Gandingan ulama, umara penentu kemajuan ummah

Oleh Hasliza Hassan
hasliza@bharian.com.my

Masyarakat perlu bijak memilih golongan benar-benar berilmu demi pembangunan umat

SALAH faham makna ulama pada hari ini, meletakkan pihak tidak sepatutnya berada di tempat yang tinggi, sebaliknya ulama sebenar yang mempunyai keintelektualan hebat dipinggirkan.

Timbalan Dekan (Hal Ehwal Akademik) Institut Pemikiran dan Tamadun Islam Antarabangsa (Istac), Prof Datuk Dr Mahmood Zuhdi Abdul Majid, berkata itulah yang berlaku dalam masyarakat hari ini iaitu ulama tidak ditonjolkan tetapi bukan ulama diberi perhatian.

Sebagai pewaris nabi dan orang yang arif dalam ilmu, penamaan ulama tidak berdasarkan kepada aspek kuasa tetapi ilmu yang dimiliki dimanfaatkan untuk menjamin kemajuan Islam dan ummah.

“Ulama secara ideal adalah orang yang arif dalam ilmu dan orang yang tersohor tetapi disebabkan makna ulama itu sudah dicampur aduk maka yang bukan ulama pun dipanggil ulama. Makna ustaz juga begitu, semua dipanggil ustaz sedangkan ustaz adalah orang yang tahu semua.

“Tetapi masyarakat kita, asal orang itu tahu serba sedikit mengenai agama, dipanggil ustaz dan yang boleh bercakap, digelar ulama. Sebab itu ada orang yang mahir dalam bidang syariah tetapi bercakap mengenai iman, akibatnya ceramahnya lintang pukang,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ceramah Hubungan Antara Ulama dan Umara Dalam Pembangunan Ummah: Sorotan Pandangan Ahl Al-Sunnah Wa Al-Jamaah kepada peserta Kursus Ahlus Sunnah Wal Jamaah anjuran Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), Jumaat lalu.

Mahmood Zuhdi berkata, ulama dalam konsep sebenar adalah mereka yang memiliki ketinggian intelektual dalam bidang hebat serta bersedia menyumbang pemikiran untuk pembangunan ummah, bukan memiliki ciri tertentu yang ditetapkan masyarakat seperti memakai serban atau berjubah.

Katanya, ketinggian intelektual itu juga menjadikan mereka kumpulan sepatutnya memberi nasihat kepada umara untuk menjamin pemimpin memberi sumbangan ke arah kemajuan masyarakat kerana sasarannya ialah pembangunan ummah.

“Dalam konteks negara kita, hubungan ulama dan umara adalah untuk memperoleh kuasa, hingga terlanyak nilai dalam masyarakat, agama, politik dan bangsa kerana orang politik berkelahi sesama sendiri. Sayangnya ulama juga memihak kepada parti politik.

“Oleh itu, perpecahan politik antara ulama perlu dihentikan sekarang supaya usaha memberi nasihat kepada umara dapat dilaksanakan. Saya berpendapat per-pecahan ummah tidak boleh diselesaikan oleh orang politik tetapi pihak yang mempunyai pandangan jelas serta bebas,” katanya.

Mengenai hubungan umara dan ulama dalam pembangunan ummah, Mahmood Zuhdi merujuk kepada hadis Rasulullah SAW bermaksud: “Ada dua golongan manusia apabila mereka baik, orang menjadi baik, apabila mereka rosak, orang menjadi rosak: ulama dan umara.” ? (Hadis riwayat Abu Na’im)

Katanya, perlu ada fahaman jelas bahawa ulama bertanggungjawab memberi pandangan jitu kepada umara tanpa memikirkan untung rugi, demi melahirkan pemimpin yang baik dan kesatuan itu akan membolehkan pembangunan ummah dilaksanakan. Sebaliknya, apabila dua golongan itu gagal bersikap sepatutnya, ummah akan menjadi mangsa.

Ulama adalah anugerah Allah untuk membimbing manusia ke jalan benar hingga Rasulullah SAW menyifatkan mereka sama seperti bintang di langit. Sebagai pemegang amanah menjamin kesejahteraan Islam, ulama perlu jujur dan ikhlas dalam tugas mereka.

Sementara umara adalah keperluan yang pasti bagi ummah sebagai pelindung serta pemimpin masyarakat menjalani hidup dalam keadaan teratur selain memastikan undang-undang Islam dapat dilaksanakan.

Sama seperti ulama, umara diberi kedudukan tinggi dan penting oleh Islam kerana peranan mereka menjamin kemajuan Islam serta ummah.

Mahmood Zuhdi berkata, ulama yang salih akan sentiasa berusaha memberi nasihat kepada sesiapa saja termasuk pemimpin kerana nasihat yang menjadi asas agama boleh memberi faedah kepada pemimpin serta rakyat di bawah peme-rintahannya.

Katanya, kumpulan bebas terdiri daripada individu serta pertubuhan bukan kerajaan juga boleh bertindak sebagai penyelesai masalah dengan syarat mereka menanamkan sikap bahawa mereka boleh menyumbang ke arah pembangunan ummah.

“Jangan kata siapalah saya untuk memberi nasihat atau pandangan kerana kita akan jadi kerdil jika kita rasa kerdil, sebaliknya kita boleh jadi besar jika kita berasakan diri besar. Yang penting dalam memberi nasihat atau berdakwah ialah usaha yang berterusan,” katanya.

Mahmood Zuhdi turut membangkitkan sikap pengamal media yang menjadi faktor kepada salah faham terhadap pengertian ulama apabila mengangkat hanya pihak tertentu sebagai rujukan dalam isu berkaitan agama.

Beliau berkata, disebabkan itu masyarakat salah menilai ciri ulama sebenar kerana yang mempunyai ketinggian intelektual tidak diberi ruang dan akhirnya sikap mereka itu mengekalkan penonton pada tahap pemikiran yang rendah.

Justeru, pengamal media katanya, perlu tahu siapa ulama sebenar yang sepatutnya diketengahkan untuk menyampaikan serta memberi pandangan mengenai Islam supaya masyarakat tidak terus kekal padaperingkat pemikiran rendah.

~Sumber dari http://www.bharian.com.my/

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s