Suami ragui status anak dikandung isteri

SAYA sudah berkahwin dengan isteri selama dua tahun. Sejak Januari lalu, saya dan isteri mula tinggal berasingan kerana sudah tidak ada persefahaman. Isteri ada memohon cerai tetapi baru-baru ini saya dimaklumkan bahawa isteri sedang mengandung. Saya khuatir kandungan itu bukan darah daging saya. Bagaimana tindakan yang wajar saya lakukan sekarang? Wajibkah saya menanggung anak itu.

Suami bingung,

Kuantan

BERDASARKAN permasalahan diajukan, perkara pertama yang perlu dipastikan ialah tarikh terakhir hubungan kelamin antara kedua-dua pihak. Ini penting kerana ia akan menentukan kesahihan kandungan daripada sudut hukum syarak.

Jika benar-benar pasti bahawa tarikh itu tidak bertepatan dengan jumlah bulan isteri mengandung ataupun diragui kedudukan kandungannya, maka barulah sesuatu tindakan wajar diambil.

Sebelum pergi kepada tindakan lebih jauh, pihak-pihak dalam kes sebegini wajar mengambil kira kesan yang akan timbul apabila aduan atau tindakan dibuat. Secara tidak langsung isu berkaitan kandungan akan membabitkan anak yang dikandung.

Jika terbukti anak itu bukan darah daging si bapa maka sudah pasti anak tidak boleh dibinkan kepada suami. Ia turut membabitkan soal maruah dan isu lain yang berbangkit daripada tindakan diambil.

Bagaimanapun, jika sudah dipastikan bahawa keraguan kesahihan anak yang dikandung oleh isteri itu munasabah, maka beberapa tindakan boleh diambil. Penafian kesahihan nasab anak boleh dilakukan di mahkamah.

Mahkamah akan mengambil kira segala keterangan dan bukti dikemukakan untuk menentukan sah atau tidak anak itu. Adalah wajar sebelum penafian dikemukakan ke mahkamah, segala maklumat berkaitan kandungan dan tempoh kandungan diperoleh daripada hospital. Ini kerana segala tuduhan dilemparkan ke atas isteri boleh menimbulkan kesan baik daripada sudut duniawi mahupun ukhrawi.

Jika mahkamah mendapati anak itu bukan daripada hubungan suami isteri yang sah, maka suatu perintah berkaitannya akan dikeluarkan. Mahkamah juga akan memberikan keputusan berdasarkan bukti dikemukakan ataupun pengakuan pihak isteri sendiri. Ia akan mengikat kedudukan anak daripada sudut perundangan dan agama.

Pada zaman penuh dengan teknologi seperti sekarang, ujian DNA boleh dilakukan bagi menentukan kesahihan anak. Ujian DNA adalah salah satu jalan untuk memastikan kesahihan anak. Jika didapati anak itu bukan darah daging si bapa, ia boleh dikemukakan ke mahkamah sebagai bukti.

Selain kaedah DNA, pihak-pihak juga boleh mengemukakan permohonan untuk menafikan nasab anak ke mahkamah, yang mana ia terbahagi kepada dua iaitu penafian nasab anak dan penafian nasab anak secara lian.

Apabila didapati anak itu adalah hasil dari hubungan suami isteri yang sah, maka tidak timbul soal tanggungan anak berkenaan. Bapa wajib menanggung nafkah anak walaupun ia dipelihara oleh ibu. Sebaliknya, bapa tidak wajib menanggung nafkah anak jika ia bukan daripada hubungan yang sah.

Anak yang tidak sah taraf adalah menjadi tanggungan orang yang melahirkannya. Bagaimanapun, ujian DNA hanya boleh dilakukan selepas bayi dilahirkan. Pihak-pihak perlu menunggu kelahiran anak untuk tindakan selanjutnya. Buat masa sekarang, perlu dipastikan dulu keraguan yang timbul benar-benar ada asas yang kukuh atau sebaliknya.

Isu-isu berkaitan nasab adalah isu sensitif dan perlu diberi perhatian sebelum sesuatu tindakan diambil. Selain menjejaskan hubungan antara suami isteri, ia juga membabitkan kepentingan dan maruah anak itu sendiri. Carilah jalan penyelesaian terbaik bagi memastikan anak itu benar-benar diberikan hak dan juga kesahihan kedudukannya daripada sudut hukum syarak.

Jawapan disediakan ahli Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Nazira Mohd Ghani.

sumber ~ http://www.bharian.com.my

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s