Keberkesanan sistem kewangan Islam kian diiktiraf

Oleh Mohamad Sofee Razak

SEKTOR kewangan Islam dilihat antara paling maju dan menarik di dunia, berdasarkan pelbagai insentif dirancang selain pelaksanaan lebih banyak dasar liberalisasi. Malaysia yang mempunyai 26 juta penduduk ialah antara pasaran kewangan dan perbankan Islam terbesar di dunia dengan mencatat aset perbankan Islam RM113.5 bilion, manakala aset takaful RM6.2 bilion di samping produk lain yang cukup kompetetif.

Sistem perbankan Islam Malaysia mencatat kadar pertumbuhan tinggi 30 peratus pada 2008, berbanding 20 peratus oleh sistem perbankan konvensional.

Pada peringkat global, dalam tempoh dua tahun lalu ia meningkat pada purata 26 peratus berbanding sistem perbankan konvensional yang berkembang 19 peratus, sekali gus menjadi petunjuk penting industri perbankan dan kewangan Islam global amat positif dan memberangsangkan.

Malaysia bakal menjadi negara pertama di dunia mempunyai institusi kewangan Islam mega yang dikuatkan dengan portfolio pelaburan, kepakaran sumber manusia dan sistem kawal selia sistem kewangan yang komprehensif biarpun ahli ekonomi Barat dan Islam mendakwa sistem kewangan Islam yang wujud ketika ini memerlukan sekurang-kurangnya 50 tahun lagi untuk setanding dan stabil seperti sistem kewangan konvensional.

Pengumuman pakej meliberalisasikan sektor kewangan baru-baru ini yang dilaksanakan sehingga 2012 amat tepat pada masanya dan memenuhi aspirasi inovasi serta evolusi kewangan Islam.

Pakej itu antara lain menawarkan dua lesen perbankan Islam baru kepada peserta kewangan asing kukuh dan bertaraf dunia tahun ini dengan modal berbayar sekurang-kurangnya RM3.6 bilion diharap mampu merancakkan lagi pembangunan struktur hab dan sistem kewangan Islam di negara ini.

Pasaran kewangan dan modal di negara maju terutama di Eropah dan Amerika Syarikat ketika ini tidak stabil dan sangat membimbangkan kesan kelembapan ekonomi global, memberi peluang kepada sistem kewangan Islam yang memiliki kelebihan tersendiri.

Dengan peluang yang ada, ia mampu menjadi sumber pertumbuhan bagi pasaran kewangan alternatif baru menggantikan sistem konvensional yang semakin lemah dan tidak produktif.

Ini kerana produk dalam mekanisme kewangan Islam seperti sukuk, takaful, ar rahnu dan pelbagai instrumen lain ternyata menjadi alternatif terbaik ketika berdepan krisis ekonomi semasa yang berlaku hampir di seluruh dunia.

Namun, dengan peluang dan potensi yang ada, ketika ini antara masalah dan cabaran utama dihadapi sektor kewangan Islam adalah sistem pencukaian yang tidak mempunyai spesifikasi bersesuaian dan dalam hal ini kerajaan perlu merangka serta memastikan struktur insentif cukai jelas dan bersesuaian dalam industri ini bagi memudahkan transformasi berlaku dan berkembang secara holistik.

Di samping itu, modal teroka Islam iaitu satu daripada subsektor kewangan Islam juga perlu ditingkatkan memandang ia masih baru dalam negara.

Modal teroka Islam boleh membawa keuntungan bukan hanya kepada pelabur, malah juga keseluruhan aspek dan disiplin pembangunan ekonomi serta aktiviti inovatif negara.

Industri ini juga mampu menawarkan peluang untuk pelabur mempelbagaikan portfolio mereka dan menetapkan strategi dana jangka panjang mereka.

Oleh itu, langkah liberalisasi yang akan dilaksanakan diharap berupaya menggalakkan lagi perubahan struktur dalam sistem kewangan serta mempelbagaikan sumber pertumbuhan bagi memacu ekonomi negara.

Dasar bijak ini juga memperkukuh potensi perniagaan dan meningkatkan prospek perkembangan institusi kewangan Islam melalui kepakaran antarabangsa dan rangkaian hubungan global pemilik asing di Malaysia.

Kemajuan pesat dalam sistem kewangan Islam di Malaysia juga membuka jalan ke arah integrasi dalam pasaran global. Dengan kepakaran, pengalaman dan sumber dimiliki entiti baru kewangan Islam ini boleh memanfaatkan pasaran kewangan Islam global dan mengukuhkan lagi kedudukan Malaysia sebagai pusat kewangan Islam antarabangsa.

Di samping itu, dapat mempertingkat kedalaman dan keluasan pasaran kewangan Islam; membangunkan modal insan dan keperluan infrastruktur operasi bagi pengembangan serantau dan antarabangsa.

Sistem kewangan Islam kini muncul sebagai komponen berdaya maju dan teguh serta melengkapi sistem konvensional.

Diharapkan pakej dan pelan rangsangan liberalisasi institusi kewangan Islam menjadi sebahagian inisiatif terbaik kerajaan untuk menangani kegawatan ekonomi negara dan global yang sedang melanda di samping membantu usaha kerajaan menjadikan negara ini sebagai hab kewangan Islam mega bertaraf global.

Menjadi peneraju utama aliran kewangan Islam dengan bertindak sebagai medium mempromosikan prinsip dan model kewangan Islam kepada negara lain di seluruh dunia bagi menggantikan amalan kewangan tradisional yang berteraskan riba.

sumber~ http://www.bharian.com.my

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s