Tiada seruan syariat baru selepas wafat Rasulullah

Oleh Mohd Yaakub Mohd Yunus

Dakwaan sesuatu ajaran boleh diterima menerusi mimpi seolah anggap Islam tak sempurna

KAEDAH golongan ajaran sesat beroperasi untuk mencari pengaruh di tengah-tengah masyarakat ialah dengan menggembar-gemburkan kehebatan tuan guru yang mengetuai gerakan mereka. Untuk meyakinkan orang ramai mengenai ajaran itu, mereka akan mendakwa bahawa tuan guru itu belajar secara terus daripada Nabi SAW atau wali tertentu menerusi mimpi. Justeru tiada yang perlu dikhuatiri sekiranya ajaran mereka dilihat berbeza dengan apa yang terdapat di dalam kitab fekah yang lazimnya menjadi rujukan kerana ajaran atau amalan mereka ini di dapati secara terus daripada Rasulullah SAW. Bolehkah kita menerima dakwaan bahawa setelah wafatnya Rasulullah masih tersisa ajaran baru yang hendak disampaikan pada umatnya menerusi mimpi?

Bagi Ahlus Sunnah wal Jamaah mimpi itu pada dasarnya terdapat tiga jenis sebagaimana sabda Rasulullah SAW, “Mimpi itu tiga jenis, iaitu mimpi yang benar berbentuk khabar gembira daripada Allah; mimpi sedih daripada syaitan dan mimpi yang disebabkan mainan jiwa seseorang.” ? (Hadis Imam Muslim).

Mimpi dari syaitan dan mainan jiwa sememangnya tiada memberi sebarang erti, namun bagi mimpi yang berbentuk khabar gembira daripada Allah, ia mimpi benar dan perlu diberikan perhatian sewajarnya.

Nabi SAW bersabda, “Tiada lagi kenabian setelah aku kecuali al-Mubasysyiraat (berita yang menggembirakan).” Sahabat bertanya apakah yang dimaksudkan al-Mubasysyiraat? Sabda Nabi, “Mimpi yang benar yang dimimpikan oleh orang soleh” ? (Hadis Imam al-Bukhari).

Ada yang menjadikan hadis ini sebagai bukti bahawa mimpi guru atau syeikh mereka boleh dijadikan dalil dalam membawa ajaran baru.

Namun sebenarnya al-Mubasysyiraat atau mimpi benar adalah berupa khabar gembira daripada Allah bagi hamba-Nya dengan memberi gambaran perkara baik yang bakal berlaku. Mimpi benar ini akan menjadi kenyataan dalam hidup seseorang itu. Mimpi benar juga boleh terjadi dalam bentuk peringatan terhadap hambanya mengenai perkara buruk yang bakal berlaku agar dia boleh berusaha untuk mengelaknya dari terjadi ataupun berbentuk amaran supaya jangan melakukan sesuatu maksiat.

Inilah lapangan skop mimpi benar dan ia tidak lebih dari itu. Al-Mubasysyiraat bukan bertujuan untuk menggubal hukum baru kerana segala ajaran mengenai Islam ini sudah sempurna sebelum Rasulullah wafat. Allah SWT memerintahkan Rasulullah menyampaikan apa yang diwahyukan kepadanya kepada seluruh umat manusia.

Firman-Nya: “Wahai Rasulullah! Sampaikan apa yang diturunkan kepadamu daripada Tuhanmu; dan jika engkau tidak melakukannya (dengan menyampaikan semuanya), bermakna engkau tidak menyampaikan perutusan-Nya; dan Allah jualah yang akan memeliharamu daripada (kejahatan) manusia. Sesungguhnya Allah tidak memberi petunjuk kepada kaum yang kafir.” ? (Al-Maaidah: 67)

Rasulullah sebagai seorang yang maksum pasti melaksanakan perintah Allah itu. Sebelum Baginda wafat, Allah SWT menyempurnakan agama Islam sehingga tidak lagi memerlukan apa-apa bentuk penambahan menerusi mimpi.

Mimpi bertemu dengan Nabi SAW juga sebahagian daripada al-Mubasysyiraat yang terjadi kepada sesetengah manusia yang beruntung. Nabi bersabda, “Sesiapa melihatku dalam mimpi, maka sesungguhnya dia telah melihatku secara benar. Sesungguhnya syaitan tidak boleh menyerupaiku. Sesiapa yang berdusta atas namaku secara sengaja maka dia telah mengambil tempat duduk dalam neraka.” ? (Hadis Imam al-Bukhari)

Menerusi hadis di atas dapat kita fahami bahawa seseorang itu hanya dianggap benar-benar bertemu Rasulullah di dalam mimpi sekiranya paras rupa Rasulullah yang ditemuinya itu sesuai dengan sebagaimana yang digambarkan di dalam hadis sahih. Telah menjadi amalan umat Islam terdahulu (generasi salaf) apabila seseorang mengaku bertemu Nabi, dia dikehendaki untuk memberikan gambaran paras rupanya dalam mimpi itu.

Ibnu Sirin umpamanya akan bertanya kepada seseorang yang mengaku bertemu Nabi SAW dalam mimpi: “Ceritakan kepadaku apa yang anda lihat.” Sekiranya diceritakan kepada beliau sifat Rasulullah SAW yang tidak diketahuinya, beliau akan menegaskan: “Anda sebenarnya tidak bermimpi bertemu dengan Baginda SAW.” Ini adalah kerana syaitan hanya tidak boleh menyerupai paras rupa sebenar Nabi SAW, namun syaitan boleh yang menyerupai insan lain tetapi mengaku sebagai Nabi lalu mengelirukan orang yang bermimpi tadi dengan perkara yang bercanggah dengan syarak.

Seterusnya kandungan mimpi bertemu dengan Rasulullah itu tetap perlu dipertimbangkan dengan neraca al-Quran dan al-Sunnah. Jika bertepatan ia boleh diterima tetapi jika sebaliknya yang menjadi hujah tetap perkara yang termaktub di dalam al-Quran dan al-Sunnah. Mimpi hanya untuk menggembirakan atau menjinakkan hati saja.

Menurut Dr Yusuf al-Qaradhawi lagi, “Perkara yang hanya dipertanggungjawabkan (taklif) oleh Allah supaya kita meyakini dan beramal dengannya ialah sesuatu yang diwahyukan kepada Rasul-Nya semasa hayat Rasul tersebut, bukan berdasarkan kepada apa yang dibawa mimpi di dalam tidur setelah kewafatannya.”

Terdapat juga kelompok tertentu yang mendakwa bahawa ajaran mereka ini diambil oleh tuan guru mereka daripada Rasulullah SAW dalam keadaan sedar atau terjaga. Mereka berhujah dengan sebuah riwayat yang mana Nabi SAW bersabda, “Sesiapa yang melihatku dalam mimpi, maka dia akan melihatku dalam keadaan terjaga dan syaitan tidak mampu menyerupaiku.” ? (Hadis al-Bukhari). Walaupun hadis ini sahih namun tafsiran mereka terhadapnya tidak benar.

Rasulullah SAW wafat sebagaimana manusia lain. Firman Allah, “Sesungguhnya kamu akan mati dan sesungguhnya mereka akan mati (pula). Kemudian sesungguhnya kamu pada hari Kiamat akan berbantah-bantah di hadapan Tuhanmu.” ? (al-Zumar: 30-31). Baginda hanya akan dibangkitkan semula di alam akhirat setelah terjadinya kiamat.

Maka tiada nas yang menunjukkan bahawa Baginda boleh bangkit di dunia dan boleh bertemu dengan seseorang secara fizikal dan mengajar mereka ajaran Islam. Al-Hafiz Ibnu Hajar juga menempelak dakwaan golongan yang mengaku bertemu dengan Rasulullah dalam keadaan sedar menerusi kitabnya Fathul Baari.

Menurut beliau, “Hal ini begitu aneh. Jika dimaksudkan (pertemuan itu) secara zahir maka mereka (yang mendakwa bertemu Nabi secara sedar) itu boleh dianggap sahabat Nabi, sedangkan tidak mungkin sahabat Nabi itu akan ada terus menerus sehingga hari kiamat.”

Mengenai maksud sebenar ‘maka dia akan melihatku dalam keadaan terjaga’, Imam al-Nawawi memberikan tiga pendapat: Pertama, ia berkaitan dengan mereka yang hidup pada zaman Rasulullah SAW. Oleh itu sesiapa yang bermimpi bertemu dengan Nabi sedangkan dia belum berhijrah maka Allah akan memberi taufik kepadanya untuk berhijrah dan bertemu dengan Nabi secara zahir. Kedua, dia akan melihat kenyataan mimpinya itu dalam keadaan terjaga pada hari kiamat, kerana semua umat Baginda akan melihatnya pada hari kiamat. Ketiga, dia akan melihat Nabi pada hari akhirat secara khusus dalam keadaan dekat dan mendapat syafaat daripadanya.

Allah menyempurnakan syariat agama Islam dengan penurunan wahyu kepada Nabi ketika hayat Baginda. Kesempurnaan syariat agama Islam ini diakui sendiri Allah melalui firman-Nya, “Pada hari ini Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu, Aku telah cukupkan nikmat-Ku kepada kamu dan Aku telah reda Islam menjadi agama kamu”. (al-Maaidah: 3) Sempurna dalam ayat ini bererti ia sudah lengkap. Sekiranya agama itu sempurna, mengapa kita masih memerlukan mimpi untuk dijadikan perantaraan bagi menerima amalan baru yang tidak pernah diamalkan oleh Rasulullah dan para salafussoleh (ulama terdahulu)?

Justeru, mereka yang mendakwa sesuatu ajaran baru itu masih boleh diterima menerusi mimpi hanya mencerminkan gambaran pemikiran mereka yang menganggap Islam ini belum sempurna sehingga memerlukan ritual baru. Sungguh rosak pemikiran berkenaan.

~Sumber dari http://www.bharian.com.my

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s