Ratapi kematian secara melampau perangai jahiliah

KEMATIAN tidak boleh ditangguh walau sesaat. Hakikatnya, ramai yang pergi buat selama-lamanya tanpa meninggalkan pesan, tetapi itulah kehidupan yang dijanjikan, sampai masanya makhluk Allah SWT akan kembali juga kepada pemiliknya.

Walaupun masih ramai yang menyayangi dan memerlukannya di dunia. Kata-kata yang sering kali kita dengar, jika kita boleh membuat permintaan, sudah pasti semuanya mohon untuk menangguhkan kematian.

Tetapi, sesiapa yang terlalu merindui Dia, itulah juga yang ditunggu-tunggu. Orang yang bertakwa dan beramal soleh inginkan kehidupan lebih baik di akhirat kelak. Justeru, peningkatan amal serta takwa penuh keikhlasan dan keyakinan adalah keutamaan setiap umat Islam supaya selamat di dunia dan akhirat.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati dan bahawasanya pada hari Kiamat sahajalah akan disempurnakan balasan kamu. Ketika itu sesiapa yang dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke syurga, maka sesungguhnya ia sudah berjaya. Dan ingatlah bahawa kehidupan di dunia ini meliputi segala kemewahannya dan pangkat kebesarannya tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang yang terpedaya.” (Surah Ali-Imran, ayat 185)

Kehidupan dunia adalah kehidupan untuk orang yang hidup. Mereka memulakan kehidupan seawal usia satu hari sehingga tamat nyawanya seperti direncana Allah SWT. Perlakuan dan perkataan serta diamnya menunjukkan bekalan disediakan untuk kehidupan akhirat yang akan dihitung sebelumnya.

Sesiapa melakukannya dengan penuh kehambaan dan taat kepada suruhan Allah SWT, menjauhi larangan-Nya, Allah SWT menyediakan balasan syurga dan neraka kepada yang ingkar serta bongkak. Kerana itulah, dunia penuh dengan kemewahan buat orang yang mengejarnya dan kesulitan kepada yang tidak memanfaatkan isinya.

Bagaimanapun, jangan pula tidak menyempurnakan sebuah kehidupan buat diri sendiri dan ahli keluarga jika itu menjadi keharusan dan ibadah kepada yang Maha Mencipta.

Kematian, iaitu berpisah nyawa dari roh dan jasad adalah satu penghijrahan abadi dari alam dunia ke alam barzakh, iaitu satu penempatan dipenuhi roh orang yang sudah meninggal dunia serta sedang menunggu untuk dibangkitkan semula, berkumpul di Padang Mahsyar. Di situ nanti perhitungan dilakukan untuk menentukan kehidupan kekal, yang tiada akhirnya lagi.

Sering kali apabila mengetahui mengenai kematian, kita akan menziarahi keluarga si mati dan sudah tentulah mendoakan rohnya dicucuri rahmat, keluarga serta kaum kerabatnya dilimpahi pahala berganda, digantikan dukacita dengan sebaik-baik hiburan.

Antara sering diucapkan ialah: “Mudah-mudahan Allah membalas kepadamu dengan pahala yang berganda dan diperelokkan dukacita dengan sebaik-baik hiburan serta diampunkan akan si mati daripada keluarga kamu.”

Perlu diingatkan bahawa meratapi dan menangisi kematian secara keterlaluan seperti tidak meredai apa yang ditakdirkan Allah adalah perlakuan orang jahiliah dan diharamkan dalam Islam.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Daripada Abdullah katanya, bersabda Nabi SAW: Tidak termasuk golongan kami orang yang memukul pipi, mengoyak baju dan berteriak-teriak seperti berteriaknya orang jahiliah.” (Hadis riwayat Imam Bukhari)

Bukanlah sia-sia kepada orang yang turut berkongsi dukacita dan mengucapkan takziah kepada keluarga si mati kerana Allah SWT turut memberikan ganjaran sama seperti orang sedang bersedih kerana kehilangan ahli keluarga.

Lebih baik, dihadiahkan bacaan ayat al-Quran dan Yaasin serta tahlil kepada si mati semoga Allah SWT mengurniakan rahmat. Sedekah makanan kepada keluarga si mati untuk dihidangkan kepada tetamu dan orang ramai yang berziarah serta membaca ayat suci al-Quran adalah perbuatan sangat digalakkan dalam Islam.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Daripada Abdullah, katanya bersabda Rasulullah SAW: Siapa yang mengucapkan takziah kepada orang yang ditimpa musibah, maka dia memperoleh pahala seperti pahala orang yang mendapat musibah.” (Hadis riwayat Imam Ibnu Majah)

Orang yang bersabar menghadapi kematian adalah orang sentiasa berada di bawah perlindungan Allah dan mendapat petunjuk-Nya daripada kesesatan.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jugalah kami kembali. Mereka itu ialah orang yang dilimpahi dengan pelbagai kebaikan dari Tuhan mereka serta rahmat-Nya. Dan mereka itulah orang yang dapat petunjuk hidayah-Nya.” (Surah Al-Baqarah, ayat 156-157)

Hari ini, seiring kemajuan dunia, jalan raya yang melebar dan kenderaan pelbagai, manusia dikejar waktu dan urusan, kemodenan menawarkan kehidupan pantas dan luar biasa, makanan juga menjadi faktor kematian, apatah lagi masalah dan tekanan lainnya menjadikan usia manusia tidak panjang.

Tetapi itu hanyalah penyebabnya kerana semua sudah ditentukan oleh qada’ dan qadar-Nya. Yang pasti, siapa pun meninggalkan kita, janganlah pula dibezakan sedekah dan ganjaran kepada si mati dan ahli keluarganya yang bersedih.

Bacaan al-Quran, zikir dan tahlil biarlah sentiasa dikirim buat yang pergi kerana Islam tidak mengehadkan amalan itu kepada sesuatu tempoh tertentu, sebaliknya sepanjang masa supaya arwah sentiasa mendapat rahmat dan ketenangan di alam barzakh.

Kepada yang masih hidup, kematian sepatutnya menjadi iktibar untuk kita sentiasa beringat akan kehidupan yang sementara cuma, tiada apa dibanggakan dengan kehidupan dunia, sebaliknya ibadah dan takwa juga merencanakan kebahagiaan di akhirat sana.

Bersyukurlah kita dengan apa yang ada, tidak riak dan ingkar dengan perintah-Nya, berdoa dan bertawakal sudahnya, semoga kebahagiaan, kerahmatan dan keberkatan sentiasa abadi dalam kehidupan kita.

sumber ~ http://www.bharian.com.my

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s