Islam anjur usaha ke arah perdamaian diperhebat

Oleh Amran Zakaria

Perpaduan jadikan ummah kuat serta tuhan benci individu keras kepala terus berbalah

SUKAR untuk memahami naluri manusia yang menolak ajakan serta pelawaan bagi mewujudkan perpaduan kerana ertinya cukup besar demi mengecapi nikmat kehidupan kurniaan Allah. Apabila perpecahan berlaku, sukar untuk menyatukan kembali.

Usaha mengukuhkan perpaduan sepatutnya disokong semua peringkat dan golongan sama ada rakyat biasa, cendekiawan, profesional, ilmuwan agama mahupun kalangan pimpinan demi masa depan negara serta agama.

Adalah menjadi fitrah manusia inginkan perpaduan tidak kira apa kaum atau bangsa. Tidak ada manusia yang sukakan perpecahan lebih-lebih lagi jika perpecahan itu membawa kepada permusuhan seterusnya perbalahan, pergaduhan dan berakhir dengan peperangan.

Kalangan manusia yang paling dibenci Allah adalah golongan yang sama-sama keras kepala untuk terus berbalah walaupun diseru kepada perdamaian. Apatah lagi golongan yang terang-terang mempertahankan perbalahan yang sudah lama berlaku.

Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Manusia yang paling Allah benci ialah yang berkeras kepala dalam perbalahan.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Jika berlaku pergaduhan dan peperangan, manusia akan merasai betapa erti kesusahan selepas nikmat keamanan serta keharmonian dicabul. Menjadi tanggungjawab pihak berkuasa termasuk ulama untuk mendorong ke arah perdamaian apabila melihat rantai persaudaraan kian longgar.

Allah berfirman bermaksud: “Dan jika mereka (pihak musuh) cenderung kepada perdamaian, maka engkau juga hendaklah cenderung kepadanya serta bertawakal kepada Allah. Sesungguhnya Dia Maha Mendengar, lagi Maha mengetahui.” (Surah al-Anfal, ayat 61)

Dalam satu keluarga, satu jemaah, satu kaum dan satu bangsa akan ada usaha untuk saling jatuh-menjatuhkan serta khianat-mengkhianati. Ikatan perpaduan yang longgar tidak mampu menghindarkan ahli daripada sifat yang dikeji.

Persoalan yang timbul dan terus menjadi tanda tanya ialah mengapa umat Islam terus berpecah walaupun kekuasaan terus semakin mengecil? Justeru, perpecahan memang musuh kepada manusia kerana manusia yang waras tidak mahu dan tidak suka kepada perpecahan.

Fitrah semula jadi manusia inginkan kehidupan yang aman damai kerana di situlah letaknya kebahagiaan serta keharmonian yang diidamkan manusia tanpa mengira bangsa. Kunci perpaduan adalah persaudaraan di mana semakin kukuh persaudaraan semakin kuat semangat perpaduan.

Runtuhnya sesuatu tamadun itu bertolak daripada perpecahan akibat terlalu inginkan kekuatan daripada kumpulan tertentu yang akhirnya menambahkan lagi perpecahan di sebalik laungan perpaduan.

Firman Allah bermaksud: “Hendaklah kamu semua berpegang teguh dengan tali Allah dan janganlah kamu semua berpecah belah.” (Surah Ali Imran, ayat 103)

Dalam usaha mengekalkan persaudaraan dan keharmonian, agama menganjurkan supaya usaha ke arah perdamaian diperhebatkan. Apatah lagi apabila disedari tanda-tanda perpecahan sudah nampak di kalangan ahli.

Oleh itu, jangan dicari perbezaan sebaliknya merapatkan jurang dan ruang perpecahan supaya hubungan yang renggang dapat dirapatkan kembali dan sebarang perselisihan dibincangkan secara damai.

Ingatlah, hanya perpaduan dan kesatuan yang berupaya menjadikan kita ummah yang kuat dan teguh, sedangkan perpecahan menyebabkan kita menjadikan lemah serta tidak berupaya menandingi musuh.

Namun, realitinya tidak begitu. Manusia sentiasa berpecah-belah dan bermusuhan, sekalipun dalam satu etnik atau rumpun bangsa sama. Selalunya, apabila nafsu menguasai diri, manusia mudah hilang pertimbangan hingga sanggup menggadaikan kesatuan yang ada.

Soal perpaduan sudah tidak penting kerana keutamaan kini ialah mendapatkan apa yang dihajati atau memastikan pihak lain gagal dalam usaha mereka. Apa yang menjadi keutamaan mencapai matlamat diri bukan keperluan semua pihak.

Menyatukan hati manusia bukanlah kerja mudah melainkan dengan ikhtiar yang bersungguh-sungguh dan doa berterusan supaya semangat serta perasaan kasih sayang tidak hilang daripada hati setiap anggota masyarakat.

Allah berfirman bermaksud: “Sebenarnya orang yang beriman itu bersaudara maka damaikanlah di antara dua saudara kamu itu; dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat.” (Surah al-Hujurat, ayat 10)

Justeru, walau apa juga halangan serta cabaran ditempuh, perjuangan untuk menyatupadukan ahli masyarakat tidak boleh hilang sebaliknya setiap usaha perlu digerakkan supaya semangat kesatuan sentiasa hidup dalam hati semua.

Pada masa sama, jangan lupa untuk memohon doa supaya semangat perpaduan yang ada terus diperkukuhkan selain mengelak semua perbuatan yang boleh menjejaskan hubungan baik semasa insan di sebalik sebarang perbezaan yang ada.

Bersatu teguh, bercerai roboh. Maknanya kita tidak ada pilihan, selain untuk bersatu atau bersedia menempuh kehancuran apabila bangunan yang terbina roboh disebabkan sikap masing-masing yang enggan berusaha mempertahankan perpaduan.

Penulis ialah Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Dewan Amal Islam Hadhari (DAMAI)

sumber~ http://www.bharian.com.my/

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s