Hindari unsur negatif kemajuan teknologi

Nik Mustapha Nik Hassan

Ulama, ahli fikir Islam perlu peka perkembangan ilmu sebagai panduan dekati masyarakat

AKIBAT kemajuan teknologi maklumat masa kini, setiap negara semakin bergantung di antara satu sama lain. Apa saja yang berlaku, serta-merta dapat kita ikuti perkembangannya. Peristiwa berkenaan mempunyai unsur membangun dan juga sebaliknya. Perkembangan di luar negara yang berunsur negatif mudah mempengaruhi pemikiran dan kelakuan kita, terutama golongan muda.

Oleh kerana sistem pendidikan kita masih belum dapat membebaskan diri sepenuhnya daripada pendekatan sekular, pemikiran dan cita rasa muda-mudi sering memiliki persediaan yang mudah menerima pandangan dan cara hidup yang berbentuk negatif dari luar negara. Biasanya cara hidup dan budaya Barat dianggap sebagai contoh maju dan membina. Dari keyakinan ini pengaruh budaya Barat mudah meresapi dan membentuk corak kehidupan golongan muda kita.

Selain kelemahan sistem pendidikan, masyarakat turut disogok dengan budaya Barat melalui media cetak dan elektronik. Majalah dan akhbar yang tidak membina terus membanjiri kedai buku. Rancangan televisyen turut mendukung nilai dan pandangan hidup negatif. Dalam suasana yang sedemikian tidak mustahil nilai dan kefahaman Islam terus dicabar.

Dalam menangani cabaran ini, di samping usaha mengurangkan pengaruh luar meresapi pemikiran kita, Islam perlu diperkenalkan kepada masyarakat tempatan dalam bentuk menyeluruh dan mendalam. Ia hendaklah mampu dilihat sebagai satu pilihan hidup yang lebih sempurna dan memberi manfaat kepada keutuhan peradaban manusia.

Islam tidak boleh dibincang hanya sebagai penerangan ? apa itu Islam, tetapi ia perlu diyakini dan seterusnya dihayati sebagai satu cara hidup yang dapat menyusun diri dan masyarakat termasuk alam semesta dengan maju dan berjaya. Justeru itu pemahaman kita terhadap Islam semestinya menumpu kepada kaedah bagaimana Islam dapat berperanan dalam semua bidang termasuk akidah, akhlak, kebudayaan, politik, ekonomi dan sebagainya sesuai dengan perkembangan ilmu dan sistem hidup sekarang.

Dalam mendukung peranan itu, ulama dan ahli fikir Islam perlu sentiasa peka dan memahami perkembangan ilmu dan pemikiran serta selera hidup semasa dan setempat. Dengan menguasai ilmu al-Quran dan hadis untuk dijadikan panduan dalam mempengaruhi perjalanan sistem hidup bermasyarakat dan bernegara. Pendekatan begini akan mampu menzahirkan bahawa Islam mampu bersifat kenyataan. Natijah dari pelaksanaan Islam secara sempurna akan mewujudkan sebuah peradaban di mana setiap individu mampu mengecap kebahagiaan.

Kebahagiaan hidup adalah matlamat bagi setiap manusia yang sentiasa berusaha untuk mencapainya. Pada fahaman semasa, lazimnya kebahagiaan disamakan dengan kejayaan hidup. Takrif kejayaan hidup bagi seseorang dalam fahaman sekular semasa ialah kemampuan seseorang memiliki harta dan kekayaan. Bahkan kejayaan hidup membawa kepada kebahagiaan.

Bagi Islam setiap manusia akan memperoleh kebahagiaan apabila usahanya berjaya menepati fitrah keperluan manusia pada semula jadinya. Memahami fitrah keperluan semula jadi manusia dan memenuhi tuntutan itu adalah usaha yang akan membawa kepada kebahagiaan yang sejati.

Sistem sekular Kapitalisme dan Marxisme berpandangan bahawa fakta ekonomi adalah penentu kepada kebahagiaan hidup manusia. Kemajuan ekonomi saja adalah sebagai penyelesaian kepada semua permasalahan hidup. Bagi kapita-lisme, kejayaan hidup seseorang individu ialah melalui pengumpulan harta sebanyak mungkin. Mengikut Marxisme, asas tamadun manusia dianalisis berpandukan kepada penguasaan kuasa ekonomi. Bahkan fakta ekonomi mempengaruhi keseluruhan tata hidup manusia bermasyarakat.

Islam mempunyai pandangan hidup yang berlainan. Sesuai dengan fitrah kemanusiaan, kebahagiaan hakiki untuk manusia akan tercapai apabila sifat bahimiah (haiwan) pada manusia mematuhi arahan dari sifat malakiah (malaikat). Manusia sentiasa meningkat maju disebabkan terdapatnya sifat bahimiah. Oleh itu sifat bahimiah ini perlu sentiasa dididik dan disuburkan oleh sifat malakiah.

Dalam kata lain, semua kemahuan manusia seperti memiliki kuasa, kekayaan, kemasyhuran dan sebagainya hendaklah dicapai melalui akhlak yang tinggi supaya kejayaan itu tidak menindas orang lain dan diusahakan untuk memperoleh keredaan Allah. Kuasa dan kekayaan adalah alat untuk mengabadikan kepada Allah dan bukan sebagai matlamat akhir dalam kehidupan seseorang individu. Dengan pendekatan ini manusia akan sentiasa bersyukur dan menikmati erti kebahagiaan yang sebenar.

Kegagalan pendekatan semasa yang berteraskan sistem sekular dalam menerajui kehidupan manusia menghasilkan kepincangan dan kemelut ekonomi yang tenat. Sifat mementingkan diri melahirkan ciri individu tamak dan rakus. Kelemahan ini tidak ditonjol sebagai asas kepada kemelut ekonomi dunia dan penyelesaiannya kepada perkara pokok tidak berhasil kemelut ekonomi akan berterusan.

Penulis ialah Ketua Pengarah, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)

~Sumber dari http://www.bharian.com.my

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s