkan produktiviti orang Islam dan menyuburkan produktiviti orang bukan Islam.

Jika orang Islam bersabar dengan menjadi pengguna tetap kepada produk keluaran orang Islam sekalipun harganya lebih tinggi dan mutunya lebih rendah berbanding produk antarabangsa yang bukan Islam, maka ia dapat meningkatkan mutu keluaran orang Islam dan membantu menurunkan harga barangan tersebut apabila keupayaan meningkatkan kuantiti pengeluaran produk orang Islam bertambah dengan sokongan kita melalui pembelian dan menjadi pengguna tetap.

Penutup

Hukum asal MLM harus kecuali apabila dimasuki faktor-faktor haram. Dari sudut positif, sistem MLM boleh bertindak sebagai pemecah kepada tembok monopoli pasaran seterusnya membantu orang Islam mengembangkan produk mereka. Justeru, pembinaan ini mestilah digabungkan antara kepakaran ahli-ahli ekonomi dan perniagaan dengan ulama-ulama yang berkebolehan dalam bidang ekonomi dan muamalat Islam.

Pembaikan sistem MLM supaya bertepatan dengan syariat sebagai strategi pemasaran produk orang Islam amat penting dalam keadaan dan suasanan negara yang semakin membuka pintu globalisasi ekonomi, terutama ketika berdepan FTA. Pengemblengan tenaga antara ulama dan ahli perniagaan amat penting bagi memastikan kemajuan ekonomi umat Islam.

sumber: http://www.harakahdaily.net/

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s