Persaudaraan Islam perlu diutama elak perpecahan

Oleh Abdullah Md Zin

Rakyat wajar ambil iktibar musibah di negara lain akibat perbezaan politik kerana agama

SIKAP Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Aziz Nik Mat yang mengeluarkan kata-kata kesat terhadap Umno dan yang terbaru berbunyi ‘pergi jahanamlah Umno’ menimbulkan kemarahan umat Islam di negara ini. Pelbagai pihak menyatakan sanggahan mereka terhadap Nik Abdul Aziz. Mereka terdiri daripada tokoh politik, intelek dan pemimpin pertubuhan serta masyarakat.

Kata seperti ‘sah Nik Aziz seorang tok guru politik’, ‘sikap Nik Aziz bercanggah dengan Islam’, ‘tindakan MB Kelantan boleh hancurkan orang Melayu’, ‘jangan layan Nik Aziz’, ‘tak perlu lagi respons kepada Nik Aziz’ dan ‘Mursyidul Am Pas bukan pejuang Islam sebenar’ adalah sebahagian sanggahan mereka terhadap reaksi ungkapan celupar Nik Aziz kepada Umno.

Nik Aziz sebagai ulama tidak wajar mengeluarkan kata kesat dan memaki hamun Umno sebagai parti orang Melayu/Islam yang jauh lebih ramai ahlinya daripada Pas. Sepatutnya Nik Aziz memberi contoh yang baik kepada umat Islam.

Kata itu mempunyai maksud maki hamun, laknat dan mendoakan semoga Umno musnah dan hancur lebur. Oleh itu, kenyataan berkenaan, sangat kasar, keras dan tidak bertamadun.

Nik Aziz tidak sepatutnya melabelkan Umno atau pihak yang tidak menyokong Pas sebagai menyimpang daripada perjuangan Islam sebenar kerana dalam perjuangan menegakkan syiar Islam, ada kepelbagaian manhaj dan pendekatan yang dipilih oleh pertubuhan dan jemaah Islam.

Adalah suatu kebiasaan dalam gerakan Islam, wujud pelbagai aliran dan jemaah. Setiap kumpulan mempunyai manhaj atau pendekatan tersendiri dalam perjuangan mereka menegakkan Islam dalam masyarakat.

Ulama memberi kelonggaran untuk menjadi ahli dalam mana-mana jemaah yang difikirkan sesuai untuk dijadikan sebagai wadah perjuangan mereka kerana terlalu banyak halangan dan rintangan untuk mengumpulkan umat Islam dalam satu jemaah.

Pelbagai jemaah (ta’addud al-jama’ah) dibolehkan dalam Islam jika mereka saling melengkapi dan membantu untuk menguatkan perjuangan Islam dan bukan menimbulkan permusuhan, perpecahan dan pertentangan.

Daripada kenyataan, tuduhan dan kata kesat dikeluarkan Nik Aziz terhadap Umno jelas menunjukkan sifat benci beliau terhadap sesama Islam. Di manakah letaknya ukhuwah Islamiah yang dianjurkan Islam seperti firman Allah SWT bermaksud: “Sesungguhnya orang Islam itu bersaudara.”

Sepatutnya orang Islam berlapang dada, mengamalkan keterbukaan dan toleransi (al-samahah), mengelak diri daripada menyebarkan benih perpecahan dalam masyarakat, jauhi menumpukan kepada titik perbezaan dan perselisihan serta tidak fanatik melulu dengan jemaah sendiri dan menganggap jemaah lain sesat dan tidak berada di pihak yang benar.

Rasulullah SAW mendoakan supaya Allah SWT memberi rahmat ke atas orang yang mengamalkan toleransi (al-samahah) dengan sabda bermaksud: “Semoga Allah memberi rahmat kepada seseorang bertoleransi apabila ia menjual, membeli, menuntut dan memberi hak.” (Hadis riwayat al-Bukhari).

Hadis ini memberi gambaran bagaimana umat Islam harus menguruskan kehidupan harian mereka dalam segenap bidang dengan mengamalkan keterbukaan dan senang berbincang.

Ibu Hajar memberi pendapatnya terhadap hadis di atas dengan berkata: “Mudah dan toleransi mempunyai pengertian hampir sama, yang dimaksudkan dengan toleransi ialah mengelak daripada melakukan pertengkaran dan seumpamanya.

“Apabila seseorang menuntut haknya, perlu dengan wajar dan munasabah. Begitu juga apabila ia menunaikan hak orang lain (melaksanakan tanggungjawab), perlu melaksanakannya dengan mudah tanpa berlengah.” (Fath al-Bari).

Apabila kita melihat perkembangan mutakhir umat Islam di Malaysia terutama isu perpaduan umat Melayu/Islam di Malaysia atau lebih tepat lagi usaha damai antara Umno dan Pas iaitu dua parti politik Melayu/Islam terbesar, kita dapati polemik isu perdamaian Umno-Pas masih berlanjutan. Namun, kata kesat Nik Aziz terhadap Umno menunjukkan beliau ingin menutup rapat pintu perbincangan seolah-olah ‘berkerat rotan’. Apa salahnya kita berbincang dan berpolemik dengan baik. Bukankah itu kehendak dan tuntutan agama?

Pada saat kita berpecah, musuh Islam mengambil peluang memasukkan jarumnya supaya orang Islam tidak bersatu. Mereka secara -diam sudah lama bersatu padu apabila menyentuh kepentingan persaudaraan sendiri tanpa mengira fahaman politik dengan sokongan kuat badan bukan kerajaan (NGO) kaum mereka.

Walaupun perpaduan masyarakat Islam tidak dapat diwujudkan sepenuhnya kini disebabkan halangan yang tidak dapat dielak, sifat toleransi perlu diamalkan oleh umat Islam.

Kita tidak boleh berpecah-belah dan bersengketa serta mengeluarkan kata kesat dan keji meskipun boleh berbeza pendapat.

Sepatutnya perbezaan pendapat itu menjadi rahmat dan sumber pengayaan idea dan tidak menyebabkan perpecahan dan berpuak dalam masyarakat.

Perbezaan pendapat jangan bertukar menjadi perbezaan isi hati dan melemahkan ukhuwwah Islamiah.

Jemaah Islam sepatutnya menjaga persaudaraan Islam yang semakin lama kalau tidak dipupuk dengan baik, hilang keharmonian di antara mereka.

Suasana permusuhan itu dijadikan alasan oleh pemimpin jemaah tertentu untuk tidak mengamalkan adab Islam seperti saling memfitnah, menuduh, menipu dan serangan peribadi.

Kita sepatutnya insaf dan mengambil iktibar daripada perbalahan dan permusuhan antara kumpulan Islam di negara tertentu yang menyebabkan persengketaan berpanjangan dan peperangan berlanjutan sehingga membawa kepada pertumpahan darah sesama Islam seperti berlaku di Somalia, Afghanistan, Pakistan dan Palestin.

Kita tidak mahu melihat musibah dan malapetaka itu berlaku di negara ini. Ia harus dijaga dan dikawal sebaiknya kerana kita bimbang melihat benih permusuhan mula ditanam dan tumbuh di negara kita hanya kerana perbezaan fahaman politik sesama Islam.

Oleh itu, sifat keterbukaan, toleransi dan berlapang dada hendaklah dipupuk dan diamalkan oleh jemaah Islam supaya persaudaraan Islam terus mekar dan berkembang di tanah air tercinta.

Datuk Dr Abdullah Md Zin ialah Penasihat Agama kepada Perdana Menteri

~Sumber dari http://www.bharian.com.my/

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s