Penjenayah insaf tidak terlepas hukuman

Oleh Musa Awang

HUKUMAN bertujuan mendidik manusia supaya tidak mengulangi kesilapan lampau.

Kesalahan dilakukan tetap perlu dihukum, tidak boleh dimaafkan

JIKA anda melakukan kesalahan, dibicarakan, bersediakah anda untuk menerima hukumannya? Jika anda disabitkan bersalah, apakah anda bersedia menerima hukumannya? Apakah yang akan anda lakukan? Merayu hukuman atau dengan rela hati membiarkan diri dihukum kerana sedar dan insaf dengan kesalahan anda?

Syabas kepada pesalah yang melakukan kesalahan dan kemudian bertaubat dan bersedia menerima hukuman dijatuhkan. Tidak semua orang boleh melakukan tindakan seperti itu, melakukan kesalahan, kemudian bertaubat, membuat pengakuan bersalah, dihukum dan bersedia menerima hukumannya, malah meminta hukuman terhadapnya disegerakan.

Hukuman bagi pesalah yang melakukan jenayah tetap perlu dilaksanakan dan tidak boleh dimaafkan, walau sesiapapun pelakunya dan walaupun selepas pesalah mengaku salah dan bertaubat.

Dalam satu riwayat, Fatimah ak-Makhzumiyyah melakukan kesalahan mencuri, dan sepatutnya beliau dihukum potong tangan (hudud).

Ada segelintir sahabat yang berusaha supaya wanita itu dilepaskan daripada hukuman. Usaha sahabat ini sampai ke telinga Rasulullah SAW dan menimbulkan kemarahan Baginda. Dalam suatu Hadis riwayat Muslim, an-Nasai dan Ahmad, Rasulullah SAW menempelak mereka dengan bersabda, “Musnahnya orang yang sebelum dari kamu semua ialah kerana apabila seorang yang mulia dari kalangan mereka mencuri, mereka akan biarkan begitu saja. Tetapi apabila seorang yang lemah daripada mereka mencuri, mereka akan mengenakan hukuman ke atasnya. Demi Allah! Kalau Fatimah Binti Muhammad sekalipun mencuri, aku akan potong tangannya”.

Dalam riwayat yang lain, seorang perempuan dari suku al-Ghamidiyyah membuat pengakuan kepada Rasulullah bahawa dia melakukan berzina. Pada hari pertama Rasulullah SAW menolak pengakuan itu. Keesokan harinya wanita itu datang lagi membuat pengakuan sama dan berkata, “Ya Rasulullah, janganlah tuan menolak pengakuan saya ini seperti tuan menolak pengakuan Ma’iz. Demi Allah sesungguhnya saya sudah mengandung”.

Rasulullah SAW menerima pengakuan itu tetapi memerintahkan wanita itu balik dan datang semula selepas bersalin. Apabila selesai bersalin, wanita itu datang bersama bayi yang berbalut dengan kain dan berkata:

“Inilah anakku. Sesungguhnya aku sudah bersalin”. Tetapi Baginda masih mengarahkan wanita itu balik menyusukan anak itu sehingga tamat tempoh penyusuan. Apabila tempoh penyusuan tamat dan bayi itu mula memakan roti, wanita itu bersama anaknya pergi lagi kepada Rasulullah dan berkata, “Wahai Nabi Allah, sesungguhnya aku sudah menamatkan tempoh susuan dan sekarang dia boleh makan makanan lain”.

Nabi SAW mengambil anak itu dan menyerahkan kepada salah seorang sahabatnya. Kemudian Baginda menyuruh sahabatnya menanam wanita tersebut sehingga ke paras dada dan menyuruh mereka merejamnya.

Kisah ini membuktikan bahawa walaupun seseorang itu insaf dan bertaubat, dia masih dikenakan hukuman atas kesalahan hudud yang dilakukan, kerana hudud itu adalah hak Allah. Ketika sahabat melaksanakan hukuman rejam itu, ia turut disertai Khalid al-Walid. Apabila Khalid melempar batu ke arah wanita berkenaan, darahnya terpercik ke muka Khalid, lalu memaki wanita itu. Makian itu didengar Rasulullah lalu Baginda menegur Khalid “Ingat wahai Khalid, demi Tuhan sesungguhnya dia sudah bertaubat”. Kemudian Nabi SAW menyuruh supaya dia disembahyangkan dan dikebumikan.

Kisah ini menunjukkan betapa murni dan suci hati seseorang yang melakukan kesalahan kemudian mengakui kesalahan dan bertaubat, serta sanggup menerima apa saja hukuman yang bakal dijatuhkan. Kisah ini juga membuktikan bahawa darah seseorang pesalah yang bertaubat adalah suci bersih daripada kesalahan yang pernah dilakukannya, dan ia perlu dilayan seperti layanan kepada insan lain, yakni disembahyangkan, dikafankan dikebumikan menurut Islam, walaupun pesalah itu pernah melakukan dosa besar.

Ia juga membuktikan kepada kita betapa agungnya keampunan dan kemaafan yang diberikan Allah kepada hamba-Nya yang bertaubat dan insaf di atas kesalahan yang pernah dilakukan hamba-Nya, walaupun hamba-Nya melakukan dosa besar.

Sedangkan begitu besar keampunan Allah, kenapa kita sebagai manusia tidak mengambil peluang sebesar itu untuk memohon keampunan kepada Allah atas kesalahan yang pernah kita lakukan? Kenapa pula sebagai manusia kita memperkecil-kecilkan keikhlasan taubat dan keinsafan rakan kita yang pernah melakukan kesalahan? Siapakah kita untuk menjadi penghukum di atas muka bumi ini, sedangkan hanya Allah adalah sebaik-baik Penghukum.

Penulis ialah Timbalan Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia
Sumber ~ http://www.bharian.com.my

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s