Poligami bukan sekadar mampu kewangan

Islam menetap lima hukum perkahwinan untuk menjaga hak isteri, institusi keluarga

SEJAK akhir ini, pelbagai kisah mengenai poligami membabitkan artis serta tuntutan fasakh dilaporkan media. Untuk pengetahuan ustaz, saya sudah berkahwin dan buat masa ini tidak terlintas untuk berpoligami kerana menyedari tanggungjawab serta kemampuan diri terbatas. Namun, ramai rakan di pejabat, sebaliknya memperlekeh isu poligami ini. Persoalannya, apakah hukum poligami? Siapa yang layak berpoligami? Bagaimana adab untuk si suami memaklumkan isterinya dan apakah yang harus dilakukan isteri jika suami mahu berkahwin lagi.

Zulkifli S,
Klang.

MENJAWAB soalan yang pertama mengenai hukum, ada baiknya jika dikemukakan sejarah poligami dalam Islam. Allah SWT berfirman dalam ayat ketiga surah al-Nisak, maksudnya: “Dan jika kamu takut tidak berlaku adil terhadap perempuan yatim (apabila kamu berkahwin dengan mereka), maka berkahwin dengan sesiapa yang kamu berkenan daripada perempuan (lain); dua, tiga atau empat. Kemudian jika kamu bimbang tidak berlaku adil (antara isteri kamu) maka (berkahwin) seorang saja, atau (pakai) hamba perempuan yang kamu miliki. Yang demikian itu lebih dekat (untuk mencegah) supaya kamu tidak melakukan kezaliman.”

Menurut pentafsir, contohnya dalam kitab al-Tafsir al-Muyassar, ayat ini diturunkan bagi memberikan kelonggaran kepada penjaga (wali) anak yatim untuk mengahwini gadis lain jika dibimbangi timbul masalah kerana mengahwini gadis yang juga anak yatim di bawah jagaan mereka. Ia termasuk masalah mahar yang sepatutnya diberikan kepada anak yatim itu.

Menurut Ibn Kasir dalam tafsirnya, menyatakan tradisi masyarakat Arab pada zaman dulu untuk menikahi gadis yang kematian ayah yang kaya bertujuan membolot harta yang ditinggalkan. Tambahan pula jika gadis itu cantik memikat. Ia antara riwayat daripada Aisyah RA seperti yang diriwayatkan al-Bukhari dalam sahihnya.

Poligami ini pada dasarnya dibenarkan Islam mengambil kira perkara tertentu, contohnya isteri mengalami penyakit menyebabkan dia tidak dapat memenuhi tuntutan seksual suami.

Apabila perkahwinan yang tujuannya memberikan keseronokan syahwat secara halal tidak lagi berperanan, Islam membenarkan perkahwinan dengan isteri kedua untuk menyelamatkan keadaan itu.

Apabila kita mengkaji sirah Nabi, perkahwinan Baginda secara poligami dengan sembilan isteri pada suatu masa sebenarnya mempunyai pelbagai hikmah antaranya, ia pembelaan kepada mereka termasuk isteri bernama Saudah, Ummu Habibah dan Ummu Salamah.

Isteri lain pula dikahwini untuk menjadi hukum yang akan dipegang umat Islam berkaitan perkahwinan dengan isteri anak angkat seperti berlaku pada Zainab.

Ada juga perkahwinan Baginda dengan golongan Yahudi seperti Safiyyah bertujuan sebagai dakwah. Amalan Nabi ini akhirnya menjadi ikutan sahabat yang datang selepas itu, hampir semua mengamalkan poligami seperti Nabi SAW.

Namun, harus diingat poligami yang dibenarkan menuruti ketetapan syarat. Syarat ini diletakkan sebagai dasar bagi mengelakkan kezaliman kepada wanita, khasnya pada zaman mutakhir ini apabila poligami menjadi faktor utama pengabaian tanggungjawab kepada isteri dan anak.

Antara syarat diletakkan fuqaha terhadap suami yang ingin mengamalkan poligami ialah:

* Mampu adil dengan isteri seperti firman Allah SWT dalam ayat ketiga surah al-Nisak.
* Mampu menghadapi ujian kehidupan poligami kerana suami harus bijak mengendalikan permasalahan semua isteri tanpa mengabaikan hak Allah ke atas mereka.
* Mampu memenuhi keperluan isteri. Jika lelaki beristeri lebih gagal memenuhi tuntutan seksual isteri, dibimbangi isteri terbabit maksiat.
* Mampu memberi nafkah kepada isteri tanpa berlaku zalim dalam pembahagian itu.

(Untuk maklumat lanjut rujuk Kitab Ensiklopedia Fiqh karangan Ab Malik Kamal Sayyid Ibrahim cetakan Pustaka Ibn Kasir, Jakarta).

Berdasarkan huraian di atas, dapat kita fahami sekalipun hukum poligami pada asalnya harus, ia bertukar kepada hukum lain seperti berikut :

* Wajib � Jika dibimbangi seseorang lelaki terjerumus melakukan maksiat.
* Sunat � Sekiranya dengan perkahwinan dapat memberikan perlindungan kepada wanita yang memerlukan perlindungan.
* Harus � Dalam keadaan umum, apabila yakin dapat menjaga kepentingan semua isterinya.
* Makruh � Apabila perkahwinan disebabkan memenuhi tuntutan syahwat semata-mata tanpa mengadakan kajian dan mesyuarat dengan orang berilmu dan salih.
* Haram � Sekiranya perkahwinan dilakukan untuk menganiaya sesuatu pihak sama ada isteri yang sudah sedia dinikahi atau bakal isteri.

Indahnya Islam seperti dikatakan ulama seperti al-Ghazali dalam al-Mustasfa dan Ibnul Qayyim dalam I’lam al-Muwaqqa’in yang mana objektif utama membawa keselamatan kepada umat.

Apa yang menjadi masalah hari ini ialah poligami berlaku dengan sewenang-wenangnya tanpa kajian mendalam terhadap kemampuan diri.

Tidak dinafikan lelaki mampu dari sudut kewangan, tapi dia juga harus mampu memberi keutamaan pendidikan dan kefahaman Islam terhadap isteri.

Saya mencadangkan lelaki yang ingin berpoligami mengikuti saranan Nabi iaitu mengutamakan aspek agama di samping kecantikan. Berapa ramai lelaki tertipu dalam perkahwinan kedua dengan memilih isteri jelita, malah ada yang sebaya anak sendiri. Akhirnya perkahwinan itu berakhir dengan cepat kerana isteri mudanya tidak mempunyai kefahaman agama.

Ambil pengajaran daripada amaran Nabi SAW dalam hadis: “Janganlah kamu mengahwini seseorang wanita kerana kecantikannya kerana kecantikannya akan menghancurkannya. Jangan kamu kahwini kerana hartanya kerana harta itu akan menjadikan mereka melampaui batas, tetapi kahwinilah dia kerana agamanya… (Riwayat Ibn Majah).

Menjawab soalan kedua, saya mencadangkan isteri yang menghadapi perkara ini muhasabah diri. Kemungkinan ada sikap kita yang kurang disenangi suami seperti tidak menjaga penampilan diri yang turut membabitkan sikap, kata-kata dan penjagaan rupa. Suami hakikatnya kerap mengadu masalah isteri selekeh dan tidak menggoda.

Perkara kedua yang perlu dilakukan ialah kembali kepada Allah SWT dengan melakukan solat sunat hajat, tahajud dan dhuha. Sebagai contoh, Nabi bersabda dalam hadis sahih: “Wahai anak Adam, kerjakanlah olehmu dua rakaat Dhuha, nescaya akan kupenuhi segenap hajatmu pada hari itu.”

Wanita juga digalak berpuasa sunat kerana doa orang yang berpuasa diterima Allah SWT. Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 153: “Wahai sekalian orang-orang yang beriman! Mintalah pertolongan (untuk menghadapi susah payah dalam menyempurnakan sesuatu perintah Tuhan) dengan bersabar dan dengan (mengerjakan) sembahyang kerana sesungguhnya Allah menyertai (menolong) orang yang sabar.”

Ramai ulama contohnya al-Baidhawi mentafsirkan maksud sabar ialah puasa. Terakhir, bermesyuarat dengan suami menerusi pendekatan paling disenangi dengan mempamerkan rasa hormat tanpa memperkecilkan dirinya sehingga menyebabkan dia hilang pertimbangan. Kehadiran orang salih yang dikenali juga mungkin berperanan besar terhadap suami agar memikirkan semula kewajaran tindakannya itu.

sumber~ http://www.bharian.com.my

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s