Agenda melahirkan pemimpin soleh bermula di rumah

Oleh Hasliza Hassan
hasliza@bharian.com.my

Ibu bapa perlu tunjuk teladan baik jika mahu anak berperibadi tinggi

SERING terjadi ibu bapa mahukan anak menjadi insan soleh tetapi keadaan mereka sendiri adalah sebaliknya, sedangkan mendidik anak perlu dimulakan dengan menunjukkan teladan yang baik daripada kehidupan keluarga itu sendiri.

Imam Besar Masjid Negara, Tan Sri Syaikh Ismail Muhammad, berkata bagaimana mungkin ibu bapa boleh mendidik anak dengan baik jika mereka sendiri hidup lintang pukang dan seterusnya tidak boleh menjadi contoh yang baik untuk anak-anak.

Katanya, usaha melahirkan generasi muda dan pemimpin pelapis yang soleh dan beriman perlu menjadi agenda utama setiap pemimpin keluarga, negara serta bangsa kerana masa depan yang diharap lebih baik daripada kini terletak di tangan mereka sendiri.

“Persoalan besar timbul apakah jemaah dan umat Islam sekalian mengambil berat usaha mewujudkan keturunan serta pemimpin pelapis yang soleh bagi meneruskan agenda menegakkan kebenaran di bumi Allah.

“Untuk membolehkan keturunan soleh ini lahir, ia bermula daripada diri ibu bapa itu sendiri,” katanya ketika menyampaikan khutbah Aidiladha bertajuk ‘Mewujudkan Keturunan dan Pemimpin Pelapis yang Soleh’ kepada kira-kira 5,000 jemaah di Masjid Negara, Kuala Lumpur semalam.

Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin berkenan menunaikan solat sunat Aidiladha di Masjid Negara.

Turut serta dua anakandanya, Pemangku Raja Terengganu, Tengku Muhammad Ismail dan Tengku Muhammad Mu’az.

Syaikh Ismail berkata, perangkaan Jabatan Pendaftaran Negara menunjukkan seramai 83,701 anak dilahirkan tanpa nikah dan 72,043 pula diragui status perkahwinan ibu bapa mereka bagi tahun 2000 hingga 2008.

Katanya, perangkaan itu amat membimbangkan. Iktibar daripada perangkaan itu, ibu bapa perlu mengambil berat supaya anak-anak mereka tidak terjebak dalam gejala masalah sosial dan memastikan keutamaan pembangunan pendidikan Islam secukupnya supaya pegangan akidah anak mereka kuat untuk mengharungi cabaran hidup di masa depan yang lebih mencabar.

“Marilah kita bersama memastikan pendidikan anak mencapai keredaan Allah.

“Ibu bapa perlu melakukan pengorbanan demi mewujudkan nasab keturunan yang soleh supaya diri, keluarga, masyarakat dan negara sentiasa dilindungi Allah dan selamat,” katanya.

Mengenai pengorbanan, beliau mengingatkan jemaah peristiwa pengorbanan Nabi Ibrahim menyembelih satu-satunya anak baginda iaitu Nabi Ismail sebagai bukti penyerahan dan ketaatan teragung Nabi Ibrahim terhadap Allah.

Nabi Ibrahim adalah model bapa dan pemimpin soleh. Walaupun beliau dikurniakan zuriat tatkala sudah lanjut usia, baginda dan kedua-dua isterinya, Hajar dan Sarah memberi perhatian serius terhadap kualiti pemimpin pelapis yang dapat menegakkan nilai kebenaran.

Justeru, dapat dilihat Nabi Ismail yang dilahirkan di Makkah dan Nabi Ishak di Palestin, dibesarkan sebagai pemimpin pelapis yang menjadi penggerak utama Islam di Baitullah dan Masjidil Aqsa serta penyebaran agama Islam ke seluruh dunia.

Allah berfirman yang bermaksud: “Dan tidaklah hartamu dan tidak juga anak pinakmu yang mendampingkan kamu di sisi Kami, kecuali orang yang beriman dan beramal soleh, maka bagi mereka balasan berlipat ganda disebabkan apa yang mereka kerjakan dan ditempatkan dalam mahligai dengan aman sentosa,” (Surah saba’, ayat 37)

Menyambung kepentingan ibadat korban dalam memperingati kisah Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail yang menjadi titik tolak kepada penyebaran syiar Islam, Syaikh Ismail dalam khutbah kedua berkata, pengagihan daging korban membuktikan tanda kesyukuran kepada nikmat diberikan Allah.

Katanya, selain meringankan beban kurang bernasib baik, agihan daging korban dapat mempertingkatkan kualiti hidup dan mengeratkan silaturahim umat Islam.

“Selain daging korban, umat Islam juga boleh menghantar sumbanganmereka dalam pelbagai bentuk sebagai tanda kasih sayang. Bantuan itu dapat menceriakan golongan fakir miskin menyambut Aidiladha.

“Paling penting ialah mereka yang mengorbankan harta dan binatang ternakan bagi tujuan suci ini melakukannya dengan penuh ketakwaan serta hati yang ikhlas kepada Allah,” katanya.

Beliau turut menyambut baik usaha pelbagai pihak tertentu seperti masjid, surau dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) melaksanakan ibadat korban di negara minoriti umat Islam seperti Kemboja, Mindanao dan Myanmar.

Sementara itu, khutbah solat Jumaat yang disediakan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), menekankan mengenai pengajaran daripada ihram haji dan peraturan dalam solat sebagai mematuhi larangan Allah.

Ihram haji mengajar manusia mematuhi peraturan dan bersikap insaf diri.

Apabila manusia insaf dan beramal dengan falsafah itu, maka tiada lagi sifat takbur di hadapan Allah, sentiasa mengawal diri, ahli keluarga dan sesama manusia untuk menentukan kecemerlangan umat Islam.

Ihram dan solat juga mengajar mengenai kesamaan dan tiada perbezaan antara manusia berpangkat besar atau kecil kerana manusia perlu bersedia untuk menerima pembalasan yang adil di hari akhirat kelak.

Firman Allah yang bermaksud: “Dan tinggalkanlah dosa yang nyata dan tersembunyi. Sesungguhnya orang yang melakukan dosa, mereka akan dibalas dengan apa yang mereka telah lakukan,” (Surah al-An’aam, ayat 120)

~Sumber dari http://www.bharian.com.my

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s