Layanan sama taraf antara lelaki dan wanita?

Oleh Nurhidayah Muhd Hashim
Perjuangan kesamaan gender di Barat tidak ambil kira nilai ditetapkan agama Islam

PADA 4 April lalu, sekumpulan pejuang hak wanita berarak di Portland, Amerika Syarikat, tanpa baju mendesak layanan sama taraf antara lelaki dan wanita dalam berpakaian. Kira-kira 20 wanita berjalan tanpa baju di Maine, mendesak masyarakat melihat wanita dan lelaki sebagai setaraf. Isunya jika lelaki boleh keluar di jalanan dengan hanya berseluar tanpa baju, semua orang melihat sebagai perkara biasa. Tetapi kenapa apabila wanita berjalan tanpa baju, semua orang memandang pelik, melihat dengan nafsu dan mentertawakan mereka? Ini adalah satu ketidakadilan, kata mereka dan mendesak layanan adil antara lelaki dan wanita.
Apakah sebenarnya yang ingin dibawa golongan pejuang kesamaan jantina ini? Isu mendesak persamaan taraf antara lelaki dan wanita berkembang dengan agak pesat di seluruh dunia.
Golongan mendesak kesamaan ini menggelarkan diri mereka sebagai pejuang keadilan wanita, kesamaan taraf, feminisme, ‘female liberation’, ‘women emansipation’, melawan ketidakadilan gender dan sebagainya. Ia secara hakikatnya mengetengahkan sebarang isu yang dianggap menjatuhkan taraf wanita dan membezakan mereka dengan lelaki.

Ia sebenarnya bermula di Barat suatu ketika dulu apabila golongan ini bangun membantah layanan buruk. Wanita tidak diberi hak mengundi dan gaji setaraf lelaki selain tertakluk kepada suami dalam semua urusan membabitkan harta sehingga nama keluarga perlu ditukar kepada nama keluarga suami apabila berkahwin.

Mereka berjuang meninggikan taraf wanita dan mendesak pihak berkuasa melayan mereka dengan adil seperti lelaki. Perjuangan kemudian melebar kepada kesamaan hak dalam ekonomi, pendidikan, politik dan sosial. Perjuangan mereka didasarkan atas apa yang difikirkan wajar dalam penilaian semasa dan pemikiran akal mereka. Namun begitu, tidak dinafikan wujud banyak kesan positif hasil perjuangan itu.

Di Malaysia, perjuangan meninggikan taraf wanita dan meminta mereka dilayan baik digerakkan sebelum kemerdekaan membabitkan isu pendidikan wanita bagi mengelak buta huruf. Ia kemudian berkembang kepada bidang pentadbiran, politik dan sebagainya sehingga memasuki aspek melawan eksploitasi wanita dari segi seksual, perdagangan manusia, diskriminasi, prejudis dan lain-lain perkara yang menjatuhkan taraf wanita. Mereka mendesak perubahan kepada sistem undang-undang, ekonomi dan sosial masyarakat.
Kita mesti berusaha memartabatkan wanita supaya tidak tertinggal dan tidak dilayan secara tidak adil. Namun begitu, usaha memartabat dan meletakkan wanita di tempat selayaknya adalah berbeza dengan perjuangan kesamaan gender atau feminisme keterlaluan sehingga membantah peruntukan agama suci Ilahi.

Tidak semua apa yang lelaki dapat maka wanita perlu mendapat yang sama. Tidak semua yang lelaki buat, wanita perlu mendesak melakukan perkara sama. Allah mencipta lelaki dan perempuan berbeza dari segi kemampuan, sistem badan dengan perbezaan tanggungjawab dan juga tuntutan.

Perjuangan memartabatkan wanita Islam akan tersasar jika melancarkan kesamaan gender tanpa mengambil kira nilai agama, fitrah kejadian manusia dan budaya setempat. Kejahilan agama menyebabkan pejuang wanita berjuang melawan dasar agama itu sendiri.

Dalam Islam, ada nas qatie (mutlak) dalam agama yang memperuntukkan sesuatu perkara dan itu adalah hak Allah yang tidak boleh dipertikai. Ia berbeza peruntukan bersifat zanni (spekulatif) yang terbuka kepada ijtihad, pendapat baru dan perbezaan pendapat. Peruntukan jelas seperti pusaka, bilangan talak, kewajipan wali, kewajipan menutup aurat perlu difahami dengan baik sebelum kita membuat andaian negatif terhadapnya.

Apabila Allah memberi lelaki peruntukan harta pusaka berbeza dengan wanita, Allah meletakkan tugas dan tanggungjawab berbeza wajib ditanggung lelaki. Kegagalan melaksanakan membawa risiko kemurkaan Allah yang lebih besar kepada mereka. Lelaki dibenarkan berkahwin empat dengan tanggungjawab yang besar dari segi nafkah dan juga berlaku adil.

Menzalimi isteri dan anak semuanya dinilai Allah dan membuka ruang dosa dan azab yang besar atas kecuaian melaksanakan tanggungjawab itu. Kejahilan segelintir lelaki dalam memahami perkara berkaitan antara perkahwinan, pusaka, tanggungjawab Allah terhadap mereka di akhirat menyebabkan mereka memandang mudah urusan wanita dan perkahwinan.

Dari situ timbul amalan buruk seperti melayan isteri dengan kasar, gantung isteri tanpa diceraikan, tinggalkan isteri tanpa nafkah, berkahwin ramai tetapi tidak bertanggungjawab dan lain-lain lagi.

Penulis ialah Profesor Madya di Pusat Pemikiran & Kefahaman Islam (CITU), Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, sedang melanjutkan pengajian PhD dalam bidang undang-undang keluarga di Universiti La Trobe, Melbourne.

~sumber http://www.bharian.com.my/

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s