Ahli Sunnah pewaris generasi sahabat, tabiin

Oleh Dr Engku Ahmad Zaki Engku Alwi

Rasulullah menyatakan al-Jamaah terselamat berbanding 71 golongan yang akan hancur

DARI sudut sejarah, tidak diketahui dengan tepat tarikh kemunculan mazhab Ahlal-Sunnah wal-Jamaah. Begitu juga tokoh yang mula memperkenalkan nama mazhab itu. Kemunculannya jauh berbeza daripada aliran Syiah dan Khawarij.

Kemunculan kedua-dua golongan itu bermotifkan politik terutama kepemimpinan umat Islam. Oleh itu, Syiah dan Khawarij boleh dikatakan dua parti siasah agama yang terawal lahir dalam sejarah umat Islam.

Menurut Ibnu Tamiyyah (wafat 728 Hijrah), Ahli Sunnah adalah mazhab sedia ada sejak dulu dan dikenali sebelum kemunculan Abu Hanifah, Malik, al-Syafie dan Ahmad. Ia mazhab sahabat yang bersumber daripada Nabi SAW. Mereka bersepakat mengatakan ijmak sahabat adalah hujah, tetapi mereka berselisih pendapat mengenai ijmak generasi selepas sahabat.

Ibn Abbas menyebut istilah Ahl al-Sunnah ketika beliau mentafsirkan firman Allah yang maksudnya: “(Ingatlah akan) hari (kiamat yang padanya) ada muka (orang) menjadi putih berseri dan ada muka (orang) menjadi hitam legam”.

Dalam ayat itu, Ibn Abbas mentafsirkan muka orang yang putih berseri ialah Ahl al-Sunnah dan ulama, manakala muka hitam legam ialah ahli bidaah sesat.

Ahmad Hambal (wafat 241 Hijrah) pula menyatakan dalam mukadimah kitabnya al-Sunnah: “Inilah mazhab ahli ilmu, ashab al-athar dan ahl al-sunnah yang berpegang teguh pada al-Sunnah yang dikenali jejak langkahnya serta menjadi ikutan umat bermula daripada sahabat Nabi SAW hingga ke hari ini.”

Asas pengenalan kepada Ahl al-Sunnah boleh dilihat melalui keiltizaman mereka dengan al-Quran dan sunnah sebagai sumber rujukan utama mengatasi yang lain. Di samping itu, mereka memandang tinggi kepada generasi sahabat, tabiin dan tokoh ulama hadis kerana melalui jaluran ini ilmu agama dapat dipelajari serta diyakini.

Ulama berusaha mencari siapakah yang dimaksudkan al-Jamaah iaitu golongan yang terselamat seperti dijelaskan dalam hadis Rasulullah SAW. Daripada Anas Malik bahawa Rasulullah bersabda bani Israel kepada 71 golongan, daripada itu 70 golongan hancur binasa dan satu golongan lagi terselamat.

Sesungguhnya umatku juga akan berpecah kepada 72 golongan dan 71 golongan akan hancur binasa. Satu golongan lagi akan terselamat”. Sahabat bertanya: “Wahai Rasulullah, siapakah golongan yang terselamat itu? Baginda menjawab: Al-Jama’ah, al-Jamaah. (Hadis riwayat Ahmad dan Ibnu Majah).

Secara umum pendapat ulama berhubung al-Jamaah seperti berikut:

# Golongan teramai (al-Sawad al-Azam) daripada umat Islam

Ini berdasarkan sabda Rasulullah maksudnya: “Allah tidak menghimpunkan umatku dalam perkara kesesatan selama-lamanya. Hendaklah kamu mengikuti al-Sawad al-A’zam, yang bermaksud sekumpulan majoriti orang yang berhimpun mentaati pemerintah dan menurut jalan yang lurus.”

Berdasarkan kenyataan ini, termasuk dalam pengertian al-Jamaah ialah golongan mujahid umat, ulama dan pendukung syariat yang beramal dengannya. Sesiapa saja yang keluar daripada jemaah, dia ialah golongan menyeleweng yang terjatuh dalam perangkap syaitan.

Begitu juga ahli bidaah kerana amalan mereka bercanggah dengan amalan golongan terdahulu daripada umat ini. Oleh itu, dalam keadaan apa sekalipun mereka tidak termasuk dalam al-Sawad al-Azam.

# Golongan ahli ilmu, fekah dan hadis kalangan ulama mujtahidin

Allah menjadikan imam mujtahid sebagai hujah terhadap makhluk yang menerima ajaran mereka dalam urusan agama. Merekalah golongan yang dimaksudkan melalui sabda Rasulullah SAW maksudnya: “Allah tidak menghimpunkan umatku dalam perkara kesesatan selama-lamanya”.

# Sahabat Rasulullah secara khusus tidak termasuk generasi selepas mereka

Mereka menegakkan tiang agama dan meneguhkan sendinya. Mereka juga tidak pernah berhimpun dalam perkara sesat.

Pendapat ini juga menepati riwayat al-Jamaah yang disebutkan Rasulullah dalam hadis bermaksud: “Mereka yang mengikuti jalan hidupku dan juga sahabatku.”

Dr Hamka pula berpendapat Ahl al-Sunnah wa al-Jamaah ialah orang yang mengikuti sunnah Nabi dan ulama mujtahid yang mengeluarkan pendapat bebas sebagai hasil ijtihadnya. Orang yang menganut mazhab Syafie, Hanafi, Maliki dan Hambali dalam soal furuk ialah golongan Ahl al-Sunnah wa al-Jamaah, sedangkan Syiah, Khawarij dan Muktazilah tidak termasuk di dalamnya.

Demikian juga pendukung bidaah yang menambah, apatah lagi mengurangi ajaran Nabi Muhammad SAW tidak termasuk dalam Ahl al-Sunnah wa al-Jamaah. Dalam ilmu kalam, mazhab al-Asyari dan al-Maturidi ialah mazhab Ahl al-Sunnah wa al-Jamaah.

Ringkasnya, Ahli Sunnah wa al-Jamaah adalah generasi sahabat dan tabiin yang bersatu mengikuti kebenaran yang jelas daripada kitab Allah dan Sunnah Rasulullah.

~Sumber dari http://www.bharian.com.my
********************************************************

Membudaya amal jariah perkukuh ekonomi umat
Oleh Penulis Khas YaPEIM

SUATU ketika Abdul Rahman bin Auf menghadap Rasulullah SAW sambil membawa 4,000 dirham untuk disedekahkan. Abdul Rahman berkata: “Aku mempunyai 8,000 dirham, aku simpan 4,000 dirham daripadanya untuk diriku dan keluarga, 4,000 lagi aku pinjamkan untuk Tuhanku”.

Lantas Rasulullah SAW bersabda: “Semoga Allah memberkati kamu pada apa yang kamu simpan dan apa yang kamu berikan.”

Firman Allah bermaksud: “Bandingan (derma) orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah seperti biji benih yang menerbitkan tujuh tangkai; setiap tangkai mengandungi 100 biji dan ingatlah setiap tangkai pula mengandungi 100 biji dan (ingatlah) Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendaki dan Allah Maha Luas (rahmat) kurnianya lagi meliputi ilmu pengetahuannya.” (surah al Baqarah: 261)

Ayat ini diturunkan dengan memfokuskan kelebihan dan ganjaran infak di jalan Allah. Ia boleh dianggap amal yang bakal menjadi pertimbangan pada hari kebangkitan nanti.

Ada banyak kupasan kebaktian yang boleh dikategorikan ‘pada jalan Allah’ seperti disebutkan dalam ayat berkenaan antaranya menyebarkan ilmu, usaha membasmi kejahilan, kemiskinan dan penyakit.

Tahap tertinggi ialah jihad memartabatkan kalimah Allah (agama Islam). Sesiapa yang berjihad selepas mengenal pasti dalil seperti ditunjukkan Nabi SAW, ia akan mendapat ganjaran besar.

Al-Quran berkali-kali menggalakkan melakukan infak kerana ia wasilah bagi menghimpun kekayaan dan menjamin kesenangan untuk semua. Ia satu-satunya cara untuk memelihara kekuatan dan kemuliaan umat, di samping mengalahkan musuh.

Jika umat bakhil, pasti dicengkam kehinaan dan kemelesetan. Ibn Umar berkata: “Tatkala ayat di atas diturunkan, Rasulullah SAW bersabda: ” Ya Allah, tambahkanlah untuk umatku.”

Susulan itu diturunkan firman Allah bermaksud: “Siapakah orangnya yang (mahu) memberikan pinjaman kepada Allah sebagai pinjaman yang baik (yang ikhlas) supaya Allah melipatgandakan balasannya dengan berganda banyaknya? (surah al Baqarah: 245)

Infak iaitu mengeluarkan harta pada jalan kebajikan mempunyai kedudukan dan peranan yang penting dalam sistem ekonomi, ia termasuk zakat, sedekah dan perbelanjaan untuk jalan kebajikan.

Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) menerusi misi besarnya ‘Membangun Ummah Melalui Budaya Beramal Jariah’ mempunyai peranan besar membudayakan amalan sedekah jariah ini.

Di negara kita, amalan ini dipraktikkan secara meluas sama ada menerusi saluran diinstitusikan atau saluran tidak rasmi. Ada banyak institusi ibadat, pendidikan dan kebajikan didirikan atas asas amal jariah ini.

Semangat beramal jariah ini jika digerakkan secara bersungguh-sungguh dan melalui penyediaan prasarana beramal jariah secara profesional (seperti di YaPEIM) dan didukung semua lapisan masyarakat berdasarkan tahap keupayaan masing-masing, dapat mewujudkan dana besar serta boleh berperanan lebih berkesan bagi membantu pembangunan sosioekonomi umat dan negara.

Pelaksanaan Program Amal Jariah berdasarkan tafsiran yang luas, memungkinkan kita menyelesaikan sebahagian permasalahan masyarakat di samping mempamerkan keindahan Islam sebenar.

Firman Allah bermaksud: “Kebaktian itu bukan hanya menghalakan mukamu ke timur atau barat, tetapi kebaktian ialah mereka yang beriman kepada Allah, hari akhirat, malaikat, kitab suci, nabi dan memberi harta yang disayanginya kepada kaum kerabat, anak yatim, fakir miskin, orang yang terlantar dalam perjalanan, orang meminta bantuan, membebaskan hamba abdi, mendirikan solat, mengeluarkan zakat, menunaikan janji apabila mereka berjanji. Merekalah orang yang benar-benar berbakti dan merekalah orang yang benar-benar bertakwa.”

Infak di jalan Allah tanpa mengungkit dan menyakiti si penerima menjadi sebab penerimaan Allah seperti Rasulullah SAW bersetuju dengan Uthman yang meletakkan 1,000 dirham di depan Baginda untuk tujuan membeli kelengkapan perang Tabuk.

Allah memberikan ganjaran infaq di jalan-Nya dengan tiga perkara iaitu jaminan syurga, menghilangkan rasa takut selepas mati dan menghilangkan rasa sedih atau kemurungan atas apa yang berlaku termasuk musibah.

Allah berfirman: “Mereka mendapat pahala di sisi Tuhan mereka dan tidak ada kebimbangan (daripada berlakunya kejadian tidak baik) terhadap mereka dan mereka pula tidak akan berdukacita.” (surah al-Baqarah: 262)

~Sumber dari http://www.bharian.com.my

Advertisements

2 thoughts on “Ahli Sunnah pewaris generasi sahabat, tabiin

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s