Cari titik pertemuan

Oleh Mohd Fadly Samsudin
fadly@hmetro.com.my

WAHABI adalah fahaman yang diperkenalkan Muhammad bin Abdul Wahab pada abad ke-18 di Semenanjung Arab. Muhammad dilahirkan pada 1703 di Nejd.

Umum mengetahui Wahabi menolak doa qunut, amalan membaca Yasin, bertahlil di kuburan dan zikir selepas sembahyang yang menjadi amalan Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Malah, ajaran ini dilihat menimbulkan keraguan serta kontroversi sehingga menyebabkan ia dikatakan punca perpecahan umat Islam di negara ini.

Berdasarkan sumber Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Jawatankuasa Penyelarasan Penyelidikan Islam Kebangsaan (Jappis), Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan membuat keputusan secara rasmi menolak serta menyekat ajaran itu disebarkan di negara ini.

Kehadiran fahaman itu tidak bersesuaian dengan pendekatan Islam di negara ini dan dikhuatiri akan menggugat perpaduan umat.

Sungguhpun sudah acap kali perkara ini dibincangkan, masih terdapat kesamaran yang perlu dijelaskan terutama bagi golongan yang ‘kosong’ mengenai fahaman ini.

Memang sukar bagi merungkaikan permasalahan ini kerana masing-masing mempunyai hujah yang tersendiri dan yang tinggal barangkali ia perlu mendapatkan komitmen serta campur tangan golongan bijaksana.

Bagi yang menolak fahaman ini, sudah pasti mereka berhabis-habisan menegakkan hujah penentangan mereka.

Penolong Pengarah Jakim, Zamihan Mat Zin, berkata apa yang jelas, pendekatan cuba digunakan pengikut fahaman ini dilihat agak keras dan sememangnya boleh dipertikaikan.

Beliau berkata, mungkin dalam konteks masyarakat di Malaysia, amalan kita terhadap perkara yang dianggap bidaah itu sebenarnya amalan yang baik, malah dituntut bagi melakukannya. Sudah tentu ada pihak rasa tercabar apabila perkara yang baik diperbahaskan.

“Seringkali juga soal penyatuan diperkatakan. Namun, ia seakan-akan tidak meninggalkan kesan yang mendalam. Sebelum ini juga, sudah banyak ruang dibuka bagi membicarakan perkara berkenaan.

Tujuannya bagi membendung gejala tuduh menuduh dan berkelahi sesama Islam dibiar berlarutan.

Penyeragaman amalan Ahli Sunnah Wal Jamaah dilihat amat perlu bagi menjamin keharmonian pegangan, amalan dan fahaman umat Islam negara ini,” katanya.

Menurutnya, kekeliruan yang berlaku itu bermula apabila kumpulan itu memberikan teguran keras mereka ketika berhujah.

“Cara mereka (Wahabi) yang keras dan lantang menyelar amalan yang dilakukan masyarakat Islam di negara ini ibarat cuba mengelirukan kerana sudah sekian lama berpegang kepada ajaran daripada mazhab muktabar (Imam al-Syafie).

“Amalan yang dimaksudkan itu pula adalah bersifat ‘aksesori’ dan tidak menjejaskan akidah umat Islam. Jika ia terus dibiarkan dikhuatiri akan mengelirukan fahaman orang ramai yang menyedari amalan yang dilakukan mereka itu seolah-olah berdosa.

“Malah perilaku serta akhlak mereka yang mudah menuduh seseorang itu sesat, syirik dan amalkan khurafat ini menimbulkan perasaan kecewa di kalangan masyarakat,” katanya.

Beliau berkata, secara umumnya, mereka perlu menghormati undang-undang negara ini dan tidak terus berdegil menggunakan metodologi keras itu kerana ia tidak sesuai diamalkan di sini.

“Paling ketara, fahaman ini meletakkan ukuran akidahnya berdasarkan ‘tasybih la tasybih’ iaitu menyamakan Allah dengan makhluk-Nya.

“Selain itu, mereka memilih ayat mutasyabihat sebagai sumber rujukan utama dan membelakangi ayat muhkamat dengan hanya mempercayai makna zahirnya saja,” katanya.

Perkara itu katanya, mendedahkan mereka dengan ‘gejala tajsim’ iaitu amalan menvisualisasi zat Allah dengan sifat manusia.

“Ini akan mencalarkan sistem akidah mereka daripada landasan akidah Islam yang sebenarnya.

“Di antara masalah akidah yang bertentangan dengan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah adalah mereka mempercayai Allah duduk di atas arasy dan percaya Allah mempunyai tangan dan kaki,” katanya.

Zamihan berkata, dari segi akhlak, golongan ini memperlihatkan emosi yang ternyata bercanggah dengan nilai sebenar seorang Muslim.

“Kita ditegah kafir mengkafir, menggelar orang Islam lain syirik dan sesat. Ini berlaku dalam masyarakat kita yang perlu disekat agar tidak menjadi doktrin bahaya.

“Metodologi ‘terjah’ yang cuba diamalkan ini akan menyebabkan orang awam yang tidak memahami gagal menilai erti sebenar apa yang mereka amalkan,” katanya.

Zamihan berkata, orang awam juga diminta tidak berhujah kerana dibimbangi akan menambah buruk keadaan.

“Sebagai umat Islam, mereka perlu mengikut serta mengamalkan apa yang ditetapkan serta diguna pakai majoriti umat Islam di sini.

“Itu adalah tanda penghormatan mereka kepada negara kerana perkembangan Ahli Sunnah Wal Jamaah (mazhab Syafie) sudah sekian lama bertapak di negara ini.

Seperkara lagi yang cukup penting adalah perkara yang terjadi sekarang tidak hanya terhad kepada kebimbangan terhadap kemunculan Wahhabi, malah amalan melabelkan orang lain sebagai Wahhabi secara berleluasa juga perlu dihindarkan.

Sementara itu, pendakwah bebas, Muhamad Shamil Shahrin, berkata secara umumnya, tujuan mereka murni kerana berusaha menghidupkan semula manhaj ulama terdahulu iaitu generasi salafus soleh yang hidup pada kurun awal hijrah selepas zaman sahabat (yang diiktiraf Nabi Muhamad sebagai generasi terbaik selepas sahabat).

“Pendekatan mereka dalam amalan juga bertepatan dengan anjuran agama iaitu menjadikan setiap amalan berteraskan ilmu dan ilmu pula perlu berteraskan dalil yang diterima pakai sebagai hujah dalam agama.

“Selain itu, mereka juga antara golongan paling aktif dalam menyuburkan kuliah berbentuk ilmiah terutama di pusat pengajian tinggi yang kita ketahui ia medan kita menuntut ilmu pengetahuan. Ini sebahagian contoh baik untuk kita sama-sama teladani terutama mewujudkan minat dan menyuburkan kecintaan terhadap pencarian ilmu,” katanya.

Beliau juga menyarankan supaya situasi pertelagahan yang berlaku perlu dipulihkan segera iaitu dengan mengambil pendekatan secara paling adil.

“Bagi mereka yang tidak sealiran ini, mereka perlulah mengurangkan jarak perselisihan dengan mencari titik pertemuan seperti cuba berbaik sangka dalam mencapai satu kefahaman terhadap perkara yang bercanggah dengan Islam.

“Menjadikan dakwah, penerangan dan kefahaman sebagai keutamaan dan bukannya tergopoh-gapah menghukum dan mencari kesilapan orang lain. Memperluaskan bacaan agar ilmu kita tidak terhad kepada sebelah pihak saja dalam membantu kita bersikap adil dalam menilai hujah semua pihak,” katanya.

Muhamad Shamil berkata, setiap umat Islam perlu terbabit mengikuti perbincangan secara ilmiah dan berhenti daripada terbabit dengan perdebatan.

“Umat Islam sepatutnya perlu mendalami ilmu agama (usul fiqh dan fiqh) agar dapat memahami sebab perselisihan ulama dalam masalah fiqah dan tidak hanya ‘berbangga’ dengan kefahaman yang mereka miliki bersandarkan pada zahir ayat atau hadis saja.

“Mungkin ada di kalangan masyarakat mendakwa sesuatu amalan sebagai Wahabi atau melanggar mazhab Syafie, padahal jika diteliti dalam kitab fiqh sendiri, sebahagian amalan itu anjuran mazhab Syafie. Kita perlu rajin menimba ilmu kerana disebabkan kecetekan ilmu, kita hanya menempah dosa terhadap agama,” katanya.

~Sumber dari http://www.hmetro.com.my

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s