Taubat nasuha bersihkan dosa, solat ditinggal wajib qada

Bersama Ustaz Zahazan Mohamed

SAYA seorang pelajar perempuan berusia 17 tahun dan bakal mengambil peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini. Sebelum menduduki SPM, saya nak selesaikan beberapa perkara kerana bimbang perbuatan saya boleh mempengaruhi keputusan saya kelak. Saya sudah lama tidak menunaikan solat wajib sejak berumur 9 tahun lagi dan sering berbohong kepada ibu bapa jika mereka bertanyakan saya sudah solat atau belum. Saya ingin kembali ke pangkal jalan tapi apakah saya perlu qada’ solat wajib yang sudah lama saya tinggalkan selama ini? Masalah kedua ialah; sebelum ini saya banyak mencuri barang di kedai runcit. Apa yang harus saya lakukan bagi menebus kesilapan saya? Perlukah saya membayarnya secara senyap-senyap seperti cara saya mengambil barang mereka.

Mahu bertaubat,
Selangor

TAHNIAH atas kesedaran yang timbul dalam diri. Rasulullah memberitahu kita bahawa seseorang yang bertaubat daripada dosanya seolah-olah seorang yang tidak ada dosa sama sekali (Riwayat Ibn Majah no 4391 )

Allah berfirman dalam surah al-Zumar ayat 53 bermaksud: Katakanlah (wahai Muhammad): “Wahai hamba-Ku yang sudah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa daripada rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dia juga Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

Cuma Islam meletakkan syarat yang tertentu bagi seseorang yang telah melakukan dosa bagi membaiki dirinya. Sekiranya dia benar dalam niatnya, maka di situlah ditetapkan syarat bagi memastikan ketulenan pengakuannya. al-Imam al-Ghazali pula membandingkan pelaku dosa itu diumpamakan oleh seperti orang yang sakit. Maka sudah tentulah dia perlu menjalani rawatan yang tertentu untuk menjaga dirinya agar tidak ditimpa penyakit itu lagi.

Rawatan komprehensif ini dikenali sebagai taubat nasuha yang bermula dengan penyesalan terhadap dosa, meninggalkan dosa itu dan berazam untuk tidak melakukannya lagi. Jika ia berkaitan dengan hak manusia maka dia hendaklah mengembalikan hak orang itu semula. Sebagai contohnya dalam kes saudari, pernah berlaku pencurian hak milik orang lain, maka saudari hendaklah mengembalikan harta miliknya sedapat mungkin.

Bagaimanapun kalangan ulama Islam, contohnya al-Samarqandi dalam tafsirnya terhadap ayat di atas menjelaskan, jika pengembalian hak kepada pemilik asal akan mengakibatkan suatu mudarat yang baru, maka dia hendaklah mendiamkan dirinya tanpa memberitahu pemilik asal. Apa yang perlu dia lakukan adalah dia hendaklah melakukan kebaikan-kebaikan seperti sedekah lalu niatkan pahalanya untuk pemilik asal. Saudari juga hendaklah memperbanyakkan solat sunat, zikrullah dan hendaklah saudari mendoakan untuknya agar mendapat keampunan Allah, keberkatan rezeki dan sebagainya.

Jadi dalam konteks pengalaman saudari saya menasihati agar saudari bertaubat kepada Allah SWT dan jangan beritahu kepada ayah ibu dosa yang lalu. Manakala dalam kes kecurian itu saya mencadangkan agar saudari mengembalikan haknya secara senyap-senyap. Tetapi jika akan membawa saudari kepada komplikasi yang tidak disangka, memadailah saudari mengikuti cadangan al-Samarqandi di atas.

Berbuat baik menerusi pelbagai jenisnya disifatkan Allah dalam ayat ke 114 surah Hud: “Dan dirikanlah sembahyang (wahai Muhammad, engkau dan umatmu), pada dua bahagian siang (pagi dan petang), dan pada waktu yang berhampiran dengannya dari waktu malam. Sesungguhnya amal-amal kebajikan (terutama sembahyang) itu menghapuskan kejahatan. Perintah-perintah Allah yang demikian adalah menjadi peringatan bagi orang-orang yang mahu beringat.

Berkaitan dengan pengabaian solat pula, saya menasihatkan saudari agar menghitung jumlah solat yang ditinggalkan. Kemudian cubalah qada sedikit demi sedikit. Contohnya saudari hendaklah sekali lagi solat selepas Zuhur. Solat Zuhur yang dikerjakan dengan niat ia adalah untuk solat Zuhur yang pernah ditinggalkan. Cubalah saudari lakukan dengan penambahan sedikit demi sedikit dan jika berpeluang bolehlah dikerjakan lebih dari itu.

Saudari harus ingat Nabi pernah bersabda yang bermaksud: Dan hutang terhadap Allah lebih perlu diutamakan berbanding dengan hutang manusia. (Riwayat al-Tabarani dalam al-Mukjam al-Kabir no 12195, al-Baihaqi dalam al-Sunan al-Kubra no 8012 )

sumber~ http://www.bharian.com.my/

Advertisements

4 thoughts on “Taubat nasuha bersihkan dosa, solat ditinggal wajib qada

  1. Assalamu’alaikum;
    1. Perihal Taubat, sesungguhnya Taubat harus memenuhi syarat (a) perbuatan dosanya karena ketidaktahuannya tentang dosa perbuatan itu (kejahilan); (b) tidak melakukan perbuatan serupa jika sudah bertaubat; (c) tidak melakukan taubat dalam keadaan kritis yang dirasakannya menjelang kematian.
    2. Dalam Khutbah Jumat di Masjid Baitul Muhajirin Pondok Kelapa Jakarta Timur DKI Jakarta (tempat tinggal saya), dikhutbahkan, Taubat Nasuha difirmankan yang didahului oleh peringatan Malaikat kepada orang bernama Nasuha, “Wahai Nasuha, dosamu sudah melebihi langit dan bumi” Nasuha menjawab, “Rahmat Allah melebihi langit dan bumi; dan saya bertaubat memohon ampunan Nya”. Lalu Allah berfirman yang dibukukan dalam QS At Tahrim (66):8. Kemana aku bisa temukan kisah Nasuha? Terima kasih jika direspon segera. Wassalam.

  2. Assalamualaikum. Saya juga sering meninggalkan solat fardhu. Tetapi masalahnya, saya tidak tahu berapa banyak kali sudah saya tinggalkannya. Kalau begini, hendak diqada berapa kali solat nya. Harap dapt dijawab.

  3. assalamualaikum, Saya ingin bertanya , saya telah mencuri barang, saya ingin memulangkan tetapi barang yang saya curi hilang, satu lagi kalau saya mencuri tetapi saya dah melupakan …

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s