Sebar nikmat iman, Islam dalam agenda dakwah

Oleh Yussamir Yusof

Ganjaran besar diberikan kepada Muslim yang menyeru kebaikan, cegah kemungkaran

FUTUR ataupun terhenti menjalankan aktiviti dakwah, menyeru kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran, sudah sering kali kita dengar serta lihat dengan mata dan telinga kita sendiri. Begitulah keadaan pendakwah masa kini, ia bukan fantasi tetapi realiti yang sedang dan akan terus terjadi.

Memang benar, keinginan, semangat dan kekuatan diakui kadang-kala turun dan meningkat. Begitu juga dengan iman, seperti dikatakan Imam Bukhari dalam riwayat: “Iman adalah perkataan dan perbuatan, boleh bertambah dan boleh berkurang.”

Imam Ahmad pernah ditanya makna bertambah dan berkurangnya iman. Kemudian beliau menjawab dengan menukilkan ucapan dengan sanadnya sampai kepada ‘Umair bin Hubaib. Katanya: “Iman bertambah dan berkurang.”

Maka dia ditanya: “Bagaimana bertambah dan berkurangnya? Dia menjawab: Jika kita ingat Allah, memuji-Nya, bertasbih kepada-Nya, maka demikianlah bertambahnya. Dan jika kita lalai, melupakan-Nya, mensia-siakan-Nya maka itulah berkurangnya.”

Memang benar iman boleh bertambah dan berkurang, tetapi untuk berhenti terus daripada melakukan dakwah adalah perkara mendukacitakan. Sesungguhnya manusia diciptakan untuk menjadi khalifah di bumi dan sebagai khalifah salah satu tugasnya ialah menyampaikan risalah tauhid, menyeru kepada kebaikan dan mencegah perkara mungkar.

Firman Allah bermaksud: “Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang makruf dan mencegah daripada yang mungkar; merekalah orang yang beruntung.” (Surah al-Imran, ayat 104)

Kita akui bahawa aktiviti dakwah bukanlah sesuatu yang mudah. Pelbagai rintangan dan cabaran akan mendatang bagi memadamkan aktiviti dakwah daripada terus bersinar. Perkara ini pernah diutarakan Al-Imam Yusuf al-Qardhawi dalam artikel beliau bertajuk kewajipan generasi muda Islam hari ini.

Al-Qardhawi berkata: “Tanggungjawab ini semakin bertambah berat atas ahli dakwah, engkau akan mendapati rintangan itu sehingga dalam rumahmu sendiri, mungkin engkau mendapati ayahmu, saudaramu, sahabatmu atau manusia yang lebih dekat darimu yang akan menghalangmu dan mengatakan kepadamu: Mengapa engkau berbuat demikian? Mahukah engkau dipenjara? Mahukah engkau ditangkap? Mahukah engkau diseksa? Mahukah engkau begini dan begitu?”

Namun, adakah kekangan ini yang menjadikan kita berduka cita? Tidakkah kita pernah terhibur dengan ganjaran besar yang pernah Allah tawarkan kepada mereka yang menyeru kebajikan dan mencegah kemungkaran?

Malah, Allah menggelar penyeru kebaikan dan pencegah kemungkaran ini sebagai sebaik-baik manusia. Firman Allah bermaksud: “Kamu adalah umat terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang makruf dan mencegah dari yang mungkar, dan beriman kepada Allah. Jika Ahli Kitab beriman, tentulah itu lebih baik bagi mereka, di antara mereka ada yang beriman dan kebanyakan mereka adalah orang fasik.”

Seharusnya kita berulang-ulang memperingatkan diri bahawa jangan sesekali mengkhianati tugas sebagai khalifah di muka bumi ini. Pada masa sama, jangan sekali lagi membiarkan diri untuk tidak dipercayai oleh malaikat, seperti yang mereka pernah suarakan kepada Allah pada permulaan penciptaan manusia sebagai khalifah di muka bumi.

Firman Allah bermaksud: “Ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada Malaikat: Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di muka bumi. Mereka berkata: Mengapa Engkau hendak menjadikan (khalifah) di bumi itu orang yang akan membuat kerosakan padanya dan menumpahkan darah, padahal kami sentiasa bertasbih dengan memuji Engkau dan menyucikan Engkau? Tuhan berfirman: Sesungguhnya Aku mengetahui apa yang tidak kamu ketahui.” (Surah al-Baqarah, ayat 30)

Teruskanlah berpesan kepada kebaikan dan penuh dengan kesabaran. Jangan menjadi Muslim yang pentingkan diri, berasa nikmat iman dan Islam bersendiri. Islam melarang menjadi Muslim yang pentingkan diri sendiri.

Islam menyuruh umatnya menyebarkan dua nikmat iaitu iman dan Islam kepada seluruh manusia. Rugilah sesiapa yang menikmati iman dan Islam bersendirian, kecuali jika mereka berkongsi bersama nikmat itu dengan menjalankan aktiviti dakwah.

Seperti firman Allah bermaksud: “Sesungguhnya manusia itu benar-benar dalam kerugian, kecuali orang yang beriman dan mengerjakan amal salih dan nasihat-menasihati supaya mentaati kebenaran dan nasihat menasihati dengan kesabaran.” (Surah al-Ashr, ayat 2-3)

Bagi pendakwah yang masih berdegil untuk berhenti daripada jalan dakwah, biarlah firman Allah ini mengejutkan mereka kembali. Allah berfirman bermaksud: “Telah dilaknati orang kafir dari Bani Israil dengan lisan Daud dan Isa putera Maryam. Yang demikian itu, disebabkan mereka derhaka dan selalu melampaui batas. Mereka satu sama lain selalu tidak melarang tindakan mungkar yang mereka perbuat. Sesungguhnya amat buruklah apa yang selalu mereka perbuat itu.”

Ayat ini mengingatkan kita bahawa Allah melaknat Bani Israil yang tidak melarang perbuatan mungkar berlaku di sekeliling mereka. Mengapa ia terjadi? Kerana di kalangan mereka tidak ada lagi menjalankan aktiviti dakwah, sudah berhenti dalam gerakan dakwah menyeru kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran.

Oleh itu, marilah kita kukuhkan jentera kekuatan dan kuatkan semangat. Agenda dakwah tidak harus terhenti, kerana agenda itu adalah tugas yang cukup mulia. Nabi dan Rasul sudah melaksanakan kewajipan dakwah mereka, kini tugas itu harus digalas dan diteruskan oleh kita semua.

Jangan biarkan lelah-lelah, kekangan-kekangan itu membuatkan kita terus jauh daripada jalan dakwah kerana pertolongan Allah dekat dengan kita. Kesusahan itu hanyalah secebis dugaan, dan beruntunglah mereka yang mendapat dugaan Allah.

Firman Allah bermaksud: “Apakah kamu mengira bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum datang kepadamu (cubaan) seperti mana halnya orang terdahulu sebelum kamu? Mereka ditimpa malapetaka dan kesengsaraan, serta digoncangkan (dengan bermacam cubaan) sehingga berkatalah Rasul dan orang beriman bersamanya: Bilakah datangnya pertolongan Allah? Ingatlah, sesungguhnya pertolongan Allah itu amat dekat.”

sumber~ http://www.bharian.com.my/

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s