Musyawarah teras pemerintahan terbaik

Oleh Nik Mustapha Nik Hassan

Mekanisme beri peluang kalangan bijak pandai bentuk sistem sesuai wujud negara Islam

ISLAM diutuskan Allah untuk membentuk keperibadian individu yang sempurna dan menyusun masyarakat supaya keharmonian dan kesejahteraan manusia setempat serta sejagat dapat dicapai. Mengikut fitrah kemanusiaan, manusia dicipta bukan saja dengan memiliki sifat makhluk individu malah bersifat makhluk sosial.

Bahkan tema isi al-Quran menumpu kepada kelakuan manusia di peringkat individu dan masyarakat. Shah Waliyullah, seorang ulama terkenal abad ke-18 berpendapat, tujuan Islam diutuskan kepada umat manusia untuk menyempurnakan sifat keperibadian manusia dan menyedarkan diri mereka kepada kehendak Ilahi melalui pembentukan sebuah ‘orde’ masyarakat yang tersusun dan manusia dapat menyempurnakan kemampuan sepenuhnya.
Abu Ali Ahmed Miskawayh, seorang ahli falsafah dan sejarawan Islam dalam bukunya ‘Tahdib al-Akhlaq Wa Ta’thir al-A’raq’ mengutarakan teori-manusia pada fitrahnya memiliki sifat sosial (madani). Justeru, individu perlu bersama dengan masyarakat.

Al-Farabi, seorang lagi ulama besar turut berpandangan, untuk manusia meningkatkan kesempurnaannya, pada dasarnya perlu kepada banyak keperluan yang tidak mungkin dapat menyediakannya sendiri. Oleh itu, manusia perlu menjalani proses pertukaran barangan dan perkhidmatan antara satu sama lain.

Dengan kata lain, manusia memerlukan antara satu sama lain dalam menjalani hidup yang bermakna dan sempurna. Dari sudut lain, manusia memiliki kecenderungan untuk menjamin kepentingan dirinya sentiasa terpelihara.

Kepentingan atau menyayangi diri sendiri adalah sifat semula jadi manusia.
Islam tidak sekali-kali menghapuskan sesuatu yang sedia ada dalam diri manusia.
Islam hanya cuba menyempurnakan sifat itu dengan mengimbangi keharmonian kepentingan individu dengan kemuslihatan masyarakat.

Daripada dua sifat dimiliki manusia, ‘orde’ kemasyarakatan bersandarkan keadilan dan kerjasama dapat disusun melalui keharmonian keperluan menjaga kepentingan diri individu dan kemuslihatan masyarakat. Dalam proses menuju matlamat itu, Islam meletakkan institusi pemerintah sebagai keperluan untuk menjamin tercapainya ketersusunan masyarakat.

Institusi pemerintah atau sektor awam yang mantap dan berwibawa dianggap prasyarat kepada kemakmuran dan kemajuan sesebuah ‘orde’ masyarakat. Teras utama pembentukan struktur dan pelaksanaan institusi pemerintah hendaklah berasas kepada kewujudan semangat musyawarah dalam sistem pemerintahan negara.

Asas ini penting demi merealisasikan pemerintahan negara menepati semangat agama. Semangat musyawarah mewujudkan struktur institusi pemerintahan, pemilihan barisan kepemimpinan dan pelaksanaan dasar pemerintahan negara menepati semangat dan seterusnya mewujudkan kebajikan serta kesejahteraan kepada rakyat.

Musyawarah adalah mekanisme terbaik kerana di kalangan bijak pandai dan ahli masyarakat pada keseluruhan diberi peluang untuk berperanan pada peringkat masing-masing bagi memandu haluan perjalanan pemerintahan negara.

Daripada semangat musyawarah, sesebuah negara Islam mampu membentuk struktur sistem pemerintahan negara sesuai dengan keadaan setempat dan semasa demi mendaulatkan syariah Islam. Tugas utama sesebuah pemerintahan dalam Islam ialah menjamin kebajikan sosial di kalangan semua lapisan rakyat tercapai.

Sektor swasta merangkumi sektor isi rumah dan sektor firma turut sama berperanan membangunkan negara dalam semua aspek termasuk akhlak dan kemajuan ekonomi. Sesuai dengan kehormatan dan keyakinan Islam terhadap kedudukan individu, sektor swasta dalam pemerintahan Islam adalah rakan kongsi yang sama-sama akan menentukan kemajuan negara.

Bahkan dalam Islam, sesuai dengan fitrah penyusunan negara, sektor swasta harus mempelopori usaha ke arah memajukan negara. Islam mempunyai pandangan bahawa usaha membangun dan memaju sesebuah masyarakat atau negara memerlukan penggemblengan usaha peringkat individu isi rumah dan firma.

Inisiatif individu dalam suasana yang sesuai dengan kehormatan dan kebebasan yang diperuntukkan kepada individu akan menjadi faktor penentu kemajuan sesebuah negara. Islam mempunyai pendekatan berbeza berkaitan kebebasan individu dibandingkan kebebasan individu dalam sistem liberal demokratik kapitalis.

Islam memberi penekanan kepada pembentukan akhlak individu. Kesepaduan akhlak yang mantap dan kebebasan gerak geri individu dalam suasana wujud budaya Islam akan menghasilkan masyarakat kreatif dan dinamik. Akhlak mulia adalah asas dan penggerak kepada pencapaian kecekapan, inovatif dan kreativiti dalam diri manusia.

Individu yang berakhlak adalah individu yang bertanggungjawab, sekali gus berperanan positif kepada pembangunan negara. Justeru, seseorang yang berakhlak tinggi akan sentiasa mencuba membaiki prestasi pekerjaannya ke mercu yang mampu dicapai.

Sektor firma lebih kecil dari segi saiz organisasinya. Ia lebih fokus dari segi bidang usaha dan objektif yang hendak dicapai. Justeru, ia lebih cepat dan mudah membuat sesuatu keputusan serta tindakan. Ciri ini memudahkan organisasi mencapai matlamatnya. Jika semua firma dalam negara dapat digembleng supaya berperanan secara positif dan relevan kepada keperluan negara, mereka pasti akan dapat mendukung aspirasi negara.

Penulis ialah Ketua Pengarah Institut Kemajuan Islam Malaysia (IKIM)

~sumber http://www.bharian.com.my/

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s