Mempolitikkan Islam jejas perpaduan Melayu

Oleh Md Shukri Shuib
md.shukri@uum.edu.my

SEHINGGA ke saat ini, elemen demokrasi dijadikan sebagai platform berpolitik. Dua parti Melayu terbesar di negara ini, iaitu Umno dan Pas turut sama berpolemik di dalam persuratan demokrasi. Tiada demokrasi tiadalah parti politik. – Gambar hiasan

Sejarah perpecahan berlanjutan antara Umno, Pas bukti demokrasi kepentingan diri rugikan ummah

DALAM kancah politik umat Melayu dan Islam di negara ini, secara asasnya lingkungan penggunaan Islam sebagai asas berpolitik dan menegakkan perjuangan dilihat sebagai satu kaedah yang sering diguna pakai oleh ahli politik.

Walau apapun gelarannya, sama ada ustaz, haji malah tok guru, soal guna pakai Islam sebagai asas memperteguhkan ulasan politik yang diluahkan, dilihat lumrah. Bahkan, ahli politik bukan Islam juga dilihat lebih cenderung kini untuk menggunakan Islam sebagai asas hujah mereka dalam menarik minat dan keterujaan komuniti pengundi Islam di negara ini.

Inilah bahana mempolitikkan agama dalam kancah berpolitik. Dalam berpolitik, umat Melayu dan Islam seharusnya mengambil iktibar kisah dua khalifah ar-Rashidin, yakni Khalifah Uthman al-Affan dan Khalifah Ali Abi Talib yang dibantah kepemimpinan oleh golongan pembangkang.

Bantahan itu menyebabkan pemerintahan kedua-dua kepemimpinan terbabit selaku ketua negara dan kerajaan terganggu dan berlakunya perpecahan. Pada hal, kedua-dua Khalifah ini adalah sahabat dan menantu Rasulullah SAW yang turut dijanjikan syurga, namun ditentang dan dibunuh atas alasan kononnya mereka tidak mengamalkan Islam sepenuhnya dalam pentadbiran negara.

Pengajaran besar bagi umat Islam di negara ini, yang didoktrinisasikan politiknya berasaskan kepada demokrasi dan dengan itu demi menegakkan demokrasi, maka elemen berparti diadakan. Dulu umat Melayu di Tanah Melayu ini hanya mengenal erti kesultanan dan tiada parti politik wujud atas nama agama mahupun bangsa. Yang wujud hanyalah satu, iaitu demi kedaulatan negara masing-masing.

Dengan doktrin penjajah, akhirnya umat Melayu terpecah mengikut acuan politik. Dulunya Sultan dan Raja adalah satu-satunya ulil amri yang wajib ditaati, tetapi selepas demokrasi dijalankan, istilah ulil amri ada kalanya dipesongkan hinggakan seolah-olah setiap presiden parti atau pemimpin pertubuhan diangkat sebagai ulil amri.

Inilah natijah demokrasi kepada Islam hinggakan perkara utama dalam pembinaan negara mampu dipesongkan.

Mengimbau sejarah perjuangan Tanah Melayu, jika pada 1946 ketika Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (Pekembar atau Umno) ditubuhkan, keseluruhan anak watan Melayu digabungkan di bawah satu payung politik perpaduan demi membanteras cita-cita penjajahan terus bangsa asing ke atas bumi bertuah ini.

Namun, lama kelamaan, elemen perpaduan itu luntur sehingga menyebabkan Pas yang dulunya di bawah payung Umno sebagai Biro Agama bertukar watak bukan lagi sebagai aktor perpaduan, sebaliknya lebih kepada aktor bangkangan. Membangkang hinggakan mampu menggugat kedudukan Melayu dalam menuntut kemerdekaan mutlak daripada Britain.

Umnolah satu-satunya parti anak watan yang dibina oleh bangsa Melayu di Tanah Melayu. Lain-lain gagasan sebelumnya dilihat bertaklik kepada Indonesia Raya. Untuk itu, hujah menyatakan Umno sebagai sebuah pertubuhan anak watan kesultanan serta pemelihara keutuhan politik Melayu adalah berasas.

Pada saat Umno dilahirkan, ramai daripada komuniti asal negara ini, iaitu umat Melayu hidup dalam daif dan tidak diberikan pelajaran sempurna oleh penjajah. Mujurlah segelintir bangsawan dan anak watan yang dihantar belajar hingga ke peringkat tinggi diberikan hidayah oleh Allah SWT untuk menggerakkan perpaduan Melayu hinggakan pada 31 Ogos 1957, tercapai kemerdekaan selepas 446 tahun terjajah diambil kira sejak Kejatuhan Kesultanan Melayu di Melaka pada Ogos 1511.

Sehingga ke saat ini, elemen demokrasi dijadikan sebagai platform berpolitik. Dua parti Melayu terbesar di negara ini, iaitu Umno dan Pas turut sama berpolemik di dalam persuratan demokrasi. Tiada demokrasi tiadalah parti politik.

Pada anggapan dunia, hak asasi masa kini, demi hak asasi maka perpecahan adalah baik dan bermakna. Adakah prinsip Islam membenarkan perpecahan? Jika dibenarkan adakah pada era Rasulullah SAW wujudnya ‘kepuakan’ sebegini. Yang wujud adalah tiga golongan, iaitu yang beriman, yang munafik dan yang kafir. Tidak ada pula dalam kelompok beriman itu terpecah-pecah mengikut haluan masing-masing.

Adakah atas nama Islam, hubungan sesama Islam itu dapat dipecahkan? Justeru perpaduan dua parti Islam ini, iaitu Umno dan Pas seharusnya menjadi satu kenyataan. Retorik, sejarah dan peluang berpolitik seharusnya diamati dengan muhasabah yang hak, iaitu adakah dengan berpecah, umat Islam dapat dijaga kepentingannya? Adakah demokrasi itu dipertuhankan?

Selain parti politik, dalam konsep demokrasi, instrumen mengukur sokongan adalah pilihan raya. Dengan pilihan raya jugalah sebahagian besar dunia Islam dilanda perpecahan. Dengan pilihan raya ini jugalah timbulnya sengketa.

Lihat saja Iran, Iraq serta Pakistan yang sentiasa bergolak disebabkan oleh cetusan pilihan raya. Bukanlah pilihan raya itu perlu ditiadakan. Tetapi jika ini mampu menyatupadukan komuniti rakyat, ia baik untuk diadakan. Tetapi adakah kini pilihan raya dilihat sebahagian daripada usaha perpaduan ummah?

Dalam tingkah laku kempen, tawaran syurga serta merendahkan dan lebih daripada itu mengaibkan serta memfitnah sesama Islam yang dilakukan oleh umat Islam dan bukan Islam menunjukkan betapa ajaran Islam tidak dipraktikkan.

Amat menyedihkan ialah dengan elemen ‘hak asasi’ segala percakapan sudah tidak lagi menjadi salah dan jika dibendung kebebasannya, ia dianggap bertentangan dengan demokrasi tulen. Soalnya adakah Islam membenarkan sebarang kegiatan ‘percakapan’ dan kempen yang tidak merangsang perpaduan dilaksanakan?

Atas nama Islam, kedua-dua parti politik Umno dan Pas yang nyata sekali keahlian terbesarnya adalah dari kalangan umat Melayu yang juga Islam perlu bersatu dan berpadu demi kekuatan agama, bangsa dan negara.

Seteru politik dalam demokrasi dibenarkan, tetapi dalam Islam adakah kita dibenarkan untuk berseteru dengan sesiapa juga, walhal mereka ini adalah pengucap syahadah serta apa juga kesalahan sekalipun walau dihumban ke neraka akan tetap merasai syurga.

Inilah indah Islam yang menetapkan bahawa sebarang kesalahan tidak berkekalan, yang kekal adalah kebaikan.

Apakah atas nama demokrasi, maka umat Islam seolah-olah dibiarkan berpecah tanpa kesudahan sehingga berlaku pula pertentangan di antara sesama umat Islam yang menyatakan ini Islam dan ini tidak cukup atau tidak Islam.

Entiti politik Islam di negara ini, iaitu Umno dan Pas bukan saja harus berusaha untuk berdialog dan berdebat, malah berusaha untuk bersatu dengan ikhlas dan luhur. Rumusan daripada sabda Rasulullah SAW yang menyatakan bahawa ‘manusia yang paling Allah benci ialah yang berkeras kepala dalam perbalahan’ (Riwayat al-Bukhari dan Muslim) dapat dijadikan sandaran muhasabah diri dalam tidak menjadi batu penghalang kepada perpaduan dua parti terbesar umat Islam di negara ini.

Penulis ialah pensyarah Universiti Utara Malaysia, Kedah

sumber~ http://www.bharian.com.my

Advertisements

One thought on “Mempolitikkan Islam jejas perpaduan Melayu

  1. Bantahan itu menyebabkan pemerintahan kedua-dua kepemimpinan terbabit selaku ketua negara dan kerajaan terganggu dan berlakunya perpecahan. Pada hal, kedua-dua Khalifah ini adalah sahabat dan menantu Rasulullah SAW yang turut dijanjikan syurga, namun ditentang dan dibunuh atas alasan kononnya mereka tidak mengamalkan Islam sepenuhnya dalam pentadbiran negara.

    KENYATAAN YANG TIDAK BERASASKAN KEPADA FAKTA. Pensyarah yang dididik untuk menulis secara fakta, tetapi tidak menggunakan prinsip ini di dalam tulisannya.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s