Penyelarasan, kawalan jayakan pakej rangsangan

Oleh Mohd Noor Omar

Kelemahan operasi, pengurusan risiko punca utama kegagalan pemulihan ekonomi

PAKEJ rangsangan adalah satu langkah pengurusan risiko terhadap kelembapan ekonomi yang dihadapi.

Musim kemerosotan kali ini menyaksikan peruntukan lebih tinggi diumumkan oleh kebanyakan negara.

Bagaimanapun, persiapan ke arah pengurusan risiko ekonomi perlu mengambil kira keberkesanan dan kebarangkalian risiko bersifat bukan ekonomi.

Jika tindakan mengurus risiko tidak dapat dijayakan, tindakan itu sebenarnya akan lebih mengundang risiko tambahan kepada negara.

Risiko adalah suatu kemungkinan atau kebarangkalian berlaku sesuatu yang tidak diingini. Pelbagai bentuk risiko dikenal pasti dalam ekonomi, antaranya risiko pasaran, operasi, kredit dan pematuhan.

Pengurusan risiko membabitkan kawalan terhadap sebarang kemungkinan dalam dan luar jangkaan. Mengikut ISO/DIS 31000-Principles and Guidelines, ciri asas pengurusan risiko ialah keteraturan, memberi nilai tambah, mengandungi ketelusan, menggunakan sumber maklumat terbaik, kelangsungan penambahbaikan, boleh diubah suai, berupaya mengenal pasti kemungkinan dan mengambil kira pengagihan sumber manusia.

Pengurusan risiko tidak terhenti kepada ekonomi semata-mata, malah melangkaui batasan kemasyarakatan, siasah dan generasi akan datang.

Begitu juga pakej rangsangan ekonomi yang tidak terhad kepada kesan ekonomi semata-mata tetapi membabitkan kemungkinan lain yang tidak dijangkakan.

Oleh itu, peruntukan yang diusulkan adalah keputusan yang bukan saja dipersetujui, malah perlu dilaksanakan beriringan dengan satu penyelarasan menyeluruh ke atas semua aturan. Kita sedar keadaan sebenar yang sering berlaku di Malaysia menampakkan wujudnya kekurangan dari sudut penyelarasan antara keputusan dan pelaksanaan.

Mungkin keputusan yang diambil adalah pilihan terbaik yang pernah diusulkan tetapi kegagalan disebabkan tiada penyelarasan. Kegagalan pembangunan ekonomi terletak kepada keupayaan penyelarasan tindakan oleh pelaksana bukan kerana sikit atau banyak peruntukan.

Penyalahgunaan, kelemahan atau ketiadaan kesinambungan antara penggubal dan pelaksana atau antara jabatan adalah beberapa penyebab utama. Walaupun sejumlah peruntukan ditetapkan, jika tiada keupayaan pada peringkat jentera untuk bertindak, maka kesudahannya, pelaksanaan tempang ini memberi kesan buruk lebih ketara.

Cuba kita lihat matlamat Bank Negara Malaysia menurunkan kadar pinjaman asas (BLR) kepada 5.5 peratus untuk merangsang ekonomi, mengurangkan kos hidup, mengimbangi pendapatan dan perbelanjaan serta menjadi suntikan kepada aturan kewangan.

Ramai pihak salah faham mengenai tujuan itu dan mencadangkan pelbagai tindakan yang tidak selari dengan matlamat asal. Penurunan BLR bukan bermakna kita perlu melonggarkan syarat pemberian pinjaman atau berkurangnya kadar keuntungan bank berbanding caruman modal (deposit) dibuat.

Kadar pinjaman dan pembayaran balik hartanah sepatutnya diselaraskan semula supaya ia menjadi lebih rendah daripada kadar semasa dan membantu menurunkan kos sara hidup masyarakat umum.

Namun, kita masih berhadapan dengan kadar sewa pejabat, ruang perniagaan atau kedai yang masih tidak berubah. Jika ada pengusaha yang ingin menjalankan perniagaan, mereka terpaksa membayar sewa yang tinggi berbanding kadar sewajarnya.

Dalam keadaan ekonomi menguncup dan persaingan tinggi, pengusaha akan memilih untuk menangguhkan saja niat meneruskan perniagaan dan memberi kesan ke atas amalan ekonomi.

Jika diteruskan pula, barang atau perkhidmatan ditawarkan lazimnya akan dipasarkan pada kadar harga yang tidak boleh saing dan akhirnya terkubur.

Begitu juga keadaannya antara penggubalan atau cadangan penambahbaikan yang dicetuskan badan penyelidik ekonomi kadang-kadang tidak dapat dipindahkan kepada pelaksana. Oleh itu, setiap badan yang mempunyai amanah tertentu perlu merancang cadangan pemulihan walaupun tiada peruntukan diberikan dalam pakej rangsangan.

Tidak semestinya peruntukan pakej rangsangan itu 100 peratus meliputi semua perkara terutama perkara yang berada di luar jangkauan kemampuan penyelidikan. Apa yang ditakuti ialah penumpuan jangkaan kajian itu akan menyebabkan negara bertambah tenat apabila sektor lain yang lebih penting kurang ditekankan dan hilang penumpuan.

Kegagalan syarikat gergasi yang rebah seperti Lehman Brothers, Enron, Worldcom dan Herstatt Bank bukan kerana kekurangan peruntukan tetapi kelemahan kawalan operasi. Pihak terbabit dengan penambahbaikan amalan kerja perlu menilai semula prosedur untuk meningkatkan keberkesanan keseluruhan jentera dan mengurangkan kemungkinan berlaku pelanggaran.

Lompong itu terserlah apabila kita sering didedahkan mengenai pelanggaran yang mengalami kerugian dan ketirisan tetapi tidak berupaya mengesannya pada peringkat awal. Begitu juga dengan kemudahan dan kelonggaran diberikan dalam usaha menjana ekonomi.

Memang kita boleh peruntukan sejumlah wang pembiayaan atau dana pinjaman bagi merangsang pembangunan sesebuah perusahaan tetapi kita juga perlu melihat kecenderungan buruk apabila bermain dengan amalan kredit.

Jika kita mempelajari apa yang berlaku ke atas ekonomi dunia, kita lebih perlu meningkatkan kawalan kredit dalam usaha penjanaan aktiviti ekonomi, bukan sebaliknya.

Pengurangan kos pengeluaran tidak boleh berlaku dalam masa singkat.

Tempoh mematangkan pengeluaran dan pasaran akan menelan apa saja kos pengeluaran pada peringkat awal.

Apa yang tinggal kepada pengusaha ialah mengawal perbelanjaan.

sumber~ http://www.bharian.com.my/

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s