Pengalaman naik pengangkutan berbeza tunai haji

Oleh Azrul Affandi Sobry
azr@bharian.com.my

DUA kaedah, dua teman dan dua pengalaman berbeza. Itulah yang menjadikan kesempatan menunaikan ibadat haji bagi lelaki berusia 95 tahun, Awang Yaacob kali ini begitu mengujakan, apatah lagi dia dipilih sebagai antara kelompok pertama yang berlepas ke Makkah tahun ini.

Meskipun ini bukanlah kali pertama dia menunaikan Rukun Islam kelima itu, ia sudah cukup bermakna kerana ketika kali pertama ke Makkah pada 1971, pengangkutan yang digunakan ialah kapal laut dengan tempoh perjalanan saja memakan masa selama lapan hari lapan malam.

“Ketika itu, saya menaiki kapal laut Malaysia Raya bersama isteri pertama yang kini sudah meninggal dunia. Kini, saya rasa begitu teruja kerana sepanjang hayat, inilah kali pertama saya bakal menaiki kapal terbang dan kali ini bersama isteri baru.

“Tak sabar sangat rasanya nak rasa pengalaman baru ini. Jelas ketara semuanya berbeza dan ia pastinya sangat mendebarkan. Dulu, ketika naik kapal laut, banyak barang boleh bawa. Ketika itu, saya bawa bersama beras dan nyiur (kelapa). Naik kapal terbang, barang yang nak dibawa terhad,” katanya ketika ditemui di ruang menunggu di Kompleks Tabung Haji, Kelana Jaya.

Dia yang berasal dari Kelantan tiba seawal jam 3 petang di situ meskipun mengikut jadual, pendaftaran untuk kumpulannya hanya dibuka pada jam 9 malam menunjukkan betapa membara keinginan untuk menyahut lambaian Kaabah.

“Lebih seronok, saya dapat rasa dua pengalaman berbeza bersama dua teman berbeza. Jika dulu isteri pertama menjadi teman, kali ini isteri baru pula menemani saya ke Makkah. Itu yang lebih seronok,” katanya sambil ketawa.

Bagi Razali Abdul Salim, 80, yang berasal dari Kuala Kangsar pula, keperitan mengumpulkan duit selama lebih 40 tahun hasil menoreh getah menjadikan kesempatan menunaikan ibadat haji kali ini begitu bermakna.

Dia yang akan ke Makkah bersama-sama anak, menantu dan besan masih sukar untuk menggambarkan perasaan sebenar kerana masih tidak melihat dengan mata sendiri keadaan sebenar di tanah suci itu.

“Tak sabar dan berdebar. Namun, tak tahu nak gambarkan bagaimana perasaan ketika ini. Orang lain yang sudah ke Makkah mungkin pernah bercerita itu dan ini tetapi saya tak rasa semua itu lagi dan tak tahu apa yang saya rasa ketika ini.

“Namun, jauh di sudut hati, selepas beberapa kali tidak berpeluang ke Makkah akibat pelbagai masalah serta halangan, kesempatan kali ini amat ditunggu-tunggu. Jika hampir 10 tahun dulu, peluang ke Makkah terpaksa dilepaskan kerana masalah kesihatan, kini saya rasa cukup bersedia dan kuat untuk menunaikan ibadat ini,” katanya ketika ditemui di sisi keluarga yang begitu ramai menemaninya di situ.

Suasana di Kompleks Tabung Haji pada hari pertama jemaah haji berlepas ke Makkah kelihatan cukup sibuk dengan kebanyakan ahli keluarga turut sama menemani jemaah. Namun, dalam kepadatan orang ramai itu, persiapan pihak pengurusan wajar dipuji kerana menyediakan ruang serta kemudahan yang cukup selesa bagi jemaah serta penghantar berteduh sementara menunggu waktu pendaftaran.

Skrin besar yang menayangkan beberapa peringatan dan kaedah ketika menunaikan ibadat haji juga berjaya membantu mengurangkan tekanan jemaah yang kebanyakannya kelihatan tidak sabar untuk melangkah ke tanah suci.
Sumber ~ http://www.bharian.com.my

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s